Nov 28, 2008

Buku Bulan Disember


“Bunga tu mekar dalam hati, tetapi cantik kelopaknya terletak di mata.”
“Mata siapa?” Nurasyikin sudah tercium baunya, tetapi dia pura-pura masih tidak faham.
“Di mata yang bercakap.”
“Bunganya?”
“Di depan, tetapi imejnya tersimpan di minda dan di hati.”
Nurasyikin senyum nipis dan tawar. Menimbang bagaimana keadaannya kalau dia cakap ‘ya’ ataupun cakap ‘tidak’. Ada risiko bagi kedua-dua jawapan. Dia sudah berdepan dengan perkara ini berulang kali.
“Beginilah, bunga perlu mengukur diri, bunga takut pada harapan taman yang meninggi gunung.” Madah dijawab dengan madah. Nurasyikin memandang tajam ke dalam mata dia yang sungguh-sungguh asyik menanti.
“Wah, orang biotech pun sudah pandai bermadah! Padanlah orang sastera tak dapat kerja!”
Mata mereka saling menatap.

Sukarnya menjadi rama-rama yang bersayap cantik, ‘dia’ sering aja menjadi perhatian!

* * * *

Novel untuk Nurasyikin ialah karya kreatif seorang profesor dalam bidang sains yang sejak kecil meminati kesusasteraan. Susurilah pendekatan ISMAD ASTAR yang menggunakan kaedah motivasi untuk ‘menasihati’ pelajarnya yang seorang ini!




* * * *

LOKE YEE-REN tidak pernah menjangkakan cinta itu miliknya. Kematian Iman Fakrulsy, sahabat yang disayangi membuatkan dirinya diselubungi dengan rasa sedih dan bersalah. Bayangan silam terus-menerus menghantui kisah hidupnya. Namun satu pertemuan yang tidak diduga telah mengganggu perjalanan hidupnya. Dia telah bertemu Iman Farhan yang wajahnya begitu mirip dengan Iman Fakrulsy. Wajah yang serupa, namun tingkah laku amat berbeza.

TINGKAH LAKU Iman Farhan agak kasar dan dia seorang yang berhati dingin. Persahabatan yang terjalin di antara Yee-Ren dan Iman Farhan terselit dengan agenda yang tersembunyi.
PUAN ELISHA, ibu Iman Fakrulsy tiba-tiba muncul kembali dalam kamus hidup Yee-Ren. Benci dan dendam Puan Elisha kepada Yee-Ren tidak pernah padam. Mana mungkin dia membiarkan gadis itu hidup dengan aman selagi dendamnya tidak dilunaskan.

Nov 17, 2008

PANGGIL AKU DAHLIA

Inilah gambar scone yang terdapat dalam PAD
lazat kan..........


***************************************




Judul: Panggil Aku Dahlia
Penulis: Noor Suraya
Penerbit: Jemari Seni Publishing
Muka Surat: 542 ms
Harga: RM 21.00
ISBN 978-967-5118-09-8


Bercerita tentang Dahlia aku jadi kagum dengan dia. Dimana ya nak dimulakan cerita. Bagiku di mana-mana saja menarik, mempunyai rasa yang tersendiri untuk yang tahu menikmati. Ceritanya unik, Teh Timor , sebuah kilang kecil di tanah rata Cameron Highland , Banglo yang menjadi Rumah Teh Timor, Daisy, juga Wadi Hannan.

Putri Dahlia Megat Qais <----------> Mia Zara
Wadi Hannan <----------> King Shah

Sebuah hubungan dengan ikatan takdir yang tematri.

Nakal yang Unik,
Nostalgik dan Tragis,
Dendam dan Kemaafan
Dosa dan Pembalasan

Jom kita sama – sama selami indahnya bahasa alunan dan susunan Noor Suraya dalam Panggil Aku Dahlia;-

Dia bukannya anak itik yang hodoh yang bercita-cita ingin menjadi angsa yang cantik. Dia bukannya gagak yang teringin menjadi merak. Dia bukannya cacing yang hendak menjadi naga. Tetapi dia tidak tega dibohnogi begitu. - ms 409



…….. kata-katamu telah membuat hatiku bagaikan disiram air mawar dari utopia. Damai yang meresahkan. Indah yang menghangatkan. Sukar digambarkan dengan kata-kata. - ms 308



… anak hantu!!! Dia memang anak hantu, kalau hantu perlukan anak angkat… dia boleh aja ambil Wadi. Mereka tentu serasi. - ms 166



Dia seperti kupu-kupu di tanah tinggi ini, yang ingin terbang bebas tanpa perlu dikejar… namun menjadi keras di dalam bingkai cermin apabila jiwanya hilang. - ms 71




Bersama-sama Dahlia, kita akan dibawa menjelajah keindahan alam semulajadi. Melihat segarnya panorama hijau yang indah terbentang luas didepan mata. Indahnya……….

Menyusuri Panggil Aku Dahlia umpama kita melalui kisah suka duka bersama-sama Dahlia. Dahlia yang nakal, Dahlia yang keras jiwanya, Dahlia yang terlalu istimewa. Aku jadi jatuh cinta sama Dahlia. Aku kagum dengan dia , semangatnya , sikapnya dan pendirian dia.

Pada aku, kekuatannya terletak pada Dahlia yang dibentuk Noor Suraya. Pembaca akan senang dengannya walau apa jua keputusan dan pilihan yang diambil Dahlia. Itulah kesenian penulis dalam menggarap cerita dengan bahasa yang mantap serta watak yang kukuh. Kehebatan Noor Suraya amat terserlah Dalam PAD ini, watak , jalan cerita, kisah, pengajaran, humor, disusunatur teliti sampai anda akan terbuai, tanpa sedar yang anda sekarang berada di tanah rata Cameron Highland.


Bintangnya tak terhitung , tak mungkin mampu aku bilang. Bintang yang bertaburan di dada langit tak mampu dihitung manusia, juga banyaknya buih-buih di lautan tak mampu dikira si nelayan; itulah nilai bintangnya bagi ku.






Nov 7, 2008

Travelog HAJI Melepasi Sempadan Iman

Prof Muhd Kamil Ibrahim,
PTS Islamika
Harga: RM 26.00
ISBN 983-192-355-3
Barcode: 9789831923559
Jumlah Halaman: 178 halaman

Sebuah journal yang ditulis penulis dengan begitu ikhlas. Tulisannya yang lahir dari lubuk hati, tembus menusuk jiwa pada siapa yang membacanya. Dia menulis penuh dengan rasa rendah diri dan sentiasa mengagung-agungkan Tuhan. Bahasanya mudah dicerna, santai-santai saja. Dia berjaya menzahirkan apa yang tersurat dan tersirat dalam pencarian untuk menjadi tetamu Allah yang teristimewa.

Baginya keimanan, ketaatan dan doa-doa yang lahir dari hati adalah senjata yang dapat mempermudahkannya untuk menjadi tetamu istimewaNya. Kini aku yakin bahawa doa tidak semestinya kita memohon dengan bahasa Arab yang kurang difahami maksudnya(jahil berbahasa Arab). Bacalah doa dengan bahasa yang kita fahami. Ia lebih mudah menzahirkan apa yang kita pohonkan. Bahawasanya Tuhan itu maha pendengar. Maha penyayang. Maha pengampunan. Subhanallah.

Buku ini benar-benar mengajar aku untuk membelek diri. Betapa ruginya aku selama ini mengabaikan nikmat yang dipinjamkanNya. Dalam usia sudah menjangkau angka empat puluh ini, aku sudah rabun dekat. Seperti jua penulis buku ini. Perlahan-lahan nikmat yang dipinjamkanNya telah ditarik balik. Esok entah nikmat apa lagi yang diambilNya. Sedangkan Al-Quran hanya sempat ku khatamkan kurang dari lima jari.

"Nikmat Tuhan manakah yang kamu dustakan" Ayat Ar-Rahman

Benar seperti apa yang diingatkanNYA. "Demi masa manusia itu dalam kerugian, kecuali mereka-mereka yang beriman dan beramal soleh dan mereka itu pula berpesan-pesan dengan kebenaran dan kesabaran..." - Ayat Al-'Asr

Pada mereka-mereka diluar sana, dapatkanlah buku ini pasti anda ingin mendapatkan kad jemputan dariNya selepas usai membaca Travelog HAJI Mengubah Sempadan Iman.

Pada saudara-saudaraku dan jua pembaca blog ini, disini aku mengambil kesempatan memohon ampun dan maaf jika ada kata-kataku yang telah menyakitkan dan keterlanjuran yang tidak disenghajakan mahupun yang disenghajakan. Astaghafirullah.

Nota kaki: Aku jua ingin seperti penulis. Doakan Dia menerimaku sebagai tetamu yang teristimewaNya. Subhanallah. Maha suci Tuhan yang menjadikan tujuh petala langit dan tujuh lapis bumi.

Nov 6, 2008

Pengumuman...


(dipetik daripada Buletin Jemari Seni Publishing)

Jemari Seni ada buku 3 + 1 untuk bulan November tau... lihatlah sampul kulitnya yang cantik, lukisan ini dilukis oleh Syah dari Pulau Bali, Indonesia. Panoramanya, dipilih oleh Kak Ajah... dan Kak NiLA suka melihat sampul kulit yang harmonis ini....


Tiga penulis wanita Jemari Seni Publishing berbicara tentang cinta dalam sebuah Kebun Mimpi...

Ceritera I – Kebun Mimpi... oleh Noor Suraya

Masih ingat pada karya pertamanya, Keranamu Ain... ? Inilah lanjutan kisah Ain Najwa selepas itu.

Sudah Ain tanam, sudah Ain semai... namun tidak satu pun yang bertunas itu rupa-rupanya kembang menjadi bunga! Bagaikan kebun mimpi... apa yang hadir dalam hidup Ain ini sekadar sebuah kenang-kenangan.

Ceritera II – Tas Merah Jambu oleh Syud

Gara-gara sekeping kad raya yang ada gambar seekor kucing putih gebu, hidup Nisa tak keruan dibuat dek Anna, Lin dan Nini. Sementara kawan-kawan si penerima kad misteri itu, sedang menyenaraikan suspek: siapakah peminat rahsia Adif? Aiman terus menyiasat, Adif pula jadi resah gelisah.

Jomlah sama-sama ikut Syud membongkar misteri hati Nisa-Adif ini...!

Ceritera III – Albatros: Antara Langit dan Bumi oleh Rnysa

“Ya. Kalau sayapnya elok lagi, ‘dia’ boleh terbang...” balas Ehsan.
Izzah rasa dia yang perlukan sayap sekarang, mata Ehsan yang bening sedang mencuri pandang sejenak, menikam ke dalam tangkai jantungnya. Mata itu duta hati, dan jika mata dengan mata itu sudah bertemu, tentulah larutnya jiwa.

Encik Albatros, pinjamkan sebentar sayapmu itu! Aku mahu lari daripada terkena panahan cinta! bisik Izzah.

Membaca blurb pun, tentu adik-adik Kak NiLa sudah tertanya-tanya cerita yang bagaimana ya, buku kali ini? Apa yang boleh Kak NiLa nasihatkan ye... belilah!

Okey, sebagai permulaannya... setelah lama tidak menulis di sini, itu sahaja pengumuman daripada Kak NiLA.

Butiran Novel:

Judul: Kebun Mimpi
Penulis: Noor Suraya, Syud & Rnysa
Harga: RM21.50
Catatan: Mulai di pasaran: 20 November 2008

*Harga tawaran Jemari Seni – RM19.00 dan boleh dipesan secara online mulai 18 November 2008

Selamat membeli dan membaca...

Salam,
Kak NiLA

* * * * *

Sedutan cerita:

1. Kebun Mimpi... daripada Noor Suraya
“Adam tak nak tidur lagi?”
“Nak mulakan juz baru ni... Ain tidurlah. Kalau sudah ke pelantar, tak tahu ada masa atau tidak.” Kata Adam. Matanya bening... melihat Ain terbaring di sofa panjang, hatinya jadi terusik. Ain sudah tidak selesa untuk bergerak lagi, kasihannya. Tapi Ain ni... masih ada hati berbaring di sofa yang sendat ala-ala Cleopatra begitu.
Setiap kali melihat Ain yang termengah-mengah begitu, membuat dia juga rasa bersalah kerana pernah menggores hati uminya di rumah. Begitulah umi mengandungkannya dulu dengan bersusah payah... apabila dah besar panjang begini, dah nak jadi bapa orang pun, dia juga masih melawan kata-kata umi. Kalaulah ini Ramadan yang terakhir, masihkah dia sempat memohon ampun dan maaf daripada umi? Esok pagi-pagi di pejabat dia akan telefon umi dan abah minta ampun! bisik hatinya.
“Kenapa tengok Ain macam tu?”
“Sebenarnya selama ini saya tidak pernah tengok Ain betul-betul... kan? Ain tidak banyak berubah sejak zaman sekolah.”
“Mujur tak tengok betul-betul, kalau tak mesti Adam dah pilih orang lain...! Hanya kerana salah pandang, Ain yang bertuah.” Kata Ain, cuba mengiring sikit.


2. Tas Merah Jambu daripada Syud
Gadis itu sedang tercegat berdiri, seolah-olah sedang menunggu seseorang. Adif terkedu buat beberapa ketika, dan pantas fikirannya menimbang sama ada dia patut bangun dan menegur, ataupun duduk sahaja di sini dan melihat siapa yang ditunggu Nisa.
Pilihan pertama? Atau pilihan kedua? Atau... pura-pura berjalan di sebelahnya dan manalah tahu Nisa menegurnya....A, B atau C? Macam nak kena cari alternatif untuk pilihan D jek.
Dia berkeputusan untuk memilih A, namun belum sempat dia berbuat apa-apa, orang yang ditunggu Nisa sudah tiba. Dan orang yang ditunggu Nisa tidak lain dan tidak bukan lelaki berdarah campur itu, yang terus membuatkan Adif menjana pilihan untuk D.
D - Duduk dan tidak berbuat apa-apa kerana semua cadangan tiga pilihan di atas tidak sesuai dijalankan.
Terus dia mengalih pandang. Tidak mahu terus memandang. Namun matanya masih lagi degil mengerling, dan dia lihat Nisa mengambil sesuatu dari tangan lelaki itu. Dia nampak Nisa ketawa, dan tersenyum.
Adif menggeleng sendiri. Akhirnya dia bangun, dan memusingkan badannya menghadap dinding. There. Safe.


3. Albatros: Antara Langit dan Bumi daripada Rnysa
“Burung tu dapat ikut kapal-kapal selama beberapa hari. Selama tu ia melayang dengan tak turun dan hinggap di mana-mana.” Terang Ehsan.
“Macam hati manusia juga...” sambung Ehsan bersahaja.
“Apa pula kaitannya albatros dengan hati?” pantas Izzah menyoal. Profesor Abu turut hairan dengan analogi anak didiknya itu.
“Ya lah, hati manusia... mengikut kita berhari-hari, berbulan-bulan, bertahun-tahun... tapi tak mahu turun dan hinggap di hati orang yang diikutnya. Terbang melayang-layang di atas sana. Entahkan bila akan singgah, kita pun tak tahu....” Pandangan mata Ehsan terhenti pada muka Izzah yang sudah kemerahan.
“Adakah bab ini termasuk dalam tesis awak, Ehsan?” usik Profesor Abu yang sudah dapat menangkap maksud yang tersirat. Bibirnya membunga senyuman. Anak muda dilamun cinta, bisik hati kecilnya.
“Ya, Profesor. Tesis yang tidak pernah selesai!” Mata Ehsan masih terarah pada Izzah yang kembali membaling roti kering ke dalam laut. Empat orang lagi pelajar Profesor Abu yang mengikut kajian hari ini hanya tersenyum sesama sendiri.


* * * * *
Nota kaki: Wan sudah teruja membaca 'sneak preview' ni... tak sabar nak tunggu tarikh keramat 18 November =)