Jul 29, 2008

Akan Datang Daripada Penulis Noor Suraya

Panggil Aku Dahlia



















Dahlia menutupi badannya yang kecil dengan gebar putih. Dia berjalan perlahan-lahan ke ruang tamu di tengah rumah tingkat tiga itu dengan telanjang kaki. Ruang yang sederhana luas itu, sebahagiannya ditutupi rak buku yang tinggi hampir mencecah ke lelangit rumah. Ada sofa lembut warna merah jambu berbelang putih memenuhi ruang tamu itu. Walaupun sofa tu sudah lusuh tetapi masih bersih; sehinggakan warnanya yang pudar itu nampak bagaikan satu fesyen pula. Kerusi otoman warna maroon, satu-satunya perabot baru yang ayah beli setelah hampir sepuluh tahun Dahlia pergi. Semuanya tidak berubah, sama seperti dulu! Serupa!
Kecuali.... Nay sudah tidak ada!

Di sudut ruang belajar itu, ada lukisan yang Dahlia lukis sewaktu dalam tingkatan dua. Dahlia memang tidak pandai melukis, dan lukisan yang tergantung itu satu-satunya yang pernah dia lukis secara serius. Itu pun kerana terpaksa, kerana dia tersalah pilih aktiviti kokurikulum. Hanya kerana dia ingin melarikan diri daripada sekelab dengan Wadi, dia mendera perasaannya dengan segala warna, kertas, berus. Jadi itulah hasilnya. Namun lukisan itu ada nilai sentimental yang tersendiri. Lukisan itu telah dijual untuk mengutip derma, dan ayah membeli dengan harga yang mahal. Sejak itu, ia menghuni ruang ini sejak bertahun-tahun. Dan ayah Dahlia pernah berbangga bukan main padanya pada waktu itu!

Sebenarnya ayah suka kalau Dahlia pandai melukis. Tanah tinggi ini ada seratus panorama yang boleh dipindahkan atas seribu kertas, kata ayahnya. Itulah hasil kerjanya: lukisan warna-warni tentang ladang ini dari jendela matanya sendiri. Ada bunga dahlia pelbagai warna, jua dahlia dalam warna hijau. Dan sepasang sibur-sibur berebut akan bunga nan satu. Ayah suka melihat latar ladang teh yang beralun dan menganjur luas di belakang bunga-bunga itu. Sedangkan nay pula mengagumi bunga dahlia besar berwarna seroja yang terserlah di depan sekali. Kata nay, dahlia seroja itu ialah Dahlia... penyeri banglo warisan ini. Manakala Dahlia lebih menyenangi sibur-sibur itu. Kata nay, sibur-sibur itu menyerupai nyamuk aedes aja! Ah, nay... bukankah itu jelas-jelas sepasang sibur-sibur. Mana mungkin dikatakan nyamuk!

dipetik daripada http://noorsoraya.blogdrive.com/

******

Nota kaki: tak sabar nak tunggu buah tangan terbaru kaksu ni.... terasa bagaikan penantian itu satu penyiksaan.!!

0 comments: