Apr 15, 2011

MQ : Cabaran 50 Buku : (10) Cinta Sang Ratu

Tajuk : Cinta Sang Ratu
Penulis : Ramlee Awang Murshid
Penerbit : Alaf 21 Sdn Bhd
Tahun terbitan : 2010 (cetakan 8)
Halaman : 554
Harga : RM19.90/ RM22.90

Kesinambungan novel Bagaikan Puteri ini masih mengekalkan watak Laksamana Sunan sebagai tunjang utama dengan dibantu oleh Haryani dan Dani, bagi melancarkan jalan cerita yang mempertemukan dua zaman berbeza.

Novel ini sarat dengan mesej ketuhanan sedari zaman sebelum penciptaan manusia pertama Adam a.s. Keingkaran syaitan sujud kepada Nabi Adam disertai peluang yang diberi untuk menyesatkan manusia sehingga tibanya hari kiamat digunakan dengan sebaik-baiknya.

Penulis berjaya mengetengahkan unsur sihir, mistik dan kepercayaan karut segelintir masyarakat di muka bumi ini dalam penceritaan yang begitu memukau dan penuh debaran sesuai dengan gelaran novelis thriller no.1 di Malaysia.

Justeru novel ini mengingatkan manusia akan kelebihan ayat kursi, unsur ikhlas dalam kehidupan dan bertawakal kepada Allah setelah berusaha selain mengangkat tema cinta fitrah sesama manusia dalam diri seorang pejuang kebenaran yang meletakkan cintanya kepada Allah melebihi cinta kepada makhlukNya.

Membaca novel ini ada debaran, ada manis, ada cinta, ada air mata, ada ketabahan dan ada kesedihan yang dipendam. Syabas kepada penulis kerana membuatkan pembaca berfikir kembali dan merenung diri sendiri.

sumber: Mariah

Apr 14, 2011

Aimie: Cabaran 50 Buku: (29) Dia & Dia

Penulis: Bunick Firdaus
Penerbit: Jemari Seni Sdn Bhd
ISBN 978-967-5118-54-8
Harga: RM 21.00 / RM 24.00
M/S: 584
Cetakan – Feb 2011

Blurb:

“Dia hadir dalam hidupku untuk menyenbuhkan rawan yang bersarang di dada. Sedangkan dia yang pernah hidup dalam hatiku ini terpaksa mengusung dukanya sendirian. Kejamkah aku pada dia andainya aku tidak mampu mencintai dia sepertimana aku mencintai dia yang seorang lagi?”

Cinta dan kasih yang saling menagih; yang mana satu pilihan Arissa?

Mahupun Irfan biarpun Fazril; dia dan dia sering sahaja membuat hati gadisnya keliru. Telah pun Arissa cuba melarikan hatinya ini jauh-jauh, dayanya entah hilang di mana? Apa yang tidak kena dengan hatinya yang sekeping ini?

Dia memang lelaki penyayang. Namun selembut mana pun dia cuba mengubati hati Arissa yang luka, mana mungkin Arissa melupakan cinta pertamanya. Apatah lagi pada saat Arissa hampir menggapai bahagia; ujian pula dating bertimpa-timpa!

Antara memori dan harapan, yang mana satu jadi pilihan? Antara dikasihi dan mencintai, yang mana satu harus dicari?

*****

Nukilan pertama BUNICK FIRDAUS ini cuba menyelami bilau hati seorang wanita pada dia yang mahu berkongsi hati dengannya. Bukankah ‘keliru’ itu maknanya hati sudah tersentuh? Biarlah Dia & Dia menjelaskan semuanya!


Kak Chik menukil:

Kekeliruan hati seorang wanita, Arissa (oleh kerana penulis menggarap rasa dari rasa hati aku – Arissa, jadi kita tidak tahu rasa hati watak-watak lain) tentang pilihan hidupnya. Persahabatan yang terjalin 4 tahun antara Arissa dan Fazril termeterai di puncak Kinabalu. Lamaran yang secara mengejut itu telah membuat Arissa terkedu dan terus bersetuju kerana selama ini rasa itu tidak pernah dia selami. Janji Fazril, mereka akan mengikat tali pernikahan selepas 3 bulan selepas detik itu.

Dalam bahagia menunggu hari dirisik dan bertunang, Arissa dikejutkan dengan pertemuan Zhalliya, sepupu Fazril. Kad jemputan kahwin yang tertera nama Fazril dan Zhalliya merenggut kejam kebahagiaan dan impian Arissa. Kenapa kerana silap Zhalliya dan arwah Ikram, Arrissa dan Fazril yang menjadi mangsa. Fazril terpaksa menolak ke tepi rasa cinta demi menjaga maruah keluarga dan patuh pada orang tua. (Dan pada Kak Chik, ketika ini Fazril bagaikan tidak begitu bertegas dengan rasa cintanya pada Arissa kerana dia dengan mudah sahaja meninggalkan Arissa terluka).

Dalam Arissa berkeluh kesah kehadiran Irfan mampu mengubati luka walaupun parut masih jelas kelihatan. Walaupun berkali di lamar Irfan, Arissa tetap bertegas dia hanya mampu berkawan kerana rasa cinta pada Fazril tidak pernah padam walaupun dia mencuba berkali-kali.

Kerana jodoh itu aturan Allah, walau berkali kita lari pasti bertemu juga di penghujungnya. Namun bahagia yang dikecapi tidak lama, lalu siapa yang harus disalahkan pada pertelingkahan ini?

Pada Kak Chik, rasa sedikit terkilan apabila Kak Chik mendalami watak Arissa kerana Kak Chik merasakan Arissa seorang yang mementingkan diri sendiri ketika dia berhadapan dengan Irfan sebagai suami. Dia begitu mendesak Irfan untuk menjauhi Dania selepas mereka berkahwin sedangkan dalam dia tidak sedar dia telah mencabar kesabaran seorang suami apabila dia masih berhubung dengan Fazril. Rasa tercabar dan bersalah Irfan menyebabkan dia sanggup mengalah sedangkan Arissa juga cinta pertamanya. Dia sanggup berkorban demi melihat Arissa kembali bahagia dan tidak mahu Arissa terseksa lagi. Juga Kak Chik sangat suka cara penulis mengolah perhubungan kedua orang tua Irfan dengan Arissa walaupun hubungan Irfan-Arissa terputus.

Mampukah Arissa mencorak bahagia selepas Irfan mengundur diri? Benarkah cinta pertama itu cinta sejati?... Allahuaklam...

P/S: Secara jujur air mata mengalir laju ketika Irfan dan Arissa di mahkamah. Sungguh kasihan pada Irfan…. Sesuatu yang menyesakkan otak Kak Chik, tidak bolehkah cinta dipupuk lagi selepas cinta pertama?....


LiFe iS a LoNG JouRNeY
-Kak Chik-
(^__^)

Aimie: Cabaran 50 Buku: (28) Menunggu Hujan

Penulis: Adileah
Penerbit: Jemari Seni Sdn Bhd
ISBN 978-967-5118-56-2
Harga: RM19.00 / RM 22.00
M/S: 447
Cetakan 1 – Mac 2011

Blurb:

Kata dia, “ Tak boleh ke panggil Lis? Sedap apa nama tu.”

Jawabnya pula, “ Tak boleh. Tak suka. Macam ‘list’ barang apabila awak panggil saya Lis.”

Jawab dia kembali, “Saya panggil awak ‘dear’ atau saying boleh tak?”

Dia tak mahu layan. Hatinya sudah ada irama yang sedang bergetar. Mana boleh ditunjukkan di hadapannya. Rahsia hati mesti disimpan diam-diam.

Itu cerita silamnya. Cerita sekarang sudah berbeza.

Jauh merentasi benua, masalah tidak juga selesai. Lama dia menyepi, masalah tidak juga selesai. Lama dia menyepi, rindu itu tidak juga padam. Dalam dia tidak memanggil namanya, rasa itu tetap terpahat di situ. Semua itu tidak pernah pergi jauh daripadanya.

Dunia bagaikan berhenti berputar apabila dua jiwa yang terpisah bertemu kembali dalam satu rasa yang sama. Rupanya…rasa yang dia cuba nafikan itu masih ada dan tidak pernah padam. Dia sudah letih untuk berlari.

Satu hari si dia dating padanya dan kata si dia pada saat itu, berilah rasa itu kepadanya biar semua kesakitan hilang. Bolehkah begitu?


Kak Chik menukil:

Karya kedua dari ADILEAH selepas Pada Angin Aku Berpesan. Wahhh, penulis ini betul-betul ‘akrab’ dengan alam ya. Selepas angin, hujan pula yang dipilih. Selepas ini apa ya, mungkinkah suria? Kita tunggu saja.

Malisa yang bekerja sementara menjadi pengasuh peribadi kepada Cik Puan di rumah besar itu. Malisa yang bukan penyabar itu sudah jatuh sayang pada Cik Puan yang diabaikan oleh 9 orang anaknya, 50 orang cucu-cucunya dan cicit-cicitnya yang tidak diketahui jumlahnya. Malisa yang entah siapa-siapa pada Cik Puan telah berusaha supaya Cik Puan kembali bersemangat.

Lalu pertemuan di rumah Cik Puan dengan cucu nombor 50 itu telah mengubah jalan hidup Malisa secara 360 darjah. Pertemuan yang pada mulanya sedikit tegang itu boleh berubah kepada teman yang sedikit akrab sedangkan mereka baru sahaja kenal.

Namun Malisa sentiasa sedar diri yang Hafiz itu sudah mempunyai buah hati, si buah Cherry versi Melayu. Tetapi Hafiz memang seorang yang sentiasa panjang akal. Dia telah menggunakan helah untuk menyingkirkan Cherry dari hidupnya.

Malisa sudah mampu menarik nafas lega. Tetapi hujan renyai masih menitik di tengah hari. Kehadiran orang tua Hafiz dan tunangnya, Dayang Suhaila merobek hati Malisa walaupun mereka tidak pernah mengikat janji. Kerana helah mamanya, Datin Rokiah, Hafiz bersetuju untuk pulang ke Kuala Lumpur.

Malisa pula mencuba pelbagai cara untuk jauh dari Hafiz tetapi Hafiz tetap mencuba pelbagai cara untuk terus dekat dengannya. Tentangan secara terang daripada mama dan tunang Hafiz juga menjadikan Malisa semakin tertekan . Lalu, kerana fitnah dan terhina dia membawa diri.

Secara jujur, karya ini membuat Kak Chik tersenyum, bersulam air mata dan ketawa. Penulis sungguh pandai mengadun pelbagai rasa. Cuma pada Kak Chik bagaikan ada sedikit kekurangan kerana penulis tidak merungkai secara mendalam sepanjang tempoh perpisahan yang terjadi antara Malisa dan Hafiz selama 4 tahun itu.

Kenapa Hafiz masih tega mencuba untuk dekat dan melamarnya sedangkan Hafiz sudah bahagia dengan Dayang Suhaila dan Loqman pada kaca Malisa? Atau dengan memilih Amin Farhan boleh menjadi jalan penyelesaiannya?

P/S: Penamat yang membuat Kak Chik tersenyum selama berhari-hari…



LiFe iS a LoNG JouRNeY
-Kak Chik-
(^__^)

Aimie: Cabaran 50 Buku: (27) Tiga Ceritera dalam Sebuah Tinta

Penulis: Nasron Sira Rahim, Syud dan Pingu Toha
Penerbit: Jemari Seni Sdn Bhd
ISBN 978-967-5118-57-9
Harga: RM 21.50 / RM 24.50
M/S: 551
Cetakan 1 – Mac 2011

Blurb:

Ceritera I: Wajah Ketiga -Nasron Sira Rahim


Hatinya ditusuk rasa sedih, kecewa dan amarah yang tidak berkesudahan. Bagaikan ditusuk sembilu, kebahagiaan mereka menatijahkan luka yang pedih dan mendalam dalam sanubarinya. Keperitan yang terpaksa dia pendam sehingga membuahkan pohon kesengsaraan yang bercambah rendang.

Apakah maksud di sebalik jujukan kod-kod nombor itu?
Mungkinkah dia salah seorang mangsa Pembunuh Obituari?

Ceritera 2: Dia, dalam Ramai… - Syud

Ramai orang kata, kadang-kadang, perkara yang paling kita tak jangka itulah yang akan terjadi pada diri kita.

“Sufiy.”
“Ya?”
“Nama saya Ameer.”
“Oh. Jumpa lagi, Ameer.”


Siapa sangka,kan? Siapa sangka orang yang dia sangka hilang atau memang dah tak akan jumpa itu… muncul lagi di hadapan mata?

Ceritera 3: Ada & Evan – Pingu Toha

Boleh ke kita hidup pakai hukum ‘and they live happily ever after’?

Ada; yang sudah penat dengan cinta. Evan; yang begitu naïf tentang cinta. Mereka cuba disatukan oleh ‘janji tadika’ abah dan ibu. Mereka bertemu di ruang maya. Di realiti, mereka mencari. Demi ‘Katakan Tidak kepada Kahwin Paksa’, mereka berjanji. Lalu, yang mengikat mereka itu apa? Janji atau cinta?

Kak Chik menukil:

Ceritera 1 - Sejujurnya ini kali pertama Kak Chik membaca hasil karya penulis. Jadi, tidak boleh nak membandingkan sama ada karya yang terkini ini ada kemajuan atau semakin matang atau tidak. Tetapi yang pasti sepanjang pembacaan, hati dan jantung sentiasa berdegup kencang. Kadang-kadang bagai nak putus nafas mengenangkan apa yang akan terjadi selepas ini, selepas ini dan selepas ini?

Kisah yang berkisar tentang penyiasatan polis tentang pembunuh bersiri, Pembunuh Obituari yang telah membunuh dua orang di kawasan Alor Setar, Kedah dan telah menjadikan kes yang terhangat di seluruh negara. Selepas tiga bulan pihak polis masih juga tidak dapat sebarang klu tentang Pembunuh Obituari kecuali jujukan kod-kod yang sampai sekarang masih tidak dapat dirungkai.

Dan pembunuhan yang ketiga telah terjadi Mentakab menjadikan kes ini semakin rumit. Pihak polis masih lagi memburu siapakah pembunuh tersebut? Kali ini Pembunuh Obituari meninggalkan jujukan kod nombor pula. Pegawai polis yang bertanggungjawab iaitu Ridzwan dan Faiz telah bekerjasama untuk memburu pembunuh tersebut.

Kenapa Zufri dan Sarah dibunuh? Apa kaitan keduanya? Apa pula kes yang terjadi pada kejadian tembakan di Kampung Raja, Mentakab? Apa kaitannya kes-kes tersebut dengan kes yang disiasat Inspektor Faiz di Kedah?

Dan siapakah sebenarnya Pembunuh Obituari terus menjadi misteri?

Tahniah kepada penulis kerana telah menaiktarafkan kisah thriller dalam minat pembacaan Kak Chik!

Ceritera 2

Sebenarnya, selepas pembalut plastic dibuka dan setiap bahagian tepi disolatep dan Kak Chik dengan rasa bangganya menurunkan tandatangan beserta tarikh Tinta digenggam (chewahhhh...jgn tak tahu semua novel Kak Chik mesti tandatangan ), terus saja terjah pada Dia, dalam Ramai…maaf ye pada penulis lain..Nasron & Pingu Toha… mungkin tindakan refleks ini terjadi kerana karya-karya Syud sebelum ini tidak pernah mengecewakan Kak Chik.

Dia, dalam Ramai…sudah tidak mengisahkan alam ketika zaman kuliah. Nampaknya penulis sudah maju setapak ke depan. Kisah Sufiy dan Ameer yang sedikit berbeza daripada karya-karya yang sebelum ini kerana mereka berdua tidak pernah kenal.

Mereka berdua hanya pernah bertentang mata ketika sama-sama menunggukan lif yang sama pada masa yang sama sahaja. Tetapi itu kejadian yang bertahun dulu. Namun ingatan pada pertemuan itu tidak pernah padam dalam kenangan mereka walaupun selepas Sufiy pernah menjalin hubungan cinta dengan Firdaus.

Setelah mereka bertemu kembali, mereka masih lagi menyembunyikan rasa itu sehingga Sufiy dirisik bekas kekasihnya. Ameer sekali lagi bagaikan hilang arah dan sinar hidup.

Lalu, apa yang terjadi? Ameerkah yang terlewat atau jodoh mereka tetap bertaut?

Pada hemah Kak Chik, penulis semakin matang dalam mengisahkan karyanya dengan cara tersendiri sehingga kita tidak pernah bosan untuk terus menunggu karya terbarunya…

P/S: Tak sabar nak dapatkan Baju Melayu Hijau Serindit…

Ceritera 3

Karya Pingu Toha juga, baru pertama kali Kak Chik menelaah. Dan Alhamdulillah tidak menghampakan. Jadi selepas ini kena dapatkan 134 dan L.U.V.E.heheheh

Sesuata yang berlainan apabila hampir 99% karya penulis ini diterjemahkan dalam bentuk emel antara Ada dan Evan. Dan ada juga illustrator dalam manga yang ditulis Ada. Memang sesuatu yang unik dalam sebuah novel Melayu.

Ada dan Evan yang berhubung hanya melalui emel cuba untuk mengatakan tidak kepada kahwin paksa yang telah diatur oleh abah Evan dan ibu Ada. Ada yang telah dua kali putus cinta, sudah tiada rasa untuk bercinta lagi dan Evan yang terlalu naïf pada cinta hanya tahu dia telah lama jatuh cinta pada Allishya, teman ketika dia tadika. Mereka sama memberi semangat untuk menemui kembali jalan cinta mereka. Ada memberi semangat kepada Evan untuk mencari Allishya dan Evan pula mendesak Ada untuk bersemuka dengan Remy, cinta pertama Ada yang terputus tanpa kata penamat.

Termakbulkah doa-doa Ada dan Evan? Seperti kata penulis, jodoh atau cinta? Begitulah kesudahannya.

P/S: Memang tidak rugi mendapatkan Tinta…penuh warna warni kisah-kisahnya…


LiFe iS a LoNG JouRNeY
-Kak Chik-
(^__^)

Apr 12, 2011

NH: Cabaran 50 Buku : (16) Penjara Rindu

Penjara Rindu
Penulis: Nia Arissa
Terbitan: Kaki Novel
Cetakan 2010

Penjara Rindu (PR) adalah hasil nukilan Nia Arissa. PR menceritakan perihal perkahwinan paksa yang terlalui oleh Farisha Hani bersama Haziq Denial. Perkahwinan yang di atur oleh ibubapa Haziq. Haziq dan Farisha Hani adalah sepupu. Bapa Farisha yang memujuk Farisha supaya menerima lamaran daripada keluarga Haziq kerana ingin membalas segala budi yang telah di berikan oleh keluarga Haziq kepada keluarga Farisha juga ingin menyelamatkan maruah keluarga Haziq setelah bakal isteri Haziq melarikan diri bersama lelaki lain di saat-saat akhir mereka hendak di ijalkabulkan.
Farisha masih bergelar seorang pelajar di salah sebuah institut pengajian tinggi tempatan dan telah mempunyai kekasih hati yang bernama Aswad. Aswad seorang pencinta yang setia. Sanggup hidup seorang diri setelah Farisha memungkiri segala janji cinta mereka.

Setelah Farisha mula melangkah ke alam pekerjaan, ditakdirkan Farisha bekerja di dalam syarikat yang sama dengan Aswad dan mereka perlu bekerjasama dalam pelbagai tugasan. Bekerja di tempat yang sama membuatkan Aswad merasa cukup gembira dalam meniti hidup seharian. Namun, Farisha cukup tidak menyukai situasi yang terpaksa dilaluinya, bekerjasama dengan Aswad. Setiap perlakuan Farisha dan Aswad menjadi bahan intipan dan berlakunya satu fitnah yang maha hebat.

Manakala, setelah berlaku beberapa kejadian yang tidak disengajakan di antara Haziq dan Farisha, bibit-bibit cinta di antara mereka mula mekar. Masing-masing tidak menyedari perasaan sendiri dan Haziq masih dengan egonya. Akhirnya, Farisha dan Haziq membuka pintu hati masing-masing untuk meneriam antara satu sama lain dan mengecapi kebahagian yang sempurna. Tetapi, sikap Farisha yang suka berahsia, menimbulkan pelbagai syak wasangka di dalam diri Haziq.

Kemunculan Haziq secara diam-diam di pejabat Farisha menyebabkan berlakunya perselisihan faham antara Haziq, Farisha dan Aswad. Haziq mula dikuasai cemburu. Peminat misteri yang selalu menghantar bunga pada Farisha juga telah menyebabkan pertengkara antara Farisha dan Haziq. Peminat misteri tersebut hanya ingin melihat kebahgian yang dikecapi Farisha dan Haziq berkecai. Cemburu Haziq juga telah dirasuk oleh Tasya dan Tiara. Kesempatan di ambil oleh Tiara untuk menggoda Haziq dan mencalit ubat guna-guna pada Haziq. Kealpahan Haziq terus memerangkap dirinya di dalam perangakap Tasya dan Tiara.

Kesengsaraan hidup Farisha bermula setelah Haziq melafazkan talak tiga padanya. Musibah datang bertimpa-timpa ke atas diri Farisha. Setelah ditinggalkan suami, Farisha juga kehilangan bayi didalam kandungannya. Kehilangan suami dan anak dalam masa yang sama menyebabkan Farisha kehilangan semangat untuk meneruskan hidup dan Farisha mengalami penyakit meroyan. Bertahun-tahun Farisha mengambil masa untuk sembuh sepenuhnya. Haziq juga menjalani rawatan secara Islam setelah menyedari dirinya terkena sihir oleh Tiara. Haziq juga telah sedar dengan segala kesalahan yang telah dilakukannya. Cinta Haziq masih segar untuk Farisha. Tapi sayang, semuanya sudah terlambat. Farisha telah memulakan hidup baru dengan menjadi tunangan Aswad dan mahu mendirikan rumahtangga untuk kali kedua dalam hidupnya.

Mungkinkah Farisha terus dipenjara oleh rindunya sendiri? Penjara Rindu akan membongkar segala-galanya. Pasangan yang terpaksa berkahwin atas kehendak insan lain tidak semestinya akan mengalami kesengsaraan seumur hidup, kebahagian akan muncul juga dalam kehidupan mereka walaupun sekejap. Badai yang melanda tidak seharusnya memusnahkan segalanya. Mungkin, badai yang melanda itu untuk menguji tahap kesetiaan cinta dalam diri seseorang. Berpisah tidak semestinya untuk selama-lamanya. Bersama juga tidak semestinya akan kekal bersama untuk selama-lamanya. Semua ini telah diharungi oleh watak yang bernama Farisha Hani dan Haziq.

sumber: nOOr hEkmAt