Aug 11, 2011
UA : Cabaran 50 Buku : (1) Quartet
Judul : Quartet
Penulis : Saidatul Saffaa
Terbitan: Jemari Seni Sdn. Bhd.
471 Halaman
Cetakan pertama April 2011
Sinopsis novel :
Ini kisah sekeping hati yang dicalit empat rona indah
sayangnya dia terlupa yang pelangi itu
jalurannya tujuh;
dan salju pula jadi cair dipanah mentari
lalu berguguran dihembus bayu luruh.
Ini kisah sekeping hati yang berkali-kali diuji,
takkan bercahaya pelangi sebelum hujan,
takkan bersinar indah bintang-bintang,
tanpa gelap malam.
Kata hati ini mengenai novel ini :
Quartet…Buah tangan kedua daripada Saidatul Saffaa. Sebuah novel yang saya kira sebagai novel pembangun jiwa. Novel yang mengisahkan kehidupan seorang Rumaisa dalam perjalanannya mencari cinta insani dan hakiki. Hakikatnya, cinta itu adalah fitrah insani. Sebuah perasaan indah lagi membahagiakan yang ditiupkan oleh Allah ke dalam setiap hati-hati hambaNya. Dan kerana fitrah jugalah, Misa cenderung untuk menyukai malah jatuh hati pada lelaki-lelaki budiman dan beriman dengan harapan hadirnya lelaki itu sebagai suami bisa membawanya lebih dekat padaNya.
Perjalanan kehidupan, kita merancang dengan cita-cita, tetapi Allah merancang dengan cintaNya. Misa mengharapkan Bilal untuk menjadi 'Imam'nya, tetapi Bilal takdirnya untuk Bella. Sakitnya terasa, luluhnya jiwa saat mengetahui Bilal bakal mendirikan rumahtangga. Merasakan Allah tidak adil buatnya. Maka, kerana cinta yang tidak kesampaian itu, Misa ingin mati. Azra dan Milah, sahabat yang diutuskan Allah buat Misa. Untuk menyedarkan dan menasihati akan perlunya hidup rasa BerTuhan.
Akhirnya kesedaran bahawa sememangnya Allah itu Adil, diuji setiap hambaNya kerana sayangNya Dia kepada hambaNya. Mendekatkan diri kepada Allah, mengenaliNya membuatkan Misa lebih kuat menghadapi kekecewaannya dengan Ustaz Mustaqim. Bagi mereka yang sering kecewa dengan cinta, bacalah novel ini sebagai panduan juga pengajaran. Menghayati kisah Quartet meningkatkan rasa Cinta kita padaNya, meluaskan rasa rindu kita pada Rasullullah, mencambahkan kasih kita pada kedua ibubapa dan sahabat kita.
---
Ummu Ammar
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment