Jun 16, 2009

Pesta Buku Alaf 21


Kepada pembaca sekalian, jangan lepaskan peluang untuk berkunjung ke Premis Alaf 21 pada 26 hingga 28 June 2009 sempena PESTA BUKU ALAF 21. Sememangnya Alaf 21 menjanjikan potongan harga yang sungguh mengujakan kita bagi setiap pembelian buku keluaran mereka sama ada Alaf 21 mahupun Buku Prima.

Jom kita serbu!!!

Jun 12, 2009

novel baru


Tajuk: JAWAPAN YANG PASTI
Penulis: Eka Fahara
Harga: RM19.90
Halaman: 512

Sinopsis:

ORANG kata, bercinta dengan dengan golongan artis amat membahayakan kerana hubungan pastinya tidak akan kekal lama. Namun bagi Kyra, dia percaya kepada Ariff kerana amat mengenali lelaki itu, jiran sebelah rumahnya. Tidak mungkin Ariff sanggup mempersendakan cinta dan kasih sayang mereka.

Namun, langit tidak selalunya cerah. Hubungan mereka yang sudah mendapat restu daripada keluarga tidak bermakna lagi buat Kyra. Kenyataan Ariff yang terpampang di dada akhbar benar-benar merobek hatinya. Sanggup lelaki itu menafikan hubungan mereka ketika disoal media dan menyatakan bahawa Kyra hanyalah jirannya. Gadis itu lantas membawa diri yang lara. Dia nekad tidak mahu berjumpa dengan lelaki itu.

Namun, dunianya yang sudah tenang dikocak pula dengan berita Ariff ditangkap khalwat. Bencinya terhadap lelaki itu sudah tidak dapat dibendung lagi. Ariff baru tersedar daripada peristiwa hitam itu. Dunianya pula semakin gelap tanpa Kyra di sisi. Dia harus memperisterikan Kyra kerana masih lagi menyayangi gadis itu.

Namun, apa yang dibimbanginya... adakah gadis itu masih mahu bertamu dihatinya sedangkan mendengar suaranya pun sudah tidak sudi lagi?

Jun 9, 2009

Pesta Buku Selangor 2009

Salam semua,

PESTA BUKU SELANGOR 2009

Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) akan menganjurkan PESTA BUKU SELANGOR 2009. Ia merupakan program tahunan Kerajaan Negeri Selangor melalui Jawatankuasa Tetap Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan.

PESTA BUKU SELANGOR 2009 akan diadakan :
Tarikh : 24 Julai 2009 hingga 3 Ogos 2009
Masa : 10 pagi hingga 9 malam
Tempat : Kompleks PKNS, Shah Alam, Selangor

Pelaksanaan Pesta Buku ini adalah dengan kerjasama Jabatan-Jabatan Kerajaan Negeri, Persekutuan, Swasta, NGO dan kerjasama Media. Diantara yang terlibat ialah Jabatan Pelajaran Negeri Selangor (JPNS), Jabatan Agama Islam Selangor, Bahagian Teknologi Pendidikan Negeri Selangor (BTPN), Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM), Majlis Bandaraya Shah Alam, Selangor FM, PTS Millennia, Karangkraf, Sinar Harian, Selangor fm dan e-Media.

Objektif Penganjuran Pesta Buku ialah:

  • Memberi peluang kepada komuniti untuk memilih dan memperolehi bahan bacaan berkualiti tinggi serta terkini
  • Meneruskan usaha-usaha merangsang dan mempromosikan budaya membaca
  • Memaju dan menggalakkan penerbitan serta perusahaan buku di negeri ini
  • Meneruskan rangkaian harmoni di kalangan golongan iktisas yang berkait rapat dengan penerbitan dan pembangunan buku
  • Mengenalpasti pelbagai inisiatif baru media pembelajaran, dan bacaan yang sesuai untuk semua golongan masyarakat mahupun institusi
  • Memberi perhatian kepada penerbitan buku-buku yang mengandungi sistem peradaban, nilai dan budaya Malaysia. Oleh yang demikian, perkembangan penerbitan buku-buku tempatan akan dapat mencapai hasrat dan wawasan kerajaan untuk mewujudkan generasi berilmu yang maju melalui pembacaan.

Pesta Buku pada tahun ini bakal berlangsung selama 11 hari bermula dari 24 Julai hingga 3 Ogos 2009, bertempat di Kompleks PKNS, Shah Alam dan dibuka dari 10 pagi hingga 9 malam.

Sumber petikan daripada : http://www.ppas.org.my/index.php?option=com_content&view=frontpage&Itemid=1

May 31, 2009

buku baru di pasaran

Tajuk : Dame Zoete Sarah

Penulis : Khairyn Othman

Harga : RM18.00

dame zoete Sarah ialah si manis Sarah

Sarah Adam, anak yatim lagi sebatang kara; wartawan yang dedikasi; sahabat yang budiman... walaupun Sarah Adam ada seribu peran, yang pasti dia cumalah seorang gadis yang ada hati dan perasaan.

Terperangkap di tengah-tengah kemelut sindiket dadah antarabangsa, Sarah Adam dituduh terlibat sebagai pengedar, juga didakwa menjadi pembunuh sehingga membuat gadis yang manis pabila tersenyum ini, menjadi pelarian serta terpaksa menyamar untuk melintas laut ke negeri kincir angin.

Keadaannya bertambah sulit apabila dia bukan sahaja diburu oleh pasukan keselamatan negara, kumpulan penjahat malah dia diburu oleh jiwanya sendiri! Keadaan menjadi semakin rumit, apabila setiap orang yang dia kenal dan dia jumpa, mati dibunuh. Kenapa?

Jomlah bantu Sarah Adam untuk membersihkan namanya, jomlah bantu Sarah Adam meloloskan diri daripada ‘Encik Selamat’, Interpol yang kerek!

“Sarah, ke mana pun kau pergi, aku akan cari kau. Ke mana pun kau lari, aku akan kejar. Jangan lupa tu.” ~ Salim

* * * *

Genre yang berbeza daripada KHAIRYN OTHMAN kali ini, pasti membuat anda terhibur sekali gus berdebar bagaikan menaiki roda Ferris, melantun di awang-awangan – pucat tanpa boleh berkata-kata.

Buku baru terbitan Alaf 21

Tajuk: CUMA DIA
Penulis: Norzailina Nordin
Harga: RM19.90
Halaman: 512

Blurb:

BERTEMU Iqbal merupakan perkara terindah dalam hidup Dalila. Lelaki itu terlalu sempurna di mata dan hatinya. Iqbal kacak, berkarisma dan mempunyai aura yang memikat. Tetapi ada sesuatu yang mencetus rasa curiga Dalila.

Siapa Iqbal sebenarnya? Jejaka itu terlalu perahsia. Entah kenapa, Iqbal ke luar negara hilang tanpa khabar berita. Dalila tenggelam punca. Langkah jejaka itu tidak dapat dijejak. Sendirian dia mengekang kesedihan yang bertandang.

Dipertemukan dengan Hilman oleh si ayah ibarat air diminum terasa duri, nasi dimakan terasa sekam. Agenda tersirat seorang ayah dapat ditelah. Rupa-rupanya, Hilman adalah anak kekasih lamanya. Namun, Dalila akur jika itu sudah suratan. Apatah lagi Hilman berperibadi mulia.

Lima hari sebelum sah menjadi suri hidup Hilman, Iqbal tiba-tiba muncul di depan mata! Dalila ingin meraung sekuat hati. Tapi dia tidak mampu mengubah keadaan. Dia serba salah.