Apr 1, 2011

AS: Cabaran 50 Buah Buku (10) Impikan Mentari

Tajuk : Impikan Mentari
Penulis : Shahzy Hana
Penerbit : Jemari Seni (Feb 2011)
398 Mukasurat
Harga: RM18 (SM)/RM21 (SS)

Membaca naskah ini seolah-olah membaca catatan sebuah diari ( menurut pandangan saya ) yang penuh kisah duka & airmata. Mungkinkah novel ini adalah hasil garapan kreatif & pengalaman penulis sendiri?

Namun mengenali watak Izzati, anda yang turut mempunyai pengalaman yang hampir sama mungkin akan lebih terkesan dengan apa yang disampaikan. Mungkin anda juga akan turut mengalir air mata membaca dugaan demi dugaan yang terpaksa dihadapi oleh Izzati.Betapa berat beban yang dipikul tetapi saya yakin mereka yang memang pernah mengalami nasib sebegini mungkin lebih merasai apa yang Izzati sekeluarga rasa. Kepincangan hubungan adik-beradik dan kemudian dikejutkan dengan penyakit leukemia yang dideritainya memang sangat berat bagi Izzati.

Ikhman, lelaki kedua yang hadir dalam hidup Izzati. Walaupun dia hadir sebagai cinta kedua bagi Izzati tetapi dia jugalah suami, teman dan kekasih yang tidak pernah meninggalkan cinta hatinya. Adakah wujud lelaki seperti Ikhman yang penuh dengan pengertian, kasih, sayang, kesetiaan & kesabaran?
Selamilah bagaimana rasa hati Izzati & Ikhman menghadapi dugaan demi dugaan dalam hidup mereka dalam Impikan Mentari.

Sinopsis Kulit Buku:

Pernahkah anda mengalami rasa sedih seperti Izzati? Saat hati dilambung rasa bahagia melalui hari-hari indah, tiba-tiba Izzati ‘dihidangkan’ dengan babak bakal suaminya bermukah dengan adiknya sendiri?

Tunang yang amat dicintai dan mengakui amat mencintainya, telah membelah hatinya... nipis-nipis; berdarah parah, tidak mungkin sembuh. Lalu bagaimana kalau anda sendiri mengalami keadaan itu. Sedalam manakah luka anda? Masih percayakah anda pada insan bernama lelaki?

Izzati juga seperti anda, hilang keyakinan diri untuk jatuh cinta dan bercinta lagi.
Namun hatinya yang beku, cair jua dengan gigihnya Ikhman mengetuk hatinya. Hatinya yang berbunga kembali mekar di jenjang pelamin bersama Ikhman. Namun takdir rupa-rupanya masih mahu mengujinya. Ketika bunga-bunga bahagia kembali mewangi, dia disahkan menghidap sakit di ambang maut. Kuatkah dia untuk bergelut melawan sel-sel darah putih yang rakus menelan darah merahnya dan berjuang untuk terus hidup bahagia bersama suami tersayang?

* * *

SHAHZY HANA menulis tentang luka, cinta dan kuatnya hati seorang perempuan. Mampukah anda jadi setabah Izzati yang tak pernah jemu-jemu untuk Impikan Mentari?


sumber: Anita Sang

XX : Cabaran 50 Buku : (6) Lafazkan Kalimah Cintamu

Penulis : Siti Rosmizah
Halaman : 811
Harga : RM26.90
Terbitan : SR Publications
Cetakan 1, 2, 3, 4 – 2010

Secara ringkas :

Lafazkan kalimah cintamu mengisahkan penderitaan seorang anak yang dibenci oleh bapa kandungnya sendiri gara-gara kematian ibunya. Tengku Aqilah dianggap sebagai penyebab kematian ibunya walhal, hakikatnya ibunya meninggal kerana menghidapi penyakit kanser payudara. Sejak kelahirannya dia tidak pernah diterima bapanya dan dia tidak dibenarkan memanggil bapanya dengan panggilan papa tetapi Pak Engku! Seperti orang luar. Dia dibesarkan oleh orang gajinya.

Tengku Aqilah kemudian melanjutkan pelajaran ke luar negara. Setelah tamat pelajarannya, dia pulang kepangkuan keluarganya. Sayangnya keluarganya tidak menghargainya. Kakaknya iaitu Tengku Natasha yang iri hati dengan kejayaan Tengku Aqilah telah menghasut papa mereka Tengku Hisham supaya mengambil Tengku Aqilah bekerja di syarikat mereka sebagai penyambut tetamu merangkap tea lady di syarikat mereka. Tengku Aqilah yang ingin menagih kasih papanya bersetuju walaupun dia tahu dia lebih layak menyandang jawatan yang lebih tinggi dari Tengku Natasha.

Bermula dari situlah Tengku aqilah mengenali Tengku Ryan Ameer. Pantang bersemuka pasti tercetus pergaduhan. Tengku Ryan Ameer amat membenci Tengku Aqilah yang pada pandangannya sangat buruk! Tidak seperti kekasihnya Tengku Natasha yang cantik.

Tengku Aqilah pula terpaksa memakai make up yang tebal dan rambut palsu semata-mata ingin menyembunyikan raut wajahnya yang sebenar kerana tidak mahu papanya sedih lagi apabila melihat wajahnya yang mirip ibunya itu. Tapi sayang pengorbanannya itu tidak diendahkan.

Tengku Aqilah kemudiannya diminta berkahwin dengan Tengku Ryan Ameer melalui wasiat Tengku Hashim iaitu bapa Tengku Ryan Ameer. Tengku Aqilah bersetuju dengan permintaan tersebut walaupun dia tahu papanya berbuat demikian kerana kakaknya yang inginkan harta Tengku Hashim itu. Tetapi demi ingin memperbaiki perhubungan dengan papanya Tengku Aqilah rela dipergunakan.

Setelah berkahwin hidup Tengku Aqilah lebih merana kerana Tengku Ryan Ameer tidak pernah mengendahkannya dan papanya masih tidak menerimanya. Tapi langit tak selamanya akan cerah. Tengku Hishamkemudiannya jatuh sakit dan Tengku Aqilah yang terpaksa menjaganya.

Tak kenal maka tak cinta begitulah situasi Tengku Ryan Ameer yang kemudiannya terpikat dengan isterinya itu. Tetapi bahagia tak berkekalan hubungan mereka menghadapi banyak dugaan. Sesekali mereka tewas jua. Gara-gara Tengku Natasha hubungan mereka berentakan dan mereka berpisah. Bagaimana Tengku Ryan Ameer dan Tengku Aqilah dapat bersama kembali? Tengku Natasha tidak pernah berhenti mengganggu hidup mereka. Tengku Hisham masih berkeras hati menafikan Tengku Aqilah sebagai anaknya. Mampukah Tengku Aqilah bertahan?


Komen saya :

Buah tangan Siti Rosmizah yang ketiga setelah Andai Itu Takdirnya dan Cinta Kau dan Aku. Seperti biasa bagi saya karyanya kali ini juga tak kurang hebatnya. Walaupun masih menggunakan jalan cerita kahwin paksa seperti novelnya yang sebelum ini tapi ada kelainan yang cuba beliau tampilkan.

Insiden dalam cerita ini kadang-kadang tak terduga. Novel ni boleh dikatakan novel romantic comedy yang sedih barangkali. Dalam sedih ada lucunya. Karakter-karakter yang dihidupkan penulis mempunyai gaya tersendiri. Farhana dan Tengku Aqilah yang gila-gila perangainya boleh buat kita tersenyum apabila membacanya.

Tengku Aqilah yang sentiasa berkorban apa sahaja demi mendapatkan kasih papanya. Sanggup dipergunakan, sanggup bermake up tebal macam opera cina demi papanya buatkan kita rasa betapa kuatnya Tengku Aqilah ni. Tapi melalui gaya penyampaian penulis buat kita tersenyum sambil kesiankan Tengku Aqilah tu saya rasa macam tu la…

Masa mula-mula baca lagi kita akan rasa sedih dah… saya baru baca muka surat 11 tapi air mata dah nak keluar dah. Sangat sedih bahagian Tengku Aqilah semasa bersama ibunya. Apabila besar pun masih dibenci papanya, dihina sentiasa buatkan kita geram dengan Tengku Hisham ni. Pendek kata rasa nak hentam-hentam ja la dia tu. Anak sendiri pun nak benci. Lebih kurang macam tu la.

Kan saya pernah cakap Siti Rosmizah nie memang memainkan perasaan pembaca. Pandai mencampur adukkan rasa dalam novel tulisannya.

Tapi satu ja la saya nak ingatkan kalau baca novel ni. Macam biasa kotak tisu disebelah dan masa yang panjang sebelum baca novel ni. Sebabnya novel ni sangat tebal ok. Tebal daripada biasa…

XX Quotes : Second choice yang harus dimiliki.... =)

XX : Cabaran 50 Buku : (5) Bila Ada Rindu

Penulis : Emma Maizura
Halaman : 502
Harga : RM19.90
Terbitan : Alaf 21
Cetakan 1 – 2009

Secara ringkas :

Bila ada rindu menceritakan tentang kehidupan seorang gadis yang sangat bertuah, Dalyla yang hidup bahagia di samping keluarganya. Sejak kecil dia tidak pernah kurang kasih sayang daripada umi, baba dan juga alongnya. Tidak pernah hidup susah kerana dilimpahi kasih sayang dan kemewahan hidup. Walaupun sejak kecil dikongkong sehinggalah meningkat dewasa Dalyla tidak kisah kerana dia tahu dia bertuah keluarganya tu sayangkannya.

Tapi langit tak sentiasanya cerah dalam dia hidup bahagia bersama keluarganya dan hamper berkahwin dengan tunangnya Zahim, Dalyla mendapat tahu asal usul dirinya yang sebenar. Dia hanyalah anak angkat kepada keluarnya yang sekarang. Umi dan baba bukan ibu bapa kandungnya yang sebenar. Dalyla malu kerana dihina sebagai anak haram. Ya, dia anak haram. Anak yang lahir ke dunia tanpa seorang bapa. Lelaki yang diharapnya dapat membela maruahnya, Eriel juga bertindak meninggalkannya. Dalyla rasa terhina. Mulai saat itu, dia mula sedar diri dan tak menaruh perasaan pada mana-mana lelaki.

Sejak peristiwa tersebut Dalyla mula bangkit menjadi Dalyla yang baru. Dalyla yang tabah dan dingin. Setelah mengetahui dirinya lahir kerana ibunya diperkosa dan dia adalah anak luar nikah Dalyla sentiasa sedih. Dan bertambah sedih apabila mengetahui kisah sebenar disebalik kematian ibu kandungnya. Dia menyalahkan babanya. Padanya kalau babanya itu tak melanggar ibu kandungnya pasti ibunya itu masih hidup. Tapi dia tak sedar akan hikamah disebalik segala yang terjadi.

Zahim dan Eriel kemudiannya menyesal atas perbuatan mereka terhadap Dalyla. Mereka berusaha mendapatkan Dalyla kembali. Tetapi siapa yang akan dipilih Dalyla? Adakah Dalyla sudah lupa apa status dirinya? Tidak layak kah anak luar nikah menerima bahagia sedangkan bukan kehendaknya lahir sebegitu? Emma Maizura telah mencoret segalanya dalam Bila Rindu Ada.


Komen saya :

Ini merupakan novel kedua penulis yang telah saya baca setelah Tiada Noktah Cinta. Agak menarik bagi saya kerana menceritakan tentang kehidupan seorang gadis yang bergelar anak luar nikah. Selalunya jarang kita jumpa cerita begini.
Tapi pada saya jalan cerita ini agak mendatar, tapi tak bermakna tidak menarik. Cerita ni menarik watak yang ada juga diolah dengan baik. Cuma kurang impaknya. Bila kita baca kita akan rasa “owh, ok… mak dia mati.” Habis.

Konflik yang dipapar juga agak klise. Dalyla terima Eirel dengan mudah dan Zahim yang mengundur diri dengan cepat kemudian watak jahat Shira yang memorak perandakan rumah tangga mereka... kurang memberi kesan.

Paling saya suka bahagian Dalyla bekerja di prasekolah. Keletah kanak-kanak di sana sedikit sebanyak menarik perhatian saya. Buat saya rasa bertuah Dalyla kerja kat situ, rasa macam nak apply mengajar dekat prasekolah pulak... =P. thumbs buat penulis sebab berjaya buat saya rasa macam tu...

Pada saya karya beliau Tiada Noktah Cinta lebih meninggalkan kesan.

XX Quotes : Tak rugi baca... =)

NH: Cabaran 50 Buku : (14) Bini Aku Tomboy Ke?

Bini Aku Tomboy ke?
Penulis: Arisa Eriza
Terbitan: Kaki Novel
cetakan 2010

Bini Aku Tomboy ke? Mengisahkan kehidupan seorang gadis yang berpewatakan seperti seorang lelaki. Mencari fitrah kehidupan semulajadi dalam dirinya. Sofi Zarill Binti Muhammad atau lebih gemar membahasakan dirinya sebagai Zack. Suka kepada penampilan diri seperti lelaki macho yang comel, berambut pendek, bertopi dan selesa dengan t-shirt berserta jeans.

Zack berpewatakan seperti tomboy kerana semenjak kecil, di asuh oleh papa dengan cara didikan seorang anak lelaki. Semasa Zack di dalam kandungan mamanya iaitu Datin Mas atau lebih dikenali sebagai Datin Gold, mama dan papa nya menginginkan seorang anak lelaki.

Kehadiran Abang Din dalam hidup Zack telah meperlihatkan naluri seorang perempuan di dalam diri Zack. Pertemuan Zack dengan Abang Din bermula apabila Zack ke Kuala Lumpur seorang diri dan barang-barang peribadinya di rompak semasa ingin menunai solat di surau. Sungguh malang nasib Zack pada hari ketibaannya di Kuala Lumpur, barang-barang semua hilang, di halau oleh makcik-makcik yang berada di surau kerana menyangka Zack seorang lelaki. Terpaksalah Zack merayau-rayau untuk meminta pertolongan. Akhirnya tertidur di kaki lima bangunan dan ada insan yang bersimpati dengan Zack, meletak RM2 di dalam topi Zack. Dengan berbekalkan RM2, Zack ke kedai makan berdekatan untuk mengisi perut. Di restoran tersebutlah, pertemuan Zack dengan Abang Din berlaku.

Abang Din adalah pelayan di kedai makan yang sudi membantunya. Menumpang sementara di rumah Abang Din menyebabkan naluri kewanitaan semakin menebal di dalam diri Zack. Sebelum ini, naluri dan perasaan pada lelaki tidak pernah Zack pedulikan. Bersama Abang Din, bagaikan wujud berjuta-juta voltan arus elektrik didalam urat sarafnya. Abang Din juga mempunyai perasaan yang sama, tetapi, Abang Din musykil pada diri sendiri, kenapa perlu mempunyai perasaan aneh pada lelaki? Sememangnya, Abang Din tidak mengetahui bahawa Zack adalah seorang perempuan.

Akhirnya, Zack berjaya pulang ke rumah keluarga nya. Muncul pula, watak Arin, pembantu baru di rumah keluarganya. Arin juga menyangka Zack seorang lelaki tulen. Arin mula jatuh hati dan menyimpan perasaan cinta pada Zack. Kebaikan dan sikap mengambil berat yang ditunjukan oleh Zack yang menyebabkan Arin cepat melayan perasaan cintanya. Identiti sebenar Zack di ketahui oleh Arin kerana Arin bijak meyelidik sebelum 100 peratus hatinya jatuh terjunam menyulam perasaan seorang diri.

Datin Mas, bimbang dengan perwatakan Zack yang tidak menunjukkan mahu berubah ke arah seorang perempuan sejati, memberi kepercayaan untuk Zack menguruskan sebuah butik sendiri. Dalam sibuk menguruskan butik, perasaan rindu Zack kepada Abang Din semakin menebal. Zack semakin keliru dengan pendiriannya sebagai seorang yang macho. Datin Mas juga bertekad untuk menjodohkan Zack dengan Azim. Azim adalah rakan sepermainan Zack semasa kecil. Tetapi, Zack sememangnya tidak begitu menyukai perangai Azim yang suka berfoya-foya dan seorang yang kasanova mempunyai teman-teman wanita yang ramai.

Zack berjaya memiliki sekeping hari milik Abang Din. Walaupun keluarga Zack jauh lebih berkedudukan dan mewah, mereka tidak menghalang Zack untuk bersatu dengan Abang Din yang hanya orang kebanyakkan. Tetapi, jodoh Zack dengan Abang Din hanya separuh jalan kerana Abang Din menemui ajal semasa berlakunya kemalangan. Zack koma dalam jangka masa yang agak lama. Zack seperti tidak dapat menerima pemergian Abang Din dan untuk mengelakkan berlaku perkara yang tidak diingini pada Zack, Datin Mas dan Dato’ Muhammad menjodohkan Zack dengan Azim.

Seseorang yang perwatakan tomboy tidak semestinya mempunyai hati naluri dan perasaan seperti lelaki. Mereka juga dapat membahagiakan hati semua orang termasuk suaminya sendiri. Itulah yang cuba disampaikan oleh penulis muda ini Arisa Eriza. Orang berkedudukan juga tidak pernah memandang hina pada pelayan kedai makan, tidak membezakan taraf kehidupan untuk mengikat tali silaturrahim.

sumber: nOOr hEkmAt

AS: Cabaran 50 Buku (11) Kau Curi Hatiku

Tajuk: Kau Curi Hatiku
Penulis: Iman Xara
Penerbit: Jemari Seni (Jan 2011)
518 Muka Surat
Harga: RM20(SM)/ RM23 (SS)

Novel kedua Iman Xara yang saya baca selepas Rumput Masih Hijau. Membaca novel ini, telah membuat saya rasa sangat tidak berkenaan dengan watak lelaki utama iaitu Zamil. Perangai yang memang membuat saya sakit hati.

Sementara Arissa, seorang wanita yang begitu bijak dalam kerjaya & bijak juga menangani masalah rumahtangganya. Tidak mudah melatah & tidak mudah menunjukkan dirinya lemah walau begitu pahit derita yang dia tempuhi.

Arissa mengenali Zamil dari seorang teman sepejabat yang tidak boleh bertemu muka. Ada saja yang mereka tengkarkan. Namun, Arissa tidak tidak dapat menolak kehadiran Zamil setelah melihat kesungguhan lelaki itu terhadapnya dan juga setelah cinta dia & Firdaus ternoktah selepas Firdaus menikahi Nurin. Walau ibunya menyuarakan rasa tidak sedap hati dengan pilihan Arissa namun sebagai ibu dia hanya mampu mendoakan kebahagian anaknya.

Namun, bahagia tidak lama apabila Zamil mula berubah sikap & mengabaikan Arissa dan anaknya setelah bertemu dengan Tina.Walaupun Arissa tidak pernah berhenti mencuba menyelamatkan perkahwinannya & Zamil, namun apakan daya sekiranya hanya dia yang berusaha sedangkan Zamil hanya pandai menyalahkan orang lain. Akhirnya perkahwinan Arissa & Zamil berakhir apabila Zamil terus-menerus membohongi Arissa.

Arissa tidak pernah menyesali perpisahannya dengan Zamil kerana dia percaya ada sebab mengapa semua itu terjadi sebelum dia betul-betul menemui kebahagian dalam hidupnya. Firdaus juga tidak pernah menyesali perkahwinannya dengan Nurin walau cintanya kepada Arissa tidak pernah hilang.

“ Seperti benih yang terkambus di dalam tanah, tak Nampak tapi ada.”

Mampukah Arissa mengapai bahagia? Sanggupkah dia menerima semula Zamil yang benar-benar telah bertaubat? Firdaus, pengakhiran yang bagaimana telah direncanakan untuknya?

“ Kata orang kalau hilang sesuatu perkara, mungkin Allah ingin memberikan yang lebih baik. Arissa yakin dengan ketentuan itu”.

Mungkin benar bahawa kita tidak boleh hanya sekadar mengharap bahagia.Tapi bahagia itu perlu dibentuk,diasuh dan dikembangkan.

sumber: Anita Sang