May 1, 2011

Aimie: Cabaran 50 Buku: (30) Impikan Mentari

Penulis: Shahzy Hana
Penerbit: Jemari Seni Sdn Bhd
Harga: Rm18.00 / RM21.00
M/S: 398
ISBN 978-967-5118-55-5
Cetakan 1 – Feb 2011

Blurb:

Pernahkah anda mengalami rasa sedih seperti Izzati? Saat hati dilambung rasa bahagia melalui hari-hari indah, tiba-tiba Izzati ‘dihidangkan’ dengan babak bakal suaminya bermukah dengan adiknya sendiri?

Tunang yang amat dicintai dan mengakui amat mencintainya, telah membelah hatinya… nipis-nipis; berdarah parah, tidak mungkin sembuh. Lalu bagaimana kalau anda sendiri mengalami keadaan itu. Sedalam manakah luka anda? Masih percayakah anda pada insan bernama lelaki?

Izzati juga seperti anda, hilang keyakinan diri untuk jatuh cinta dan bercinta lagi.

Namun hatinya yang beku, cair jua dengan gigihnya Ikhman mengetuk hatinya. Hatinya yang berbunga kembali mekar di jenjang pelamin bersama Ikhman. Namun takdir rupa-rupanya masih mahu mengujinya. Ketika bunga-bunga bahagia kembali mewangi, dia disahkan menghidap sakit di ambang maut. Kuatkah dia untuk bergelut melawan sel-sel darah putih yang rakus menelan darah merahnya dan berjuang untuk terus hidup bahagia bersama suami tersayang?

*****
SHAHZY HANA menulis tentang luka, cinta dan kuatnya hati seorang perempuan. Mampukah anda jadi setabah Izzati yang tak pernah jemu-jemu untuk Impikan Mentari?

Kak Chik menukil:

Impikan Mentari, sebuah kisah yang selalu terjadi di sekeliling kita. Kisah kecurangan yang melibatkan adik-beradik. Kecurangan Helmy dan Hanni, ketika majlis perkahwinan antara Izzati dan Helmy hampir menjelang. Kekecewaan Izzati lebih parah kerana kecurangan antara tunang dan adiknya terjadi di depan mata sendiri. Kerana peristiwa itu, Izzati mencuba untuk menjauhi semua lelaki dan dia juga terlupa tanggungjawab sebagai anak kepada emak dan abah kerana terlalu terluka dengan perbuatan Helmy dan Hanni.

Selepas setahun dia berusaha untuk melupakan peristiwa, hatinya cuba diketuk lagi dengan cinta baru. Cinta dari Ikhman iaitu bosnya sendiri. Pelbagai cara diguna Izzati untuk menepis cinta dan kasih lelaki itu. Walaupun begitu, Ikhman tidak pernah mengalah. Dia tetap mencuba dan mencuba untuk mendiami hati Izzati yang sudah membeku bagaikan ais di kutub utara itu.

Setelah pelbagai dugaan, akhirnya keluarga mereka mengaturkan perkahwinan secara mengejut selepas Izzati diserang oleh Hanni di tempat kerjanya. Izzati membuat keputusan dalam keadaan tergesa-gesa walaupun hatinya tidak yakin dengan keputusannya menikahi Ikhman.

Dalam bahagia meniti kebahagian, Izzati teruji lagi dengan penyakit barah darah selepas dia selalu sahaja berdarah hidung dan lemah badan. Namun keputusan Izzati menyembunyikan penyakitnya daripada orang-orang di sekelilingnya terutama Ikhman menyebabkan penyakit tersebut sukar diubati selepas sudah sampai ke peringkat keempat. Bagi Kak Chik tindakan doctor yang merawat Izzati yang lambat menyampaikan berita tersebut juga bagaikan kurang kena kerana tidak mahu mengganggu Izzati yang sedang menikmati bahagia rumahtangga yang baru dibina. Keadaan juga menjadi semakin buruk dengan sikap Izzati yang sedikit kurang cerdik apabila terus menyembunyikan penyakitnya.

Sudut pandang Kak Chik:

Bahasa yang digunakan oleh SH adalah bahasa yang mudah dan sedikit ringkas dengan penceritaan sebagai orang pertama; aku iatu Izzati dan cuma hampir selepas 70% jalan cerita; aku bertukar dari sudut pandang antara Izzati dan Ikhman pula.

Plot pengolahan yang biasa dan mendatar kerana tidak banyak konflik yang dijelmakan. Konflik yang pada penghayatan Kak Chik cuma pertelingkahan antara Hanni dan Izzati seterusnya selepas Izzati disahkan menghidapi penyakit barah tersebut.

Sedikit membuat Kak Chik terkeliru ialah kenapa terlalu lama untuk Hanni bersalin sedangkan pada Kak Chik sudah lebih 9 bulan usia kandungannya;bermula mereka pulang ke kampong – Hanni hamil 6 bulan dan selepas 3 bulan Izzati terlantar di hospital Hanni masih juga belum bersalin. Perkara seperti ini mungkin penulis boleh amati semula.

Namun, pada Kak Chik pengorbanan Ikhman ketika Izzati terlantar sakit mampu mengubah persepsi tentang hati seorang lelaki. Ikhman terlalu mencintai isterinya sehingga dia sanggup berkorban nyawa.

Suatu penamat yang membahagiakan… walaupun pengorbanan itu ada harga yang perlu dibayar.


LiFe iS a LoNG JouRNeY
-Kak Chik-
(^__^)

0 comments: