Sep 24, 2008

Majlis Iftar Kaki Novel

Salam semua,

Hujung minggu yang lalu, aku menerima undangan berbuka puasa dari bos kaki novel - En Ryzall. Majlis diadakan di pejabat urusan Kaki Novel di D'wangsa, Wangsa Maju.

Antara yang hadir adalah 'kaum keluarga' kaki novel seperti Izzul Izzati & keluarga, Rabiatul Adawiyah & keluarga, Aimy Najwa & keluarga serta warga baru KN iaitu Anita Aruszi & keluarga. Selain daripada itu, Nicky, mamaerra, carrie, kaknOOr dan wabbit juga hadir memenuhi jemputan. Majlis berlangsung dalam suasana santai penuh kekeluargaan.

Majlis berbuka puasa ini juga untuk meraikan kelahiran novel untuk bulan Oktober terbitan Kaki Novel iaitu Bunga Syurga hasil karya Anita Aruszi.

Buat warga kerja kaki novel ~ Adeq, Azim, Fit & Taha ~ serta bos KN & keluarga terima kasih yang tidak terhingga atas undangan ini. Moga KN akan terus suksess...


Note: Terima kasih daun keladi buat 'keluarga KN'... siap dibekalkan lagi untuk bawa balik... hehehe :-)

Sep 12, 2008

Novel Bulan September - Terbitan NB Kara




Penerbitan NB Kara
Tajuk : Belahan Jiwa
Penulis : Zara Aluwi
Harga : RM19.90


Sinopsis:

Mereka semua dicintai dan disayanginya. Namun takdir Tuhan, seorang demi seorang dijemput Ilahi dengan alasan tersendiri. Bagi Anne, walau hatinya pedih dan luka, dia terpaksa menerima takdir yang bertandang. Ketika Alex datang mengetuk pintu hati, Anne tahu dia tidak sanggup lagi kehilangan. Cuma Anne tidak sedar… Dugaan ada dimana saja. Dan sekali lagi… dia harus menghadapi cabaran akan kehilangan seorang lagi belahan jiwanya...

Akan Datang Daripada PTS

Satu lagi novel terbitan PTS akan menemui anda.


Sinopsis:

Yasmin Zulaikha Basri, graduan Syariah universiti tempatan kembali ke kampungnya, Desa Sempadan selepas tamat pengajian di Universiti Malaya kerana gagal beroleh kerja di kota. Dia menyertai program homestay yang diusahakan di desa. Yasmin Zulaikha, wanita muda yang digambarkan bersemangat waja, berani menongkah arus, tidak mahu ketinggalan dalam aspek kepimpinan dan pada masa sama berusaha sedaya upaya untuk terus tekal istiqamah di landasan syarak.

( Tak sabar nak baca karya terbaru Salina Ibrahim kerana aku adalah salah seorang penggemar karya-karya beliau bersama Creative..!! )

Sep 10, 2008

Laskar Pelangi The Movie

Ya... bagi peminat setia Andrea Hirata yang terkenal dengan Tetralogi Laskar Pelangi... kini Laskar Pelangi The Movie bakal menemui anda semua.

Atau anda boleh lawat sini untuk butiran lanjut.

(huhuhu tak sabar nak tengok... tapi untuk tayangan di Malaysia bila agaknya ya??!!)

Novel Baru...

Salam Semua,

Rasanya sudah lama rumah ini sepi dari cerita tentang buku-buku terbaru yang telahpun berada di pasaran mahupun akan datang daripada penerbit-penerbit buku di Malaysia.

Entah ya, nak kata tak ada masa... rasanya itu bukan alasan yang kukuh kerana aku memang tengah lapang dari sebarang tugasan atau kerja yang perlu dibereskan. Tapi apa yang pastinya, sindrom 'M' yang melanda diri aku, itulah alasannya.

Okeylah... untuk kali ini aku sempat mengintai beberapa laman penerbit yang pastinya menjanjikan sesuatu buat kalian.


**^**


Penerbitan Alaf 21

Tajuk: Hijab Sang Pencinta
Penulis: Ramlee Awang Mursyid
Halaman: 520
Harga: RM19.90


TRILOGI BAGAIKAN PUTERI, 'HIJAB SANG PENCINTA'

RASA rindu terhadap keluarga menggamit hati Saifudin merentasi Tanah Sumatera untuk pulang ke Punggor, Tanah Melayu. Namun, kejahatan seolah-olah memburunya. Setiap langkahnya dibayangi halangan yang tak berkesudahan.

Berita kepulangannya di Tanah Melayu sampai ke pengetahuan Sultan Melaka. Kemarahan baginda kerana tidak dapat mengahwini Haryani menyebabkan dia mula menjadi buruan orang istana.

Saifudin lari ke gua. Di situlah bermulanya satu lagi keajaiban. Jasadnya berpindah merentasi hijab masa untuk sampai ke abad 21. Sekali lagi Saifudin bertemu dengan Haryani dan kisah cinta yang melangkaui masa mekar semula.

Namun, kejahatan yang senantiasa mengiringi setiap injak kakinya masih mengekori. Kali ini tebakan musuh durjana mengakibatkan sengketa yang tercetus di langit berlaku lagi.

HIJAB SANG PENCINTA - pelengkap trilogi Bagaikan Puteri dan Cinta Sang Ratu ini sarat dengan konflik hingga ke akhir. Lagenda minda, Saifudin atau Laksamana Sunan ciptaan Ramlee Awang Murshid sekali lagi menggentar perasaan dan menggetar naluri anda yang menghayatinya. Ikutilah epik thriller ini...

**^**

Penerbitan Creative

Tajuk: Cinta Pertama
Penulis: Haslinda Ismail
Harga: 23.90

NISHA… dalam dilema kerana dianak tirikan oleh ibunya sendiri tanpa sekelumit kasih sayang. Melarikan diri adalah cara terbaik untuk membuktikan kebolehan diri pada ibunya. Dalam kegetiran dia belajar sebagai pelajar jarak jauh dan juga bekerja keras demi mencari wang untuk perbelanjaan dirinya, dia terpaksa berhadapan dengan peristiwa yang tidak pernah disangka-sangka. Dia terpaksa berkahwin dengan lelaki yang bukan pilihan hatinya kerana salah faham. Walaupun perkahwinannya tanpa dirancang tetapi dengan kehadiran lelaki yang bernama sang suami membuatkan dirinya bahagia kerana itulah cinta pertamanya.

Dalam membina kebahagiaan rumah tangganya dia berhadapan pula dengan bekas isteri suaminya, kerana salah faham dia juga telah dihalau keluar dari rumah oleh suaminya tanpa mengetahui bahawa dia sedang mengandung dan juga menghidap kanser rahim. Demi kasih sayang pada suaminya Irwan, Nisha juga merahsiakan penyakitnya dan ingin melahirkan anaknya walaupun dia tahu dirinya kini dalam bahaya.

Adakah Nisha dapat mengembalikan cinta suaminya? Mampukah Irwan menghadapi saat-saat isterinya yang bertarung dengan maut untuk melahirkan zuriatnya?

**^**

Tajuk : Jauh Di Sudut Hati
Penulis : Norhazriana Abdullah
Harga : 27.90

CINTA Najiha pada Farhan mekar tersendiri di dalam hati ketika di alam persekolahan namun kejadian diari yang hilang mengakibatkan perasaan yang meranum itu padam tiba-tiba. Pertemuan dengan Ahmad Najib membuka lembaran baru dalam hidupnya. Mengenali Ahmad Najib seperti melalui hari yang sangat bermakna kepada Najiha. Jejaka itu tulus menghulur salam dan tanpa disedari, ada perasaan halus menyelinap dalam diri Najiha.

Hari-hari mendatang bagaikan pelangi pagi yang menerbitkan warna ceria namun kemunculan Syed Rahizam seperti petaka yang membunuh segalanya. Najiha tersepit antara keikhlasan Ahmad Najib dan kerakusan Syed Rahizam yang sudah hilang kewarasan.

Antara dua jejaka, Najiha menyambut salam George yang sentiasa menaruh harapan walaupun mengetahui gadis itu tidak akan semudah angin lalu datang dan bertakhta di persada perasaannya. Tiga lelaki yang mencetus pelbagai warna kehidupan menjadikan Najiha matang menilai kemanusiaan dalam meniti arus kehidupan. Najiha membawa lara hati bersama lelaki yang paling tulus. Siapakah dia di hati Najiha?


**^**

Penerbitan Kaki Novel

Tajuk : Bunga Syurga
Penulis : Anita Aruszi
Harga :

Riffki - Dia melihat cinta pertamanya dalam wajah suci sang gadis yang dahagakan secangkir kasih. Namun dingin hati lelakinya terus menolak kehadiran rasa dalam diri. Pertemuan demi pertemuan membibit rasa rindu. Tetapi sayang yang tidak terucap seumpama racun menjalar. Bila hati semakin tidak tertahan, kesakitan terasa perit mencengkam. Cinta sepatutnya memberi, mengasihi dan menerima. Tetapi cintanya hanyalah menyakiti mengasari dan menyeksa diri. Semakin banyak dia memberi, semakin jauh cintanya lari.

Hijjaz - Hablur-hablur rindu sudah lama ternoktah dalam hidupnya. Kesepian membuatkan dia sering bermimpi di siang hari. Namun tidak pernah terlintas di mindanya akan terbit satu saat di mana dia mula merindui insan yang terlalu berbeza. Namun menyayangi lelaki itu bagaikan menyayangi bayang-bayang sendiri. Semakin jauh dikejar semakin dirinya ditinggalkan. Suatu masa dia sudah lelah mengejar bila hakikat maha nyata terhampar di hadapan mata. Mungkin ini takdir azali, satu langkah abadi membongkar sebuah tragedi.

Pencarian cinta dan kasih sayang yang didambakan oleh Nurul Hijjaz terhadap Riffki dan datuknya membawanya ke jalan yang berliku dan penuh dengan ranjau. Riffki yang telah kehilangan cintanya akibat peristiwa pengeboman di Bali telah berubah kepada seorang yang dingin. Cinta di hatinya telah mati bersama Nurlaila. Kemelut persahabatan di antara Datuk Amiruddin Bakri dan Megat Hazmin Iskandar turut mengheret Riffki dan Nurul Hijjaz ke kancah penderitaan. Siapakah Riffki yang sebenarnya? Apa kaitannya dengan Nurul Hijjaz? Mengapa mereka dipertemukan?


**^**

Penerbitan PTS

Penulis: Bahruddin Bekri
Penerbit: PTS One
Harga: RM22.90
Muka Surat: 448 halaman


Adly yang sangat percaya doa ibunya adalah senjata dia menempuh kehidupan. Doa ibu yang mujarab membuatkan dia dapat masuk universiti. Apabila ibunya meninggal dunia, dia hampir berputus asa. Kemudian, dia mendapat tahu ada beberapa golongan yang makbul doanya. Bermula pencarian Adly untuk mendapatkan sekurang-kurangnya 40 doa daripada setiap golongan supaya dia lulus cemerlang peperiksaan.

Sep 5, 2008

Belasungkawa

Salam semua...


Malam tadi kita dikejutkan dengan kehilangan satu lagi tokoh kewartawanan dan pejuang kemerdekaan, Tan Sri Abdul Samad Ismail yang lebih dikenali sebagai Pak Samad. Beliau yang memulakan kerjayanya sebagai pemberita Utusan Melayu pada 1940, begitu sinonim dengan sejarah persuratkhabaran dan sejarah negara.


SEDIKIT BIODATA PAK SAMAD

Beliau dilahirkan di Singapura pada 18 April 1924 merupakan lulusan Senior Cambridge pada tahun 1940. Mula berkhidmat dengan Utusan Melayu pada tahun 1941 ketika berusia 16 tahun sebagai pelatih tanpa gaji. Kemudian beliau diberikan gaji RM10.00 sebulan dan akhirnya dinaikkan RM30.00 sebulan. Beliau bekerja di bawah kepimpinan Bapa Wartawan Melayu, Abdul Rahim Kajai. Pada masa pendudukan Jepun, Pak Samad terus berkhidmat di bawah Abdul Rahim Kajai dan Ishak Haji Mohamad sebagai Penolong Pengarang Utusan Melayu. Apabila Utusan Melayu ditukar menjadi Berita Malai dalam huruf roman, Pak Samad kekal dengan jawatannya sebagai Penolong Pengarang. Sekitar tahun 1944/45 beliau dilantik sebagai Pengarang Berita Malai apabila Ishak Haji Mohamad berhenti menjadi Pengarang akhbar tersebut.

Apabila Jepun menyerah diri pada tahun 1945 dan British kembali memerintah, Pak Samad ditahan di dalam penjara atas tuduhan menghasut rakyat semasa pendudukan Jepun. Beliau kemudiannya dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan "hasutan" tetapi dibebaskan oleh mahkamah. Setelah dibebaskan daripada penjara pada tahun 1946, beliau kembali berkhidmat di Utusan Melayu pada tahun 1946 sebagai Penolong Pengarang di bawah Yusof Ishak, bekas Presiden Republik Singapura. Pada tahun 1951, Pak Samad ditangkap oleh British di bawah Undang-undang Darurat tetapi dibebaskan pada tahun 1953. Beliau kemudiannya berkhidmat semula dengan Utusan Melayu sehingga tahun 1958. Pada tahun 1958 beliau berkhidmat dengan Straits Times Singapura dengan memegang jawatan sebagai Pengarang Berita Harian. Kemudiannya pada tahun 1972, Pak Samad dilantik sebagai Timbalan Ketua Kumpulan Pengarang di New Straits Times. Pada tahun 1976 beliau ditangkap di bawah Undang-undang Keselamatan Dalam Negeri dan hanya dibebaskan pada tahun 1981. Pada tahun 1982, beliau dipanggil semula oleh New Straits Times untuk menjadi Penasihat Sidang Pengarang sehingga persaraannya pada tahun 1987.


POLITIK

Dalam bidang politik, Pak Samad menjadi pengikut Ibrahim Haji Yaakob dan Ishak Haji Mohamad dalam Kesatuan Melayu Muda dan pertubuhan KERIS semasa pendudukan Jepun. Menjelang Jepun menyerah diri pada tahun 1945, Pak Samad menjadi utusan/wakil KERIS ke Kongres Melayu Kuala Lumpur yang dikatakan diadakan oleh Ibrahim Yaakob untuk memproklamir kemerdekaan untuk Malaya. Pak Samad bersama Aziz Ishak, bekas Menteri Pertanian dalam Kerajaan Perikatan Tunku Abdul Rahman, telah menubuhkan Gerakan Angkatan Muda (GERAM), yang menjadi anggota Pusat Tenaga Rakyat, iaitu satu gabungan parti-parti radikal Melayu yang menentang gagasan Malayan Union.

Pak Samad bersama Ishak Haji Mohamad dan Ahmad Boestamam menjadi wakil PUTERA menggubal Perlembagaan Rakyat (Peoples' Constitution), sebagai alternatif kepada Federation Agreement yang digubal oleh British dan UMNO.

Pada tahun 1954, Pak Samad bersama Lee Kuan Yew, menaja Peoples' Action Party di Singapura. Pada tahun 1958, beliau berhenti daripada parti tersebut untuk menjadi anggota UMNO Singapura sebagai Pengerusi Tetap.


SASTERA

Pak Samad mula menulis cerpen semasa pendudukan Jepun. Antara novel-novel yang dihasilkannya dalam tahun enam puluhan ialah: Patah Sayap Terbang Jua, Hussein Zed, Kail Panjang Sejengkal, Orang Jauh, Tembok Tidak Tinggi, Detik-detik Cemas, Menimba Yang Jernih. Di antara antoloji cerpen Pak Samad ialah Mastura, dan Temasya Tinta. Pak Samad juga menulis buku tentang kewartawanan dan penulisan, iaitu Kursus Wartawan, dan Mengasah Bakat.


PENGANUGERAHAN

1968 – Anugerah bintang “Johan Mangku Negara” (JMN) daripada Yang di-Pertuan Agong.
1976 – Anugerah "Pejuang Bahasa" daripada Kerajaan Persekutuan.
1987 – Anugerah "Doktor Persuratan" daripada Universiti Kebangsaan Malaysia.
1988 – Anugerah "Tokoh Wartawan Negara" daripada Malaysian Press Institute.

Pemergiannya yang begitu hampir dengan sambutan ulang tahun kemerdekaan negara ke-51 amat dirasakan kerana Pak Samad antara anggota delegasi negara ke London pada 1956 untuk rundingan kemerdekaan.


Al-Fatihah.

(sumber : http://www.penerbit.usm.my/pen2006/SSU/ASIbm.html )