May 1, 2011

Aimie: Cabaran 50 Buku: (30) Impikan Mentari

Penulis: Shahzy Hana
Penerbit: Jemari Seni Sdn Bhd
Harga: Rm18.00 / RM21.00
M/S: 398
ISBN 978-967-5118-55-5
Cetakan 1 – Feb 2011

Blurb:

Pernahkah anda mengalami rasa sedih seperti Izzati? Saat hati dilambung rasa bahagia melalui hari-hari indah, tiba-tiba Izzati ‘dihidangkan’ dengan babak bakal suaminya bermukah dengan adiknya sendiri?

Tunang yang amat dicintai dan mengakui amat mencintainya, telah membelah hatinya… nipis-nipis; berdarah parah, tidak mungkin sembuh. Lalu bagaimana kalau anda sendiri mengalami keadaan itu. Sedalam manakah luka anda? Masih percayakah anda pada insan bernama lelaki?

Izzati juga seperti anda, hilang keyakinan diri untuk jatuh cinta dan bercinta lagi.

Namun hatinya yang beku, cair jua dengan gigihnya Ikhman mengetuk hatinya. Hatinya yang berbunga kembali mekar di jenjang pelamin bersama Ikhman. Namun takdir rupa-rupanya masih mahu mengujinya. Ketika bunga-bunga bahagia kembali mewangi, dia disahkan menghidap sakit di ambang maut. Kuatkah dia untuk bergelut melawan sel-sel darah putih yang rakus menelan darah merahnya dan berjuang untuk terus hidup bahagia bersama suami tersayang?

*****
SHAHZY HANA menulis tentang luka, cinta dan kuatnya hati seorang perempuan. Mampukah anda jadi setabah Izzati yang tak pernah jemu-jemu untuk Impikan Mentari?

Kak Chik menukil:

Impikan Mentari, sebuah kisah yang selalu terjadi di sekeliling kita. Kisah kecurangan yang melibatkan adik-beradik. Kecurangan Helmy dan Hanni, ketika majlis perkahwinan antara Izzati dan Helmy hampir menjelang. Kekecewaan Izzati lebih parah kerana kecurangan antara tunang dan adiknya terjadi di depan mata sendiri. Kerana peristiwa itu, Izzati mencuba untuk menjauhi semua lelaki dan dia juga terlupa tanggungjawab sebagai anak kepada emak dan abah kerana terlalu terluka dengan perbuatan Helmy dan Hanni.

Selepas setahun dia berusaha untuk melupakan peristiwa, hatinya cuba diketuk lagi dengan cinta baru. Cinta dari Ikhman iaitu bosnya sendiri. Pelbagai cara diguna Izzati untuk menepis cinta dan kasih lelaki itu. Walaupun begitu, Ikhman tidak pernah mengalah. Dia tetap mencuba dan mencuba untuk mendiami hati Izzati yang sudah membeku bagaikan ais di kutub utara itu.

Setelah pelbagai dugaan, akhirnya keluarga mereka mengaturkan perkahwinan secara mengejut selepas Izzati diserang oleh Hanni di tempat kerjanya. Izzati membuat keputusan dalam keadaan tergesa-gesa walaupun hatinya tidak yakin dengan keputusannya menikahi Ikhman.

Dalam bahagia meniti kebahagian, Izzati teruji lagi dengan penyakit barah darah selepas dia selalu sahaja berdarah hidung dan lemah badan. Namun keputusan Izzati menyembunyikan penyakitnya daripada orang-orang di sekelilingnya terutama Ikhman menyebabkan penyakit tersebut sukar diubati selepas sudah sampai ke peringkat keempat. Bagi Kak Chik tindakan doctor yang merawat Izzati yang lambat menyampaikan berita tersebut juga bagaikan kurang kena kerana tidak mahu mengganggu Izzati yang sedang menikmati bahagia rumahtangga yang baru dibina. Keadaan juga menjadi semakin buruk dengan sikap Izzati yang sedikit kurang cerdik apabila terus menyembunyikan penyakitnya.

Sudut pandang Kak Chik:

Bahasa yang digunakan oleh SH adalah bahasa yang mudah dan sedikit ringkas dengan penceritaan sebagai orang pertama; aku iatu Izzati dan cuma hampir selepas 70% jalan cerita; aku bertukar dari sudut pandang antara Izzati dan Ikhman pula.

Plot pengolahan yang biasa dan mendatar kerana tidak banyak konflik yang dijelmakan. Konflik yang pada penghayatan Kak Chik cuma pertelingkahan antara Hanni dan Izzati seterusnya selepas Izzati disahkan menghidapi penyakit barah tersebut.

Sedikit membuat Kak Chik terkeliru ialah kenapa terlalu lama untuk Hanni bersalin sedangkan pada Kak Chik sudah lebih 9 bulan usia kandungannya;bermula mereka pulang ke kampong – Hanni hamil 6 bulan dan selepas 3 bulan Izzati terlantar di hospital Hanni masih juga belum bersalin. Perkara seperti ini mungkin penulis boleh amati semula.

Namun, pada Kak Chik pengorbanan Ikhman ketika Izzati terlantar sakit mampu mengubah persepsi tentang hati seorang lelaki. Ikhman terlalu mencintai isterinya sehingga dia sanggup berkorban nyawa.

Suatu penamat yang membahagiakan… walaupun pengorbanan itu ada harga yang perlu dibayar.


LiFe iS a LoNG JouRNeY
-Kak Chik-
(^__^)

A&N : Cabaran 50 Buku : (11) Tiada Khatimah Cinta

aSalina Ibrahim
ISBN: 9789831246290
Penerbit: Alaf 21 Sdn Bhd
Tarikh Terbit: 5 Jan 2011
Halaman: ~ 496
Harga: RM 19.90

~ Rasaku… ~

Kata orang kesilapan silam akan menghantui kita walau ke mana saja kita pergi. Walaupun sudah bertaubat dan insaf, kita sukar melenyapkan rasa bersalah itu. Terasa bebannya tak tertanggung walaupun kaki mahu melangkah ke hadapan. Benarkah?

Anis Hasanah [Hana]; gadis yang sudah memulakan hidupnya yang baru. Meninggalkan dunia jahilnya jauh dari kamus hidupnya. Namun, langkahnya bukan mudah. Sering saja hatinya merusuh. Apatah lagi apabila dia berhadapan dengan 'sejarah' lama itu hampir setiap hari. Amir Hakim dilayan dingin. Sabar, sabar dan sabar – itu yang diajar berulang kali dalam dirinya, namun si kecil itu sering saja menyebabkan Hana hilang sabar.

Bertemu dengan Hatim; rakan perniagaan keluarganya membawa Hana ke satu dimensi baru. Sudah berulang kali hatinya dikeraskan, tetapi hati kecilnya sering saja terusik dengan perilaku Hatim. Lelaki itu punya hati yang tulus. Hatinya ikhlas berkawan dengan Hana. Padanya, Hana bisa menggetarkan naluri lelakinya. Malah sikap Hana yang sering saja rendah diri itu membuatkannya makin terpaut.

Mereka berdua bukannya bercinta seperti orang lain. Tiada madah-madah cinta yang meloyakan. Tiada kata-kata puitis yang romantis. Tetapi aku harus akui lenggok bahasa yang digunakan sudah cukup menggambarkan perasaan Hana dan Hatim. Hubungan mereka berdua direstui oleh keluarga Hana, malah satu-satunya kakak Hatim juga amat menyenangi Hana.

Namun ada yang cemburu. Ada yang iri hati dengan hubungan Hana-Hatim. Pada Ehsan, hidup mesti ikut hatinya. Dia mahu mendapatkan semula cintanya yang pernah hilang dan cinta itu adalah Hana. Tidak dapat cara baik, dia gunakan 'sejarah' lama Hana. Watak Ehsan memang dipotret dengan baik. Rasa menyampah dengan Ehsan memang tidak dapat aku elakkan kih5 :P Hatim yang memang tidak pernah mengetahui 'sejarah' lama Hana mula meragui keikhlasan Hana. Mujur juga Hana cepat sedar akan Hatim yang makin menjauh. Dengan bantuan abang keduanya; Hilman, 'sejarah' lama itu dibongkar. Hatim memang seorang lelaki yang berjiwa besar. Apa yang berlaku dulu biarlah berlalu. Dia kini cuba lebih realistik, menawarkan dirinya untuk saling berganding dengan Hana. Saling melangkah menuju masa depan.

Cerita ini memerlukan kesabaran. Kesabaran untuk mengetahui apa itu 'sejarah' hidup Hana. Namun aku rasa kesabaran itu memang berbaloi. Apatah lagi dengan kisah penamat yang cukup manis. Pengajaran yang paling berkesan pastinya tinta penulis yang begitu menekankan sikap berlapang dada, saling memaafkan dan tidak bermusuhan. Malah apa yang mengagumkan adalah hubungan kekeluargaan yang disulam baik dalam keluarga ini. Bagaimana ahli keluarga Hassan Indra dan Siti Rahmah saling menyokong antara satu sama lain. Seperti apa yang dituliskan, tiap watak mahu melangkah terus ke hadapan, memburu khatimah hidup yang tenang lagi diredhai. Dan inilah kisah mereka, maka kamu haruslah membacanya!

Novel Nur pertama keluaran Alaf 21 yang ada dalam gobokairina :D Terpikat dengan tajuknya di kala aku membaca sisipannya di sebuah akhbar awal pada tahun lepas. Cerita bersiri yang disiarkan sekali seminggu ni sering saja aku tertinggal. Maklumlah aku bukannya suka membaca cerita bersiri kih5 :P Ini juga novel pertama penulis yang begitu popular dengan Bukan Yang Pertama [BYP] ini aku baca. Ternyata novel ini juga berjaya menarik aku mencari novelnya yang lain. Mungkin aku patut mula dengan BYP :D

Lorong dan jalan yang panjang mungkin tidak akan lurus, mungkin tidak akan rata sepanjang masa. Barangkali dia akan terserempak simpang, mungkin akan ada lekuk kelok yang menuntut mata lebih berawas dan tentu akan ada lubang-lubang yang harus dielakkan supaya tidak terjerembap jatuh [page 27]

Kematangan tak datang dengan bertambahnya usia. Kematangan bermula dengan sikap menerima tanggungjawab [page 83]

Ps: Siapa dah baca BYP? Sila kongsi review anda denganku :D

Happy reading (^-<)

NH: Cabaran 50 Buku : (19) Coke And Sundae

Tajuk : Coke and Sundae
Penulis : Ilya Abdullah
Penerbit : Kaki Novel
Terbitan 2010

Coke and Sundae sebuah kisah percintaan bertemakan komedi romantik. Jalan cerita yang begitu bersahaja dan cukup santai. Watak utamanya seorang gadis yang bernama Azyan dan berwatakan lasak dan sedikit ganas. Watak Azyan di padankan dengan watak heronya yang bernama Syakir.

Azyan menjadi lasak dan sedikit ganas kerana dibesarkan bersama dua orang abang. Azyan suka membelasah siapa-siapa sahaja yang suka mengacau atau mengusiknya. Azyan mahir dalam bidang taekwando.

Apabila sudah memasuki alam dewasa, Azyan belajar untuk menjadi seorang gadis yang lebih feminim. Tetapi, percubaan yang Azyan lakukan, tidak berapa menjadi. Banyak lagi kekurangan yang perlu Azyan perbetulkan.

Sebenarnya, Syakir telah menaruh hati pada Azyan di zaman persekolahan lagi. Walaupun Azyan memiliki perwatakan yang lasak, ada tarikan yang tersendiri yang menyebabkan Syakir amat menyukai Azyan. Azyan dan Syakir menuntut ilmu di pusat pengajian tinggi yang sama. Mereka selalu bersua muka tetapi, mereka selalu bertengkar kerana Syakir gemar mengusik dan menyakat Azyan. Timbul perasaan dendam dalam hati Azyan terhadap Syakir. Disebabkan perasaan dendam Azyan itulah, Azyan buat-buat tidak nampak tentang kewujudan Syakir dalam hidupnya.

Azyan juga telah terjatuh hati pada Haziq iaitu sepupu kepada Syakir. Haziq menjadi jejaka idaman hati Azyan kerana fizikal Haziq yang gagah dan menampakkan kekuatan seorang jejaka. Tetapi, malang menimpa Azyan apabila di ganggu oleh sekumpulan samseng semasa keluar temujanji bersama Haziq. Azyan mengharapkan Haziq dapat melindungi keselamatan dirinya kerana Azyan telah berjanji dengan ayahnya yang dia tidak akan menggunakan sebarang kemahiran mempertahankan diri lagi setelah dia ingin berubah menjadi seorang yang feminim. Demi keselamatan dirinya dan Haziq, Azyan terpaksa membelasah samseng-samseng tersebut. Haziq telah lari lintang-pukang menyelamatkan dirinya dan meninggalkan Azyan seorang diri bersama-sama samseng-samseng. Akhirnya, Azyan tidak mahu berkawan dan menaruh hati pada Haziq lagi.

Setelah Azyan betul-betul berubah menjadi seorang gadis yang ayu dan feminim, Syakir merasa sangat bimbang kerana muncul lelaki-lelaki yang cuba untuk memikat Azyan iaitu Zekri dan Rizlan. Zekri adalah romeo tahap awek keliling pinggang manakala Rizlan pula seorang yang hensem dan kaya.

Azyan suka kepada layanan Rizlan dan Zekri. Azyan memang tidak suka langsung dengan Syakir kerana Syakir suka membulinya dan memaksanya melakukan pekara yang tidak disukai. Syakir memaksa Azyan menjadi heroin dalam pementasan teater dan pergi berkhemah di tengah-tengah hutan. Syakir mengunakan helah kotor supaya Azyan mengikut segala perintahnya. Dalam kelab teater, Syakir adalah presiden. Jadi, setiap ahli kelab teater kena mengikut segala arahan presiden. Syakir juga rapat dengan kedua-dua abang Azyan. Syakir juga pandai mengambil hati ayah Azyan iaitu Mejar Idris. Untuk aktiviti perkhemahan, Syakir menggunakan Mejar Idris untuk memujuk Azyan supaya mengikuti aktiviti tersebut.

Semasa perkhemahan, banyak berlaku insiden-insiden lucu antara Azyan dan Syakir. Kawan-kawan Azyan dan Syakir memasang jerat untuk mereka supaya, mereka berdua menyedari perasaan masing-masing. Syakir sebenarnya ego, tidak mahu meluahkan rasa hatinya pada Azyan. Azyan pula, sememang seorang yang keras kepala. Apabila, Azyan dan Syakir terkena jerat yang dibuat oleh kawan-kawannya semasa di dalam hutan, disitulah bermulanya detik-detik percintaan antara Azyan dan Syakir.

Akhirnya, Azyan yang amat menggemari Coke manakala Syakir yang amat menyukai Sundae dapat disatukan dengan penuh kegembiraan. Siapa kata, Coke dan sundae tidak boleh bercampur?

Seorang gadis yang lasak dan ganas tidak mungkin akan selamanya begitu. Mungkin, pada suatu hari, gadis yang lasak dan ganas ini akan berubah menjadi gadis yang paling ayu. Gadis yang lasak juga mampu untuk menunduk kan ego seorang lelaki yang dibawa oleh Syakir. Kegembiraan dalam kehidupan akan muncul setelah mengikut segala kata-kata hati yang baik. Nasihat dari kawan-kawan juga berguna untuk meneruskan sesuatu perhubungan seperti yang terjadi antara Azyan dan Syakir. Kawan-kawan kelab teater mereka yang banyak membantu Syakir supaya menyedari hakikat yang hatinya amat menyintai Azyan. Coke dan Sundae sebuah cerita yang mempu membuatkan saya tersenyum seorang diri.

---
sumber: nOOr hEkmAt

MB : Cabaran 50 Buku : (16) Anak Titiwangsa

Judul : Anak Titiwangsa
Penulis : SN Keris Mas
Terbitan : DBP
ISBN : 978-983-62-0293-2


1. Novel ini kali pertama diterbitkan pada tahun 1967. Sepuluh tahun selepas negara Malaysia mencapai kemerdekaannya. Dan kini novel ini telah diulang cetak sebanyak 6 kali. Yang berada pada saya ini adalah edisi kedua cetakan kedua tahun 2010. Versi paling baru daripada Dewan Bahasa dan Pustaka.

2. Keris Mas melalui novel Anak Titiwangsa membawa pembaca menghayati kisah perjalanan hidup seorang anak remaja yang sedang giat tumbuh membesar dalam mengenal erti kehidupan yang sebenarnya.

3. Sudin dan Karim adalah dua orang rakan karib. Dari kampung yang sama, membesar dan melakukan aktiviti berdua sehingga mereka menjadi akrab. Namun keduanya mengalami nasib yang berbeza.

4. Sudin digambarkan sebagai seorang anak muda yang memiliki cita-cita dan impian yang besar, iaitu untuk menjadi seorang petani moden seperti idolanya, Francisco Rabat.

"Tapi saya memang mahu jadi orang tani moden. Saya tidak mahu jadi orang surat khabar." (ms 16)

5. Tetapi berlainan pula dengan Karim. Kehidupannya tidak menentu. Perpindahannya ke ibu kota telah mengakibatkan jalan hidupnya berliku dan kerana tidak mampu untuk melawan godaan-godaan di Kuala Lumpur itu, maka dia terus tersesat dengan arus kemaksiatan dan jenayah.

"Sekarang Kuala Lumpur penuh orang-orang macam Karim. Orang-orang muda datang dari kampung mahu hidup main-main, senang-senang, seronok-seronok." (ms 18)

"Budak-budak Melayu mahu cari kerja senang-senang dan mahu dapat suka-suka tengok wayang, main joget dan minum," katanya lagi. (ms 18)


6. Kedua orang sahabat itu pun menjalani dan mendepani lorong kehidupan yang berbeza. Sudin lebih bernasib baik kerana dia tinggal bersama dengan pak ciknya di Kuala Lumpur. Yang mana dengan adanya pak ciknya itu, telah menjadikan Sudin seorang yang berdisiplin, dan menjadi orang baik-baik.

7. Karim pula, kerana tersalah memilih kawan dia terus-menerus melakukan jenayah dan kehidupannya sering tidak tenang dengan setiap dosa yang telah dilakukannya itu.

8. Melalui Anak Titiwangsa ini, Keris Mas menunjukkan sebab dan akibat mengapa soal pemilihan kawan itu menjadi sangat penting dalam hal mendidik diri kita sendiri untuk menjadi insan yang berguna kepada masyarakat dan negara.

"Sudin sekarang sudah mahu masuk universiti, Karim mahu masuk jel. Sudin dijaga oleh Encik Samad, Karim tak ada siapa yang jaga." (ms 155)

"Aku jadi jahat sebab tak ada kawan dengan orang baik," katanya lagi. Dia mula hendak bercerita. "Engkau pun kalau tak lekas ikut Abang Samad ke Kuala Lumpur ni, aku agak akan jadi macam aku juga. Lepas failed periksa form tiga tu dan engkau dah tak ada aku tenggelam punca betul. Usup dapat kawal dek ayahnya. Aku tidak, dan ayah aku pun tidak peduli sangat. Dia tak tahu pun dengan siapa aku berkawan di bandar. Ada tak ada Abang Dollahlah sekali-sekali nasihatkan aku suruh berhenti kawan dengan budak-budak, di bandar tu." (ms 162)


9. Mesej yang cuba disampaikan Keris Mas melalui novel ini cukup mudah untuk difahami. Penceritaannya begitu langsung tanpa perlu untuk pembaca menyelak-nyelak lapisan kulit untuk mengerti perkara isi yang cuba disampaikan penulisnya. Betapa peri pentingnya untuk kita mencari dan memilih kawan yang baik akhlaknya, yang akan membawa kita bersama ke arah kebaikan itu.

10. Peranan ibu bapa juga harus dimainkan dalam memastikan dengan siapa anak-anaknya sering bermain, berkeliaran.

11. Selain daripada itu, novel ini juga menarik kerana Keris Mas seorang sasterawan yang bijak bermain dengan mata penanya. Meliuk-liuk madah sehingga terkesan oleh pembaca.

"Cahaya bulan kelihatan dari tingkap serambi itu. Burung tukang bersahut-sahutan jauh-jauh di tepi kampung seperti bunyi lesung dalam musim orang mengemping. Sunyi di kampung lain sekali dari sunyi malam di kota. Kesunyian itu begitu hening dan mendesing hingga membawa kita ke masa-masa yang lampau. Sunyi di kota menderu dan menggema, membawa kita ke hari esok dan hari-hari akan datang." (ms 33)

12. Karim yang sudah jauh tersasar dengan segala kejahatan yang dilakukan itu telah menghilangkan diri di Kuala Lumpur sehingga mengakibatkan kebimbangan kepada ahli keluarganya. Dan Sudin sebagai seorang rakan yang akrab, telah mengorbankan masa dan tenaganya berusaha untuk mencari Karim sehingga berjumpa dan membawanya kembali ke pangkal jalan dan menjalani hidupnya yang masih muda sebagai seorang manusia yang berguna.

13. Sepanjang pencarian Sudin itulah dia telah banyak belajar dari keragaman kehidupan orang-orang yang ditemuinya. Dia menjadi dewasa dan matang dengan pengalaman hidupnya itu.

14. Untuk mengetahui kisah sepenuhnya mengenai Sudin dan Karim ini, boleh dibaca terus lewat novel ini.

15. Novel kecil ini boleh didapati dengan harga RM 14.00 sahaja. Dan sempena dengan pesta buku yang sedang berlangsung kini, (22 April - 1 Mei 2011) novel ini boleh diperolehi di booth Dawama dengan harga potongan diskaun.

16 . Selamat membaca dan mengambil manfaat dari bacaan.

---
sumber: melihat buku

R: Cabaran 50 Buku: (33) 566 Hari Mencari Cinta


566 hari Mencari Cinta
Penulis: Ilya Abdullah
Terbitan Kaki Novel Enterprise
Editor: Jabatan Editorial KNE
409 mukasurat
RM18.00
Sabah/Sarawak RM21.00
9789675067709


"Kerana satu perjanjian, aku mencari cinta.
Dan kerana perjanjian itu, aku menemui cinta."

566 Hari Mencari Cinta menawarkan kelainan dalam menghayati kisah cinta seorang wanita yang mencari kemewahan semata-mata. Firdayu mungkin sama dengan kebanyakan 'villain' perempuan dalam novel-novel melayu yang palsu cintanya dan kejam hatinya. Kecantikannya dapat memikat banyak lelaki dari pelbagai lapisan kehidupan; yang miskin, yang sederhana dan yang kaya raya. Tetapi Firdayu akan mengukur tahap kekayaan seseorang yang ingin dijadikan teman lelakinya.

Cabaran nenek yang dibencinya supaya mencari suami dalam tempoh 566 hari disambut Firdayu dengan penuh bangga kerana dia dijanjikan keseluruhan harta milik nenek sekiranya berjaya mencari cinta dalam tempoh tersebut. Huzair adalah pilihan utamanya kerana dia ada semua ciri yang Firdayu cari.

Kid mengambil masa untuk menyerlah dalam kisah ini. Pada pendapat aku perwatakan Kid tidak sesuai dengan namanya ringkasnya 'Kid'. Gaya 'nerd' Kid membuat dia kurang terserlah tetapi semakin jauh pembacaan Kid semakin menyerlah sebagai seorang yang sangat penting dan berpengaruh dalam hidup Firdayu.

Hanya kaki putar belit dan si mata keranjang seperti Firdayu sahaja yang dapat memerangkap Firdayu; iaitu neneknya sendiri. Segala tipu muslihat Firdayu ada dalam koceknya. ;) Rupa-rupanya nenek Firdayu tu pun lebih kurang juga ligatnya masa muda-muda dulu. Bukan senang Firdayu nak meruntuhkan egonya untuk mengucapkan terima kasih kepada neneknya yang telah membuat dia terperangkap dalam cinta sebenar :)

sure fine whatever
rinn

blurb/rinns/sinopsis

Firdayu: "Aku mencari cinta semata-mata kerana kemewahan yang bakal aku kecapi dan aku tidak akan biarkan diriku tunduk pada cinta!"

Kid: "Semua orang menggelarkannya 'poison ivy'. Cantik tetapi beracun. Tapi tak kisah kerana aku akan sentiasa melindungi dia dari sebarang ancaman. Kenapa? Itu adalah tugas yang telah diamanahkan untuk aku"

Ruzair: "Aku cuba bermain dgn 'si ular' ini namun akhirnya aku telah dipatuk. Semakin aku mengenali dia, semakin aku ingin memiliki dia"

566 hari... tempoh untuk Firdayu mencari cinta kerana satu perjanjian. Cinta senang dicari namun mudahkah untuk mencari cinta sejati? Apatah lagi Firdayu memilih lelaki seperti memilih baju. Yang berjenama lebih diutamakan. Tanpa jenama, dicampak ke tepi.