Nov 30, 2011

KK: Cabaran 50 Buku : (40) Valentino Nervosa

Tajuk: Valentina Nervosa
pengarang: Nurul Syahida
terbitan: Buku Prima
harga: RM19.00 (sem M’sia) /RM22.90 (s&s)
ISBN: 9789670184371
muka surat: 517 halaman

Kata kulit buku:

Mariyyah tidak meminta banyak. Dia cuma mahu meluaskan perniagaannya dan mengahwini teman lelakinya Din yang telah bersama dengannya selama tujuh tahun. Namun apabila Din meminta mereka berpisah pada Hari Valentine, Mariyyah menyedari banyak yang perlu dia mulakan kembali. Sendirian menghadapi fobianya dengan Hari Memperingati Kekasih, dia harus menyelesaikan masalah temannya Faizah yang putus hati, Abang Aziz yang putus tunang dan Amer yang putus harapan. Menambahkan pening kepalanya, dia juga berdepan dengan pengkhianatan kawan baiknya Soraya dan pekerjanya Razif yang sukar difahami apatah lagi dikawal. Dengan semua kegilaan dalam hidupnya, dia tidak pasti sama ada dia putus cinta, jatuh cinta lagi atau hanya mahu bersendiri?

Kata KK:

Mariyyah seorang yang fobia dengan Hari Kekasih atau nama lain Valentino Nervosa. Hanya kerana putus kasih pada Hari Kekasih. Ia sebuah kisah bagaimana dia berjumpa dengan orang yang mengatakan padanya ada penyakit sumpahan lampu merah. Tidak lupa juga dengan isu dengan teman serumah,juga berkait dengan Hari Kekasih. Isu dengan kawan baik yang tersuka dengan abang yang buat dia jadi Valentino Nervosa. Tanpa disangka juga, bekas kekasih tersuka balik pada dia saat dia berjaya menghadapi fobianya. Cuma, siapakah yang jadi pilihan Mariyyah nanti?

DRAMA!

Satu perkataan yang boleh saya terangkan keseluruhan cerita ini. Penulis mengangkat isu Hari Kekasih. Budaya masyarakat melayu masih lagi meraikan Hari Kekasih sedang terang lagi bersuluh haram hukumnya meraikan Hari Kekasih. Cuma, mereka buat tidak peduli.

Perjalanan cerita terlalu panjang sehingga saya penat menanti apakah yang berlaku. Terlalu banyak monolog Mariyyah tentang fobianya dengan Hari Kekasih. Putus kasih memanglah perit tetapi sepatutnya janganlah dilayan sangat dengan perasaan itu. Putus kasih bukanlah segalanya tetapi belajar untuk kita merasa sakit seketika.

---
khaulah khalid

Ain : Cabaran 50 Buku : (42) Orang Miskin Dilarang Sekolah

Tajuk buku : Orang Miskin dilarang sekolah
Penulis : Wiwid Prasetyo
Keluaran : Global Aksara Communication Sdn. Bhd.
Halaman : 580 m/s

Ulasan Ain Sabrina :

Dari tajuk , sudah dapat kita imbas serba sedikit kisah dalam halaman buku ini. Kisah dimulakan dengan watak ‘aku’ , anak muda bernama Faisal , yang sudah di kelas tahun 3 di SR Kartini. Dia anak dari keluarga sederhana yang berkesempatan untuk ke sekolah. Dan dengan ilmu yang baru hijau itu , dia berimpian mengajak sahabat-sahabat yang tinggal di lading lembu untuk turut sama bersekolah. Namun jalannya tidak mudah. Mereka , Pambudi , Pepeng dan Yudi, anak miskin yang hidupnya kais pagi makan pagi , kais petang makan petang.

Namun hati anak miskin ini dahagakan ilmu. Lalu mereka berusaha ke arah itu. Memujuk dan menyakinkan ibu dan ayah mereka dan mereka sendiri menampung perbelanjaan sekolah mereka. Walaupun miskin , akhirnya mereka berupaya sekolah , dengan baju yang lusuh dah terkoyak di celah ketiak, bergalaskan beg guni, beralaskan selipar getah yang kaki nya penuh dengan debu lumpur. Lantas mereka seringkali di pandang hina di kelas mereka. Namun tidak semua begitu, ada yang menolong , namanya Kania, gadis cilik molek yang menarik hati muda mereka.

Turut sama diselitkan dalam novel ini , kisah penduduk-penduduk di Kampung Faisal , masih mundur dan masih percaya pada bomoh dan pawang yang hanyalah tiruan semata-mata. Juga dikisahkan tentang Faisal menjadi guru muda buat penduduk-penduduk tua di kampungnya , dia mengajar mereka mengira dan membaca.

Diakhirkan cerita dengan kisah perjuangan dan usaha gigih mereka untuk menghadapi peperiksaan akhir tahun. Dan ternyata ‘ happy ending’ apabila Faisal terpilih sebagai pelajar cemerlang. Namun pengakhiran sebenar bukan di situ kerana banyak lagi yang perlu ditempuh pelajar-pelajar SK Kartini secara amnya dan secara khusunya buat 4 sekawan ini , Faisal, Yudi , Pambudi dan Pepeng.


Komen Ain Sabrina :

Novel ini saya beli di saat motivasi belajar saya agak rendah. Saya tertekan dengan diri sendiri yang asyik malas jadi saya berkeputusan untuk ‘ambil angin’ di kedai buku Popular di KB Mall. Terpandang buku ini dan tajuknya , saya dapatkan rasakan buku ini boleh menaikkan semangat belajar saya dan dalam masa yang sama mensyukuri nikmat ‘dapat belajar’ yang saya ada.

Watak Faisal patut dipuji. Disaat dia bersahabat dengan Yudi , Pepeng dan Pambudi, dia tidak terpengaruh dengan mereka malah dia yang mempengaruhi mereka. Budak-budak , semangat bermainnya kadang-kadang lebih tinggi dari semangat belajar , namun berbeza bagi Faisal malahan dia berjaya pula mengajak sahabat yang lain untuk turut belajar. Semangatnya itu bukan hanya pada sahabatnya, juga turut pada penduduk kampung , sehinggakan dia sanggup menawarkan diri menjadi pengajar buat penduduk kampung.

Watak Pambudi , Yudi , Pepeng dan Kania juga perlu dipuji. Walaupun susah , pagi perlu bekerja kemudian ke sekolah , baliknya kembali bekerja, namun mereka tegar demi mencari sesuap ilmu. Semangat mereka mencari ilmu membuatkan saya sebagai pembaca termalu sendiri. Peluang belajar sudah ada di depan mata , duit tidak perlu berusaha atau meminta-minta kerana biasiswa sudah diberi kerajaan , jadi apa lagi masalahnya – hanya kuatkan tekad , belajar dan belajar. Namun saya ini , asyik melayan emosi dan rasa malas sahaja. Kecewa dengan diri sendiri pabila melihat semangat anak-anak miskin ini.

Dan kita sebagai rakyat Malaysia amnya patutnya bersyukur kerana keadaan kita tidak seteruk keadaan negara jiran. Majoriti anak-anak Malaysia semuanya bersekolah , paling kurang bersekolah hingga ke sekolah rendah. Namun kenapa kita masih leka , masih tidak berusaha. Di saat rasa malas menyelubungi , kita patut muhasabah diri kembali , syukuri nikmat diberi dan teruskan berusaha.

Dan saya suka falsafah yang diterapkan dalam novel ini :

“ Jangan takut untuk berimpian besar kerana orang yang tidak punya impian bererti tidak punya cita-cita dan masa depan “

---
Ain Sabrina

Ain : Cabaran 50 Buku : (41) Kemilau Mutiara Raudhah

Tajuk buku : Kemilau Mutiara Raudhah
Penulis : Saidatul Saffaa
Keluaran : Jemari Seni
Halaman : 616 m/s

Ulasan Ain Sabrina :

Ia dimulakan dengan kisah Jack atau nama sebenarnya Ahmad Izzat Mubasyir yang sudah terpesong jauh dari agama, solat bukan lagi jadi aktiviti harian malahan kelab malam jadi tumpuan. Namun sampai disitu saja kepesongannya, tidak sampai air syaitan diteguk mahupun dibawa perempuan ke bilik tidur. Ketenangan ingin dicari lalu dia akhirnya sampai ke Pulau Selasih yang membawa lembaran baru dalam hidupnya. Di sana dipertemukan dengan hidayah untuk kembali ke jalan Allah juga dipertemukan dengan bidadari bernama Raudhah.

Raudah digambarkan sebagai gadis muslimah yang cukup ciri muslimahnya juga tidak kurang dari segi paras rupanya. Wajahnya yang saling tak tumpah seperti gadis eropah seringkali menarik hati kaum adam untuk melamarnya. Namun dia tegas soal hati dan perasaannya sehinggalah redup mata itu membuatkan dia seakan lari dari prinsip hatinya.

Pertemuan pertama di Pulau Selasih tidak berakhir begitu sahaja. Asyik ada sambungan pertemuan sehinggakan Izzat tidak mampu lagi memendam rasa. Akhirnya kasih diluahkan namun tiada jawapan kasih dari bidadari hati. Namun siapa sangka , Allah perancang terbaik , walaupun seakan tiada pilihan , Izzat adalah pilihan terbaik buat Raudhah, begitu juga sebaliknya.

Hubungan halal sudah terjalin namun seakan ada sengketa yang masih belum pulih. Hubungan mereka dingin. Raudhah yang degil dan sukar memaafkan menjerutkan lagi perasaan Izzat. Sehinggalah satu peristiwa buruk berlaku yang menyedarkan Raudhah. Namun saat dia tersedar , Izzat sudah pergi demi mengejar niat menjadi syahid fisabilillah.


Komen Ain Sabrina :

Cerita ini banyak latar belakangnya , dari Malaysia ke Scotland , juga ke Palestin dan Israel. Terkesima saya memikirkan betapa jauhnya pengalaman penulis sehingga dia boleh menulis cerita dengan latar belakang begini.

Kisah ini seakan kisah klise, namun tetap saya suka. Klise bagi saya, adalah dari awal saya dapat kesan tunang Izzat itu adalah Raudhah dan begitu juga sebaliknya. Namun, kejutannya masih jelas dan ada , saat mereka mahu dinikahkan. Ada rasa kurang pasti di situ, risau pengantin lelaki bagi Raudhah adalah orang lain. ^^

Disaat Izzat menunggu Raudhah 2 tahun dan juga kisah kedinginan Raudhah terhadap Izzat selepas perkahwinan menginggatkan saya dengan kisah Adam & Hawa karya Aisya Sofea keluaran Alaf 21. Walaupun penantian Izzat tidak sehebat Adam , namun iras-iras nya masih ada. Dan kerana iras itu , saya seakan geram sangat dengan watak Raudhah yang agak degil. Watak Izzat ternyata nampak ‘charming’ di situ. Kesabaran Izzat membuatkan kita sebagai pembaca turut jatuh hati.

Watak Raudhah digambarkan sebagai gadis yang cantik dalam dan luar. Kecantikan luarnya digambarkan sebagai gadis eropah bermata hijau. Kecantikan luarannya nampak terlalu tinggi sehinggakan saya sebagai pembaca terasa sukar ‘to be in her shoes’. Wataknya saya bayangkan sebagai satu watak puteri dalam cerita –cerita dogeng. Cantik , mempersonakan tetapi ‘untouchable’ .

Selama penantian Izzat selama 2 tahun diisikan dengan perubahan diri Izzat menjadi yang lebih baik. Tetapi sayang , penulis tidak mengambarkan bagaimana dan apakah yang dilakukan oleh Izzat untuk berubah. Hanya diilustrasikan perubahannya disaat Izzat mendengar bacaan Al-Quran Raudhah. Akan lebih manis jika diilustrasikan dengan lebih jelas bagaimana ia berlaku , kerana ia turut boleh memberi inspirasi buat pembaca untuk turut juga berubah menjadi lebih baik sepertimana penulisan Hlovate.

---
Ain Sabrina

Ain : Cabaran 50 Buku : (40) Arjuna Mencari Cinta

Tajuk buku : Arjuna Mencari Cinta
Penulis : Adlinz Alexandria
Keluaran : JS Adiwarna
Halaman : 345 m/s

Ulasan Ain Sabrina :

Kisah ini berlatarbelakang zaman persekolahan dan menjadikan ia lebih menarik ia berlatarbelakangkan pelajar-pelajar sekolah agama. Dikisahnya pada awalnya kisah persediaan pelajar-pelajar tingkatan 5 untuk menghadapi SPM. Dalam pada persediaan itu , Nejad turut mengalas tanggungjawab sebagai ketua pelajar. Dia dibelenggu masalah-masalah sekolah dan salah satunya masalah adalah Nur Dalilah. Nur Dalilah , pelajar baru yang dilantik melalui undi untuk menjadi AJK Tertinggi Majlis Perwakilan Sekolah, yang memberontak apabila dipaksa menjadi ketua disiplin. Perdebatan seringkali berlaku sehinggakan akhirnya Nur Dalilah mengambil keputusan untuk mengalas tanggungjawab itu.

Watak Nejad yang berwibawa membuatkan ramai pelajar perempuan terpikat antaranya Siti Ezrina , penolong Ketua pengawas yang Nejad anggap sebagai TTM (teman tapi mesra). Namun siapa sangka , gadis pujaan ramai Vilma Faira , turut sama terpikat. Dari email , ke telefon bimbit hingga akhirnya mereka berani bersua muka. Nejad seakan lupa dengan tanggungjawabnya hanyut bersama kasih buat Vilma Faira.

Siapa sangka , kasih yang disangka ikhlas , ada niat buruk di sampingnya. Bagi Vilma Faira , ada dendam yang perlu dia tunaikan buat Nejad. Azamnya biar Nejad jatuh tersungkur. Siti Ezrina yang mengetahui cuba menyelamatkan keadaan.

Semuanya sudah terlambat , di saat kebenaran itu sampai , Nejad sudah hilang kawan , sudah hilang kewibaannya dan sudah tersasar jauh. Pencapaiannya dalam SPM ternyata tersasar jauh , terkesima , lama dia membawa diri. Sehinggalah tiba-tiba , Nur Dalilah muncul dalam ingatan dan Nur Dalilah dijadikan semangat untuk kembali ke jalan kejayaan.

Komen Ain Sabrina :

Kisahnya mudah, saya boleh habiskan novel ini dalam masa setengah hari. Kisahnya yang berlatarbelakangkan zaman persekolah boleh membuatkan pembaca terimbau zaman persekolahan masing-masing.

Saya suka watak Nur Dalilah. Walaupun dilahirkan dalam keluarga yang tidak senang , namun semangat belajarnya harus dipuji. Juga semangatnya turut dia turunkan buat sahabat-sahabat yang berdekatan antaranya Nejad. Kata-kata yang keluar dari mulut Siti Dalilah juga menunjukkan kematangannya.

“ Tuhan bukan macam manusia , selalu nak tunaikan apa saja hasrat orang yang disayangi secara membabi buta. Ustazah aku pernah beritahu , kegagalan juga salah satu bentuk kasih sayang Allah pada kita. Orang yang tak pernah gagaltentu tak tahu erti sebenar kejayaan. Bayangkan kalau di dunia ini hanya ada matahari. Tentu kita tak tahu bagaimana rupa bulan. kalau tidak ada neraka, tentu tidak ada syurga. Tentu ada hikmahnya engkau dapat keputusan yang tidak cemerlang." – Nasihat Nur Dalilah buat Nejad-

Watak-watak lain seperti Nejad dan SitI Ezrina , adalah watak biasa pelajar sekolah. Ada keinginan untuk mencintai dan dicintai sedangkan usia masih hijau. Cinta di zaman sekolah adalah cinta monyet semata-mata. Kebanyakkannya tahu tetapi sengaja butakan hati hanya kerana ingin melayan rasa hati itu. Dan terbukti dalam novel ini ,bahana cinta monyet itu. Kecewanya sehinggakan peperiksaan terjejas teruk dan kesannya sehinggakan putus kawan dan cederakan orang. Semua antara kita ada pendapat dan pengalaman masing-masing , yang pasti salah satu mengakui cinta monyet ini adalah cinta sia-sia.

Dan watak Sufi , sahabat Nejad patut dipuji. Dia berusaha menyedarkan sahabatnya walaupun hasilnya tidak menjadi , usaha itu patut dipuji. Sahabat , ikatannya lebih utuh selepas pertelingakan dan kesatuan bersama di kala susah mahupun senang.

Usaha Nejad untuk berjaya selepas kecundang juga boleh dipuji. Bukan mudah untuk kembali bangkit selapas kegagalan. Ia lebih sukar apabila sahabat-sahabat sekeliling sudah berjaya ke menara gading sedangkan kita masih di takuk lama. Ia perlukan keazaman dan kekuatan yang tinggi. Itu yang ada dalam diri Nejad dan turut dibantu sahabat yang seringkali memberi semangat, Siti Dalilah.

---
Ain Sabrina

AMAL : Cabaran 50 Buku (24) : Motivasi Alihan Pelajar

Tajuk Buku: Motivasi Alihan Pelajar
Penulis : Tengku Asmadi
Penerbit: PTS Millennia Sdn. Bhd
Muka Surat : 246

Ulasan

“Pelajar biasa melihat peluang. Pelajar gagal mensia-siakan peluang. Pelajar berjaya merebut peluang. Pelajar hebat mencipta peluang.” Kata-kata semangat yang diletakkan di hadapan kulit buku inilah yang menarik saya untuk mendapatkan buku ini. setelah membacanya, saya teruja dan bersemangat untuk melaksanakan sebagaimana yang diajar oleh Tengku Asmadi di dalam buku ini. saya pasti akan mengulangi membacanya apabila saya merasa kurang bersemangat atau malas belajar bagi mengembalikan semangat saya. Terima kasih kepada Tengku Asmadi kerana membuka mata saya ke arah kecemerlangan.

Buku “Motivasi Alihan Pelajar” ini sangat membantu mereka yang masih bergelar pelajar tentang cara-cara belajar yang betul, cara membuat nota, cara menguruskan masa, cara mengulangkaji pelajaran dan persediaan menghadapi peperiksaan. Selain itu, penulis juga menyedarkan pembaca tentang masalah yang sering berlaku dalam kalangan pelajar.

Buku terbitan PTS Millennia ini perlu dimiliki oleh setiap pelajar. Bukan sekadar membaca sahaja tetapi mengamalkan ilmu-ilmu yang dikongsikan oleh Tengku Asmadi yang juga merupakan pengasas kursus Motivasi Alihan Pelajar. Sedikit sebanyak, ilmu ini dapat membantu pelajar meningkatkan prestasi mereka.

Kata-kata Semangat Pilihan

• Semua pelajar boleh cemerlang dalam apa jua yang dipelajarinya, asal sahaja sanggup memberikan cukup masa bagi menguasinya.
• Masa lebih berharga daripada emas. Ia adalah degupan jantung kita. Ia juga kehidupan kita.
• Peperiksaan bukan pengukur kebijaksanaan tetapi ia pengukur disiplin, sikap dan kemahuan.
• Pelajar hebat menyimpan seribu alas an dan mencari seribu jalan.
• Apabila anda sudah bersedia bagi kecemerlangan, bermakna anda sudah pun menang separuh daripada perjuangan


Kulit Belakang Buku

Kenapa ada pelajar lebih berjaya berbanding pelajar yang lain? Apakah yang bermain dalam fikiran mereka? Bagaimana mereka mengatur kehidupan? Bagaimana pula mereka mengatasi masalah harian? Adakah kejayaan itu hanya milik mereka yang mempunyai tahap IQ yang tinggi sahaja? bagaimana ada pelajar yang dapat belajar dan mendapat 17A1 dalam peperiksaannya? Adakah semua ini suatu kebetulan ataupun memang wujudnya satu jalan? Buku ini ditulis bagi menjawab pelbagai persoalan yang wujud dalam diri pelajar.


---
Nur Amalina

NieSaa : Cabaran 50 Buku : (05) Bidadari Hujan

Bidadari Hujan Oleh Noor Azzahra

Terbitan : Jemari Seni.
ISBN : 9789675118340
Tahun Terbitan : 2010
Harga & Muka Surat : RM 20.00, 508 m/s


Naskah ini dikisahkan dari sisi seorang lelaki bernama Raimy Haidar yang berharap dapat bertemu dengan gadis impiannya 'Bidadari Hujan'. Bertemu dengan Qamalia, bagi Raimy...Qamalia adalah bidadari hujan yang di carinya selama ini.

Namun, harapan untuk hidup bersama Qamalia punah apabila ibubapanya meminta dia memperisterikan Sufi. Lalu, Raimy bertindak menyakiti hati Sufi dan Sufi sentiasa bersikap tenang dan sabar melayani karenah Raimy. Sebaliknya Raimy merasa hairan, bagaimana Sufi boleh bersabar dengan tingkah lakunya yang sentiasa menyakitkan hati.

Kemalangan yang meragut nyawa kedua ibubapa Sufi membuat dia berubah sikap. Kalau selama ini, Raimy merasa Sufi yang telah merampas kebahagiaannya, dia silap...Sufi lebih menderita. Diari Sufi menyingkap rahsia hati Sufi... Perasaan dendam dan benci di hati Raimy bertukar kepada rasa kasih dan cinta.

Namun lain pula bagi Sufi, pemergian ibubapanya bermakna dia perlu beralah kerana tiada lagi hati yang perlu dijaga.


Luv,
NieSaa

NieSaa : Cabaran 50 Buku : (04) Agenda Yahudi Menakluk Dunia

Agenda Yahudi Menakluk Dunia Oleh Sabaruddin Hussein
Terbitan : PTS Islamika
ISBN : 9789675137853
Tahun Terbitan : 2010
Harga & Muka Surat : RM 17.00, 213 m/s

‘Rahsia Di Sebalik Rahsia’

NieSaa sering tertanya-tanya :

-Siapakah Yahudi?
-Kenapa kaum Yahudi merasakan, mereka adalah kaum paling mulia...
-Apakan agenda dan cita-cita Yahudi?

Soalan-soalan ini membuatkan NieSaa tidak teragak-agak untuk memiliki buku ini. Naskah ini mengandungi sejarah kaum Yahudi, era perpindahan Yahudi ke Amerika Syarikat, pengaruh Yahudi di White House, kejadian-kejadian penting yang melibatkan Yahudi dalam kekecohan dunia dan matlamat sebenar Yahudi. Turut di sertakan 24 protokol Yahudi.

Di rumuskan sedikit tentang pengaruh Yahudi di White House. Yahudi telah membina satu pakatan rahsia dalam menerajui White House dan President Amerika Syarikat hanyalah sekadar boneka. Semua keputusan adalah dari pakatan Yahudi. Jika President A.S membantah, mereka akan menerima nasib yang sama dengan President Abraham Lincoln dan President John F. Kennedy, kematian mereka penuh misteri.

Juga tentang peperangan dan kekacauan seluruh dunia adalah dari perancangan Yahudi. Yahudi mencipta peperangan dan menggambarkan A.S sebagai pendamai yang menyatukan. Malah, Yahudi juga mencipta sebuah Bank Dunia untuk membantu negara-negara yang terlibat dalam kancah peperangan dan kemudian membebankan negara tersebut dengan kadar interest yang berlipat kali ganda.

Bangsa Yahudi 'latnatullah' juga sanggup membunuh bangsanya sendiri untuk mencapai cita-citanya. Naskah ini sangat berjaya menambahkan rasa benci NieSaa pada kaum yang paling hina di sisi Allah swt ini.


Luv,
NieSaa

NieSaa : Cabaran 50 Buku : (03) Kalimah Jiwa

Kalimah Jiwa Oleh Haiza Najwa

Terbitan : Alaf 21
ISBN : 9789831244258
Tahun Terbitan : 2009
Harga & Muka Surat : RM 19.90, 507 m/s

‘Aku Menanti Janjimu Di Tengah Lautan Resah’

Kalimah Jiwa merupakan novel yang telah lama berada di rak buku NieSaa. Selama ini, NieSaa sangkakan naskah ini kurang menarik. Namun, tekaan NieSaa amat meleset sekali sehinggakan apabila NieSaa mula membuka helaian pertama novel ini, sukar untuk NieSaa lepaskannya.

Novel ini mengisahkan Ifliany yang di benci ayah kandungnya sendiri kerana menyangkakan dia adalah anak yang tidak sah taraf apabila ibunya dirogol. Ayahnya sering mencari peluang untuk memperkosanya. Tetapi Ifliany bijak menyelamatkan diri.

Sehinggalah Ifliany berjaya ke menara gading dan bertemu dengan Fahren yang di harap dapat mengubah kehidupannya. Ifliany mengahwini Fahren kerana cinta dan terjerat dengan manusia yang bertopengkan syaitan itu. Fahren merupakan bapak ayam dan melacurkan Ifliany, isterinya sendiri.

Ifliany dikurung dalam sebuah banglo milik Fahren dan diarahkan melayan para pelanggan dari golongan politik dan korporat dengan bayaran RM 25 ribu untuk satu malam. Namun, Ifliany bijak memanipulasikan keadaan dan sentiasa berdoa supaya dia dapat keluar dari tempat yang penuh dosa itu. Sehingga malam yang ke 1001, Ifliany dilanggan oleh sepupu Fahren sendiri, Naqlis seorang peguam ternama. Naqlis sebenarnya mahu membongkar kerja kotor Fahren. Ifliany diselamatkan.

Namun, untuk memberi Fahren menerima ganjaran yang setimpal bukan perkara yang mudah, Ifliany seorang pelacur suci, selama 1001 malam dia dikurung dan dilanggan tanpa disentuh, Fahren hanya dipenjara dalam tempoh yang singkat dan bersumpah akan membalas dendam terhadap Ifliany dan Naqlis.


Luv,
NieSaa

NieSaa : Cabaran 50 Buku : (02) 5005 Senyum - Himpunan Kisah-kisah Lucu - Siri 5

5005 Senyum - Himpunan Kisah-kisah Lucu - Siri 5 Oleh A.K Alang Jaafar

Terbitan : Darul Nu’man
ISBN : 9830461599
Tahun Terbitan : 1997
Harga & Muka Surat : RM 10.00, 217 m/s

5005 Senyum : Himpunan Kisah-Kisah Lucu merupakan buku terbitan Darul Nu’man, menghimpunkan kisah-kisah lucu pada zaman dahulu yang benar-benar berlaku.

Secara jujurnya, bagi pendapat saya, kisah-kisah didalam naskah ini kebanyakannya tidak mencuit hati saya. Saya sendiri tidak tahu kenapa… Antara kisah yang terkandung dalam naskah ini, kisah Nabi Zakaria a.s yang lari dari pakatan yang ingin membunuhnya. Lalu, Nabi Allah Zakaria bersembunyi di dalam sebatang pokok. Lantas, kaum yang mahu membunuhnya itu mengergaji pokok tersebut. Nabi Zakaria cuba untuk menjerit kesakitan dan Allah s.w.t berkata, sekiranya Nabi Zakaria tidak dapat menahan sakit, nama nabi Zakaria akan dipadamkan dari senarai nama-nama nabi. Maka, Nabi Zakaria pun diam menahan kesakitan sehingga mata gergaji tersebut membelah tubuh Nabi Zakaria kepada dua bahagia. Kisah ini sedih dan ngerikan…

Walau bagaimanpun, buku ini amat sesuai untuk bacaan santai.


Luv,
NieSaa

NieSaa : Cabaran 50 Buku : (01) Syahadah Gadis Ateis

Syahadah Gadis Ateis Oleh Imran Haaz
Terbitan : PTS Islamika
ISBN : 9789675137648
Tahun Terbitan : 2010
Harga & Muka Surat : RM 16.00, 377 m/s


"Semua orang bercakap mengenai Tuhan. Tuhan itulah, Tuhan inilah. Semua orang mahu saya menyembah Tuhan. Tetapi, saya tidak akan menyembah Tuhan yang saya tidak kenal dan nampak. Buktikan Tuhan itu ada!"

Naskah ini amat menarik. Dimana, ia membahaskan tentang agama dengan bahasa yang santai dan mudah difahami. Kisah bermula, pertemuan Nizam, pemuda berpewatakkan ala rocker yang hanya berselipar membawa sebuah gitar kapok dan Rini gadis melayu lepasan universiti tempatan yang dalam perjalanan ke rumah mak ciknya di Pulau Pinang.

Sepanjang perjalanan, Nizam diasak dengan soalan-soalan tentang ketuhanan dan kerohanian oleh Rini yang kurang didikan agama. Rini sering memperlekehkan Islam. Antara soalan-solan yang dikemukakan oleh Rini :

-“ Mengapa saya perlu menyembah Allah?”

- “Saya tidak akan menyembah Tuhan yang saya tidak nampak. Buktikan Allah itu ada!”

- “ Jika Allah maha penyayang, mengapa orang kafir dibakar selama-lamanya di dalam neraka?”

Namun, dengan kekuasaan Allah s.w.t, Nizam diberikan ilham dan kebolehan untuk menghuraikan soalan – soalan yang diberikan oleh Rini dengan tenang dan berhemat. Rini kemudian mengakui, dia ke Pulau Pinang sebenarnya mahu bertemu dengan paderi Josiah.

Naskah ini sangat bagus untuk dibaca oleh semua orang Islam bagi memahami konteks pengertian tentang islam dan kepercayaan kepada Tuhan serta sesuai untuk rujukan mereka yang ingin atau baru memeluk islam.

Luv,
NieSaa

Nov 29, 2011

MB : Cabaran 50 Buku : (49) Kasino

Judul : Kasino
Penulis : Saifullizan Tahir
Terbitan : Buku Fixi
ISBN : 978-967-10384-4-4



1. Tak sering kita (saya) dapat membaca sebuah novel yang ditulis penuh dengan kejujuran.

2. Entah, tapi itu yang saya rasakan usai membaca novel Kasino, jujur dalam maksiat, jujur dalam perkara dosa yang dibuat.

3. Satu yang membuatkan saya suka kepada Kasino adalah aliran saspens dan debaran yang diwujudkan di dalamnya. Ia simple, senang, tapi menjadi.

4. Berkisah tentang seorang Dato, yang berhutang sekian jumlah wang, yang terpaksa membayarnya kembali dalam sekian tempoh hari yang ditetapkan. Mudah. Jalan ceritanya sangat mudah.

5. Setiap bab mewakili satu hari yang dilalui Dato tersebut dalam usaha mencari wang bagi membayar hutang tersebut. Satu bab ke satu bab, hari demi hari diceritakan sehingga pembaca merasakan tekanan sama seperti Dato tersebut apabila menghampiri hari terakhirnya (bab terakhir) untuk melangsaikannya.

6. Bagi yang telah membacanya, pasti akan terkesan dengan watak utamanya. Dato Mohd Narcissus Yussof. Seorang usahawan yang berpengaruh, suka minum arak, main perempuan, sesekali berjudi, dan kuat sembahyang (fardhu dan sunat).

7. Namanya sahaja telah unik. Ditambah pula dengan personalitinya di dalam novel ini, ia bakal menjadi antara watak yang boleh kekal lama dalam ingatan saya sebagai pembaca.

8. Akan ramai yang bertanya tentang watak ini. Lepas meneguk arak, dia solat. Sesuatu yang pelik, janggal dan ironik sekali. Tapi saya merasakan persekitaran yang telah menjadi watak ini sebegitu, seperti yang dinyatakan penulisnya.

"Sejak hari itu, aku kurang bertanya. Semua yang aku mahu tahu aku cari sendiri dari buku-buku. Masa aku kecil dulu mana ada Google. Benih kesangsian aku kepada masyarakat berputik pada hari itu." ms 79

"Semenjak dari hari itu juga aku kurang percaya dengan ustazah-ustazah, ustaz-ustaz, tok guru-tok guru, malahan semua orang yang mengaku tahu tentang agama. Bila mereka tak dapat jawab, mereka marah kita balik. Salahkan kita, kononnya nak ikut Yahudi. Bodoh." ms 79

9. Bercakap mengenai sebuah naskhah yang jujur, apa yang saya maksudkan adalah tentang cara penulis menvisualkan setiap wataknya, terutama watak hero. Ideologi, pemikiran, fahaman, mazhab hidup, serta pegangan watak tersebut haruslah benar-benar diri watak itu, bukan sekadar penulis menyalin semula fikirannya ke dalam setiap watak yang diciptakan dalam sesebuah novel itu. Yang bila disusun-susun kembali, watak-watak tersebut akan membentuk diri penulis itu akhirnya. Yang mana kesannya, watak-watak itu bagai robot yang hidup dalam kematian. Tidak punya kebebasan dan kemerdekaan dalam menentukan perjalanan hidupnya sendiri.

10. Kenapa Kasino? Kerana Dato Narcissus punyai falsafah bahawa kehidupan ini adalah satu perjudian. Kita duduk dalam satu permainan judi, risiko menang kalahnya adalah 50-50. Tak ada pilihan lain, terpaksa teruskan mainan dan berharap untuk menang. Kalau kalah, beralih pula ke satu lagi permainan yang baru.

"Begitulah kehidupan, pilihan, bagai perjudian, banker atau player?" ms 241

11. Kerana itu juga penamatnya bagaikan tidak menoktahkan segala cerita yang telah dimulakan. Kerana hidup bagai perjudian, Dato Narcissus telah menamatkan satu game dan akan meneruskan pula game seterusnya. Yang dia perlu membuat pilihan lagi, berjudi lagi.

12. Namun novel ini agak 18 tahun ke atas juga. Sediakan minda, bukakan ruang fikir supaya dapat menekuni novel Kasino ini dengan semaksima mungkin. Selamat membaca.

---
Melihat Buku

KK: Cabaran 50 Buku : (39) Kasih Benar Kasih

Tajuk : Kasih Benar Kasih
Pengarang: Aleya Anesa
Terbitan: Alaf 21 Sdn Bhd
Halaman: 550 muka surat
ISBN: 978-983-124-668-9
Harga: MYR21.00

Kata Kulit Buku:

Mereka saling tak kenal tapi disuruh berkenal-kenalan. Jika sesuai boleh terus melangkah, jika tidak, tarik saja diri. lalu, mereka mencuba dengan alasan 'dia kosong, aku pun kosong'>

Pertama kali bersua muka, Annura berasa jengkel sedangkan Dinzley bersikap ala-ala kelaki tak berperasaan. Sudahnya seorang ke utara dan seorang ke selatan. Hati mereka tak bertemu dititik yang sama. Namun masing-masing tak pernah mengatakan 'tidak' sehingga banyak pihak menyangka diam itu tanda setuju.

Sampai masa, mereka benar-benar tak mampu berkata 'tidak' bila melihat wajah-wajah penuh harap. Saat sedar mereka tak mungkin berpaling lagi, cubaan demi cubaan dilakukan untuk menembusi hati masing-masing. Paling penting, mereka tak dilabel sebagai pasangan kahwin paksa, tapi kahwin atas tiket suka sama suka. Orang tua hanya talian hayat semata-mata.

Ketika sedar ada sesuatu berdetak setiap kali mata bertentang mata, muncul Syirin menagih janji lama. Sudahnya, janji baru terpaksa Dinzley mungkir walaupun Annura sudah ternampak bayang-bayang pelamin nan indah.


Kata KK:

Muka depan kulit buku ini sangat menarik dan manis. Buat saya tertarik untuk membelinya lagi-lagi bila membaca sinopsis di belakang kulit buku.

Awal-awal cerita lagi mereka sudah bersua muka. Dinzley tiba-tiba sahaja bersetuju untuk berkenalan dengan Annura. Annura pula hanya menerima. Perjalanan cerita ini lancar sahaja. Suka dengan watak Annura. Cuma hati Dinzley sukar untuk dibaca kerana AA tidak banyak mengolah perasaan hati Dinzley. Saya tidak mengerti apa yang bermain dalam hati Dinzley.

Konflik kecil timbul bila Syirin muncul. Sebab Syirin timbul masih belum kukuh tetapi apakan daya kalau sudah cinta. Cinta menyebabkan dia buta. Dinzley pula tidak mempertahankan rasa sayang pada Annura menurut kemahuan Syirin. Tanpa sedar dia telah melukakan hati Annura.

Untuk keseluruhan, KBK masih belum capai kecomelannya seperti muka depan.

---
khaulah khalid

AMAL : Cabaran 50 Buku (23) : 444 Doa Pilihan

Tajuk Buku : 444 Doa Pilihan
Penulis : Mohd Nazri Din
Terbitan : Soul Excellent Training & Consultancy
Muka Surat : 218

Ulasan

Buku terbitan Soul Excellent Training & Consultancy ini mempunyai himpunan doa yang boleh diamalkan oleh pembaca. Doa-doa yang dikongsikan oleh penulis bersumberkan al-Quran dan Hadith yang dipercayai kesahihannya dan boleh diamalkan tanpa keraguan.

Doa-doa dalam buku ini dibahagikan kepada 5 bab iaitu:
Bab 1 : Doa para nabi dan orang soleh
Bab 2 : Doa pengiring solat
Bab 3 : Doa pengiring aktiviti ibadah
Bab 4 : Doa pengiring rutin harian
Bab 5 : Doa pada kejadian-kajadian tertentu

Penulis juga menyelitkan waktu-waktu mustajab untuk berdoa dan orang-orang yang mustajab doanya. Buku “444 Doa Pilihan” sangat sesuai untuk semua peringkat dan ia juga sesuai untuk di hafal kerana doa-doa yang disediakan oleh penulis ringkas, pendek, mudah di baca dan disertai dengan terjemahannya.


Doa Pilihan 1

Doa Mohon Rezki

"Ya Allah, Tuhan kami! Turunkanlah kiranya kepada kami satu hidangan dari langit, untuk menjadi hari raya bagi kami, iaitu bagi kami yang ada hari ini dan bagi orang-orang kami yang datang kemudian, dan sebagai satu tanda (mukjizat) daripadamu (yang menunjukkan kebesaran dan kekuasaanMu); dan kurniakanlah rezeki kepada kami, kerana Engkau jualah sebaik-baik pemberi rezeki". (Surah al-Maidah : 114)

Doa Pilihan 2

Doa Mohon Keturunan Yang Baik

"Wahai Tuhan kami, berilah Kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara Yang menyukakan hati melihatnya, dan Jadikanlah Kami Imam ikutan bagi orang-orang Yang (mahu) bertaqwa". (Surah al-Furqan : 74)

Belakang Buku

“Tak ada yang dapat mengubah takdir selain doa”. Demikian penegasan Rasulullah s.a.w tentang pentingnya amalan berdoa dalam kehidupan seseorang muslim. Oleh itu, kita dapati al-Quran dan as-Sunnah sarat dengan pelbagai doa yang boleh diamalkan untuk memenuhi pelbagai hajat dan keperluan. Baik keperluan duniawi mahupun ukhrawi.

Buku ini menyajikan ratusan doa pilihan yang pernah dibaca oleh para nabi, sejak Nabi Adam a.s sehingga Nabi Muhammad s.a.w. Pastilah semua doa yang dimuatkan dalam buku ini mustajab dan mujarab.

---
Nur Amalina

XX : Cabaran 50 Buku : (36) Masih Ada Rindu

MASIH ADA RINDU
Penulis : Mimie Afinie
Halaman : 432
Harga : RM 17.00
Terbitan : Alaf 21
Cetakan 1, 2 - 2004
Cetakan 3, 4 - 2005
Cetakan 5 - 2006

Secara ringkas :

Syafika sanggup dibuang ibunya demi mengahwini Hakim. Mujur bapanya tidak seperti ibunya bapanya sendiri yang menjadi wali dalam pernikahannya. Bagi ibu Syafika dia mahu anak-anaknya tamat pengajian dulu sebelum berkahwin menggengam segulung ijazah itu penting baginya! Tapi Syafika terpaksa memilih antara lamaran Hakim atau mengikut perintah ibunya. Dan akhirnya Syafika memilih menerima lamaran Hakim dan dibuang ibunya. Dia sendiri tak tahu kenapa dia bertindak sedemikian, mungkin sudah tiba jodohnya dengan cara begitu. Syafika redha.

Syafika bernasib keluarga mertuanya melayaninya dengan baik sekali seperti dia anak keluarga tu sendiri bukan sebagai menantu. Syafika bahagia dengan kehidupannya bersama Hakim. Terasa hidupnya bahagia walaupun kadang-kadang hatinya menangis mengenangkan ibunya yang masih enggan menerimanya.

Tapi langit tak selalunya cerah. Hakim dijemput illahi ketika mereka sedang berbulan madu. Kenangan yang sepatutnya menjadi kenangan terindah mereka bertukar menjadi sebaliknya. Syafika di uji lagi dengan berita kehamilannya. Syafika juga insan biasa yang kadang-kadang lemah. Dia tak mampu menerima kenyataan tersebut tetapi akhirnya dia bangkit juga demi anak yang dikandungnya.

Setelah kematian Hakim, Hadi abang kepada Hakim pulang ke Malaysia dan jatuh hati kepada Syafika. Sepanjang tempoh Syafika hamil Hadi lah yang menjaganya bukan kerana simpati tapi kerana sayang! Dia sayangkan Syafika dan dia ingin melindungi Syafika dan Adam, anak Syafika dengan Hakim.

Akhirnya Hadi memberanikan diri melamar Syafika. Syafika menerimanya setelah lama berfikir tapi sayang kepercayaan yang Syafika beri kepad Hadi telah dikhianati. Syafika bencikan Hadi lalu keluar dari rumah itu. Hadi menyesal dengan perbuatannya tapi Syafika masih tidak mahu memaafkannya.

Muncul pula Imran di antara mereka, Imran yang meminati Syafika dari dulu lagi berterus-terang. Syafika terpaksa membuat pilihan antara Hadi atau Imran. Hadi dah khianati kepercayaannya. Tanpa dia sedar sepanjang tempoh perpisahan mereka masih ada rindu buat Hadi tapi pilihan harus dibuat. Hadi atau Imran?


Komen saya :

Masih Ada Rindu karya kedua penulis Mimie Afinie. Karya pertamanya adalah Bisikan Rindu. Saya tak pernah baca lagi jadi saya tak tau corak penulisannya bagaimana. Tapi bila saya baca Masih Ada Rindu boleh dikatakan penulis memang berbakat. Sebabnya cerita nie lari dari tema yang kita selalu baca dan sangat menarik!

Elemen kekeluargaan banyak dimasukkan dalam cerita nie walaupun tema utamanya adalah percintaan. Memang melelehlah air mata baca cerita nie, tambah-tambah bila bahagian Hakim meninggal dunia. Fuh, laju air mata nie turun… kesiannya Syafika jadi janda diusia yang sangat-sangat muda. Menambah pilu lagi saat dia disahkan mengandung setelah kematian suaminya. Tapi Syafika digambarkan sebagai wanita yang tabah walaupun pada mulanya hidupnya terumbang-ambing selepas kematian suaminya Hakim.

Watak Hadi sebagai hero kedua sangat menjadi! Walaupun Hadi adalah abang kepada Hakim tapi dia menaruh minat kepada Syafika. Dekat sinilah yang saya rasa lain dari yang lain. Jarang kita baca cerita yang hero atau heroinnya ‘salin tikar’. =) Fahamkan. Selalunya kalau hero pertama mati hero kedua mesti orang lain tapi dalam cerita nie hero tu iparnya sendiri. Agak unik di ditu.

Jalan ceritanya pun tak terlalu meleret disamping isu-isu semasa turut diselitkan. Dari situ banyak jugak pengajaran yang boleh kita dapat. Contohnya, kes sumbang mahram dalam kalangan masyarakat kita yang semakin berleluasa kini. Dan lain-lain lagi.

Kesimpulannya cerita nie sangat menarik dan tak membosankan. =)

XX Quotes : Masih ada rindu memang patut ada dalam koleksi novel kita. Jujur cakap nie. =)

---
Xana

XX : Cabaran 50 Buku : (35) Ombak Rindu

OMBAK RINDU
Penulis : Fauziah Ashari
Halaman : 563
Harga : RM 19.90
Terbitan : Alaf 21
Cetakan 1, 2, 3 - 2002
Cetakan 4, 5, 6 - 2003
Cetakan 7, 8 - 2004
Cetakan 9, 10 - 2005
Cetakan 11, 12 - 2006


Secara ringkas :

Izzah gadis yatim piatu yang tinggal bersama bapak saudaranya dan hidupnya tak sebahagia teman sepermainannya yang lain. Dia terpaksa dewasa lebih awal walaupun dia hanyalah seorang kanak-kanak. Maki hamun dan sepak terajang dari Taha, bapa saudaranya dah jadi makanannya. Izzah dah lali dengan semua tu. Izzah tak pernah berfikir untuk lari dari keluarga saudaranya yang kejam tu sehinggalah peristiwa di jual kepada Kevin, seorang bapak ayam.

Kesengsaraan Izzah tak tehenti di situ saja. Mahkotanya sebagai gadis diragut dengan cara yang dia tak rela dan lelaki bernama Hariz penyebabnya! Izzah merayu kepada Hariz supaya menyelamatkannya. Dan sekali lagi Izzah di jual kepada Hariz pula. Izzah seolah-olah barang dagangan.

Hidup dengan Hariz sama saja bergelumang dengan dosa kerana itu Izzah merayu supaya dia dikahwini dan dia rela haknya sebagai isteri diketepikan. Dia sanggup berbuat demikian demi membela secebis maruahnya yang masih tertinggal. Perkahwinan yang berat sebelah akhirnya terjadi antara Izzah dan Haris. Dan perkahwinan itu menjadi rahsia mereka berdua.

Izzah mula menaruh hati pada Hariz pada Izzah, hanya Hariz yang dia bergantung harap cuma layakkah dia menyintai Hariz? Sedangkan dirinya sendiri pun Hariz yang beli… Datuk Sufiah iaitu ibu Hariz pula menjadi penghalang antara mereka berdua. Tak kurang jugak Mila Amylia seorang pelakon popular yang sentiasa mahukan Hariz sehingga mereka berdua berkahwin.

Bagaimana pula nasib Izzah? Tak terbelakah haknya sebagai seorang isteri yang sah? Adakah Izzah memang ditakdirkan tak mengecapi bahagia bersama Hariz? Sama-sama kita ketahui dalam Ombak rindu!


Komen saya :

Sangat-sangat mengasyikkan baca Ombak Rindu nie. =)

Fauziah Ashari memang tak pernah hampakan peminatnya. Ombak Rindu memang cerita yang penuh romantis, kekeluargaan dan pengorbanan. Semuanya diadukkan dalam satu cerita dengan baik sekali hinggakan sebagai pembaca boleh terkesan dek setiap ayatnya.

Penulis bijak membawa kita merasai keperitan hidup Izzah yang menumpang di rumah bapa saudaranya yang kejam dan bengis itu. Kita akan turut sama rasa simpati pada Izzah bila dirinya dijual kepada bapak ayam. Tak habis di situ penderitaannya. Dia dijual pula kepada Hariz seorang lelaki yang Izzah bergantung harapan supaya dapat keluar dari tempat maksiat itu. Harga dirinya seolah-olah boleh dinilai dengan wang ringgit. Wah, sangat menyedihkan kisah hidup Izzah ibarat terlepas mulut buaya masuk pulak mulut harimau.

Hidup dengan Hariz pun tak jauh beza dengan hidup bapak saudaranya sepak terajang tu Izzah dah hadam. Sampai macam tu sekali perumpamaannya. Konfliknya memang banyak. Lepas satu, satu pulak Izzah terpaksa hadap. Tapi konfliknya dihuraikan dengan baik sekali.

Tapi bila Izzah dah happy dengan Hariz. Kita pun sama-sama akan happy sampai tersenyum-senyum. Kadang-kadang tu kita pulak yang lebih over happy dari watak dalam novel tu… haha. Tapi semua tu menunjukkan penulis berjaya menghidupkan watak dengan baik sekali tak kira lah watak protagonist atau antagonis! Dua-dua menjadi. Watak Datuk Sufiah dan Mila Amylia yang diwujudkan sebagai perasa tambahan cerita nie benar-benar hidup!

Memang best. Rasa enjoy ja baca. Rasa macam kita pun ‘termasuk’ jugak dalam novel nie.

XX Quotes : Sangat-sangat tak rugi kalau beli. Memang best! Tapi kalau saya novel Fauziah Ashari memang wajib ada. =) Mesti ramai dah tak sabar tengok novel nie versi filem kan?

---
Xana

XX : Cabaran 50 Buku : (34) Pergilah Sepi

PERGILAH SEPI
Penulis : Fauziah Ashari
Halaman : 325
Harga : RM 12.00
Terbitan : Alaf 21
Cetakan 1, 2, 3, 4 - 2001
Cetakan 5, 6 - 2003
Cetakan 7, 8 - 2004
Cetakan 9 - 2005
Cetakan 10 - 2006


Secara ringkas :

Mengisahkan tentang Afiqah seorang gadis yang tidak menginginkan Syafiq sebagai teman hidupnya. Tapi apakan daya, jodoh maut ditangan Tuhan dan dia tak boleh menolak kehadiran Syafiq sebagai suami dalam hidupnya.

Afiqah langsung tak mengenali Syafiq, begitu juga dengan lelaki itu. Tetapi mereka terperangkap dalam satu muslihat dan terpaksa berkahwin demi reputasi dan maruah keluarga mereka. Afiqah yang tak merelakan perkahwinan ini sentiasa bersikap dingin dengan Syafiq. Manakala Syafiq tak pernah berputus asa untuk memenangi hati Afiqah.

Kesabaran Syafiq berbayar apabila Afiqah mula menerima dirinya tapi… rumah tangga mana yang tak pernah bergolak? Zikri kekasih lama Afiqah muncul di antara mereka sebagai penghalang. Syafiq mula ragu-ragu apakah Afiqah masuk cintakan Zikri? Afiqah akan meninggalkannya dan kembali kepada Zikri? Syafiq buntu. Pilihan ada di tangan Afiqah. Siapa yang akan dipilihnya Syafiq atau Zikri?


Komen saya :

Fauziah Ashari hasil tulisannya tak pernah menghampakan peminat-peminatnya. Naskah Pergilah Sepi nie sangat menarik bagi saya.

Bagi saya, watak Syafiq paling menarik minat. Dia yang sungguh-sungguh berusaha memenangi hati Afiqah akan buat kita rasa Syafiq seorang yang romantik. Kemudian dia sanggup berubah demi Afiqah dan sabar dengan kerenah Afiqah yang dingin tu sedikit sebanyak buat kita tersentuh.

Senang cakap Fauziah Ashari pandai mainkan emosi pembaca. Yang paling saya suka konfliknya tak terlalu banyak dan meleret. Sedang-sedang saja. Sesuai dengan jalan ceritanya. Sebab tu bagi saya novel nie tak meleret macam sesetengah novel kahwin paksa. Tapi sweet cerita nie tetap ada walaupun tak panjang. =)

Bagi pembaca yang tak sukakan novel yang tebal, saya syorkan baca cerita Pergilah Sepi nie. Sebab? Sangat best ya ceritanya tentang kahwin paksa. Mungkin tema kahwin paksa dah biasa kita dengar tapi bahasa yang digunakan buat kita rasa novel nie lain yang lain. Tak percaya? Boleh ja beli dan baca kemudian putuskan betul tak apa yang saya cakap tu.

Apa pun pada saya Novel Fauziah Ashari memang patut dijadikan koleksi.

XX Quotes : Tak rugi beli! Sangat best. =)

---
Xana

MB : Cabaran 50 Buku : (48) SMS

Judul : SMS
Penulis : Muhammad Teja
Terbitan : Utusan Publications & Distributors Sdn Bhd
ISBN : 978-967-61-2534-7



1. Tahniah kepada Muhammad Teja.

2. Bagi saya SMS ini adalah pemenang utama Hadiah Sastera Kumpulan Utusan 2010.

3. Secara harfiahnya, SMS itu bolehlah pembaca mengertikan dengan short message service, memandangkan kisah di dalamnya ada bercerita mengenai beberapa siri sms dua orang sahabat/kekasih.

4. Namun secara mendalamnya, mungkin ia menghantar satu isyarat akronim yang lain pula memandangkan kandungan di dalam SMS ini sarat dengan pembayang-pembayang dan kiasan-kiasannya tersendiri.

5. Contohnya pada awal penceritaan apabila watak utamanya, Fitri (nama Fitri dan kekasihnya Fitrah juga membawa selapis lagi makna yang lain) akan berpisah dengan watak Abang Sufi (lagi satu nama yang dipilih untuk memberikan perlambangan disebaliknya) setelah Fitri dihadiahi sebuah buku Panduan Singkatan Khidmat Pesanan Ringkas oleh Abang Sufi,

"Kereta Kelisa berwarna emas hilang dalam kesibukan malam di ibu kota." ms 5

6. Penulis sengaja menggunakan warna emas untuk Kelisa milik Abang Sufi sebagai isyarat sesuatu yang berharga. Sejurus memberikan buku panduan tersebut, dia terus pergi dalam kegelapan malam ibu kota. Sebagai lapisan kedua ia bermakna, sesuatu yang bernilai telah tiada, pergi meninggalkan kita, yang tinggal hanya sebuah buku/kitab panduan yang diberikan buat dijadikan rujukan dalam zaman yang penuh kegelapan ini.

7. Dan perhatikan pula pada akhir novel, Abang Sufi datang semula bertemu Fitri di kampung dengan Kelisa emasnya lalu memberikan kaedah penyelesaian terhadap konflik yang sedang dihadapi Fitri.

"Malam itu Abang Sufi tiba dengan kereta Kelisa berwarna emasnya." ms 264

8. Tanda-tanda seperti itu yang dengan sengaja diletakkan oleh penulis memberikan saya/pembaca satu macam keseronokan untuk menekuni novel ini dengan lebih tumpuan, sambil berusaha menangkap isyarat-isyarat yang terdapat di dalamnya.

"Buku panduan SMS yang diberikan oleh Abang Sufi terjatuh ke atas lantai bas. Dia meraba-raba dalam gelap." ms 11

9. Novel ini mengisahkan Fitri dan Fitrah yang terpisah oleh satu tragedi di alam persekolahan sehingga menerbitkan pertelagahan yang panjang antara mereka. Dan pada suatu hari Fitri menerima sms daripada Fitrah, yang sekian lama mendiamkan diri, menuntut dia melunaskan serta membetulkan segala perselisihan mereka.

10. Sarat dengan pemikiran, falsafah-falsafah mengenai kebebasan, keadilan, kebahagiaan, dan percintaan yang tidak hanya layak untuk remaja, malahan begitu enak untuk ditaakul para dewasa.

11. Watak Fitrah yang begitu berani dan luas adicitanya terasa sangat berpengaruh dalam menggerakkan cerita ini, walaupun fahamannya mengenai kebebasan dan lain-lainnya amat terpesong jauh dari landasan agama Islam.

12. Konflik serta rasa teruja dibina sehingga ke helaian yang terakhir membuatkan pembaca sukar untuk melepaskan bacaan.

13. Novel ini memang layak diangkat sebagai pemenang, kalau tidak nombor tiga, paling kurang nombor satu untuk HSKU 2010. Tahniah sekali lagi kepada penulisnya, Muhammad Teja.

---
Melihat Buku

A&N : Cabaran 50 Buku : (43) Cinta Aku Seadanya

Cinta Aku Seadanya
Murni Aqila
ISBN: 9789831245965
Penerbit: Alaf 21 Sdn Bhd
Tarikh Terbit: Oktober 2011
Halaman: 512
Harga: RM19.90

~ Rasaku… ~

Kata bidalan; ‘Dari mata turun ke hati.’ Tetapi bagaimana kalau yang dilihat oleh sang mata tak seindah apa yang ada dalam hati? Mungkinkah kita boleh menidakkan mata kasar yang sering saja suka pada keindahan dan jijik pada keburukan?

Penulis bijak bermain dengan emosi para pembacanya. Mahu kita merasai betapa hibanya menjadi Syifa yang sering saja dicaci hanya kerana mempunyai tanda lahir di pipi. Dengan kekurangan yang ada bukannya mengundang rasa simpati tetapi sebaliknya. Dia menjadi bahan mainan, cercaan dan hinaan. Sungguh rasa simpati akan jatuh mencurah-curah kepada Syifa apabila anda menyelami perasaan gadis suci ini.

Walaupun Syifa cuba menjadi kuat tetapi ada masanya dia tewas juga. Apatah lagi kakak kandungnya sendiri, Zahra sering saja mengutuknya. Ada saja perkara yang membuat kakaknya itu sakit hati. Namun, tak siapa tahu Zahra berlaku sedemikian kerana perangai suaminya yang tak serupa orang. Dia seperti mahu melindungi adiknya yang polos daripada dipermainkan oleh orang lain. Nampaknya penulis berjaya ‘memutihkan’ watak Zahra dengan baik.

Takdir Tuhan membawa Syifa berkenalah dengan Nafisah. Ibu berhati tulus ini begitu menyenangi Syifa, melihat Syifa membawa damai ke dalam hatinya. Padanya, Syifa adalah anugerah istimewa dari Tuhan yang hadir dalam hidupnya. Dia berhajat untuk menyunting Syifa menjadi isteri buat anaknya; Muszahri. Namun apa yang lebih mengejutkan Syifa apabila Muszahri sendiri setuju menerimanya sebagai isteri.

Duka dan malang datang bertimpa. Entah apa silapnya, Muszahri langsung tidak menyentuhnya selepas mereka diijabkabulkan. Mungkinkah Muszahri benar-benar bercinta dengan Luna? Dan itu menyebabkan Muszahri tak mampu berpaling dari Luna? Kasihan Syifa. Apa lagi yang tinggal untuknya?

Ada sesuatu yang aku tak faham. Muszahri ada mengatakan sebab mengapa dia menghindarkan diri daripada Syifa, tetapi aku gagal mengesan sebabnya. Mungkin ada yang tertinggal. Kena baca lagi nampaknya kih5 :P

Happy reading (^-<)
~Airina

Aimie:Cabaran 50 Buku: (73) Cinta Adalah Cinta

Penulis: Sarnia Yahya
Penerbit: Fajar Pakeer Sdn Bhd
ISBN 978-983-3880-40-9
Harga: RM23.90 / RM26.90
M/S: 680
Cetakan 1 – 2009

Walau tanpa suara, sentiasa subur di jiwa…

Blurb:

Aina tidak pernah menyangka yang cinta akan menyapa hatinya kembali, setelah cinta itu pergi bersama Hadi. Kehadiran Syed Harith menggugat perasaannya. Lelaki bermata hijau itu tidak pernah jemu dan lelah dalam cuba memikat janda muda yang tidak mahu mengakui cintainya. Tetapi kehadiran Lutfi Danish, berwajah Hadi, menggembirakan Hadirah yang merindui papanya.

Siapakah yang patut dipilihnya, tika hati sudah terpaut pada lelaki bermata hijau? Pilihan hati atau pilihan puterinya?

Jika memilih Syed Harith, pasti Hadirah akan terluka. Jika Lutfi Danish menjadi pilihannya pasti hati Husnina tergores. Walaupun cinta kembali di hatinya, siapakah pilihannya tanpa melukai hati yang lain?

Kak Chik menukil:

Kehidupan Aina yang tenang selama ini tergugat dengan kehadiran lelaki bermata hijau itu. Lelaki yang terlalu berterus terang menyukainya dan mengdambakannya. Tetapi pada Aina, cintanya hanya pada Hadi walau sudah tiga tahun Hadi pergi meninggalkannya tanpa pesan. Puterinya, Hadirah menjadi pengikat hubungannya dengan Hadi. Aina bukan lagi Aina yang dulu, dia tidak pernah lagi mahu bersosial apatah lagi berhubungan dengan lelaki lain kerana dia mahu bersama Hadi di syurga nanti. Namun begitu desakan keluarga sering kali buat Aina sedih dan terluka. Dia tahu mereka mengambil berat dan sayang kepadanya dan Hadirah tetapi kenapa mereka tidak mahu memahami hatinya yang masih segar dengan kasih Hadi?

Kemunculan Lutfi Danish juga makin menyulitkan jalan hidup Aina. Lutfi Danish yang mirip Hadi itu menjadi tempat Hadirah bermanja sehingga dipanggil papa. Anak sekecil tiga tahun itu tidak mengerti mengapa mesti papanya berjauhan darinya kerana dia tidak pernah diterangkan bahawa papanya sudah tiada. Lutfi Danish yang merupakan bekas biras Aina juga kalut memburu Aina apatah lagi saingannya bukan calang-calang orangnya. Keadaan ini makin menjadikan Aina tertekan.

Perhubungan Aina yang masih rapat dengan bekas adik iparnya, Husnina menjadikan dia serba salah apabila Lutfi Danish terlalu menunjukkan perasaan kepadanya. Dia tidak mahu Husnina terluka kerana dia pasti masih ada cinta di hati Husnina untuk Lutfi Danish. Dalam masa yang sama Aina berusaha untuk kembali rapat kepada ibu mertua yang membuangnya selepas kematian Hadi. Dia tidak tega membiarkan Puan Raihan kesepian selepas Encik Hafizzudin berkahwin lain dan Husnina pula bagaikan sudah lupa pada ibunya sendiri.

Tuntutan kerja memaksa Aina untuk berada sementara di Pulau Langkawi mengeratkan hubungannya dengan Syed Harith. Saat hatinya sudah pasti dengan pilihan hatinya, salah faham pula terjadi antara mereka sehingga lelaki bermata hijau itu pergi tanpa pesan dan khabar berita. Lalu apa lagi yang mampu Aina lakukan. Hidup mesti diteruskan bersama puteri tersayang dan dia sudah nekad meneruskan hidup di pulau itu demi mengubati hati yang terluka lagi.

Pssstttttt…sangat suka watak Syed Harith yang caring & loving. Kalau nak tahu sejak bila dia menyukai Aina kena la baca sendiri ye. Bayangkan lima kali pinangannya ditolak dia tidak pernah berputus asa.

LiFe iS a LoNG JouRNeY
-Kak Chik-

(^__^)

Aimie:Cabaran 50 Buku: (72) Aku Bukan Mistress

Penulis: Acik Lana
Penerbit: Kaki Novel Enterprise
ISBN 978-967-5067-84-6
Harga: RM22.00 / RM25.00
M/S: 671
Cetakan 1 – September 2011

Marahlah sepuas hatimu,
caci makilah selagi kau terdaya,
hinalah aku selagi kau mampu.
Tapi…kenapa aku tak pernah mampu untuk membencimu?


Blurb:

Dua tahun menghambakan diri di dalam penjara yang dibina oleh Mikail dengan bertemankan dosa, Mya mula mencari arah hidupnya. Kehadiran Adam yang kejam, Shamil yang menagih janji silam, Suzanne yang menyakitkan hati dan Datin Adiba yang sinis membuatkan hidup Mya semakin tersepit. Sikap Mikail yang semakin aneh dari sehari ke sehari membuatkan Mya keliru. Dalam resah ada debar, dalam benci ada rindu, dalam marah ada tenang…Mikail mendera hati dan perasaannya.

Sampai kemuncaknya, Mya tekad. Dia mahu menoktahkan semua catatan noda dan dosa dalam diari hidupnya sebagai seorang perempuan simpanan, tapi bagaimana? Kaki ingin berlari menjauhi Mikail, tapi hati mengikat janji secara sembunyi.

Mengapa membina harapan jika penhujungnya tidak seindah impian? Dan…cukupkah tempoh dua tahun untuk memastikan debaran di hati mereka melagukan rentak yang sama?

Kak Chik menukil:

Mya terjebak dengan jalan hitam kerana manusia yang meragut kegadisannya. Kehidupan yang sejak kecil sering dicaci dan didera menjadikan dia menderita. Saat ada insan lain yang sanggup menebusnya dari terus bergelumang dengan tempat hitam itu dia sangat bersyukur walaupun jalan hidupnya tidak jauh berubah. Dia tetap dipenjara Mikail, lelaki yang menebusnya untuk dijadikan perempuan simpanan. Dua tahun dia bergelumang dengan dosa dan noda tetapi dia tiada kekuatan untuk meninggalkan lelaki itu walaupun sikap Mikail yang sentiasa berangin dan kasar dengannya. Perhubungannya dengan Adam, kawan karib Mikail juga telah mencoret sejarah hitam dalam hidupnya tetapi dia lebih tega menanggungnya sendiri daripada berita keji itu sampai kepada pengetahuan nenek di Taiping. Dia lebih rela memendam sakit itu sendirian kerana sudah pasti Mikail tidak akan mempercayainya.

Sedang Mya cuba mencari akal untuk menjauhi Mikail, lelaki itu mula berubah sikap menjadi lelaki yang lebih mengambil berat dan prihatin. Malah dia dilayan dengan baik sekali menjadikan Mya keliru. Berita kematian nenek dan kepulangannya ke Taiping, makin menyulitkan keadaan kerana Mak Ngah dan Yati masih berterusan menuduh dan menyebarkan berita buruk yang terjadi bertahun dulu. Lalu Mya nekad mengambil keputusan untuk kembali ke Kuala Lumpur tetapi ke mana tempat yang harus dia tuju? Selamatkah dia di luar sana jika dia meninggalkan sangkar emas Mikail?

Mikail merupakan lelaki yang berketerampilan menarik apatah lagi dengan status perniagaannya yang sedang berkembang. Dia membina sendiri kerjayanya tanpa bantuan sesiapa. Lelaki yang pernah dikecewakan ini kadang-kadang tidak stabil emosi dan perangainya apabila berhadapan dengan Mya. Dia masih mahu berpegang pada janjinya dua tahun dulu yang mereka tidak akan menyimpan perasaan antara satu sama lain. Benarkah tidak bergetar hatinya saat Shamil kembali menagih kasih Mya? Relakah dia kehilangan Mya yang menemaninya selama dua tahun ini? Sanggupkah dia menidakkan kemahuan ibunya demi menegakkan kemahuannya?

Pada Kak Chik karya ini hanya kisah yang biasa-biasa sahaja kerana sudah pernah ada kisah sebegini digarapkan penulis lain tetapi satu yang menjadi karya penulis ini menarik untuk dibaca kerana bahasa yang digunakan boleh dikatakan agak baik susunan bahasanya. Bahasa yang mudah untuk dihadam. Cuma plot yang menjadi tanda tanya pada Kak Chik: untuk apa Mya pulang ke Taiping untuk menemui Mak Ngah dan ayah Mikail membayar RM50,000 kepada perempuan jahat itu semata-mata untuk memutuskan pertunangan Mya-Shamil kerana pada Kak Chik ia tidak relevan sedangkan Mya boleh sahaja membiarkan pertunangan yang dilakukan tanpa pengetahuannya itu. Tapi penulis sudah pasti mempunyai alasan tersendiri, kan?

LiFe iS a LoNG JouRNeY
-Kak Chik-

(^__^)

Aimie:Cabaran 50 Buku: (71) Aku Bukan Billy Milligan

Penulis: Norhayati Berahim
Penerbit: NB Kara Sdn Bhd
ISBN 978-967-5229-08-4
Harga: RM25.90 / RM28.90
M/S: 770
Cetakan 1 – Ogos 2009

Dendam itu membuat dia sering gelisah

Blurb:

Penghinaan dan cercaan ketika kecil, membuatkan Adam percaya, harta menggunung dapat membeli maruah diri. Bila usia menginjak dewasa, tekadnya hanya satu, menjadi kaya dan dihormati seperti Warren Buffet!

Namun Adam silap percaturan. Setelah kejayaan dalam genggaman. Dia masih lagi diperlekeh dan rumah tangganya runtuh walaupun dia sudah menjadi kaya raya!

Kehadiran Laura membuka mata Adam. Laura dari mata kasar Adam, hanya biasa-biasa sahaja. Tetapi gadis itu berjiwa tegar, selamba dan tenang. Anak pembuat belacan yang sentiasa menikmati hidup seadanya. Dari Laura, Adam pelajari banyak perkara. Terutama bagaimana mahu menghargai kehidupan dan berkasih sayang!

Kak Chik menukil:

Pertama kali baca tajuk novel ini dah tertanya-tanya siapa Billy Milligan dan siapa pula Warren Buffet. *Ceh, sungguh Kak Chik cetek ilmu pengetahuan tentang watak-watak tersebut dan terpaksa guna pertolongan pakcik google*. Walaupun begitu sesuatu yang Kak Chik suka tentang karya NB adalah kerana kelainan jalan cerita dan pengisian yang berbeza. Itu yang membezakan penulis muda sekarang dengan penulis yang berpengalaman.

Watak Adam yang dibangunkan dengan ego yang tersendiri apatah lagi pada umur yang masih mentah dia sudah bergelar jutawan. Dia bias memiliki apa sahaja yang diingini. Dia berjaya kerana usahanya dan kerja keras dia selama ini. Ketika orang lain seusianya sibuk berhibur tetapi dia sudah mempunyai impian yang mahu dikejar. Dia memiliki segalanya, harta kekayaan, nama dan juga nama tetapi dia tidak pernah memiliki ketenangan. Apatah lagi rumah tangga yang dibina tidak mampu memberi kebahagian kepadanya. Dia tersilap dalam menilai sikap manusia, kisah duka dan sejarah hitam keturunan tetap menjadi igauan dalam hidupnya sehingga dia hilang harga diri pada isteri sendiri. Kerana keegoan juga dia melupakan Allah, kerana padanya segala yang dimiliki kerana usahanya sendiri.

Laura yang sentiasa selamba, gembira dan tegar dengan cabaran hidup tidak pernah berputus asa dalam hidup. Kekecewaan selepas putus cinta dengan Yazir telah menjadi titik tolak untuk dia membina syarikat lagi apatah lagi duit tersebut adalah cagaran dari ibu Yazir supaya dia menjauhi Yazir. Pada dia untuk apa dia meratap pilu sedangkan dia pasti memang Yazir sudah pasti tidak akan menjadi miliknya.

Pertemuan Adam dan Laura kerana urusan hartanah juga menjadi titik tolak untuk jalan cerita yang seterusnya. Kenapa Laura menggelarkan Adam, makhluk dari planet Neptune? Apakah sikap Billy Milligan itu akan sentiasa mengekori Adam seumur hidupnya? Siapa pula Julie dan Richie dalam hidup Laura? Siapa pilihan Laura antara Adam & Yazir yang kembali menagih kasihnya selepas kematian ibunya?

Apa yang pasti karya ini tidak mengecewakan apatah lagi kita pasti menemui sesuatu yang manis.

LiFe iS a LoNG JouRNeY
-Kak Chik-

(^__^)

Aimie: Cabaran 50 Buku: (70) Arjuna Mencari Cinta

Penulis: Adlinz Alexandria
Penerbit: JS Adiwarna Sdn Bhd
ISBN 978-967-0201-20-7
Harga: RM18.00 / RM20.00
M/S: 345
Cetakan 1 – 2011

“cinta itu api yang dapat membakar diri”

Blurb:

“Siapa yang suruh kau bercinta? Setahu aku, di sekolah atau universiti pun pelajar tak belajar tentang cinta. Kalaulah cinta itu sangat penting tentu kerajaa akan wujudkan mata pelajaran Cinta.”

“Tapi Nejad dalam bahaya. Faira betul-betul nak rosakkan dia. Aku tak sanggup nak tengok semua ni.”

“Jadi, kau nak buat apa? Kau nak selamatkan Nejad? Kau ingat kau ‘superwoman’? Jangan buang masalah.”

Kalau berani bermain dengan api mesti berani juga tanggung sakitnya kena api.

Susahnya untuk jadi dewasa. Macam-macam kena fikir, itu, ini, dan terlebih-lebih lagi masalah cinta. Cinta pula cinta yang bersegi-segi. Siti Ezrina suka Nejad, tapi Nejad pula suka Vilma Faira. Antara mereka pula ada Nur Dalilah dan Iqram Muslimin. Lalu siapakah yang jadi pilihan Sang Arjuna Mencari Cinta!

****

ADLINZ ALEXANDRIA, penulis lulusan jurusan Syariah Islamiah daripada Universiti al-Azhar, Alexandria ini menulis kerana percaya dengan tulisan, beliau mampu tebarkan rasa kasih dan sayang sesama manusia, supaya dunia akan penuh bercahaya.


Kak Chik menukil:

Kisah ini kisah anak remaja yang masih di bangku sekolah, jadi ia amat tersasar jauh daripada jangkauan Kak Chik sangat menatap kulit buku yang dihiasi Arjuna yang gagah yang siap sedia untuk memanah cintanya.

Pada Kak Chik kisah ini adalah kisah anak remaja yang biasa-biasa yang sedang meniti ke alam dewasa tetapi ia dicorakkan dengan latar belakang yang sedikit islamik di mana ia banyak berkisar tentang putera puteri di Sekolah Menengah Tun Teja. Kisah ketua pelajar yang menjadi buruan kebanyakan pelajar puteri kerana kecemerlangan pelajaran dan juga sikap kepimpinannya yang tinggi. Antara pelajar puteri yang sentiasa mencuba untuk rapat dengan Nejad adalah Siti Ezrina, iaitu ketua pelajar puteri sekolah tersebut. Siti Ezrina selalu menggunakan alasan untuk menunaikan tanggungjawab untuk mencari peluang untuk bertemu Nejad.

Namun begitu kehadiran pelajar puteri Tingkatan Empat yang bernama Vilma Faira telah menjadi saingan Siti Ezrina. Dalam masa yang sama masalah disiplin di sekolah tersebut semakin meruncing sehingga para pelajar semakin terpesong dari landasan sebenar.

Kerana cinta, kecemerlangan pelajaran dan sikap tanggungjawab Nejad terhadap kepimpinan di bawahnya musnah. Dia terlalu taksub dengan cinta siputeri jelita yang menjadi rebutan itu sehingga dibutakan mata hatinya. Nasihat teman-teman karib langsung tidak dihiraukan sehingga dia sanggup berkerat rotan dengan mereka.

Rupanya hujan gerimis menitis di tengah hari. Nejad tersungkur sebelum berjuang kerana terlalu kecewa apabila cinta Vilma Faira hanya palsu belaka. Pelajar yang menjadi kebanggaan guru-guru ini tidak mampu untuk menghadapi musibah kelukaan kerana cinta. Apakah masih ada sinar untuk Nejad mengejar kecemerlangan dan kejayaan?

Siapa pula watak Nur Dalilah yang bersikap garang dan menyendiri itu? Mampukah Nur Dalilah menggalas tanggungjawab yang diletakkan di pundaknya?

Sudut pandang Kak Chik:

Walaupun penulis cuba menggambarkan alam remaja yang lebih islamik tetapi pada pendapat Kak Chik masih terdapat perlakuan-perlakuan watak-watak yang terpesong dari landasan seperti perlakuan kawan-kawan Nur Dalilah dengan Nejad sanggup menarik tangan jejaka tersebut sedangkan sudah jelas lagi bersuluh perlakuan itu haram. Ini turut menjejaskan pandangan umum terhadap pelajar sekolah agama. Sudah lumrah manusia, sesuatu yang buruk terlalu senang untuk dinilai apatah lagi kalau yang melakukannya pelajar dari sekolah agama.

Watak Nejad itu sendiri tidak mencapai piawaian Kak Chik sebagai Arjuna yang menjadi buruan puteri-puteri kerana watak dan pegangan hidup Nejad yang tidak kukuh. Dia terlalu taksub dengan cinta sehingga keutamaannya sebagai pelajar terabai dan dia bagaikan tidak boleh menerima ujian itu sebagai dugaan dari Allah. Dia masih terbawa-bawa dengan kekecewaan sedangkan dia mempunyai asas agama apatah lagi selama ini dia yang menjadi rujukan teman-teman.

Naskhah yang diharap dapat menjadi pengajaran kepada anak remaja untuk menuju alam dewasa.

Apa pun terima kasih kepada JS untuk naskhah percuma ini.

LiFe iS a LoNG JouRNeY
-Kak Chik-

(^__^)

MB : Cabaran 50 Buku : (47) Bumi Lestari

Judul : Bumi Lestari
Penulis : Rebecca Ilham
Terbitan : Utusan Publications & Distributors Sdn Bhd
ISBN : 978-967-61-2535-4



1. Awal tahun dulu apabila usai membaca antologi cerpen Rebecca Ilham, saya melahirkan keinginan agar satu hari nanti dapat membaca tulisan terbaru daripada penulis yang sama, tapi dalam bentuk novel pula.

2. Dan ia tidak memakan masa yang lama sebelum Rebecca meletakkan huruf pertama dalam draf novel sulungnya yang kini berada dalam tangan pembaca sebagai pemenang kedua HSKU 2010.

3. Tahniah.

4. Bumi Lestari mengisahkan tentang kuasa yang dimiliki para kapitalis dalam pekerjaan asali mereka menindas penduduk peribumi tidak kira di mana keberadaan mereka.

"Tanah nenek moyang tempat berburu dan bercucuk tanam pula dirampas dengan bayaran minimum yang belum sepenuhnya dilangsaikan, ..." ms 44-45

"... Natijahnya, mereka bergantung, lantas lemas dalam selok-belok sistem ekonomi kapitalis yang menindas." ms 45

5. Dalam antologi cerpennya sebelum ini, saya amat gemari dengan lenggok bahasa serta keunikkan diksi yang dipilih dan digunakan oleh penulis, begitu juga dengan Bumi Lestari ini.

6. Namun entah kerana apa, saya berasakan gaya bahasa yang 'unik' tersebut menjadi terlalu banyak dan kadang-kadang membuatkan sesuatu perkara, isu yang mudah, kelihatan payah untuk difahami.

"Amira menekan panel kawalan kelajuan pada pengisar injakan. Trek berpusing lebih pantas, memaksa kaki mengatur semula derap langkah. Amira menarik nafas dalam-dalam, paru-paru mengembang penuh namun pantas dibantah gegaran jantung dalam kaviti dada yang terhad ruang. Udara kumuh dihembus kuat. Mekanisme pernafasan berulang lagi." ms 56

7. Novel ini menarik, cerita yang ingin dipersembahkan bersifat universal, menyeluruh, tidak hanya terhad kepada remaja, tetapi juga kepada warga dewasa untuk dihayati makna dan kandungannya.

8. Tetapi, sepanjang bacaan, saya merasakan bagai ada sesuatu yang kurang. Sesuatu yang tak ada, yang tertinggal untuk menjadikan novel ini menghampiri nilai sempurna, (ok memang mustahil untuk menjangkau kesempurnaan) paling tidak menjangkau 4/5 bintang.

9. Kemudian saya membaca komen Kak Nisah Haron mengenai Bumi Lestari, dan itu dia! Perkara yang terasa lompang dan berlubang itu turut sama dikongsi beliau.

"Segar dan informatif. Sayangnya, novel ini agak pendek. Namun, sebagai novel pertama Rebecca Ilham ia amat menjanjikan. Lantaran novel ini secara relatifnya pendek, banyak watak tidak mendapat ruang yang cukup untuk dikembangkan." - Nisah Haron

10. Para pemain, watak-watak utama yang mewarnai novel ini kelihatan semacam 'tersepit' (disepit?) dan 'terkongkong' (dikongkong?), pembaca (saya) tidak sempat mendalami serta memesrai mereka dan sesedar ia telah pun tamat. *Saya amat suka untuk berkenalan lebih lanjut dengan Jai Anak Buang.

11. Tetapi novel ini tidaklah dipilih sebagai pemenang jika ia tidak punya kelebihan serta mendatangkan manfaat dan mengembangkan minda para pembaca, terutama remaja.

12. Sekali lagi tahniah buat Rebecca, kita menunggu novel seterusnya (mungkin yang lebih panjang). Selamat membaca, selamat mengambil faedah.

---
Melihat Buku

MB : Cabaran 50 Buku : (46) Bimasakti Menari

Judul : Bimasakti Menari
Penulis : Sri Rahayu Mohd Yusop
Terbitan : Utusan Publications & Distributors Sdn Bhd
ISBN : 978-967-61-2532-3



1. Sri Rahayu menang lagi.

2. Kali ini dengan kisah bintang-bintang di atas langit bumi.

3. Membawa pembaca kembali untuk berfikir tentang kemajuan yang telah dirai, tentang bangunan tinggi yang makin kerap didiri, sehingga bimasakti tidak lagi boleh menari.

4. Penulis di dalam karya ini membayangkan di masa hadapan langit bumi akan menjadi sangat terang, kesan daripada cahaya lampu yang berlebihan, lalu mengakibatkan sejumlah gugusan bintang tidak lagi dapat dilihat sehingga fungsi dan peranan bintang tersebut yang telah digunapakai dalam menentukan arah, masa, dan peristiwa-peristiwa penting sejak berzaman dahulu, semakin pupus.

5. Seiring dengan pencerahan pada langit, penulis juga melukiskan kesan yang terjadi kepada kehidupan haiwan kelip-kelip di Kuala Selangor yang turut lenyap bersama dengan kemajuan yang dibawa.

6. Nurul Hafsa watak utama yang merupakan seorang remaja yang sedar mengenai perkara ini telah mendatang satu ide atau solusi kepada pihak berkuasa agar dapat dikembalikan kelip-kelip (simbol cahaya dan kecantikan) semula ke Kuala Selangor.

7. Penulis merupakan seorang yang memahami pembacanya. Beliau seolah mengerti persoalan-persoalan yang sedang bermain di fikiran mereka. Contoh apabila beliau menerangkan bahawa tuntutan supaya kadar kecerahan langit dikawal dan dapat 'digelapkan' semula, ini tidak pula memberi makna planet Bumi dan penduduk di atasnya perlu bergelap setiap masa. Tetapi sebaliknya sumber cahaya tersebut hendaklah digunakan dengan betul dan dikelola dengan baik agar ia mampu dimaksimakan fungsinya.

"Ia adalah isu pengurusan teknologi secara optimum. Pengurusan cahaya buatan manusia. Kita gunakan teknologi untuk memperbaiki teknologi sedia ada, ..." ms 98

8. Menurut panel penilai yang telah memilih novel ini sebagai pemenang utama bagi HSKU 2010, "Sebuah teks yang lengkap dalam perutusan yang bercorak vertikel dan horizontal menjadi lebih signifikan kerana mampu mengisi keperluan rohani dan intelektual khalayak, khususnya remaja."

9. Bagi saya, ia menarik. Membawa bacaan saya ke dalam sebuah daerah yang jarang-jarang difikir dan diterokai.

10. Ceritanya berjalan dengan lancar, tanpa sebarang kompleksiti yang menganggu bacaan.

11. Tahniah kepada penulisnya, dan selamat membaca kepada semua.

---
Melihat Buku

XX : Cabaran 50 Buku : (33) AKU MAHU SUPERBIBIK

AKU MAHU SUPERBIBIK
Penulis : Ain Maisarah & Izanor Sharif
Halaman : 340
Harga : RM 17.00
Terbitan : PTS One
Cetakan 1- 2010


Secara ringkas :

Ina dan Farah selalu menjalan misi yang mustahil tapi mungkin tercapai dek akal fikiran. Kali nie misi mereka menghapuskan bibik Ina… iaitu Bibik Lestri! Ina tak sukakan Bibik Lestri tu pandai bermuka-muka, di depan ibu Ina pijak semut pun tak mati tetapi belakang ibu Ina macam-macam yang Bibik lestri buat. sudahlah pemalas. Misi ini akan berjaya!

Perancangan diaturkan dan misi dijalankan. Seperti yang dijangka Ina menang dan Bibik Lestri disingkirkan dari rumahnya. Misi kedua pula dijalankan, misi mencari Superbibik. Ina nak kan bibik yang seperti Superman! Boleh melakukan segala-galanya. Semuanya kerana kagum dengan bibik Farah, kak Wati yang berbakat melakukan semua benda. Mampukah Ina mencari Superbibik yang diidamkannya?

Berlainan pula dengan Fasha, ketua Wannababes. Walaupun rumahnya sudah ada dua orang bibik tapi dia jugak inginkan bibik baru. Mahu menandingi Shasha yang memiliki tiga orang bibik bernama Sima, Simi dan Simu. Fasha mula menghasut ibunya supaya mengaji lagi seorang bibik di rumah mereka. Toh Puan Seri Zazarina terpengaruh dengan hasutan anaknya itu dan memberi sepenuh kepercayaan kepada Fasha untuk mencari bibik baru mereka yang ketiga.

Dengan duit segala-gala yang Fasha hendakkan pasti dia dapat termasuklah bibik ketiga ini. Bibik Lora diupahnya. Tetapi… bibik Lora bukanlah bibik yang Fasha idam-idamkan. Bibik Lora punya rahsia yang tak Fasha ketahui. Rahsia yang bakal memusnahkan reputasi dan nama Fasha di hadapan ahli Wannababes lain. Tapi rahsia apa? Dan apakah Fasha dan Ina bakal mendapatkan Superbibik yang mereka inginkan?


Komen saya :

Siri Aku Mahu kali nie Ain Maisarah berganding bahu dengan penulis Izanor Sharif yang tak kurang popularnya juga. Kelainan ditampilkan walaupun teraju utama cerita nie masih 7 Wannabes serta Ina dan Farah.

Cerita yang santai tapi memberi pengajaran nie memang menarik dan lucu. Watak Fasha dan Ina yang mahu seorang orang gaji yang bertaraf Superbibik sebagai pembantu rumah mengundang padah buat diri masing-masing.

Sangat pelik dan lawak bila Ina sanggup buat audition semata-mata nak cari orang gaji. Adess, tahap parah tu. Akhirnya bibik yang diupah melarikan diri dek tak tertahan dengan sikap Ina yang lebih sudu dari kuah tu! Maknya ok saja tapi Ina yang lebih-lebih mahu dilayan seperti anak raja.

Berlainan pulak dengan Fasha. Orang gaji yang diidam-idamkan akhirnya membawa binasa kepada diri sendiri. Kenapa? Kenalah baca Aku Mahu Superbibik nie. =)

Yang pasti kedua-dua mereka mula belajar berdikari dan mula bertangungjawan terhadap tugas mereka sendiri. Saya pun turut sama terkesan dengan cara penyampaian cerita nie. orang gaji pun manusia jugak. Jadi layanlah mereka dengan baik. Mereka pun ada hati dan perasaan jugak.

Yang paling penting novel nie memberitahu bahawa setiap manusia tak sempurna dan jangan terlalu mengejar kesempurnaan kerana yang sempurna cuma Yang Esa. =)

XX Quotes : Ibu-ibu diluar sana memang patut hadiahkan naskah Siri Aku Mahu kepada anak gadis mereka. Mesti mereka akan sukakannya. =)

---
Xana

XX : Cabaran 50 Buku : (32) 40 LUKISAN HATI

40 LUKISAN HATI
Penulis : Armie Zafran
Halaman : 168
Harga : RM 13.00
Terbitan : PTS One
Cetakan 1, 2 - 2006
Cetakan 3 - 2008

Secara ringkas :

Azam, Rozana, Syakila, Rizal. Mereka membawa seribu satu cerita yang tersendiri di sebalik kehidupan mereka di kampus. Azam digelar Badak, Rozana aka Tupai Tanah dan Syakila sebagai Comot berkawan rapat kemana sahaja pasti bertiga. Tetapi dalam diam Azam menaruh minat pada Syakila. Seorang gadis ayu yang pendiam dan bertudung labuh.

Tetapi kemunculan Rizal mengubah segala-galanya. Syakila tiba-tiba sahaja menghilangkan diri dari kampus. Hanya Rozana yang tahu Syakila berhenti belajar tetapi tiada siapa pun yang tahu penyebab Syakila tiba-tiba berhenti belajar termasuklah Rozana. Azam mula hilang arah tuju hidup sepertimana Syakila menghilangkan dirinya. Daripada badak yang ceria kepada kancil yang uzur perumpamaannya.

Rizal mula berkawan rapat dengan Rozana dan Azam tak senang dengan perkara ini. Rizal bukan lelaki yang baik! Itu kata Azam, tapi bagi Rozana sebaliknya. Semuanya kerana cinta. Hubungan Azam dan Rozana mula renggang.

Midhamuna atau Muna pula muncul! Wajahnya mirip sekali Syakila dan Azam mula ceria semula. Kemunculannya juga bukan saja mengacau bilaukan hubungan Rizal dan Rozana tapi membongkar satu rahsia yang tak pernah mereka semua tahu mengenai Syakila dan Rizal!

Syakila yang tiba-tiba muncul semula mengejutkan Rozana dan Azam. Lakon layar apa yang dimainkan Muna dan Syakila ni? Siapa pula bayi kecil yang bersama Syakila? Kenapa Rizal ditangkap polis? 40 lukisan hati yang penuh lukisan kehidupan cinta pelajar bakal menjawabnya.


Komen saya :

Sangat-sangat best kuasa empat! Novel cinta remaja yang paling saya suka. =) Tahniah Aimie Zafran 40 Lukisan Hati memang terbaik.

Setiap kali baca setiap kali tu jugak lah saya gelak. Ayat yang digunakan ringkas saja tak terlalu berbunga dan tak terlalu baku. Tapi boleh buatkan kita gelak dengan ayat sarkastiknya. Badak, Tupai Tanah dengan Comot memang uniklah. Tu belum saya sebut lagi pasal H.E.L.L.S… apa benda tu? Ha, kenalah baca dalam 40 Lukisan Hati nie. Memang tak pernah tau pasal gelaran H.E.L.L.S tu tapi yang pasti memang gempak. Unik gila bunyinya.

Kemudian jalan ceritanya memang penuh suspen! Penulis berjaya buat kita tertanya kenapa Syakila hilang, kemunculan Muna, siapa Rizal yang sebenarnya. Cerita nie bersangkut paut antara setiap watak. Jadi perlu dibagi perhatian setiap watak walaupun watak sampingan.

Walaupun terhibur tetapi penulis tak lupa selitkan nilai pengajaran untuk kita jugak. Macam mana Azam menegur Rozana supaya memakai tudung dan nilai persahabatan juga ditunjukkan.

Penamat cerita nie pulak sangat menarik bagi saya. Sesuai dengan tajuk cerita nie. 40 Lukisan Hati. Sangat-sangat sweet. =)

XX Quotes : Bagi saya naskah nie patut dimiliki! Sesuai bagi remaja-remaja diluar sana menghiburkan dan ada pengajaran di sebalik cerita yang disampaikan.

---
Xana

XX : Cabaran 50 Buku : (31) Mencari-Suami @ JS.Com

MENCARI-SUAMI @ JS. COM
Penulis : Normaslina Masri
Halaman : 617
Harga : RM 22.00
Terbitan : Jemari Seni
Cetakan 1 - 2011


Secara ringkas :

Sofea Saloma walaupun namanya menarik dan unik tetapi kehidupan sehariannya biasa saja tiada yang menarik sepertimana namanya. Tapi dek kerana ugutan maknya, Sofea diberi tempoh 2 bulan untuk mencari calon suami. Jika tidak dia akan dikahwinkan dengan Yusuf orang kampungnya. Sofea tak sanggup dan tak mahu maka bermulalah pencarian suaminya.

Dalam pada misi mencari suami dijalankan. Sofea terpaksa bertugas diluar kawasan, Sabah selama dua bersama ‘Si Manis’ Sham yang menjadi jejaka hangat di tempat kerjanya. Sepanjang masa 2 bulan tu Sofea terpaksa menyerahkan bulat-bulat tugas mencari suami kepadanya kawan baiknya, Su. Su akan mencari dan memilih suami untuknya. Tempoh masa 2 bulan tu mendekatkan hubungan Sofea dengan Sham. Sham seolah-olah minat kepada Sofea tetapi tidak pernah menyatakannya Sofea pula tidak pernah menanyakan kepada Sham. Akhirnya mereka sama-sama menyepi.

‘Suami’ telah dipilih! Dan alangkah terkejutnya Sofea bila tahu si dia yang menjadi sebab utama pintu hatinya tertutup kepada mana-mana lelaki yang dipilih oleh Su untuk menjadi suaminya. Sofea dalam dilema dia tak mahu lelaki itu tetapi jika dia membatalkan kontrak mereka 70% gajinya akan diambil. Ini jugak Sofea tidak mahu.

Sofea tak boleh mengelak lagi. Mereka berkahwin tetapi Sofea tetap dengan sifat dinginnya kepada Aliff. Masih terkesan segala perbuatan Aliff yang meninggalkannya dulu hanya kerana nak mengahwini gadis yang baru dikenalinya. Tetapi hati wanita keras seperti kerak nasi. Di tuang air lama-lama akan lembut jugak. Sofea mula menerima Aliff.

Tetapi ujian lain pula menimpa. Aliff dijemput illahi dan Sofea menjadi janda diusia mudanya. Selepas Aliff meninggal Yusuf dan Sham kembali muncul untuk mendapatkan Sofea. Mereka bersaing untuk memiliki hati Sofea semula.

Sofea buntu, dalam hatinya masih terukr kemas nama Aliff, tetapi kalau sudah tertulis jodoh Sofea dengan si dia. Siapalah Sofea untuk menolaknya. Tetapi siapa si Dia tu? Sham atau Yusuf... Sofea masih meneruskan pencarian suami tanpa dia sedari.


Komen saya :

Cerita yang unik! Tak pernah terjangkau dek fikiran nak cari suami dengan cara nie… hehe. Kalau ada siapa-siapa yang berani mencubanya dalam dunia yang betul memang saya tabik lah. =)

Apa yang boleh saya simpulkan lepas baca cerita nie bercampur-baur! Lawak,sedih, gembira semualah. Tapi saya makan masa jugak nak habiskan novel ni sebab pada awal bab agak mendatar jalan ceritanya. Tetapi lepas Sofea dah kahwin dengan Aliff cerita nie dah mula jadi menarik. Mungkin awal bab penulis terlalu fokuskan tentang kerisauan Sofea dalam mencari suami. Sampaikan dengan saya-saya sekali rasa risau jugak… takut alami nasib macam Sofea. Hehe.

Waktu Sofea kahwin dengan Aliff saya tak suka! Saya lebih suka Sofea kahwin dengan Yusuf sebab watak Yusuf digambarkan sebagai lelaki yang sempurna luar dan dalam dan Aliff adalah penyebab pintu hati Sofea tertutup pada lelaki lain tapi bila watak Aliff meninggal saya mula rasa sedih pulak. Kenapa Aliff mati? Biarlah dia hidup dengan Sofea happily ever after kan… Tengok. Dari benci saya suka pulak, pandai penulis gula-gulakan hati saya kan supaya minat Aliff.

Bila Aliff meninggal saya belajar sesuatu. Apa? Walaupun kita tak suka dengan lelaki tu tetapi selagi dia bergelar suami kita kena hormatnya sebab ajal maut kita tak tau semua tu ditangan tuhan termasuklah soal jodoh. Bila Sofea sanggup rahsiakan kandungannya dari Aliff sampailah Aliff meninggal. Memang sedih saya rasa, saya rasa Sofea kejam.

Wah, novel nie banyak main dengan emosi. Air mata nie mengalir laju ja bila bahagian sedih-sedih. =( Sangat menyentuh hati tau.

Tapi penamatnya? Seolah-olah pembukaan sebuah lembaran baru dalam kisah hidup Sofea dengan Si dia. =)

XX Quotes : Sekali sekala kalau kita baca cerita macam nie best tau. Jiwa nie terbuai-buai ja rasa. Novel nie mengajar kita supaya menghargai orang yang sayang kita. =)

---
Xana

FHS :Cabaran 50 Buku : (7) Dikau Tak Pernah Jauh

Tajuk: Dikau Tak Pernah Jauh
Pengarang: Nur Hatija
Penerbit: Jemari Seni
Muka surat: 427 muka
ISBN: 978-967-5118-69-2


Sinopsis belakang novel:

Letaklah Allah pada cinta yang paling utama. Cinta terhadap manusia tidak salah tetapi biarlah selari dengan kehendak agama…

Apakah erti cinta?
Cinta hanyalah omong kosong pada yang tidak sanggup berkorban demi cinta!

Kerana cinta Fadhil meninggalkan kebahagiaan dunia dan belajar hidup zuhud.
Kerana cinta, Halina sanggup kehilangan kasih anak-anak.
Kerana cinta, Firdaus tenggelam dalam pelukan dunia; dan kerana cinta akan Firdaus, Mardhiah sabar menunggu.

“Janji dengan saya, awak akan tunggu saya,” ucap Firdaus.
“Awak pun berjanji dengan saya. Jangan pernah melarikan diri daripada saya,” balas Mardhiah
.

Tapi, kenapa kini Firdaus jadi lupa pada kata-kata yang pernah dia ucapkan dahulu? Mampukah merekan kenal erti cinta sebenar? Mampukah mereka berkorban demi mencari nikmat cinta itu?

Komentar saya:

Pada pandangan saya, novel Dikau Tak Pernah Jauh mengangkat nilai keikhlasan terhadap setiap perbuatan kita. Jangan kita berbuat sesuatu kebaikan itu untuk mengambil hati orang lain. Tapi lakukan ia kerana Allah.

Baiklah di sini saya ingin bercerita sedikit tentang watak yang terdapat dalam novel ini. Firdaus seorang anak yang taat kepada ayahnya. Setiap perkara baik yang di suruh dan di ajar oleh ayahnya dilakukan. Terkadang Firdaus tertanya-tanya juga kelebihan setiap perlakuan yang di anjurkan ayahnya. Ayahnya sentiasa tahu setiap yang bermain di fikiran anaknya. Dia akan menjelaskan dengan baik kepada anak-anaknya. Namun, semua itu berubah setelah ayah dan adiknya meninggal dunia. Bertemu ibu yang telah terpisah lama di tambah dengan kehidupan yang serba senang membuat Firdaus tersasar. Untuk mengetahui kesudahannya kawan-kawan kena lah beli novel ni.

Cuma di sini saya ingin mengatakan bahawa setelah Firdaus berubah setelah melalui liku hidup yang tersasar itu, dan melalui suatu peristiwa. Dia mula menilai kembali keikhlasan hatinya dalam setiap perkara yang dia telah lakukan sebelum ini. Dan ternyata Allah itu tidak pernah melupakan hambaNYA malah hambaNYA lah yang sering melupakanNYA. Sejajar dengan tajuknya Dikau Tidak Pernah Jauh, Allah menghantar insan lain untuk membantu kita memperbetulkan keadaan diri kita yang khilaf ini.

Oleh itu, jangan kita pernah merasakan Allah itu jauh. Dekatkan lah diri kita denganNYA, jadilah kekasihNYA. Apabila kita dekat dengan Allah maka orang lain juga akan mendekat dengan kita. Seperti aura kasih sayang bukan? Jadi tepuk dada tanya iman.

^_^ Selamat membaca!

~Farah Hana~