Jun 17, 2011

AMAL : Cabaran 50 Buku : (2) Indahnya Hidup Tanpa Derita

Tajuk Buku : Indahnya Hidup Tanpa Derita
Penulis : Noor Laila Aniza Zakaria
Terbit : Galeri Ilmu
Muka Surat : 242


Buku ini lebih kearah rohani dan dapat membuka mata pembaca terhadap kehidupan yang berlaku disekeliling. Buku Terbitan Galeri Ilmu ini menghimpunkan kisah-kisah benar tentang masalah rumah tangga, anak-anak, menantu dan masalah mertua. Kisah-kisah yang dihimpunkan adalah hasil luahan pengadu kepada penulis yang mana penulis merupakan salah seorang perunding motivasi di Syarikat Excel Training & Consultancy.

Susulan kisah benar yang dipaparkan, penulis memberi nasihat dan panduan terhadap pengadu. Nasihat dan panduan tersebut sangat berguna dan bolehlah diamalkan oleh pembaca yang mempunyai masalah yang hampir serupa. Setiap yang beriman pasti akan diuji, tetapi bagaimana cara untuk menghadapi ujian tersebut perlulah dipelajari. Sesungguhnya tidak ada masalah yang tidak dapat diselesaikan. Hidup pasti indah apabila derita berjaya diatasi!

Petikan Pilihan 1

Wanita itu menelefon saya ketika saya sedang menikmati minum petang
“Puan, bolehkah jika saya berdoa untuk suami saya?” wanita itu bertanya.
“Eh, mengapa pula tidak? Apatah lagi jika seorang isteri mahu mendoakan suami yang tercinta.” Soalan wanita ini mengundang hairan ke dalam benak saya.
“Bukan itu maksud saya puan. Saya hendak doakan supaya Allah ambil nyawa suami saya. Saya sudah tidak tahan hendak membela dia,” saya terdiam di hujung talian mendengar keluhannya.


Petikan Pilihan 2

Baru sahaja habis memberi ceramah di sebuah agensi kerajaan di Putrajaya, seorang wanita dalam lingkungan umur 40-an menanti saya di muka pintu.
“Ada apa-apa yang puan hendak bertanya?” Saya memulakan bicara.
“Tidak apalah. Biar yang lain bertanya dulu, saya tunggu. Di sini keadaannya tertutup sedikit,” perlahan wanita itu menjawab.

Di wajahnya ada garis-garis halus sesuai dengan usianya.
“Saya tidak tahu hendak mulakan di mana. Tapi, semua orang tidak percaya pada apa yang saya ceritakan.”
Saya angguk

“Suami saya berzina dengan isteri orang! Perempuan itu sedang mengandung sekarang ini. Tidak tahulah sama ada kandungannya itu anak suami saya atau anak suaminya sendiri. Baju mengandung perempuan itu pun suami saya yang belikan. Guna duit saya! Saya jumpa resit di dalam kereta. Apabila saya tanyakan hal itu padanya, terus saya kena tampar. Semua orang kata saya berbohong. Ahli keluarga sebelah saya dan sebelah suami pun tidak mempercayai cerita saya ini.”



Sinopsis

"Kadang-kadang kita merasakan dugaan kitalah yang paling besar, sedangkan ada banyak lagi orang lain yang diuji dengan dugaan yang jauh lebih dahsyat."

Indahnya Hidup Tanpa Derita mengumpulkan 40 kisah benar dugaan dan badai rumah tangga yang dilalui oleh masyarkat hari ini. Namun watak-watak di dalam buku ini telah diubah suai bagi menjaga maruah dan kebajikan bersama.

Buku ini turut dilengkapi dengan pakej nasihat dan tip-tip keagamaan dan psikologi untuk dijadikan rujukan dan panduan kehidupan. Banyak perkara menarik dikongsikan di dalam buku ini kerana yang dipaparkan kadang-kadang merupakan kisah ekstrem yang tidak terjangkau dengan akal fikiran.

---
Nur Amalina

2 comments:

lia said...

buku ni beli kat mana? menariklah... agak2 pesta buku selangor nanti ada tak?

aimie_afifah said...

terima kasih pada AMAL kerana resensi buku ni...telah membuka hati saya untuk membeli buku ini...