Apr 23, 2009

Temui Mereka... Sempena KLIBF 2009



Nota: Terima kasih pada Che Din yang sudi menguar-uarkan kedatangan tetamu dari seberang ini...!! So, kawan-kawan jom lah kita ke PWTC untuk menemui mereka!

Apr 19, 2009

Pesta Buku KL 2009 - Info Tambahan

Salam semua,

Kakwan harap hebahan ini masih lagi berguna untuk kawan-kawan. Sementelah Pesta Buku masih lagi berlangsung hingga ke hujung minggu depan (26 April).

Info yang kakwan terima lewat email daripada adik kakwan JiD. Thanks dear sebab berkongsi maklumat dengan kakwan dan rakan-rakan yang lain.

Booth PTS yang terletak di Gerai 72 - 79 (bersebelahan dengan Dewan Tun Hussien Onn) menawarkan potongan harga yang cukup istimewa. Apa yang perlu kawan-kawan buat hanya memuat-turun kupon potongan diskaun yang anda boleh dapati -> di sini <- dan klik ke 'Muat turun e-kupon' untuk mendapatkan kupon potongan harga tersebut.

Kakwan harap kawan-kawan akan datang beramai-ramai memeriahkan lagi Pesta Buku yang sedang berlangsung ini.

Apr 14, 2009

Antara Acara di Pesta Buku KL 2009


Sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur, Sai-Fai.com dengan kerjasama Majlis Buku Kebangsaan akan melaksanakan program di atas berdasarkan maklumat berikut:

Tajuk : “Apresiasi Bakat Fiksyen Sains dan Fantasi Tempatan”
Tarikh : 19 April 2009 (Ahad)
Jam : 2.00 petang
Tempat : Dewan Kedah/Johor, Pusat Dagangan Dunia Putra, KL.
Ahli Panel : Ahmad Patria Abdullah Nisah Haji Haron Nizam ZakariaAzhar Abdullah
Moderator : Fadli Al-Akiti
Peminat sastera, khususnya Sai-Fai dipersilakan hadir.


Atur Cara:
2:00 ptg Pameran bermula
3:00 ptg Forum bermula
Tajuk: “Apresiasi pengkarya fiksyen sains dan fantasi – Cabaran dan Masa depan”
5.00 ptg Sesi soal-jawab
5:30 ptg Forum berakhir
6:00 ptg Pameran berakhir


*terima kasih pada Khar/Serunai Faqir kerana berkongsi maklumat ini

Lagi.... Jadual Penulis di Pesta Buku KL 2009

Terima kasih pada adindaku JiD yang sudi mengirimkan jadual penulis PTS yang akan bertugas sempena Pesta Buku 2009 kali ini!.


Nota kaki: wah! penulis daripada Indonesia juga akan hadir memeriahkan majlis!! wan/kakwan teringin nak bertemu dengan penulis tere liye =)

Apr 13, 2009

Jadual Penulis Bertugas di BF2009

Salam semua,

Memandangkan Pesta Buku akan berlangsung tak sampai seminggu aje lagi (Jumaat, 17 April 2009) wan/kakwan rasa info ini pasti sedikit sebanyak membantu kawan-kawan mengatur jadual untuk ke PWTC.

Ya lah... selain untuk membeli bahan bacaan yang sesuai dengan selera kawan-kawan semua, salah satu tujuan ke sana sudah pastilah untuk berjumpa dengan penulis kegemaran/kesukaan kawan-kawan semuakan?? (macam wan/kakwan la... hehehe)

Oklah... di sini wan/kakwan sertakan jadual bertugas penulis-penulis yang dapat wan/kakwan cari... harap berguna untuk kamu ya!!

** ^ **

Penulis Jemari Seni

Booth : 53 - 54, Tingkat Bawah, Dewan Tun Hussein Onn, PWTC



Penulis NB Kara
Booth :


Penulis Fajar Pakeer
Booth : 3026, 3027, 3042 & 3043
(Dewan Tun Razak 3)


** ^ **
Nota: hanya ini yang dapat wan/kakwan titipkan buat panduan kawan-kawan semua...

Apr 10, 2009

Buku Baru di Pesta Buku KL 2009

Salam Semua,

Dah berkurun rasanya wan/kakwan tak update rumah ini. Wan/kakwan benar-benar kewalahan tak punya cukup waktu untuk kerjakan apa yang tertunggak di kepala tapi tak terbuat dek tangan. Walau bagaimanapun wan/kakwan berbesar hati kerana ada adik kakwan -adhan- yang sudi membantu, meng'update'kan rumah ini. Terima Kasih ya dik!! rumah inikan rumah kita bersama??!! rajin-rajin la bantu kakwan ya =).

Oklah wan/kakwan tak nak bazirkan masa yang amat bernilai ini... wan/kakwan sekadar nak berkongsi info (yang tidak terkini - kerana rasanya sepupu sepapat kakwan -gengkicap- lagi cepat dan update berbanding kakwan) fasal buku baru dan buku yang bakal terbit (pra-cetak) sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2009 yang akan berlangsung tak berapa lama lagi.

Antara Penerbit yang sempat kakwan selongkar 'stor' mereka adalah seperti:

Jemari Seni

Novel JS Adiwarna untuk Yang Tersayang

Ayuh Lari Ke Pulau Harapan - Noor Suraya
ISBN: 978-967-5118-19-7
Harga: RM13.00

Berapa orang ada pulau kecil yang indah nian, lagi terpencil? Di mana ada unggas-unggas berterbangan, arnab-arnab berlari-lari atas rumput yang menghijau, ikan-ikan yang berwarna-warni berenang dalam sungai...

Ashraf memilikinya! Hadiah daripada arwah ibu. Ashraf membenarkan Umar dan adik-adiknya, Nurin, Wafi, dan Wafa bersembunyi di pulau itu. Anak-anak Mejar Azim itu nekad melarikan diri kerana sudah tidak tahan didera, Usu Tija. Lebih malang lagi, ayah Ashraf hilang di laut, sementara sepupunya, Adnin ada sebab tersendiri untuk melarikan diri juga. Ternyata, mereka berenam telah mengalami detik-detik menyeronokkan di pulau indah itu.

Jomlah, sama-sama ikut mereka ke Pulau Harapan! Tetapi, ketenangan itu tidak lama. Ada penyeludup dan ‘pemusnah alam’ dari Pulau Tiga yang sedang bermaharajalela! Bagaimana kita boleh menolong Ashraf dan kawan-kawannya di Pulau Harapan?

* ^ *

Kelab Sarjana - Misteri Rumah Asap di Ladang Seri Taming - Noor Suraya
ISBN: 978-967-5118-20-3
Harga: RM12.00

Nabil dan Nurdini seronok sangat apabila dapat berkenalan dengan Luthfil dan Dania. Mulanya, anak-anak pengurus yang baharu itu tidak suka berpindah ke Ladang Seri Taming. Bagaimanapun apabila mereka menubuhkan Kelab Sarjana, keadaan berubah. Pada awalnya, mereka sekadar menyiasat apa sahaja kejadian pelik di ladang itu. Kadang-kadang, sekadar misteri yang remeh-temeh sahaja. Selalu-selalunya, aktiviti mereka menjadi sukar kerana sering kali diganggu oleh si kembar Intan-Adib yang nakal! Kemudiannya, apabila anak saudara Inspektor Hilmi juga diterima menjadi ahli Kelab Sarjana, mereka telah terjerumus dalam misteri rumah usang yang aneh. Bagaimana dan mengapa rumah itu aneh?

Semuanya akan terjawab dalam siri pertama – Kelab Sarjana: Misteri Rumah Asap di Ladang Seri Taming.

* ^ *

Ekspedisi ke Pinggir Taman Negara - Noor Suraya
ISBN: 978-967-5118-21-0
Harga: RM12.00

Fitri, Deena dan Azam mengikut Profesor Aqbal ke Gua Cha, Kelantan. Bapa mereka sedang menjalankan kajian antropologi di situ. Doktor Daniel, kurator muzium dari Australia juga membawa anak-anaknya, Faris dan Johana ke sana. Lalu untuk menghilang rasa bosan menunggu bapa mereka bekerja, si anak memilih untuk masuk ke pinggir Taman Negara. Dengan pertolongan Pak Darus dan Pedik si anak orang asli, mereka berjaya menjejaki pinggir taman itu.

Namun bahaya tetap menanti. Ketika sedang mencari tempat jatuhnya meteor, Faris telah ditawan oleh pemburu-pemburu haram. Manakala Pak Darus pula dipatuk ular. Lalu, siapakah yang boleh diharap pada saat-saat genting ini? Azam si cilik yang montel ataupun Johana si cantik yang suka berangan-agan menjadi peragawati?

Pada waktu yang sama, artifak dari Gua Cha pula hilang! Siapa pula yang mencurinya? Apa yang harus mereka lakukan?

* * * * * * *

Pracetak Mei 2009

Tajuk: Teluki Itu Untuk Aku
Penulis: Nazawati
Harga:

perasaan ini bagaikan air di kali yang sentiasa mengalir tanpa henti

Telah aku kuburkan dalam-dalam persahabatan bersama kau. Telah aku cuba simpan peristiwa aib itu dalam hati sampai mati. Bertahun aku menghilang, dan tidak pernah aku sangka waktu telah menemukan kita lagi. Malang apa yang menanti, pabila aku dan kau terperangkap dalam ikatan yang tidak pernah kita impikan?

Benarkah hati perempuan itu, kerasnya bagaikan kerak nasi? Percik air lembutlah ia...!Benarkah hati perempuan itu dalamnya tak terduga? Sentuh dasarnya, lunaklah ia...!

Benarkah begitu...?

Ya, perempuan lain mungkin, tetapi tidak aku untuk lelaki seperti kau!


Kau tidak pernah mengenali lagi aku Fir, kau tidak pernah lagi memahami aku Fir, kau tidak pernah sekalipun menyelami hati seorang aku!

Bahtera ini, arah kita tak serupapadamu... aku dendam yang tak terungkai, padaku... kau sahabat yang melukakan

Mengapa tidak kita akhiri sahaja tali ini, kalau kita tidak pernah endahkan ijab kabulnya, Fir?

* * * * *
Bacalah hati perempuan NAZAWATI dalam Teluki Itu untuk Aku. Bandingkan dia dengan hati anda sendiri!

*^*

Tajuk : Sigaraning
Penulis : Imaen

ISBN: 978-967-5118-13-5
Harga: RM20.00

Kami hanya dua jiwa yang terpapas ketika menunggu kereta api, di sebuah halte kehidupan. Aku lelaki yang akan menaiki kereta api siang, dan dia pula perempuan yang telah membeli tiket kereta api malam. Perjalanan satu hala: kami sendiri tidak tahu ke mana destinasinya. Perkongsian yang kami panggil ‘cinta’ itu, sebenarnya hanyalah saling berpandangan melalui tingkap cermin; saling melambai tangan dan bertukar senyum. Kemudian ketika peluit berbunyi, baru aku sedar realitinya: kereta apiku mula bergerak, kami semakin berjarak. Hanya bayangannya yang melekat di cermin jendela. Kami semakin menjauh. Hanya senyum manisnya masih terlekat di jendela hati.

aku bukannya muncikari yang menjual jiwa kepada iblis untuk hidup mewah

Apa yang nak dibuat, sekiranya terjumpa duit RM2 juta dan tas ‘harta berharga’? Terhormatkah untuk ‘dipinjam’ sebentar, dengan niat akan memulangkannya kemudian nanti?

Kasihan Ali Imran, tauke Pasar Mini MusliMart yang diburu gengster kiri dan kanan... gara-gara ‘pinjaman’ tidak sengajanya itu. Pada waktu terdesak, tiada yang dapat menolong selain daripada Dia!

* * * *
IMAEN menulis untuk mereka yang sedia berkongsi falsafah rasa. IMAEN menulis untuk anda, yang menanti karya thriller dalam bahasa nan indah.

*^*

Tajuk : Rahsia Hati Sofia
Penulis : Nazurah Aishah
ISBN: 978-967-5118-17-3
Harga: RM21.00

sekali air sungai melimpah… sekali pasirnya pun berubah…

Aku dan dia kenal begitu lama, saling menyimpan rasa dan berkongsi hati. Kenapa sukarnya untuk saling memahami? Padahal kita bagaikan bercerung jiwa!

Ini bukan cinta tiga segi! Dia dan dia bersahabat. Mereka berkongsi cerita. Namun rahsianya hanya aku seorang sahaja yang tahu!

Ajaibnya dalam derita masih ada lagi cahaya, jalurnya memandu arah. Anehnya dalam pijar resah, angin masih bawa salam bahagia walau seketika. Payahnya pabila cinta jadi benci. Sukarnya nak pujuk hati biar benci bertukar rindu. Pilunya hati tatkala kau paksa aku memilihmu, padahal kau sudah lama kupilih!

Jiwamu bagai ombak di tengah laut, pabila datang menderu kau usung segala beban ke gigi pantai. Singgahmu sekejap cuma, tika pergi kau titipkan semuanya di bahuku seorang.... Kenapa harus begitu, Mal?

* * *
NAZURAH AISHAH kembali dengan cerita yang sarat dengan emosi. Bahasa NAZURAH AISHAH terserlah matang, tulisannya segar dan menguntum senyum pembaca. Rahsia Hati Sofia dipersembahkan hanya buat mereka yang faham akan erti cinta!

* * * * * * * * * *

PTS PUBLICATION



Tajuk: Dunia Jam 10
Penulis : Majidah Mat Jusoh
Terbitan : PTS Ones

“Kak Yati! Kak Zahni! Cepat tengok ni. Rugi terlepas peluang ni. Cepat!” Jerit Rokiah sekuat hati.

Yazmin terkejut mendengar jeritan kakaknya. “Alamak, malunya.” Yazmin cepat-cepat mengambil tisu menyapu bibir dan kelopak mata. Rupa-rupanya Yazmin mengulangi rutin harian jam 10 malamnya. Kembali ke dunia kedua. Tiba-tiba Mawar dan Rudziani, rakan sekelasnya ketika di tingkatan tiga dulu pun turut menjadi ‘pelakon’ pada malam ini.

“Ini model mana pula sesat malam-malam ni? Malam ni ada show ya, dik?” tegur Yati dengan nada perli sambil tersenyum memandang adiknya yang sudah lengkap berselendang dengan baju tidur Mickey Mouse di depan cermin. Bibirnya sudah merah menyala dan bulu matanya juga sudah lentik bak bulu mata unta. Kelopak matanya juga sudah berbelang bak warna bulu burung merak di hari Deepavali. Zahmi hanya tersenyum sambil menggelengkan kepala melihat telatah adik bongsunya yan gseorang ini.

Macam-macam…

*^*

Tajuk: Detektif Bertudung Hitam
Harga: RM17.90
Penerbit: PTS One

Blurb:

"Ini saya tempah kad bisnes untuk awak."
"Encik Zabidi letak nama jawatan saya 'Penyiasat Persendirian'? Saya hanya kerani, encik salah tempah," persoal Zahra.
"Tak ada yang salah. Memang saya sengaja letak jawatan awak sebagai 'Penyiasat Persendirian' kerana bekerja di syarikat penyiasat membuatkan awak jadi penyiasat. Takkan saya hendak letak kerani pula? Kerani buat apa ada kad bisnes? Secara tidak langsung, awak dapat mempromosikan syarikat ini. Jadi, jangan simpan sahaja kad itu, berikan kepada orang. Faham!" terang Encik Zabidi panjang lebar.
"Faham!" jawab Zahra keras. Tidak semena-mena dia menjadi penyiasat pula. Hati Zahra bergetar memikirkan dunia baru yang perlu ditempuhnya.

Zahra gadis pemalu yang selalu tampil bertudung hitam. Gadis pemalu yang mendapat kerja sebagai kerani di syarikat penyiasatan kerana sanggup bekerja dengan gaji yang rendah. Gadis pemalu yang memerlukan wang bagi membiayai kos pembedahan ayahnya.

Menyiasat kes pembunuhan? Ganjaran RM50,000? Mampukah Zahra yang pemalu ini menyelesaikan kes itu?


*^*

Tajuk: Adi Gempa
Harga: RM19.00
Penerbit: PTS Fortuna

Blurb:

Hadi tidak pernah menyangka dia mempunyai kuasa luarbiasa sehinggalah kedatangan seorang lelaki di kampungnya. Hadi mempunyai kuasa untuk mengesan gempa bumi dan memanipulasikan kawasan sekitarnya dengan gegaran. Lebih mengejutkan bila akhirnya dia mengetahui asal usul dirinya dari eksperimen antarabangsa yang merbahaya.

Tetapi semakin jauh dia dibawa balik oleh lelaki misteri itu, semakin ramai manusia yang mempunyai kuasa luarbiasa sepertinya muncul. Hadi kini dalam bahaya apabila ada kumpulan yang mahu menangkapnya untuk motif yang jahat. Hadi diperlukan oleh kedua-dua pihak, baik dan jahat.


Dari seorang budak kampung yang amat naif, Hadi kini dibawa ke seluruh penjuru dunia dan menyaksikan manusia berkuasa luarbiasa ini bertempur antara satu sama lain. Nilaian gadaiannya amat tinggi - kemusnahan total umat manusia!

Hadi adalah budak gempa!

* * * * * * * * * *

CREATIVE

Tajuk : Mendung Semalam
Penulis : Irene Mojuru
Harga : RM25.90

Rasa itu, masih menghantui, membelenggu dan merantai seluruh kebahagiaannya. Dendam itu, sesuatu yang amat menyakitkan. Makin disimpan, makin membusung dan bernanah jadinya. Bak gunung berapi yang akan memuntahkan laharnya dan membinasakan seluruh alam.

Lalu, perlukah rasa kasih dan sayang dianugerahkan untuknya? Sedangkan dialah pemusnah, penghancur dan peragut seluruh kebahagiaan ini. Persis haruan yang makan anak, dialah manusia sial yang bertopengkan binatang. Sehingga tergamak menjadikan anak sendiri santapan, demi memuaskan nafsu kebinatangan. Dan, haruskah manusia yang bergelar ayah ini terus dibiarkan bernafas dengan selesa, tenang… sedang hati-hati yang memandang, terus sakit dan menderita.

Lizam, Tonny dan Laila… terus diburu trauma di dalam menanti sinar bahagia. Lalu, kehadiran Tina bagai sebuah mimpi yang baru bermula, membawa bersamanya episod bahagia. Meninggalkan duka lara, bersama harapan, moga tiada lagi mendung semalam mengekori kisah silam.

*^*

Tajuk : Bintang Hati
Penulis : Azilawati Mat Angsar
Harga : RM17.90

Lebih sedekad Nurul Iman menutup pintu hatinya untuk mana-mana lelaki. Segalanya hanya kerana rasa kasih dan sayang pada sang arjuna hati yang tidak jadi dikahwini. Namun kehadiran Nafis, umpama cahaya yang menerangi malamnya yang suram tidak berbintang. Nafis, lelaki sempurna. Jejaka impian wanita. Namun kesempurnaan Nafis tidak berjaya membawa Nurul Iman ke alam cinta.

Lalu, Ilhan hadir mencuri ruang-ruang kosong yang gagal dipenuhi oleh Nafis. Dan perasaan sayang, diam-diam Ilhan anyam dengan harapan agar kasih mereka akan disatukan. Namun dalam diam-diam juga… Nurul Iman menolak kasih Ilhan. Cinta Nurul Iman hanya pada lelaki itu. Lelaki yang tidak jadi dikahwininya dahulu.

Kemunculan Harith yang tiba-tiba itu, benar-benar menguji kesetiaan Nurul Iman. Bintang di hatinya bersinar kembali. Namun, kehadiran Laura bagai membawa kasihnya pergi. Inikah dendam yang bertahun tersimpan di hati lelaki itu? Dan inikah masanya untuk Harith melihat dirinya sengsara? Sedang Nurul Iman tidak pernah sedar, hanya dia yang Harith cinta buat selamanya…

* * * * * * * * *

ALAF 21

Tajuk: MIKHAIL
Penulis: Ramlee Awang Murshid
Harga: RM19.90
Halaman: 512

MIKHAIL – bukan sekadar sebuah nama. Selama 16 tahun menjadi pelarian di perantauan, dia muncul semula memburu mangsa-mangsanya. Mikhail membunuh kerana dendam lama. Sewaktu usia remaja, keluarganya telah ditembak mati. Mikhail telah diselamatkan Dickens, seorang lelaki Amerika Syarikat yang juga merupakan rakan niaga ayahnya, Tuan Sadon. Dickens melatih Mikhail menjadi seorang pembunuh profesional untuk membela kematian keluarga.

Dalam pada itu, Mikhail juga menghidapi sejenis penyakit paranormal. Apabila retina matanya terkena cahaya matahari atau silauan lampu yang terang lagi tajam, dia akan berada dalam satu dimensi yang tidak diketahui. Kadangkala dia terperangkap antara dua dimensi – fantasi dan realiti. Akibatnya, Mikhail sukar membezakan mana yang benar.

RAMLEE AWANG MURSHID menampilkan novel MIKHAIL sebagai satu agenda yang dipengaruhi wang bertunjangkan kuasa. Wang serta kuasa dijadikan sandaran sebagai satu simbol kejahatan. Mereka yang enggan bekerjasama akan dijatuhkan hukuman mati. Mikhail pula adalah alat kepada misi pembunuhan itu. Saspens dan penuh emosi!

* * * * *

Tajuk: Revolusi Yang Ditangguhkan
Penulis: Shahnon Ahmad
Halaman: 240
Harga: RM10.00

“Sementara minda masih berdenyut, maka aku cuba isikan lowongan ini dengan catatan yang terilham dalam keadaanku yang uzur ini. Terasa gusar juga, kerana masih mampukah aku dan siapakah pula gerangan yang masih ingin mendengarnya? Dan di sini... aku yang berada dalam suasana beruzlah, tersisih daripada kawan dan lawan akhirnya berjaya juga menghasilkan sebuah citraan yang terlahir dari bisikan kalbuku. Alhamdulillah Ya ALLAH..."

KEUZURAN tidak menghalang seorang sasterawan untuk terus berkarya. Pengamatan peribadi pejuang sastera ini bertujuan mengajak manusia menginsafi diri serta kembali kepada-NYA.

Revolusi yang Ditangguhkan ini bertujuan menyampaikan se suatu mesej atau dalam makna yang lebih jelas, mengkritik secara membina aspek sosial sebahagian besar manusia. Lihatlah di sekeliling kita... pemberian-NYA yang sering diabaikan. Jadikanlah segala yang berlaku sebagai iktibar, moga kita sentiasa bermuhasabah untuk terus memperbaiki diri.

* * * * *

Penulis: Leeya Myra
Halaman: 512
Harga: RM19.90
ISBN: 978-983-124-430-2

Sinopsis:

IMANINA membesar tidak seperti orang lain bila papa dan mamanya meninggal dunia dalam satu kemalangan yang tragis. ‘Seseorang’ yang dikenali telah menyebabkan kematian itu. Sejak itu dia berazam mahu membalas dendam. Trauma rasa kehilangan menyebabkan Imanina lebih suka menyendiri. Tapi, kemunculan Amin telah mengubat kesepiannya.

Bagaimanapun sekeping gambar telah merungkai sejarah hitam yang merantai hidupnya selama ini. Dia dikejutkan hubungan Amin dengan ‘seseorang’ yang menyebabkan kematian ibu bapanya 13 tahun dahulu.

Perasaan sayang bertukar benci. Namun, Imanina bertindak menerima lamaran Amin. Sebagai isteri, lebih mudah baginya menghancurkan hidup suaminya. Amin yang dapat tahu angkara Imanina lantas pergi membawa diri.

Sejak itu, Imanina rasa hidupnya sunyi dan kosong. Sikap Amin yang membisu menyeksa dirinya yang nanar bagai mengejar bayang-bayang. Dia ingin memohon kemaafan, tapi masih adakah ruang di hati Amin buatnya?

* * * * *

Harga: RM19.90
Penulis: Intan Arnida
Halaman: 512
ISBN: 978-983-124-424-1

Sinopsis:

CINTA antara Dayang Sabrina dan Ungku Isfan tidak boleh dipisahkan lagi walaupun telah dihalang oleh Ungku Saerah. Namun, bermulalah suatu episod duka di mana Dayang termakan janji manis wanita itu untuk menerima jemputan ke suatu majlis.

Di situlah, Dayang menerima segala kemarahan dan kebencian wanita itu. Dia dituduh cuba menjerat cinta Ungku Isfan sematamata kerana kedudukan dan kemewahannya. Dia turut diselar dengan kata-kata nista yang benar-benar merobek jiwanya. Hati Dayang tercalar bagai dihiris sembilu. Siapa yang mahu diri dihina sedemikian rupa? Lantaran, dia melarikan diri dengan hati yang lara dan perasaan yang hiba sehingga terlibat dalam suatu kemalangan ngeri. Mujur, nyawanya masih panjang. Trauma kecacatan wajah yang dialami berat untuk ditanggung walaupun telah dibedah.

Lima tahun berlalu... Dayang bangkit dengan suatu tekad. Dia mesti membalas dendam. Keangkuhan dan keegoaan Ungku Saerah harus ditundukkan. Namun, niatnya tidak sampai ke penghujung apabila munculnya seorang lelaki yang telah lama menghilang. Kehadirannya membongkar suatu peristiwa yang berlaku di dalam keluarga ternama itu.

* * * * *

Penulis: Fatin Nabila
Halaman: 512
Harga: RM19.90
ISBN: 978-983-124-431-9

Sinopsis:

AKIBAT mabuk bercinta, Erin & Ariff bertekad mengakhiri perhubungan mereka dengan ikatan perkahwinan. Hangatnya darah muda menjadikan mereka tidak memikirkan darjat dan usia masing-masing yang masih terlalu mentah dalam melayari bahtera rumah tangga. Dan akibatnya, sebaik kedua-duanya melangkah ke gerbang perkahwinan, rumah tangga mereka berantakan kerana kurangnya persefahaman sesama mereka. Krisis demi krisis berlaku hanya kerana perkara-perkara remeh hingga akhirnya membawa kepada perpisahan.

Berbulan lamanya Ariff menghilang tanpa pesan. Tiada isteri yang menemani dan berkongsi suka dukanya. Dia hanya pulang apabila mendapat tahu keadaan isterinya yang sarat mengandung. Sekali lagi kesabarannya teruji apabila terpaksa berdepan dengan cacimaki mertuanya bila dituduh suami yang tidak bertanggungjawab dan mementingkan diri.
Sebagai lelaki, Ariff mempunyai dua pilihan. Mengenepikan ma ruah dan egonya demi sebuah kehidupan rumah tangga yang bahagia ataupun melupakan terus alam indah berkeluarga yang terlalu banyak likunya.

* * * * *

NB KARA

Penulis :Zuliana Abuas
Judul : Viva Sakura
Halaman: 602
Harga : RM21.00

Blurb:

Sakura Alia - secantk namanya dan sesuci kelopak sakura yang memutih. Di bumi ginseng, Korea, dia mencari secarik kepastian, biar dalam kepayahan. Dia perlu membongkar memori silam yang telah jauh dibenamkan oleh ayahnya sendiri, atas alasan sayang dan tidak mahu melukakan dirinya. Begitu jauh dia berkelana, dia tidak pernah menyangka pencariannya bernoktah begitu sahaja. Orang yang dicari sebenarnya sudah tiada. Naun dalam pencarian itu dia menemui sesuatu yang akan merubah hidupnya...

* ^ *


Penulis : Nora Ismail
Judul : Tuhan Lebih Tahu
Harga :

Blurb:

- tiada rekod -



*^*


Tajuk: Setiap Jumaat
Terbitan : NB Kara
Harga: RM24.90

Blurb:

Hidup di negara orang memang payah. Apatah lagi di Negara Jepun yang rumah sewanya hanya sekangkang kera. Benar kata orang, biar hujan emas di negara orang, hujan batu di negara sendiri. Negara sendiri lebih indah. Tetapi kerana dendam, payah dan gundah, suka atau tidak, Jasmine gagah mengharungi sendiri.


Bertahun berlalu, marah pada emak tidak pernah surut. Memang tidak ada haramnya emak berkahwin lain, tidak ada hinanya. Ayahpun sudah meninggal dunia. Tetapi apa perlunya emak berkahwin dengan lelaki bujang?

Namun Jasmine tidak tahu, ada rahsia sebenarnya yang emak tidak mahu cerita...

*^*

Penulis : Lily Haslina Nasir
Judul : Aku Ada Kamu
Harga :

Blurb:

- tiada rekod -




* * * *

KAKI NOVEL

Tajuk: Rembulan Berdarah
Penulis : Anita Aruszi
Harga:

REMBULAN BERDARAH adalah buah tangan terbaharu daripada Anita Aruszi, yang pernah bekerjasama dengan KN dalam penerbitan BUNGA SYURGA tahun lepas. Kisah Rembulan Berdarah menceritakan komplot ahli keluarga sendiri untuk membolot harta kekayaan secara mutlak.


* ^ *


Judul : Biarlah YM Berbicara
Penulis : Hanni Ramsul
Harga :

BIARLAH YM BERBICARA adalah hasil karya sulung penulis baru - Hanni Ramsul yang diterbitkan oleh KN. Kisah ini berkisarkan perihal 'chatting' di YM antara Adiya Fatiha dan Charming. Kehidupannya aman bersama sahabat mayanya itu, tetapi kemudian diganggu oleh Abang Kamal, sepupu Adiya Fatiha yang menagih cintanya. Keadaan semakin kalut apabila bos Adiya Fatiha, iaitu Encik Fairus juga cuba mencuri hatinya. Siapakah jejaka pilihan Adiya Fatiha? Siapa identiti sebenar Charming?

* * * * * * *

FAJAR PAKEER

Judul : Kota Barra
Penulis : Mahizan Husain
Harga :

Blurb:

Abid bercita-cita mahu menjadi seorang novelis. Dia berhasrat menulis sebuah novel bercorak sains fiksyen, tapi secara tiba-tiba mendapati dirinya terperangkap dalam satu pengembaraan penuh fantasi di sebuah kota sakti bernama Kota Barra.

Bersama seorang panglima bernama Yaddi dan Puteri Zalia, pewaris takhta Kota Barra, mereka bertarung dengan Guntala dan Alka—dua ahli sihir yang telah menawan Kota Barra. Mereka juga harus menyelamatkan pemerintah Kota Barra, Raja Fayat, yang dipenjarakan oleh Guntala.

Hanya dengan pedang sakti bernama Pedang Asakir saja mereka dapat menghapuskan kuasa jahat Guntala. Syaratnya, pedang yang tersimpan di Gunung Lanar yang penuh bahaya itu hanya boleh diambil oleh seseorang yang berasal dari dunia asing, iaitu Abid.

Mampukah Abid berdepan dengan berbagai rintangan untuk mendapatkan Pedang Asakir termasuk bertarung dengan raksasa penjaga Gunung Lanar? Bolehkah Abid melawan ujian apabila dia sendiri jatuh cinta kepada Puteri Zalia?


* ^ *

Penulis : Siti Rozilah
Judul : Rindu Yusuf Cinta Zulaika

Blurb:

Dia diijabkabulkan dalam usia yang masih terlalu muda. Namun ianya bukanlah satu penyesalan, kerana dia menyimpan cinta mendalam terhadap Yusuf Hakimi. Status seorang isteri baginya adalah status yang sewajarnya dihormati. Dia nekad untuk menjadi isteri solehah, yang dijanjikan Allah menapak ke syurga melalui mana-mana pintu yang disukainya.

Tapi kewujudan Intan Juliana dalam rumah tangga mereka bagaikan api dalam sekam, membakar dalam diam. Kenapa suaminya perlu memilih seorang perempuan sebagai teman baiknya? Kenapa?

Rasa rendah diri kerana belum mampu melahirkan bayi comel dalam rumah tangga semakin menekan perasaan. Dan, kehadiran Johan yang memintanya agar membenarkan suaminya berpoligami menghakis sabarnya selaku isteri, yang goyah statusnya. Hidupnya terumbang-ambing. Bahagianya sirna. Lalu bagaimanakah cara untuk dikembalikan semula bahagia itu dalam hidupnya?

Benarkah Yusuf pasangannya Zulaika?

* ^ *

Penulis : Puteri Imaneisya
Judul : Kasih Ini Milik Kita
Harga :

Blurb:

Maya - Apa yang direncana tidak semudah perlaksanaan. Di mana nilai cinta harus ditempatkan? Dia bagai terhumban ke jurang dilema. Tegakah dia memperjudikan hidupnya bersama Joseph?

Shahiza - Adakah yang sudi menerima dirinya yang lahir bukan daripada ikatan yang halal? Yang hilang sebahagian daripada kesempurnaan seorang perempuan? Apakah masih ada sisa bahagia untuk dirasainya walau insan yang disayang sudah menjauh?

Eliza - Kerana marah dia tega membawa diri. Meninggalkan insan yang disayangi, justeru kepercayaan bukan lagi menjadi miliknya yang hakiki. Dia memaksa diri menjadi insan berhati kering, biarpun satu ketika dahulu hatinya pernah dibanjiri limpahan kasih sayang. Namun siapa yang dapat menolak ketentuan?

Melissa - Hati dan jiwanya sering meronta inginkan pembebasan daripada belenggu resah dalam kegelapan. Nur ketenangan dicari pada tiap penjuru kehidupan. Akhirnya dia bertemu, malah pertemuan yang tidak hanya membebaskan hati dan jiwa, sebaliknya turut menerangi jalan bahagia di lembayung cinta dan kasih sayang insan bergelar lelaki.

* ^ *


Penulis : Anita Aruszi
Judul : Hujan Rindu
Harga :

Blurb:

Kerana kasih dan sayang seorang anak kepada ibunya, Anum Dahlia yang dilahirkan dan dibesarkan di luar negara sanggup menjejaki keluarga ibunya di Malaysia sehingga dia sanggup mengenepikan kepentingannya sendiri. Sanggup meredah beribu-ribu kilometer untuk menunaikan harapan dan impian ibunya yang sedang terlantar koma.

Anum Dahlia, seorang cucu yang mendambakan kasih sayang daripada datuk dan neneknya yang selama ini tidak pernah ditemuinya. Sebuah kisah tentang cinta yang hilang di bumi kelahiran, tapi ditemui pula cinta seorang lelaki milik Yuzer Taufik, di sebuah negara asing.

Tegas dalam keputusan dan berani menjejak kisah silam ibunya di sebuah negara yang tak pernah dijejakinya selama ini, Anum Dahlia menyamar sebagai seorang pelajar yang mahu membuat kajian tentang seni silat Melayu, membuatkan dia bertemu Tok Anjang, datuknya.

* ^ *

Penulis : Ezi Afiza
Judul : Diam-Diam Rindu
Harga : RM

Blurb:

Elisya, seorang gadis yang tabah. Dia cuba bangkit daripada kegagalan hidup semalam walaupun ada kalanya dia hampir-hampir berputus asa. Takdir menemukan dia dengan Amir, sahabat lama yang memberikan semangat untuk dia meneruskan hidup. Namun, sedang dia hampir meniti bahagia, Fikri muncul sekali lagi. Dia buntu. Antara Amir yang mula bertapak di hatinya dan Fikri, insan yang pernah dicintainya.

Dan bagaimana pula dengan Zarin, sahabatnya, yang pernah bertakhta di hati Amir? Antara cinta dan sahabat, mereka keliru dalam hidup. Antara cinta dan sahabat, ada kalanya mereka menidakkan perasaan masing-masing dan ada kalanya mereka membuat keputusan yang bertentangan dengan apa yang mereka rasa. Antara cinta dan sahabat, perlu dipilih satu antara dua.

* ^ *

Penulis : Nor Rafishah Md Hassan
Judul : Cinta Di Hati
Harga : RM

Blurb:

Merajuk dengan ayah sendiri, merajuk dengan gadis yang dicintai, Nashran nekad membawa hati. Di tempat orang, dia membina semangat baru dan belajar mengenali diri. Lebih daripada itu, dia menemui sebuah cinta baru. Pleurotus sajor-caju. Tetapi bahagia sebenar yang diimpikan masih jauh daripada genggaman tangan. Lalu, di manakah hendak dicari bahagia itu? Atau masihkah dia terlepas pandang pada kasih yang ada di hadapan mata?

* ^ *


Penulis : Sarnia Yahya
Judul : Cinta Adalah Cinta
Harga :

Blurb:

Aina tidak pernah menyangka yang cinta akan menyapa hatinya kembali, setelah cinta itu pergi bersama Hadi. Kehadiran Syed Harith menggugat perasaannya. Lelaki bermata hijau itu tidak pernah jemu dan lelah dalam cuba memikat janda muda yang tidak mahu mengakui cintainya. Tetapi kehadiran Lutfi Danish, berwajah Hadi, menggembirakan Hadirah yang merindui papanya.

Siapakah yang patut dipilihnya, tika hati sudah terpaut pada lelaki bermata hijau? Pilihan hati atau pilihan puterinya?Jika memilih Syed Harith, pasti Hadirah akan terluka. Jika Lutfi Danish menjadi pilihannya pasti hati Husnina tergores. Walaupun cinta kembali di hatinya, siapakah pilihannya tanpa melukai hati yang lain?

* ^ *

Penulis :
Judul : Aku, Dia & Cinta
Harga :

Blurb:

Antara mereka ada kenangan yang tersimpan. Mereka sering bersama dan sering bersaing antara satu sama lain. Namun, hanya kerana satu perkara, mereka hilang kenangan.Tisya, gadis selamba yang meminati bidang muzik. Impiannya mahu membuktikan yang muzik juga punya masa depan. Namun tanpa diduga keakraban itu telah memberikan rasa yang dia sendiri belum sedia merasainya. Ada yang menghalang dan ada yang menyokong. Adakah lagu cinta terus berkumandang?

Razen, pemuda yang langsung tidak mempercayai istilah cinta pandang pertama, tetap setia menanti gadis yang sememangnya telah tersimpan kemas di lubuk hatinya. Apakah dia harus menanti si dia yang entah di mana bayangnya atau menerima kenyataan yang dia sememangnya telah terkena panahan cinta pandang pertama?Inilah kisah aku, dia dan cinta…

* * * * * * *

KARNADYA

Judul : MATAHARIKU
Penulis : Aina Emir
Harga :

Sinopsis:

Syakirah, gadis biasa-biasa yang bertahi lalat di bawah bibirnya, sekalipun tidak sehebat seorang ratu, tetap istimewa. Keresahan jiwa telah menjadikan dia gadis ‘nakal’ yang menghabiskan masa di dunia fantasi ‘anime’. Dia juga menjadi ‘pakar mengurat’ di alam maya. Sekalipun umurnya sudah mencecah kedewasaan, namun cinta dan kasih sayang seorang lelaki tidak pernah berbunga dalam hidupnya.

Perkahwinan merupakan sesuatu yang menggerunkan, kerana nun jauh di lubuk hati, dia bimbang menjejaki ibunya dan tidak mahu dilabelkan sebagai gadis ‘materialistik’. Pun begitu, kehadiran Khair atau ‘Kai’ sejak remaja lagi, kini mula mengubahkan perasaannya. Kalau dulu dia tidak merasakan Kai itu menarik, kini dia tahu lelaki itu mampu menyinarkan hidupnya. Bukankah mereka serupa sahaja? Malangnya, tiba-tiba sahaja ombak deras datang memukul, lalu mengucar-ngacirkan hidupnya. Syakirah terkapai-kapai dan tidak tahu hendak ke mana. Tahu-tahu dia sudah terperangkap dalam sesuatu yang hampir dekat dengan igauannya!

Kehadiran lelaki yang berketurunan campur itu meresahkan lagi hidupnya. Mengapa dia harus hadir dan mengelirukan keadaan? Apakah kuasa yang dia ada untuk melemahkan semangat dan mengecutkan perut gadis yang kaya dengan keayuan asli itu?

“It’s all about going crazy… and doing crazy thing.” katanya lagi, “kerana kehadiranmu sinonim dengan cahaya matahari…”

* ^ *

Penulis : Nana Faiz
Judul : Takdir Yang Terindah
Harga :

Sinopsis:

Qistina Diyana, gadis manja ini hidup penuh ceria di samping Lynda dan Juraita, teman baiknya yang bermula di alam persekolahan. Namun, setelah meningkat awal dewasa, Qistina terpaksa melalui satu kehidupan yang tidak pernah terlintas di fikirannya.

Tatkala kasih yang dibajainya sedang berbunga terhadap Izwan Firhan, Qistina dipaksa supaya melupakan jejaka yang telah lama bertakhta di hatinya. Rahsia keluarga yang selama ini tersimpan rapi akhirnya tersingkap dan memaksa dia akur untuk memenuhi satu permintaan saudara kandungnya, apatah lagi apabila ianya berkaitan pengorbanan yang pernah dihulurkan Haikal Hakimi, sahabat baik abangnya itu. Pertemuan semula di antara Haikal menjadi satu kejutan buat Qistina kerana tidak disangkakan mereka pernah bertemu dalam satu kejadian salah faham.

Perancangan keluarga Qistina untuk menyatukannya dengan Haikal telah memulakan dan menimbulkan konflik dalaman di dalam dirinya. Apakah rahsia dan pengorbanan yang telah dilakukan Haikal Hakimi terhadap keluarga Qistina itu sehinggakan dia dipaksa menerima lelaki itu?

Mampukah dia melalui kehidupan bersama lelaki yang tidak dicintainya itu malah untuk berkongsi kasih dalam satu ikatan di antara suami dan isteri? Benarkah rasa cinta itu dapat dipupuk setelah terbinanya mahligai yang dia sendiri tidak pasti akan bahagianya?

* ^ *