TAK SECANTIK HUSNA
Penulis: Ainul Hazrah
Halaman: 504
Harga: RM19.90
ISBN: 978-983-124-551-4
Sinopsis:
LUQMAN HARIEZ disuruh memilih salah seorang daripada tujuh cucu perempuan mak tok untuk dijadikan isteri, sementelah hatinya masih kosong. Malangnya, dia cuma diberi masa seminggu untuk mengenali hati budi mereka. Semua ini dilakukan demi menghormati permintaan opah dan mak tok.
Sejak mula lagi, Hariez dapat merasakan bahawa Husna, gadis yang paling cantik dan lemah lembut, seakan-akan sudah mengisi ruang di hatinya. Pada masa yang sama, dia turut terpaut pada Tija, cucu perempuan bongsu mak tok yang bersifat keanak-anakan, namun hatinya penuh dengan kasih sayang dan keceriaan. Bila masanya tiba, Hariez telah memilih salah seorang daripada mereka berdua. Namun pilihannya telah mendapat tentangan hebat. Bagi Hariez, itulah pilihan yang paling tepat dan dia tidak mahu berganjak lagi dari keputusannya.
Dapatkah Hariez dan pilihannya disatukan? Mampukah perkenalan yang singkat menghidupkan suasana indah dalam rumah tangganya? “Cinta datang sendiri, ia satu anugerah dan aku tak perlukan sebab untuk mencintainya. Setiap kali aku pandang wajahnya, aku tahu itulah wajah kesayanganku. Aku cuma mencari kasih sayang di situ, mencari sesuatu yang membuatkan aku rasa bahagia...” -Luqman Hariez
* * * * *
KAU CIPTA KASIH
Harga: RM16.00
Penulis: Azilah Wahab
Halaman: 416
ISBN: 978-983-124-559-0
Sinopsis:
Lelaki yang serba kekurangan. Ketempangannya menjadikan dia sering dihina dan dianggap menyusahkan orang tua. Selayaknya, dia diberi lebih perhatian, tetapi dia makin jauh tersisih dan tersingkir dari kasih sayang ibu dan ayah.
Khadijah - Sanggup berkorban demi kesenangan adik-adiknya. Kerana itu, ibunya melepaskan tanggungjawab menjaga urusan rumah tangga ke atas bahunya. Dan kerana itu juga, dia menjadi mangsa! Maruah dirinya direnggut sewenang-wenangnya.
Hasnah - Membawa diri jauh ke luar negara berbekalkan kepintaran yang dianugerahkan oleh ALLAH kepadanya. Sungguh dia kecewa dengan kepincangan institusi keluarganya. Impiannya hanya satu. Mahu merasa bahagia bersama ibu, ayah serta adik-beradiknya dan dia berazam untuk meraih impian itu!
Ramlah - Dimanjai ayah lebih daripada adik-beradiknya yang lain. Bangga dengan kelebihan yang diperolehi membuatkan dia alpa dan gagal menilai baik buruk sesuatu. Sehinggalah dia ditinggalkan terkontang-kanting sendiri...
Mereka adalah empat beradik yang ketandusan kasih sayang orang tua. Salah merekakah bila ibu bapa gagal menjalankan tanggungjawab mendidik dan mencorak masa depan anak-anak?
* * * * *
DENGAR KATA HATI
Penulis: Iffa Zalia
Halaman: 544
Harga: RM19.90
ISBN: 978-983-124-565-1
Sinopsis:
ALLYZA terperangkap dalam dunia cinta remaja. Cinta pandang pertama memusnahkan dirinya. Insan yang ingin dikasihi untuk selamanya mengkhianati kepercayaan yang diberi. Natijahnya, hati yang naif dan rapuh itu tidak mampu menanggung kehampaan dan kekecewaan. Dia dan Erry berpisah jua akhirnya.
Masa yang berlalu tetap tidak dapat memadamkan ingatan lampau. Dirinya yang tidak suci dirasakan tidak layak berdampingan dengan lelaki budiman. Sekeping cinta yang dihulurkan Haziq, tidak mampu dibalas. Dia malu untuk berterus terang mengenai keaiban kisah silamnya.
Tanpa disangka, Erry hadir semula dalam hidup Allyza untuk membuktikan keikhlasan janji yang pernah dilafazkannya dulu. Gadis itu gembira dengan kehadiran Erry di sisi. Barulah dia tahu bahawa Erry tidak bersalah dalam kejadian hitam yang menghantui dirinya. Kebahagiaan yang diimpikan, tetapi keperitan yang diperolehi. Saban hari dirinya dilukai dan disakiti. Akhirnya dia membawa diri. Allyza redha dengan apa yang bakal terjadi...
Jun 10, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment