Penulis : SN Keris Mas
Terbitan : DBP
ISBN : 978-983-62-0293-2
1. Novel ini kali pertama diterbitkan pada tahun 1967. Sepuluh tahun selepas negara Malaysia mencapai kemerdekaannya. Dan kini novel ini telah diulang cetak sebanyak 6 kali. Yang berada pada saya ini adalah edisi kedua cetakan kedua tahun 2010. Versi paling baru daripada Dewan Bahasa dan Pustaka.
2. Keris Mas melalui novel Anak Titiwangsa membawa pembaca menghayati kisah perjalanan hidup seorang anak remaja yang sedang giat tumbuh membesar dalam mengenal erti kehidupan yang sebenarnya.
3. Sudin dan Karim adalah dua orang rakan karib. Dari kampung yang sama, membesar dan melakukan aktiviti berdua sehingga mereka menjadi akrab. Namun keduanya mengalami nasib yang berbeza.
4. Sudin digambarkan sebagai seorang anak muda yang memiliki cita-cita dan impian yang besar, iaitu untuk menjadi seorang petani moden seperti idolanya, Francisco Rabat.
"Tapi saya memang mahu jadi orang tani moden. Saya tidak mahu jadi orang surat khabar." (ms 16)
5. Tetapi berlainan pula dengan Karim. Kehidupannya tidak menentu. Perpindahannya ke ibu kota telah mengakibatkan jalan hidupnya berliku dan kerana tidak mampu untuk melawan godaan-godaan di Kuala Lumpur itu, maka dia terus tersesat dengan arus kemaksiatan dan jenayah.
"Sekarang Kuala Lumpur penuh orang-orang macam Karim. Orang-orang muda datang dari kampung mahu hidup main-main, senang-senang, seronok-seronok." (ms 18)
"Budak-budak Melayu mahu cari kerja senang-senang dan mahu dapat suka-suka tengok wayang, main joget dan minum," katanya lagi. (ms 18)
6. Kedua orang sahabat itu pun menjalani dan mendepani lorong kehidupan yang berbeza. Sudin lebih bernasib baik kerana dia tinggal bersama dengan pak ciknya di Kuala Lumpur. Yang mana dengan adanya pak ciknya itu, telah menjadikan Sudin seorang yang berdisiplin, dan menjadi orang baik-baik.
7. Karim pula, kerana tersalah memilih kawan dia terus-menerus melakukan jenayah dan kehidupannya sering tidak tenang dengan setiap dosa yang telah dilakukannya itu.
8. Melalui Anak Titiwangsa ini, Keris Mas menunjukkan sebab dan akibat mengapa soal pemilihan kawan itu menjadi sangat penting dalam hal mendidik diri kita sendiri untuk menjadi insan yang berguna kepada masyarakat dan negara.
"Sudin sekarang sudah mahu masuk universiti, Karim mahu masuk jel. Sudin dijaga oleh Encik Samad, Karim tak ada siapa yang jaga." (ms 155)
"Aku jadi jahat sebab tak ada kawan dengan orang baik," katanya lagi. Dia mula hendak bercerita. "Engkau pun kalau tak lekas ikut Abang Samad ke Kuala Lumpur ni, aku agak akan jadi macam aku juga. Lepas failed periksa form tiga tu dan engkau dah tak ada aku tenggelam punca betul. Usup dapat kawal dek ayahnya. Aku tidak, dan ayah aku pun tidak peduli sangat. Dia tak tahu pun dengan siapa aku berkawan di bandar. Ada tak ada Abang Dollahlah sekali-sekali nasihatkan aku suruh berhenti kawan dengan budak-budak, di bandar tu." (ms 162)
9. Mesej yang cuba disampaikan Keris Mas melalui novel ini cukup mudah untuk difahami. Penceritaannya begitu langsung tanpa perlu untuk pembaca menyelak-nyelak lapisan kulit untuk mengerti perkara isi yang cuba disampaikan penulisnya. Betapa peri pentingnya untuk kita mencari dan memilih kawan yang baik akhlaknya, yang akan membawa kita bersama ke arah kebaikan itu.
10. Peranan ibu bapa juga harus dimainkan dalam memastikan dengan siapa anak-anaknya sering bermain, berkeliaran.
11. Selain daripada itu, novel ini juga menarik kerana Keris Mas seorang sasterawan yang bijak bermain dengan mata penanya. Meliuk-liuk madah sehingga terkesan oleh pembaca.
"Cahaya bulan kelihatan dari tingkap serambi itu. Burung tukang bersahut-sahutan jauh-jauh di tepi kampung seperti bunyi lesung dalam musim orang mengemping. Sunyi di kampung lain sekali dari sunyi malam di kota. Kesunyian itu begitu hening dan mendesing hingga membawa kita ke masa-masa yang lampau. Sunyi di kota menderu dan menggema, membawa kita ke hari esok dan hari-hari akan datang." (ms 33)
12. Karim yang sudah jauh tersasar dengan segala kejahatan yang dilakukan itu telah menghilangkan diri di Kuala Lumpur sehingga mengakibatkan kebimbangan kepada ahli keluarganya. Dan Sudin sebagai seorang rakan yang akrab, telah mengorbankan masa dan tenaganya berusaha untuk mencari Karim sehingga berjumpa dan membawanya kembali ke pangkal jalan dan menjalani hidupnya yang masih muda sebagai seorang manusia yang berguna.
13. Sepanjang pencarian Sudin itulah dia telah banyak belajar dari keragaman kehidupan orang-orang yang ditemuinya. Dia menjadi dewasa dan matang dengan pengalaman hidupnya itu.
14. Untuk mengetahui kisah sepenuhnya mengenai Sudin dan Karim ini, boleh dibaca terus lewat novel ini.
15. Novel kecil ini boleh didapati dengan harga RM 14.00 sahaja. Dan sempena dengan pesta buku yang sedang berlangsung kini, (22 April - 1 Mei 2011) novel ini boleh diperolehi di booth Dawama dengan harga potongan diskaun.
16 . Selamat membaca dan mengambil manfaat dari bacaan.
---
sumber: melihat buku
0 comments:
Post a Comment