Showing posts with label Karya Seni Enterprise. Show all posts
Showing posts with label Karya Seni Enterprise. Show all posts

Dec 31, 2011

Aimie:Cabaran 50 Buku: (87) Jauh Dari Cinta


Penulis: Adah Hamidah
Penerbit: KaryaSeni Enterprise
ISBN 978-967-0246-06-2
Harga: RM21.00 / RM24.00
M/S: 636
Cetakan 2 – Oktober 2011

Semakin jauh aku berlari, semakin cinta itu menjauh pergi.
Lantas tidak lagi kumengejar, kerana aku hanya bahagia apabila kuberhenti…


Kak Chik menukil:

Perhubungan yang pernah terjalin, diputuskan oleh Nysa Sakinah apabila secara mentah-mentah cintanya ditolak Aqil. Dia menjauh kerana tidak mahu lelaki itu serba salah dan juga tidak mahu terus menyimpan harapan. Aqil sudah memilih Lily, kekasih yang sangat disayangi dan dicintai. Padanya Nysa dianggap sebagai adik semata-mata.

Setelah dia sudah menimbus wajah dan nama itu di sudut hati yang paling dalam, dia terkesima apabila jodoh yang dicarikan oleh ayahnya, lelaki yang pernah menolaknya dulu. Tetapi kini kenapa lelaki itu yang bersungguh untuk mengikat mereka berdua? Ke mana menghilangnya kekasih hati sedangkan khabar yang diterima Aqil sudah berkahwin dengan Lily? Namun Nysa tidak pernah punya kekuatan dan kesempatan untuk mencari jawapan apatah lagi dengan sikap ayahnya yang terlalu tegas dan mempercayai Aqil melebihi diri sebagai anak. Kerana rasa cinta yang masih ada, Nysa menyimpan impian untuk membina mahligai bersama Aqil tetapi sekali lagi dia terluka kerana Aqil menangguhkan perkahwinan saat segala persiapan sudah tersedia. Bukan sebulan dua tetapi sudah dua tahun Nysa diikat dan Nysa makin tertekan dengan sikap Aqil yang endah tak endah. Padanya untuk apa hubungan itu jika Aqil masih menanti Lily, si buah hatinya.

Nysa bingung dengan sikap Aqil yang sukar ditelah. Perkahwinan yang diteruskan tanpa kerelaan mereka telah menjerat Nysa dalam rumahtangga yang menyakitkan. Nysa nekad akan menghadiahkan kebahagiaan buat Aqil dengan mencari Lily kerana dia tahu bahagia Aqil hanya ada pada Lily. Hanya satu cara untuk dia perlu terus menjadi adik kepada lelaki itu untuk terus melihat senyuman mekar di bibir Aqil.

Memang Nysa berkorban rasa cinta dan bahagianya untuk memberi kebahagiaan kepada Aqil sehingga dia terlalu taksub dengan tujuannya. Dia sanggup berlakon sakit demi untuk menjauhkan diri daripada Aqil tapi Aqil makin dekat dengannya. Nysa bertekad untuk menghadiah Lily buat Aqil sehingga sanggup menyediakan segala perkahwinan buat Aqil dan Lily.

Hehehe…satu lagi karya berkisar kahwin paksa tapi rasa bukan kahwin paksa kot kerana Aqil memang tak dipaksa rasanya untuk berkahwing dengan Nysa. Cuma karya ini jadi panjang berjela-jela kerana Aqil tidak pernah mahu meluahkan rasa cinta yang sudah terpahat kukuh buat Nysa. Jadi Nysa masih percaya rasa cinta Aqil tetap buat Lily.

Watak Aqil terlalu dirahsiakan sehingga kita sukar menelah rasa hatinya dan sedikit coretan diari masih tidak mampu untuk merungkai persoalan itu.

LiFe iS a LoNG JouRNeY
-Kak Chik-

(^__^)

Aimie:Cabaran 50 Buku: (81) Bila Hati Kata Sayang

Penulis: Marissa
Penerbit: KaryaSeni Enterprise
ISBN 978-967-0246-01-7
Harga: RM18.00 / RM20.00
M/S: 447
Cetakan 2 – Julai 2011


Blurb:

Dia hadir waktu aku sudah bergelar tunang orang. Awal-awalnya, aku fikir hanya biasa-biasa saja, tetapi pada hujung-hujungnya, aku tahu semua itu bukan lagi sekadar biasa-biasa saja. Sudah menjadi sangat-sangat luar biasa.

Aduhai…Kenapa dia macam syok sahaja dekat aku? Selalu buat benda-benda yang tidak aku jangkakan. Atau aku yang terlebih syok dekat dia? Kalau betul, apa yang harus aku lakukan? Minta putuskan tali pertunangan? Atau aku kena lari bersama dengan si dia.

Aku tidak tergamak melukakan hati ayah saudaraku. Dia yang bela aku lepas ayah meninggal. Sebab kenang budilah aku tidak boleh buat apa-apa. Jodohku sudah dirancang dari mula. Kalau aku putuskan bermakna aku jadi anak saudara yang tidak mengenang budi. Aku tidak hendak jadi macam tu.

“Degil sangat ni kenapa? Nasib baik awak jauh?”

“Kalau dekat kenapa?”

“Saya cium awak!”

“Encik nak ke cium saya ni. Kan saya kuli encik. Lalu ke encik cium saya?” Aku buat-buat gelak walaupun aku tak ada mood langsung nak gelak.

“Awak berani cakap macam tu sebab kita jauh. Kalau dekat nak cakap dengan awak pun susah. Betullah kata orang, bila jauh dirindu!”

“Eh! Tolong sikit. Siapa yang rindukan encik. Tak nak saya rindukan encik tu!”Cepat saja aku menafikannya.

“Betul? Betul tak rindukan saya?”

Aku diam. Tak boleh nak jawab. Sebab memang betul aku rindukan dia. RINDU GILA!

Akan tetapi, bolehkah aku terus-terusan merindui dia? Bolehkah aku jatuh cinta kepadanya sedangkan aku tahu, semuanya sudah benar-benar terlambat.


Kak Chik menukil:

Hatinya tercuit dan dia pasti sudah temui cintanya tetapi sayangnya pada Atikah cinta itu tidak perlu dilayan atau dikejar kerana dia sudah pun terikat dengan tunang pilihan bapa saudara yang menjaganya selepas pemergian ayah. Dia tidak sanggup untuk memalukan dan melukakan Pok Leh dan Mok De yang telah bersusah payah membesarkannya. Tidak mampu rasanya dia untuk menggalas gelaran anak saudara yang tidak mengenang budi. Apa sangatlah rasa gelisah dan kecewa pada cinta yang baru bertunas di hati. Dia lebih rela menyimpan rencam hati sendiri.

Lelaki yang tidak pernah diambil tahu nama dan latar belakang itu, yang pada mulanya menjadi majikannya secara tidak langsung di tempat kerjanya. Tugasnya hanyalah mengemas bilik suite lelaki itu. Lelaki yang dikatakan garang dan serius itu, berlainan pula karektor apabila bersamanya. Ada sesuatu pada lelaki tampan itu sehingga dia bagaikan terikat dan selalu melakukan perkara yang tidak terduga apabila bersama lelaki itu. Saat lelaki itu memberi isyarat cinta, dia terpaksa menjauh dan menolak kerana dia sudah terikat dengan tunangnya, Syed… Yang hairannya, kenapa selama ini dia tidak pernah bertembung dengan lelaki itu sedangkan kata teman-teman sudah lama lelaki itu menghuni di bilik suite itu?

Saat dia sudah sepenuh hati menerima jodohnya, dia tidak pernah bermimpi yang impian cintanya akan tertunai. Namun kenapa saat hatinya sudah terbuka untuk berbahagia masih ada manusia kesumat yang berpandukan syaitan mahu meragut kesucian mahligai mereka? Ke mana nilai sayang dan cinta daripada ibu yang mengandungkannya? Apakah janji Allah tentang jodoh itu boleh ditidakkan dengan jodoh perjanjian manusia? Semua akan kita temui dalam karya ini.

Sejujurnya karya ini penuh dengan nilai yang buat kita terfikir di sebalik ayat-ayat yang mampu buat kita tergelak sampai tergolek. KakChik suka dengan olahan cerita yang tidak terlalu ditonjolkan komedi tetapi masih mampu buat KakChik tergelak. Namun begitu KakChik tetap tidak puas hati kerana kejamnya seorang ibu menidakkan hak anak kerana mengejar kemewahan hidup dan pangkat. Selain itu sikap nenek yang terlalu taksub dengan keturunan juga telah menghitamkan hatinya sehingga dia sanggup meracuni isteri cucu sendiri demi memenuhi kehendak hati. Walaupun pada dasarnya
KakChik rasa watak ayah Adriz sangat ‘dayus’ kerana dia tidak mampu untuk ‘melindungi’ anak dan menantunya kerana desakan ibunya tetapi KakChik terpaku dengan ketegasannya saat dia membela mereka ketika kunjungan keluarganya ke Kuantan. Pengakhiran yang sedikit tergantung jika kita melihat dari sudut watak gelap tetapi sudah cukup manis pada watak putih walaupun masih ada persoalan yang ditinggalkan kerana memberi kemaafan dengan lapang dada tidak semudah kita menuturkan perkataan MAAF.

LiFe iS a LoNG JouRNeY
-Kak Chik-
(^__^)

Dec 29, 2011

XX : Cabaran 50 Buku : (51) SUAMI YANG KUBENCI

SUAMI YANG KUBENCI
Penulis : E-man Sufi
Halaman : 544
Harga : RM 20.00
Terbitan : Karya Seni
Cetakan 1 - 2011


Secara ringkas :

Hannah Maryam dan Uwais Ukasyah mereka disatukan atas permintaan tok ayah yang mahu menutup malu keluarga kerana tuning Hannah, Tengku Muiz ditangkap khalwat dengan perempuan lain seminggu sebelum tarikh perkahwinan mereka. Bagi Hannah, Uwais memang tak layak memilikinya sebagai seorang isteri hanya kerana dia seorang CEO dan Uwais hanya seorang penjual burger! Mana layak enggang dengan pipit terbang bersama. Sebab tu, Hannah sentiasa memandang rendah kepada Uwais.

Selepas berkahwin, boleh dikatakan setiap hari mereka bergaduh! Hannah tak habis-habis menyakitkan hati Uwais dengan kata-katanya yang pedih, ada sahaja yang tak kena tentang Uwais di matanya. Uwais pula suka menjawab membuatkan Hannah bertambah angin dengan lelaki itu.

Tapi adegan ‘Kucing dengan anjing’ tu hanya berlaku bila tinggal mereka berdua saja. Depan keluarga masing-masing berlakon seperti pasangan bahagia! Silap hari bulan Grammy Award pun mereka boleh gondol… tapi yang sebetulnya Hannah tu cuma ego. Ego nak mengaku yang dia sebenarnya dah mula sukakan Uwais. Bila Batrisya, cikgu muda yang ayu dan sopan santun muncul Hannah mula cemburu.

Fawaz sepupu kepada Hannah, dari dulu lagi sukakan Hannah tetapi membawa diri bila Hannah membuat keputusan untuk kahwin dengan Tengku Muiz. Cara Fawaz melayan Hannah menaikkan api cemburu Uwais. Dua-dua saling cemburu tapi tak mahu mengaku! Ego tinggi melangit…

Bagi Hannah Uwais tu Suami Yang Kubenci! Tapi persoalannya selamanya ke benci?? =)


Komen saya :

Jalan cerita agaknya dah boleh kita agak kan? dari benci jadi cinta dan sayang tapi… tapi! Ha, ada tapinya… cerita nie tetap best! Tak tipu memang best dan kelakar. Bila kita dah mula baca walaupun kita tau apa akan jadi seterusnya kita tetap nak baca sampai habis. Kita tetap nak tau apa jadi dengan Uwais dengan Hannah sebab ayat yang penulis guna bagi saya memang buat kita teruja nak baca sampai penghujungnya.

Suka ja baca cerita nie tambah-tambah bahagian Uwais dengan Hannah gaduh… Hannah pulak jenis pantang dicabar. Masa Uwais cabar Hannah pecahkan tingkap kereta Mini Cooper buruk dia tu Hannah dengan selambanya pecahkan tingkap kereta tu macam tak ada perasaan. Hish, extreme betul… tu baru satu adegan. Banyak lagi adegan yang boleh buat kita gelak.

Kemudian, saya suka watak sampingan Fawaz dengan Batrisya yang bagi saya salah satu penghidup jalan cerita Suami Yang Kubenci nie. Rasa sweet ja masa Fawaz nak mengorat Batrisya… bayangkanlah dari jejak kaki ke surau tiba-tiba kena jadi mat surau? Tak apa berubah ke arah kebaikkan kan? Batrisya pun boleh tahan jugak jual mahalnya… tapi lama-lama cair jugak…

Tarikan lain bagi novel nie bagi saya adalah nama watak tu. Bab menamakan watak dalam novel memang saya tabik la dekat penulis. Nama watak semua sedap-sedap… silap haribulan ada ja orang ambil letak dekat nama anak diorang… hehe. Uwais Ukasyah dengan Hannah Maryam… nama anak-anak diorang lagi sedap Unais Ukasyah, Hannah Nafisatul Ilmi dengan Daqiq Mumtazul Hayat… berbelit lidah tapi maksud nama-nama nie memang bagus-bagus. =)

Apa pun SYK memang berbaloi di beli buat penghilang stress study. Hehe.


XX Quotes : Siapa-siapa yang belum beli lagi novel nie, bolehlah dapatkannya sekarang. Sure gelak punya… =)

Dec 21, 2011

Azim : Cabaran 50 Buku : (5)Suami Yang Kubenci

E-Man Sufi
Karya Seni


Ulasan :

Memang selalu kita dengar dan baca novel yang bertemakan kahwin dengan lelaki lain yang bukan pilihan. Ya, memang! Tema sebegitu memang banyak ditonjolkan oleh novelis-novelis di dalam karya mereka. Tak salah sebenarnya tema tersebut ditonjolkan, tapi biarlah berpada-pada, jangan sampai pembaca termuntah pulak nanti.

SYKB ini juga tak lari dari memaparkan tema tersebut. Namun begitu, keunikan yang terdapat di dalam novel ini memberi satu tarikan kepada pembaca untuk membeli.

Salah satu tarikannya ialah Mak Cik Sari. Ini watak yang paling digemari! Mak Cik Sari merupakan ibu kepada Uwais Ukasyah, watak lelaki utama novel ini. Mak Cik Sari digambarkan sebagai seorang yang sporting! Dan juga mempunyai perwatakan yang kelakar. Suka karaoke, memberi gelaran Romeo and Juliet kepada Uwais dan Hannah, dan banyak lagi lah.

Selain itu, pembaca juga tertarik dengan 'binatang penghisap darah' yang ditonjolkan dalam novel ini. Pendek kata, pacat! Aku ketawa terbahak-bahak apabila Fawaz menangis sebab takutkan pacat. Lucu! Tapi, disebabkan pacat inilah, Fawaz bertemu jodoh dengan Batrisya, anak Pak Imam. Mulalah operasi dia nak memikat. Curi selipar Jepunlah, mintak jahitkan baju Melayu. Macam-macam lagilah.

Pendek kata. Novel ini mempunyai kekuatan, keunikan. Jadi, jangan lupa dapatkan Suami Yang Kubenci. Anda tidak akan menyesal dengan novel ini!

---
Azim

Nov 17, 2011

A&N : Cabaran 50 Buku : (42) Terlanjur Mencintaimu

Terlanjur Mencintaimu
Syamnuriezmil

ISBN: 9789670246000
Penerbit: KaryaSeni Enterprise
Tarikh Terbit: Mac 2011
Halaman: 441
Harga: RM18

~ Rasaku… ~

Dah lama rasanya aku tak membaca kisah cinta-kahwin yang ditetapkan oleh keluarga ini. Selalunya asyik cerita kahwin paksa je kih5 :P

Kali ini kerana wasiat, dua insan yang tak pernah ada rasa cinta ini perlu berkahwin. Johan Iskandar yang ketika itu sedang enak berkasih dengan Intan terpaksa memilih Tengku Hanis sebagai isteri. Lagipun bukan hanya kerana wasiat, tetapi Johan begitu terdesak ingin mengetahui apa yang berlaku di antara ayah dan datuknya sehingga mereka keluar daripada STH sehelai sepinggang.

Mengahwini Tengku Hanis bukan kerana cinta tetapi menjadi suami Tengku Hanis amat membahagiakan. Walau mungkin hanya dia yang bertepuk sebelah tangan, tetapi dia tetap rasa bahagia. Bagai dilambung-lambung ke langit.

Tengku Hanis bukannya menidakkan kehadiran Johan Iskandar cuma entah mengapa hatinya sedikit keras. Bukan tidak terasa akan kasih sayang yang dicurahkan, malah hatinya sudah lama bergelora. Menyembunyikan rasa sayang yang mula bercambah dalam hati.

Wasiat yang ditinggalkan oleh nenda ada masa luput. Syaratnya Tengku Hanis dan Johan perlu mempunyai anak dalam masa 2 tahun. Seandainya itu tidak ditepati, segala harta peninggalan nendanya akan diserahkan kepada anak-anak yatim. Jadi berjayakah Johan Iskandar melumpuhkan kubu pertahanan hati Tengku Hanis? Mari kita saksikan dalam novel comel ini :D

Cerita ini disampaikan dengan mudah. Sangat teratur daripada satu babak ke satu babak, itu yang aku suka. Juga tiada konflik yang memeningkan kepala. Simple. Jadi anda akan hanya meniti rasa-rasa indah orang yang baru belajar bercinta.

Selamat jatuh cinta!

Happy reading (^-<)
---
Airina

Oct 25, 2011

AS: Cabaran 50 Buku : (51) Jauh Dari Cinta

Tajuk: Jauh Dari Cinta
Penulis: Adah Hamidah
Penerbit: Karya Seni : (Cetakan Ke-3 Nov 2011)
636 Mukasurat
Harga: RM21(SM)/RM24 (SS)

Karya Adah Hamidah yang kedua saya baca.Tidak dinafikan penulis berjaya menawan saya dengan gaya bahasanya yang indah teratur sekali lagi. Mungkin apa yang kurang bagi saya adalah apabila sudut pandang ‘aku’ digunakan. Kurangnya sebab saya sukar untuk menembusi perasaan watak-watak yang lain. Semuanya harus melalui watak Nysa Sakinah. Namun dalam Jauh Dari Cinta sudut pandangan ‘aku’ memang tepat sebab hampir keseluruhan tumpuan penceritaan adalah kepada watak Nysa Sakinah. Malah jauh dari cinta juga sebuah novel yang sarat dengan emosi dan berjaya membuatkan kita resah selagi kita tidak tahu penghujungnya.

Dalam saya dibawa menghayati setiap rasa dan kata hati Nysa, tetap wujud perasaan geram dan marah terhadap Nysa Sakinah. Dia seolah-olah buta hati kerana berterusan ingin memberi bahagia kepada Farish Aqil, suaminya yang sah dengan cara cuba menyatukan Aqil dengan Lily, cinta pertama Aqil.Dia seolah-olah telah menyerah kalah dengan menganggap memang bukan jodohnya dengan Aqil maka dia seharusnya mengembalikan Aqil kepada Lily.Adakah hal seperti itu terjadi?Menyerahkan hati seorang suami kepada orang lain seperti menyerahkan sesuatu barang.Tidakkah dia ingin menyelami hati dan segala tindak tanduk suaminya untuk mencari sinar cinta yang mungkin ada dari suami buat dirinya?

Oct 20, 2011

UA : Cabaran 50 Buku : (18) Jauh Dari Cinta

Judul : Jauh Dari Cinta
Penulis : Adah Hamidah
Terbitan: Karyaseni Enterprise
Halaman: 636 m/s
ISBN : 978-967-0246-06-2
Cetakan pertama September 2011

Kulit belakang novel :

NYSA SAKINAH.
Cintanya pernah ditolak oleh abang angkatnya, Farish Aqil. Namun Farish Aqil kembali menagih kasih, lalu dengan rela dia menerima. Satu penemuan membuatkan dia kembali sedar, siapa dirinya. Lantas dia terikat dalam perkahwinan yang menjerat.

"Duduk berkurung dalam bilik ni kenapa? Makan tak... minum tak, nak sangat jatuh sakit ke? Nysa ingat kalau kurung diri macam ni dapat selesaikan masalah?"
"Masalah dah lama selesai kalau Abang Aqil tak datang masa majlis pernikahan kita dulu."


"Oh... jadi Nysa nak salahkan abanglah ni? Kalau abang tak boleh jatuh cinta dengan Nysa, kenapa Nysa nak salahkan abang pula? Kalau Nysa dah tahu yang abang tak pernah cintakan Nysa, buatlah sesuatu supaya abang boleh jatuh hati pada Nysa, jangan duduk berpeluk tubuh dalam bilik macam ni aje!"

Namun Nysa Sakinah, tidak terdaya dia melakukan semua itu. Lantas dia bertindak menjejaki wanita yang selama ini dicintai oleh suaminya. Kembali memulangkan bahagia buat suaminya.

Oct 6, 2011

Aimie:Cabaran 50 Buku: (63) Cinta Kontrak

Penulis: Nurul Ain Syuhada
Penerbit: Karya Seni Enterprise
ISBN978-967-0246-03-1
Harga: RM20.00 / RM23.00
M/S: 586
Cetakan 2 – Julai 2011


“Bila senduk bertemu kuali, bila api bertemu sumbu bom, bila cinta bertemu tuannya.”

Sudut pandang Kak Chik:

Terpandang saja tajuk novel terus teruja nak beli dan bila dah sampai di tangan buku ni dulu yang disambar dan dibaca. Kalau karya yang kahwin paksa atau ala-ala kahwin kontrak ni macam dah kena baca la pula..He.he.he….

Gambaran kehidupan Alia Airysya diolah seolah-olah terlalu daif kehidupannya sehingga Airysya dan Along terpaksa berhenti kerja kerana kedaifan keluarga mereka. Ibunya hanya suri rumah yang terpaksa mengambil upah membasuh baju penduduk kampung manakala ayahnya nelayan. Walaupun mendapat keputusan SPM yang baik mereka terpaksa akur dengan takdir hidup. Tapi pada Kak Chik kisah ini nampak terlalu klise kerana setahu Kak Chik jika penduduk yang tinggal di pinggiran pantai kaum wanita mereka lebih kepada kerja di darat seperti membuat belacan, ikan kering atau bekerja di kilang keropok. Tak pasti pula Kak Chik pada masa kini masih ada yang terpaksa bekerja mengambil upah membasuh baju di rumah orang.

Sesuatu yang perlu kita teliti di sini karektor Airysya dibangunkan dengan karektor yang bagi Kak Chik sedikit mengelirukan di mana penulis mahu menggambarkan Airysya seorang yang kuat agama dengan gambaran luaran seperti bertudung labuh bidang 60 dan sentiasa berstoking tetapi pada masa yang sama pada Kak Chik watak dan perlakuan Airysya itu tidak seiring dengan gambaran sebagai Muslimah sejati terutama kata-kata yang dituturkan oleh gadis ini. Pada Kak Chik seorang yang berusaha untuk menjadi Muslimah sejati sudah pasti turut berusaha menjaga tingkah laku dan tutur kata tetapi pada Airysya itu bukan persoalannya.

Perkahwinan Airysya dan Muhammad Danial Fraz juga bagaikan terlalu klise hanya kerana pengakuan Danial bahawa Airysya itu kekasihnya di depan ibu bapanya sehingga Airysya tidak berusaha menolak hanya kerana mami Danial majikannya. Namun dalam diam Airysya merangka strategi untuk menggagalkan perkahwinan tersebut selepas membaca kontrak perkahwinan yang dibuat Danial tetapi dibatalkan pada saat akhir hanya kerana tidak sanggup menghancur hati Datin Airysya. Jadi kesimpulannya kontrak tu tak pernah berfungsi selepas dikoyaknya sebelum akad nikah.

Pada Kak Chik karya ini lebih kepada untuk hiburan kerana penulis bagaikan menggarap sesuatu yang berlebihan terutama kelakuan Airysya seperti melempar selipar ke belakang Airysya ketika pulang dari solat terawih dan memanggil Danial khadam di depan keluarga walaupun hanya sekadar gurauan. Kalau ikut logik akal ada tak suami yang terlalu baik seperti Danial sehingga langsung tak berusaha untuk melawan malah pada Kak Chik dia seperti dayus hanya membiarkan si isteri terleka dengan sikap dan kelakuan yang sukar diterima akal.

Selain itu Kak Chik tertanya-tanya juga kenapa Airysya masih tetap bertudung ketika di dalam rumah sedangkan tiada yang menghalang dia untuk membuka tudung di depan suami dan bapa mertuanya. Pada Kak Chik alasan yang digunakan kerana dia malu untuk membuka tudung di depan orang lain kerana tidak biasa adalah sesuatu yang hanya menyusahkan sedangkan ajaran agama Islam itu tidak pernah menyusahkan penganutnya.

Pada Kak Chik karya ini masih lemah dari segi susunan bahasa dan terlalu klise kerana mereka adik beradik digambarkan terlalu beruntung dengan mendapat suami atau teman lelaki yang berwajah tampan dan kaya raya. Namun begitu Kak Chik perlu berfikir dari sudut positif kerana penulis masih terlalu muda lalu kesilapan dan kelemahan ini masih boleh diperbaiki pada masa hadapan.

Namun masih ada nilai-nilai murni yang boleh kita pelajari dari karya penulis muda ini.

LiFe iS a LoNG JouRNeY
-Kak Chik-
(^__^)