Jul 22, 2009

Buletin Khas Pesta-pesta Buku daripada Jemari Seni

Salam dari Bangi,

Hari ini Kak Nila hanya ingin menghebahkan yang Pesta Buku Selangor 2009 sudah di ambang pintu. Pesta ini bermula mulai Jumaat 24 Julai sehinggalah Isnin, 3 Ogos nanti.

Inilah penulis yang bakal singgah untuk sesi ramah-tamah dan tandatangan tu. Harap-harap mereka diberi afiat dan diberi waktu yang terluang untuk singgah ke Shah Alam.

Kak Nila letakkan jadual ‘singgahan’ penulis di sini ya...



Di Pesta Buku Selangor nanti jangan pula terkejut ya melihat ada banyak buku yang kita beri potongan yang menggiurkan J Memang harga durian runtuh habis.

Yalah semua buku diberi potongan daripada 20, 25 dan 30 peratus. Inilah masanya mengumpul koleksi buku-buku daripada penulis lain, yang selama ini adik-adik masih teragak-agak hendak beli. Bacalah Jemari Seni, itu slogan kita kali ini... ahaks. Seronoknya kalau adik-adik ada keberanian untuk membaca naskhah yang lebih berat yang sarat dengan informasi. Otak juga memerlukan ‘senaman’ dan membaca buku Jemari Seni bagaikan adik-adik memasuki gim untuk memperkasa minda insya-Allah.... ala-ala senaman otaklah. Yalah terbitan Jemari Seni ini, hanyalah jauhari sahaja yang dapat mengenal manikam kan. Wah, bukan main lagi Kak Nila kali ini...!

Bagi ibu-ibu dan abah-abah pula, bila lagi ya nak belikan siri Adiwarna yang hanya akan dijual dengan harga RM9 setiap sebuah. Oh ya, sekiranya dibeli tiga buah, akan diberi pula hadiah sehelai baju-T.

+Yang belum ada anak-anak sekitar 9 hingga 14 tahun, macam mana, Kak Nila?
- Boleh aja beli pada anak-anak buah, kan! Anak-anak sahabat, hadiah untuk hari jadi anak jiran tetangga.


Kenapa potongan JS kali ini, murah sakan?
Urus setia pesta buku memang menggalakkan penerbit dan pempamer memberi potongan istimewa sebagai galakan membaca. Untuk itu sewa gerainya lebih murah lagi berbanding tahun lalu, supaya pempamer tidak terbeban. Mereka juga mengharapkan pengunjung sekali ganda dari tahun lepas. Tahun lalu sahaja 220 000 telah berkunjung ke pesta buku yang kedua ramainya selepas Pesta Buku Antarabangsa KL.



Oh ya, Jemari Seni ada buku baharu khusus untuk Pesta Buku Selangor ini. Buku kompilasi daripada tiga penulis... Syud, Hlovate dan Noor Suraya. Buku untuk keluaran Ogos ini sengaja kami jual awal, untuk memeriahkan pesta buku kali ini. Untuk itu terimalah PELANGI.



Buku PELANGI boleh juga didapati di E-FEST UIA di Dewan CAC, mulai Khamis (23 Julai) ini... pada peminat Hlovate dan Syud... jangan lepaskan peluang untuk menikmati, harga runtuh... diskaun RM5 untuk buku panas-panas daripada kilang tu. Mereka yang sekitar Gombak boleh aja singgah membeli di situ. Selain buku, Kak Nila nampak ada juga baju-baju ala-ala butik di situ, Kak Ajah sudah membeli-belah baju hari raya untuk puterinya, hari Ahad yang lalu. Ewah, bukan main ya... belum mula menjual buku hari tu, dia sudah berbelanja ya!

No. gerai Jemari Seni di EFEST UIA: B15

Oh ya, di Shah Alam nanti, Jemari Seni mengambil dua gerai, sebuah untuk menjual buku, sebelahnya pula menjual lukisan, ala-ala galeri. Jadi pada sesiapa yang tidak tahu untuk membeli apa-apa hadiah untuk farewell, wedding, house warming dan lain-lain acara dan peristiwa boleh sahaja memilih di situ. Lukisannya asli dari Tanah Jawa. Galeri lukisan itulah tempat kami menempah sebahagian lukisan untuk dibuat kulit buku Jemari Seni selama ini!

No. gerai Jemari Seni di PKNS Shah Alam: C18 & C19

Okeylah adik-adik yang manis, Kak Nila dan Kak Ajah... serta konco-konco akan tunggu di sana ya...

Okey Kak Nila titipkan sebuah pantun ya...

Dari jauh ke permatang,
Tetak tangan papan kemudi;
Dari jauh kami datang,
Mendengar tuan yang baik budi.


p/s: macamlah jauh Bangi tu dengan Shah Alam kan?

- Kak NiLA -


* * * *

[Disalin daripada buletin Jemari Seni Publishing]

Jul 20, 2009

Pelangi... terbaru daripada Jemari Seni

Tiga Ceritera dalam sebuah Pelangi oleh Syud, Hlovate, Noor Suraya

Tiga ceritera berwarna-warni dalam sebuah Pelangi...

Ceritera I

PELANGI – SYUD

Iman bukan pelangi awak. Iman cuma Iman.
Iman tak cantik macam pelangi...
Tapi,
Iman tetap ada kat sini walau pelangi dah pergi...

Menjadi anak yatim piatu pada usia muda bukannya bermakna Iman Aisyah tidak berani hidup sendiri apalagi berdikari. Cuma kalau tiba-tiba ada yang melamar, apa salahnya kalau dia menerima, kan?

* * * *

Ceritera II

KED’S STORY – HLOVATE

Khalid Faizal... Ked ... Hadiah ...Nawal
a lady... a romeo... a skater...
Florida-Virginia ... Malaysia-USA

Hadiah deck daripada gadis tak bernama membuat dia gelabah. Macam mana budak perempuan FELDA tu tahu tentang skate? FELDA Florida barangkali, sebab budak berbaju kurung tu kenal juga Bruce Walker!

kalau nak diikutkan logik....
cinta pandang pertama dan cinta antara benua tu...
masuk akal ke?

* * * *

Ceritera III

RUMAH KECIL DI UJUNG PADANG – NOOR SURAYA

Akukah kunang-kunang yang dilupai orang tika mentari menyingsing?

“... papamu jadi bimbang kalau sapi-sapi itu mencintai aku lebih daripada dia.” Kata doktor veterinar itu sambil tersenyum.
“Semua orang bilang mas sangat pendiam.”
“... tetapi tidak dengan gadis yang aku suka.”

Gadis yang aku suka?

Durrah selalu melarikan diri jika hatinya tercalar. Masihkah dia perlu ‘berlari’ jika hatinya sudah tersangkut pada penghuni rumah kecil di hujung padang ini?

-------------------------

ISBN: 978-967-5118-24-1
Harga: RM22.00
Harga pembelian melalui pos: RM20.00

------------------------

Dapatkan Pelangi di Pesta Buku Selangor mulai 24 Julai 2009dan EFEST UIA mulai 23 Julai 2009

Jul 4, 2009

Jemputan Buat Pembaca Jemari Seni Publishing


Sila beri pengesahan sebelum 16 Julai 2009
p/s: pengangkutan balik ke Stesen Komuter UKM disediakan

Jul 3, 2009

Siapa penulis pilihan anda

Siapa penulis pilihan anda



Kategori Fiksyen dan Bukan Fiksyen Anugerah Pilihan Pembaca Popular - Berita Harian 2009

BAGI memungkinkan pembaca Dunia Buku, Sastera membuat pemilihan pengarang pilihan mereka muncul sebagai pemenang Anugerah Pilihan Pembaca Popular - Berita Harian 2009, diperturunkan beberapa maklumat mengenai mereka.

Dr Danial Zainal Abidin yang dicalonkan dalam Kategori Bukan Fiksyen menerusi bukunya, Minda Muslim Super adalah Pengarah Urusan Danial Zainal Consultancy Malaysia Sdn Bhd dan juga Pengurus dan Pengamal Perubatan di Klinik Syifa Glugor, Pulau Pinang.

Dr Tengku Asmadi Tengku Mohamad, pemegang Ijazah Kejuruteraan Sumber Mineral daripada Universiti Sains Malaysia dan Ijazah Doktor Falsafah (PhD) Kejuruteraan Perlombongan dari Queensland, Australia, pengasas kursus Motivasi Alihan Pelajar, mempertaruhkan Teknik Memotivasikan Anak Cara Positif.

Dr HM Tuah Iskandar yang sudah menghasilkan lebih 50 buku dalam pelbagai bidang, sudah menerima 28 anugerah dalam bidang penulisan termasuk kreatif, dicalonkan menerusi dua bukunya, Fikir-fikirlah dan Membina Cinta Sayang.

Datuk Dr Mohd Fadhilah Kamsah adalah Pengarah Urusan Excel Training & Consultancy (M) Sdn Bhd menerima ijazah PhDnya dari Universiti Wisconsin, Amerika Syarikat, menerima pencalonan menerusi bukunya, Langkah Bijak Usahawan Terbilang.

Muhd Kamil Ibrahim adalah profesor perakaunan di Universiti Teknologi Mara (UiTM), sudah menulis beberapa buku termasuk karya laris di pasaran dan lebih 400 rencananya diterbitkan dalam pelbagai media massa, ‘memperjudikan’ Travelog Haji: Mengubah Sempadan Iman.

Muhsin Labib yang dilahirkan di Jember, Jawa, menerima ijazah sarjana mudanya di Iran dan PhD dari di Universiti Islam Negeri Hidayatullah, banyak menghasilkan buku agama dan dicalonkan menerusi bukunya, Ahmadinejad: Singa Baru Dunia Islam.

Datuk Siti Nor Bahyah Mahmood adalah lulusan Pengajian Islam dan Bahasa Arab, Universiti al-Azhar, Mesir, sudah melahirkan lebih 40 album ceramah agama, motivasi dan petua dalam bentuk CD, VCD dan kaset, menguji peluangnya lewat Hadiah Untuk Muslimah.

Azahar Abdul Rahman, penulis berpengalaman luas dalam bidang keusahawanan internet dan sistem perakaunan adalah akauntan bertauliah Thames Valley University, London, dicalonkan menerusi bukunya, Rahsia Buat Duit dengan Ebay.

Ramlee Awang Murshid yang dicalonkan dalam Kategori Fiksyen adalah wartawan penyiaran di RTM Angkasapuri, menerima empat anugerah penulisan kreatif peringkat kebangsaan, dicalonkan menerusi Hijab Sang Pencipta.

Aleya Anessa, Penolong Pegawai Perancang Bahasa, Jabatan Sastera, Dewan Bahasa dan Pustaka, sudah menulis Semusim Rindu, Kasih Antara Kita, Janjiku Bersamamu, Hanya Dia Tahu dan novelnya, Segalanya Untukmu, memasukkan namanya dalam senarai Kategori Fiksyen.

Anis Ayuni, lulusan Sarjana Perancangan dan Pentadbiran Pendidikan dari Universiti Malaya dan berkhidmat sebagai Penyelia Petang SMK Seri Saujana, Bandar Baru Petaling, Kuala Lumpur muncul sebagai penerima anugerah tahun lalu, dicalonkan kali ini lewat Seribu Kali Sayang.

Damya Hanna yang baru saja menamatkan pengajian perakaunan di UKM adalah penulis Bicara Hati, Sepi Tanpa Cinta, Saat Cinta Bersemi, Ilham Hati, Senafas Rindu dan novelnya, Ternyata Cinta, melayakkannya termasuk dalam senarai Kategori Fiksyen.

Norhayati Berahim yang mempunyai penerbitan sendiri dicalonkan menerusi novelnya, Kembalikan Cintaku juga penulis Andai Semalam Ku Miliki, Biarkan Aku Menangis, Bunga Kasih, Chinta Cinta dan Tidak Aku Bersuara.

Aisyah Sofea yang dicalonkan menerusi Selagi Ada Dia adalah juga penulis novel Adam & Hawa, Buatmu Kekasih, Far Away, Gelora Jiwa, Jauh, Jendela Hati, Kau Untukku dan Sehangat Asmara.

Zaid Akhtar peserta Program Penataran Sastera Mastera (genre novel) di Bogor, Indonesia pada 2006 dan penulis Sesegar Nailofar (2001), Rona Bosphorus (2003) dan Justeru Impian di Jaring (2007).dicalonkan menerusi novelnya, Salju Sakinah.

Mimie Afinie yang bermula dengan Bisikan Rindu pada 2004, menggarap Masih Ada Rindu, Maafkanku … Sayang, Tinggallah Pujaan, dicalonkan menerusi novelnya, Kalau Ada Jodoh.

Siti Rosmizah, peguam yang menerima ijazahnya dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) boleh berbangga dengan novel sulungnya, Andai Itu Takdirnya yang sudah tujuh kali dicetak ulang dan melayakkannya untuk disenaraikan dalam Kategori Fiksyen anugerah ini.

Fauziah Ashari yang bermula dengan novel sulungnya, Pergilah Sepi dan Ombak Rindu yang mencatat kejayaan cemerlang sehingga mendorongnya tampil sebagai usahawan dalam bidang penerbitan, dicalonkan menerusi Rindu Cintaku.

Borang asal penyertaan yang akan diterbitkan lagi pada 10 Julai ini dan alamatkan penyertaan kepada Anugerah Pilihan Pembaca Popular - Berita Harian 2009, Marketing Department, Popular Book Co (M) Sdn Bhd, No: 8, Jalan 7/118B, Desa Tun Razak, 5600, Kuala Lumpur.