Nov 7, 2008

Travelog HAJI Melepasi Sempadan Iman

Prof Muhd Kamil Ibrahim,
PTS Islamika
Harga: RM 26.00
ISBN 983-192-355-3
Barcode: 9789831923559
Jumlah Halaman: 178 halaman

Sebuah journal yang ditulis penulis dengan begitu ikhlas. Tulisannya yang lahir dari lubuk hati, tembus menusuk jiwa pada siapa yang membacanya. Dia menulis penuh dengan rasa rendah diri dan sentiasa mengagung-agungkan Tuhan. Bahasanya mudah dicerna, santai-santai saja. Dia berjaya menzahirkan apa yang tersurat dan tersirat dalam pencarian untuk menjadi tetamu Allah yang teristimewa.

Baginya keimanan, ketaatan dan doa-doa yang lahir dari hati adalah senjata yang dapat mempermudahkannya untuk menjadi tetamu istimewaNya. Kini aku yakin bahawa doa tidak semestinya kita memohon dengan bahasa Arab yang kurang difahami maksudnya(jahil berbahasa Arab). Bacalah doa dengan bahasa yang kita fahami. Ia lebih mudah menzahirkan apa yang kita pohonkan. Bahawasanya Tuhan itu maha pendengar. Maha penyayang. Maha pengampunan. Subhanallah.

Buku ini benar-benar mengajar aku untuk membelek diri. Betapa ruginya aku selama ini mengabaikan nikmat yang dipinjamkanNya. Dalam usia sudah menjangkau angka empat puluh ini, aku sudah rabun dekat. Seperti jua penulis buku ini. Perlahan-lahan nikmat yang dipinjamkanNya telah ditarik balik. Esok entah nikmat apa lagi yang diambilNya. Sedangkan Al-Quran hanya sempat ku khatamkan kurang dari lima jari.

"Nikmat Tuhan manakah yang kamu dustakan" Ayat Ar-Rahman

Benar seperti apa yang diingatkanNYA. "Demi masa manusia itu dalam kerugian, kecuali mereka-mereka yang beriman dan beramal soleh dan mereka itu pula berpesan-pesan dengan kebenaran dan kesabaran..." - Ayat Al-'Asr

Pada mereka-mereka diluar sana, dapatkanlah buku ini pasti anda ingin mendapatkan kad jemputan dariNya selepas usai membaca Travelog HAJI Mengubah Sempadan Iman.

Pada saudara-saudaraku dan jua pembaca blog ini, disini aku mengambil kesempatan memohon ampun dan maaf jika ada kata-kataku yang telah menyakitkan dan keterlanjuran yang tidak disenghajakan mahupun yang disenghajakan. Astaghafirullah.

Nota kaki: Aku jua ingin seperti penulis. Doakan Dia menerimaku sebagai tetamu yang teristimewaNya. Subhanallah. Maha suci Tuhan yang menjadikan tujuh petala langit dan tujuh lapis bumi.

2 comments:

wanAmalyn said...

kakmOn... *peluk dia kuat2*
terima kasih kerana sudi berkongsi informasi... (boleh tak wan nak copy masuk dlm umah wan??)

wan doakan semoga perjalanan kakmOn dalam peliharaan yang maha Esa... semoga kakmOn dipermudahkan dalam segala urusan tatkala menjadi tetamu-Nya di sana nanti... semoga kakmOn diberikan kesihatan yang baik2... & wan doakan semuanya yang baik2 untuk kakmOn.

Ameen... ameen...

Nina Suria said...

salam wan, baru berkesempatan masuk kerumah ini lagi. KakmOn tiada halangan silakan ;)