Nov 6, 2008

Pengumuman...


(dipetik daripada Buletin Jemari Seni Publishing)

Jemari Seni ada buku 3 + 1 untuk bulan November tau... lihatlah sampul kulitnya yang cantik, lukisan ini dilukis oleh Syah dari Pulau Bali, Indonesia. Panoramanya, dipilih oleh Kak Ajah... dan Kak NiLA suka melihat sampul kulit yang harmonis ini....


Tiga penulis wanita Jemari Seni Publishing berbicara tentang cinta dalam sebuah Kebun Mimpi...

Ceritera I – Kebun Mimpi... oleh Noor Suraya

Masih ingat pada karya pertamanya, Keranamu Ain... ? Inilah lanjutan kisah Ain Najwa selepas itu.

Sudah Ain tanam, sudah Ain semai... namun tidak satu pun yang bertunas itu rupa-rupanya kembang menjadi bunga! Bagaikan kebun mimpi... apa yang hadir dalam hidup Ain ini sekadar sebuah kenang-kenangan.

Ceritera II – Tas Merah Jambu oleh Syud

Gara-gara sekeping kad raya yang ada gambar seekor kucing putih gebu, hidup Nisa tak keruan dibuat dek Anna, Lin dan Nini. Sementara kawan-kawan si penerima kad misteri itu, sedang menyenaraikan suspek: siapakah peminat rahsia Adif? Aiman terus menyiasat, Adif pula jadi resah gelisah.

Jomlah sama-sama ikut Syud membongkar misteri hati Nisa-Adif ini...!

Ceritera III – Albatros: Antara Langit dan Bumi oleh Rnysa

“Ya. Kalau sayapnya elok lagi, ‘dia’ boleh terbang...” balas Ehsan.
Izzah rasa dia yang perlukan sayap sekarang, mata Ehsan yang bening sedang mencuri pandang sejenak, menikam ke dalam tangkai jantungnya. Mata itu duta hati, dan jika mata dengan mata itu sudah bertemu, tentulah larutnya jiwa.

Encik Albatros, pinjamkan sebentar sayapmu itu! Aku mahu lari daripada terkena panahan cinta! bisik Izzah.

Membaca blurb pun, tentu adik-adik Kak NiLa sudah tertanya-tanya cerita yang bagaimana ya, buku kali ini? Apa yang boleh Kak NiLa nasihatkan ye... belilah!

Okey, sebagai permulaannya... setelah lama tidak menulis di sini, itu sahaja pengumuman daripada Kak NiLA.

Butiran Novel:

Judul: Kebun Mimpi
Penulis: Noor Suraya, Syud & Rnysa
Harga: RM21.50
Catatan: Mulai di pasaran: 20 November 2008

*Harga tawaran Jemari Seni – RM19.00 dan boleh dipesan secara online mulai 18 November 2008

Selamat membeli dan membaca...

Salam,
Kak NiLA

* * * * *

Sedutan cerita:

1. Kebun Mimpi... daripada Noor Suraya
“Adam tak nak tidur lagi?”
“Nak mulakan juz baru ni... Ain tidurlah. Kalau sudah ke pelantar, tak tahu ada masa atau tidak.” Kata Adam. Matanya bening... melihat Ain terbaring di sofa panjang, hatinya jadi terusik. Ain sudah tidak selesa untuk bergerak lagi, kasihannya. Tapi Ain ni... masih ada hati berbaring di sofa yang sendat ala-ala Cleopatra begitu.
Setiap kali melihat Ain yang termengah-mengah begitu, membuat dia juga rasa bersalah kerana pernah menggores hati uminya di rumah. Begitulah umi mengandungkannya dulu dengan bersusah payah... apabila dah besar panjang begini, dah nak jadi bapa orang pun, dia juga masih melawan kata-kata umi. Kalaulah ini Ramadan yang terakhir, masihkah dia sempat memohon ampun dan maaf daripada umi? Esok pagi-pagi di pejabat dia akan telefon umi dan abah minta ampun! bisik hatinya.
“Kenapa tengok Ain macam tu?”
“Sebenarnya selama ini saya tidak pernah tengok Ain betul-betul... kan? Ain tidak banyak berubah sejak zaman sekolah.”
“Mujur tak tengok betul-betul, kalau tak mesti Adam dah pilih orang lain...! Hanya kerana salah pandang, Ain yang bertuah.” Kata Ain, cuba mengiring sikit.


2. Tas Merah Jambu daripada Syud
Gadis itu sedang tercegat berdiri, seolah-olah sedang menunggu seseorang. Adif terkedu buat beberapa ketika, dan pantas fikirannya menimbang sama ada dia patut bangun dan menegur, ataupun duduk sahaja di sini dan melihat siapa yang ditunggu Nisa.
Pilihan pertama? Atau pilihan kedua? Atau... pura-pura berjalan di sebelahnya dan manalah tahu Nisa menegurnya....A, B atau C? Macam nak kena cari alternatif untuk pilihan D jek.
Dia berkeputusan untuk memilih A, namun belum sempat dia berbuat apa-apa, orang yang ditunggu Nisa sudah tiba. Dan orang yang ditunggu Nisa tidak lain dan tidak bukan lelaki berdarah campur itu, yang terus membuatkan Adif menjana pilihan untuk D.
D - Duduk dan tidak berbuat apa-apa kerana semua cadangan tiga pilihan di atas tidak sesuai dijalankan.
Terus dia mengalih pandang. Tidak mahu terus memandang. Namun matanya masih lagi degil mengerling, dan dia lihat Nisa mengambil sesuatu dari tangan lelaki itu. Dia nampak Nisa ketawa, dan tersenyum.
Adif menggeleng sendiri. Akhirnya dia bangun, dan memusingkan badannya menghadap dinding. There. Safe.


3. Albatros: Antara Langit dan Bumi daripada Rnysa
“Burung tu dapat ikut kapal-kapal selama beberapa hari. Selama tu ia melayang dengan tak turun dan hinggap di mana-mana.” Terang Ehsan.
“Macam hati manusia juga...” sambung Ehsan bersahaja.
“Apa pula kaitannya albatros dengan hati?” pantas Izzah menyoal. Profesor Abu turut hairan dengan analogi anak didiknya itu.
“Ya lah, hati manusia... mengikut kita berhari-hari, berbulan-bulan, bertahun-tahun... tapi tak mahu turun dan hinggap di hati orang yang diikutnya. Terbang melayang-layang di atas sana. Entahkan bila akan singgah, kita pun tak tahu....” Pandangan mata Ehsan terhenti pada muka Izzah yang sudah kemerahan.
“Adakah bab ini termasuk dalam tesis awak, Ehsan?” usik Profesor Abu yang sudah dapat menangkap maksud yang tersirat. Bibirnya membunga senyuman. Anak muda dilamun cinta, bisik hati kecilnya.
“Ya, Profesor. Tesis yang tidak pernah selesai!” Mata Ehsan masih terarah pada Izzah yang kembali membaling roti kering ke dalam laut. Empat orang lagi pelajar Profesor Abu yang mengikut kajian hari ini hanya tersenyum sesama sendiri.


* * * * *
Nota kaki: Wan sudah teruja membaca 'sneak preview' ni... tak sabar nak tunggu tarikh keramat 18 November =)

2 comments:

Nina Suria said...

salam tahniah kak Nila, Em, Syud dan Rnysa. Moga tetap menulis dan menulis kearah kebajikan :)

sayang semua
kakmOn

Anonymous said...

Nina, tq...

selamat berangkat...