Oct 6, 2011

AMAL : Cabaran 50 Buku (18) : Siapa Khadijah Binti Khuwailid

Tajuk Buku : Siapa Khadijah Binti Khuwailid
Penulis : Nabilah Hasan
Terbitan : PTS Islamika Sdn. Bhd
Muka Surat : 148

Ulasan

“Siapa Khadijah Binti Khuwailid” membawa pembaca mengenali wanita yang sangat berjasa kepada Islam dengan lebih dekat. Buku ini memaparkan kisah hidup isteri kesayangan Rasulullah s.a.w iaitu Khadijah binti Khuwailid seawal usia remajanya sehingga keakhir hayat beliau. Penulis membahagikan kisah Khadijah kepada 9 bab bagi memudahkan pembaca memahami dan menghayati kisah perjalanan hidup beliau. Buku terbitan PTS Islamika Sdn. Bhd ini bersaiz kecil boleh dikategori sebagai buku poket kerana ia mudah dibawa kemana-mana. Pembaca pasti berpuas hati dengan hasil tulisan Nabilah Hasan kerana isi-isi dalam tulisannya sangat padat dan ringkas.


Kulit Belakang Buku

“Allah tidak memberikan pengganti untukku yang lebih baik daripada Khadijah. Dia percaya kepadaku kala orang lain mengingkariku. Dia membenarkanku kala orang lain mendustakanku. Dia menyerahkan hartanya kepadaku kala orang lain menghalangiku dan Allah mengurniakan keturunanku melalui rahimnya kala aku tidak dapat daripada isteri-isteriku yang lain.” –Rasulullah-

Buku kecil ini membawa kita mengenali Khadijah binti Khuwailid dengan lebih dekat. Pada dirinya berkumpul segala kebaikan, kecerdasan intelektual, keluhuran akhlak, ketulusan hati dan kegigihan semangat yang tiada tandingan. Tulisan ini memaparkan profil wanita istimewa yang bertahta di hati Rasulullah secara ringkas dan padat, namun cukup mengesankan!

---
Nur Amalina

MB : Cabaran 50 Buku : (41) Harga Sebuah Maruah

Judul : Harga Sebuah Maruah
Penulis : Azizi Hj Abdullah
Terbitan : Dewan Bahasa dan Pustaka
ISBN : 978-983-62-9647-4



1. Perkara pertama yang kita faham dari novel ini adalah, menjadi rakyat yang miskin sentiasa ada harga untuk maruahnya dijual beli, sekali pun ia tidak mahu dijual.

2. Walaupun bermati-matian mempertahankan sawah dan padi mereka, namun kepandaian pihak yang berkuasa bermain dengan undang-undang telah memaksa para petani untuk menyerahkan sawah mereka, dengan sedikit bayaran sebagai pampasan, harga untuk sebuah maruah.

3. Novel ini mengisahkan penduduk di sebuah kampung yang majoritinya adalah kaum tani. Menguruskan sawah bendang yang diwariskan turun-temurun.

4. Sehingga datang suatu khabar memberitahu bahawa ada sebuah projek yang bakal dijalankan di kampung mereka. Dan projek itu akan dibina di atas tanah sawah kebanyakan daripada mereka.

5. Dari situlah penulis merangka penentangan-penentangan para petani terhadap projek tersebut. Dan kehampaan demi kehampaan yang dihadapkan ke atas mereka kerana yang ditentang itu adalah orang-orang besar yang tahu selok-belok undang-undang.

6. Bercerita berkaitan sawah bendang, pembaca akan dihidangkan dengan lambakan ilmu serta istilah kepadian yang jarang pada telinga orang-orang bandar.

"Kira hari hendak menabur sebelum merendam benih. Kalau hendak menabur lapan hari bulan, rendam benih hendaklah tetap hari menaburnya. Kalau hendak menabur lapan hari bulan, rendam hendaklah tiga hari bulan. Tepung tawarkan sikit. Giling daun-daun dengan tepung dan daun sirih, campur dengan daun rusa, daun cekur, daun jerangau, daun duit-duit. Buat seperti hendak sintuk limau padi benih itu kerana hendak buang geruhnya." (ms 52)

7. Juga sarat dengan adat dan tradisi bersawah yang makin dilupakan oleh generasi kini, termasuk mereka yang mengerjakan sawah itu sendiri.

" Macam kita hari ni, siapa yang ikut tradisi?" katanya dengan suara yang agak tinggi. "Dulu, kalau macam kita hari ni, kena cari petak semai dulu di sebelah mana pintu langit terbuka. Arah pintu langit terbukalah kita kena hadap betul-betul ketika hendak tabur. Genggam pun genggam kejap-kejap tanda kita sangat yakin dengan usaha kita. Tabur pun tabur bersopan," katanya. (ms 53)

8. Banyak kayu ukur dalam menentukan kejayaan sesebuah novel. Salah satu daripadanya yang dapat saya kesan di dalam novel ini adalah kesan emosi yang ditinggalkan buat pembaca.

9. Emosi pembaca, atau paling tidak, emosi saya sebagai pembaca merasa sungguh geram, marah, dan benci terhadap mereka yang terlibat dalam merampas petak-petak sawah milik masyarakat petani itu.

10. Namun apabila saya melihat kembali, ia adalah sebuah realiti sebenar yang berlaku. Masyarakat yang tidak berkemampuan, miskin, sentiasa akan menjadi mangsa, korban pada suatu perkara yang dipanggil arus kemodenan, pembangunan.

11. Semoga bacaan dan manfaat yang saya peroleh dari novel ini, akan dikurniakan pahalanya oleh Allah azzawajalla kepada arwah penulisnya, Azizi Hj Abdullah. Semoga gemulah berada di tempat-tempat bersama mereka yang diredhaiNya di sana.

---
Melihat Buku

AS: Cabaran 50 Buku (47) Bulan di Atas Champs Elysees

Tajuk: Bulan di Atas Champs Elysees
Penulis: Eva Hana
Penerbit : Jemari Seni 2011
305 Mukasurat
Harga:RM17 (SM)/ RM20 (SS)

Terima kasih kepada Jemari Seni kerana menghadiahkan naskah ini. Kalau menurut nota penulis, Bulan di Atas Champs Elysees adalah hampir 80% berdasarkan kisah benar hidup penulis. Maka syabas diucapkan kepada penulis kerana berkongsi kisahnya dengan pembaca walau mungkin setiap pembaca yang membaca mempunyai persepsi yang berbeza mengenai apa yang dilalui oleh Eva Hana.

Rasa ragu-ragu tetap ada ketika ingin berkongsi apa yang saya rasa sebaik habis membaca novel ini. Namun, biarlah saya hanya berkongsi apa yang saya rasa seadanya.

1. Eva Hana seorang wanita berkerjaya, berilmu pengetahuan, berkeyakinan, kadang-kala agak berani dalam tindakan( boleh saja memberikan ciuman kepada lelaki yang baru ditemuinya) dan sentiasa mencari kelainan dalam hidupnya.Namun dalam cinta saya melihat Eva Hana hanyalah seorang wanita biasa yang agak lemah apabila berdepan dengan perasaannya sehingga ada ketikanya dia terlalu taksub dengan rasa cintanya terhadap Jean Paul sehinggakan dia tidak melihat halangan-halangan yang mungkin dia hadapi apabila dia bertekad meneruskan hubungan dengan Jean Paul. Sedangkan sedari awal perhubungannya dengan Jean Paul segala petanda jelas kelihatan dari segi penerimaan Jean Paul dengan isu-isu berkaitan dengan agama dan cara hidup. Mungkin seawal hubungan Eva Hana patut melupakan Jean Paul dan tidak larut dalam perasaan cinta yang menggunung. ( Itu hanyalah apa yang saya rasakan, tetapi orang yang pernah mengalami lebih memahaminya). Kedegilan Eva Hana untuk berkahwin dengan Jean Paul juga mungkin turut menguris hati dan perasaan ibu bapanya Cuma mungkin mereka tidak sanggup melihat anak yang mereka kasihi menderita kerana mencintai lelaki yang degil seperti Jean Paul lantas mereka lebih rela menurut kehendak Eva Hana.

2. Saya agak kekok dengan bahasa yang digunakan dalam novel ini. Mungkin juga kerana ada kata-kata yang terpaksa diterjemahkan terus dari bahasa Perancis.

3. Saya merasa agak lucu dengan panggilan ‘abang Jean Paul’ oleh Eva Hana kepada Jean Paul walaupun ketika itu mereka hanya sepasang kekasih yang baru berkenalan melalui email atau berchatting. Sedangkan di Malaysia sendiri gelaran ‘abang’ itu tidak terus digunakan sekiranya hubungan hanya sekadar kekasih. Rasa agak pelik, atau mungkinkah tiada kata ganti yang lebih sesuai?

4. Nasib baik juga Eva Hana sempat kembali ke Malaysia sebelum Jean Paul mengetahui dia telah mengandung walaupun itu bermakna dia terpaksa melupakan Jean Paul. Benar juga kata-kata Monsieur Roberts kepada Eva Hana, yang dia tidak perlu membuang hidupnya kerana kasihnya yang termaktub kepada orang lain.

5. Sebuah kisah yang patut dijadikan teladan. Mungkin pantun seperti yang dibawah tidak boleh digunapakai dalam kisah cinta Eva Hana terhadap Jean Paul kerana ada yang lebih penting selain kasih dan sayang antara dua jiwa iaitu keluarga dan agama sesorang itu.

‘Nasi lemak buah bidara
sayang selasih hamba lurutkan
Buang emak buang saudara
kerana kekasih hamba turutkan’


Apa-apapun rasa kasihan jatuh kepada anaknya, hidup tanpa kasih sayang seorang bergelar bapa. Tiada pengganti Jean Paul kah dalam hidup Eva Hana selepas sekian lama?

Maaf andai ada yang tersilap kata sehingga menguris hati sesiapa kerana bukan niat untuk berkata sesedap rasa, sekadar ingin berkongsi apa yang dirasa.

---
Anita Sang

Oct 4, 2011

R: Cabaran 50 Buku (65) Blues Amni: Oh Kerja!


Blues Amni: Oh Kerja!
PenuliS: Rose Harissa
Editor: Nor Adilah Riduan
Terbitan PTS Syok!
Cetakan Pertama 2011
311 mukasurat
9786975783630
RM17.00
Sabah/Sarawak: RM19.00


Amni ni jelas amat tertekan dengan kerjanya. Hidupnya penuh dengan 'pressure' kerja, seolah-olah tiada sudut ketenangan langsung dalam ruangan hidupnya. Hidupnya adalah untuk kerja yang membuat dia merasa tertekan. Walaupun begitu dia tabah menempuh hari-hari berdepan dengan bos yang sangat tidak bertimbang rasa. Tekanan semakin terasa apabila rakan satu tempat kerja yang menjadi peneman telah berhenti kerja tiba-tiba lalu digantikan dengan orang memberi tambahan tekanan perasaan kepada Amni. Memang kita turut merasa kerimasan Amni berada dalam situasi begitu.


Antara Adam dan Bern (yang mewarnai hidup Amni yang serba tertekan itu), Adam pada mulanya lebih menyerlah sebagai bakal hero berkarisma, akhirnya sedikit malap apabila Bern yang kelihatan berdarah campuran dan bernama pelik itu rupa-rupanya seorang jejaka yang mementingkan agama Islam dalam pekerjaan dan kehidupan hariannya. Bern kelihatan sangat 'cool' berbanding Adam yang lebih suka mencabar dan menyindir Amni apabila berbicara. Tetapi ntah mengapa terasa Amni lebih tertarik kepada Adam. Sepatutnya dalam hidupnya yang serba tertekan tu, lebih elok la kalau memilih Bern yang 'cool' dan tenang tu. Adam tu kelihatan seperti elemen penambah takat tekanan dalam hidup Amni saja :) Tetapi ibu dan ayah Adam yang bergelar Puan Sri dan Tan Sri tu sangat 'sporting' dan baik hati. Cepat saja diorang berkenan kepada Amni yang kelam kelibut tu.


Pengalaman kerja yang dikutip sepanjang 4 tahun bekerja membuat Amni cekap di tempat kerja. Walaupun gajinya seciput, skop kerja sangat meluas, dari serendah-rendah kerja hingga ke setinggi-tinggi kerja dalam ranking syarikat kecil itu dibuatnya. Walaupun sering merungut, dia kekal dalam pekerjaannya dan dalam diam bosnya menaruh kepercayaan yang tinggi terhadap dirinya, tetapi sikap kedekut bossnya itu mungkin akan menyebabkan dia kehilangan pekerja sebaik Amni. SEjauh mana Amni dapat bertahan? Amni sangat kuat. Ketika dia diuji dengan tugasannya yang bertimpa-timpa, cek lebih RM10,000 hasil titik peluhnya menjadi penawar duka. Macam mana boleh jadi macam tu? hmmm... bacalah kalau nak tengok macam mana cara Amni si pereka besi ni bekerja sambil melayan kerenah klien-klien yang 'macam-macam ada'.


Mungkin tidak susah untuk pembaca-pembaca yang bekerja dan mengalami sendiri situasi yang sama seperti Amni. Mungkin kita akan turut terkenang pengalaman-pengalaman kita mengadap klien yang macam-macam songehnya. Ada yang mudah dan ada yang sangat susah. Nampaknya Blues Amni ni adalah kisah bersiri seperti menonton drama bersiri di televisyen. Satu buku mewakili satu episod. Episod akan datang bertajuk Blues Amni: Oh Propa! Entah sapa pulak la yang akan menambahkan lagi tekanan perasaan Amni. Kita tunggu dan lihat :)


sure fine whatever
Rinn


blurb/sinopsis belakang buku:

Menjadi pereka besi memang membuatkan Amni sakit jantung! Gaji tidak seberapa sehingga Amni selalu berangan-angan mahu berhenti kerja akibat rasa sengsara.


Tetapi itu belum seberapa! Mari tambahkan lagi kesengsaraan Amni dengan:

* Mr Phua - Bos yang suka mengarah-ngarah dan melulu marah serta mata duitan
* Mun Heng - Kerani yang berhenti kerja secara mendadak. Ms. Liew dan Danny jurujual yang sering lepas tangan. Miss Elaine kerani akaun baru yg pentingkan diri sendiri.
* Adam (merangkap anak Tan Sri) - Arkitek muda pemilik Adam J Associates yang agak pongah serta banyak kerenah.

Di sela-sela kesibukannya merancang rekaan pesanan klien daripada golongan orang kaya, melayani klien yg heboh dan cerewet. Amni sering diminta bos supaya melawat tapak projek, bertemu klien secara langsung!


semua itu membuatkan Amni sengsara berganda-ganda!


Akhirnya ada sesuatu yang dapat menghapuskan semua kesengsaraan dalam pekerjaan yg dialami Amni.


Apa ya? Dapatkan kisah Blues Amni: Oh Kerja!

Oct 3, 2011

R: Cabaran 50 Buku: (64) Prince Charming


Prince Charming
Editor: Suri Mohd Adam / Sari Hermawati
Penulis: Ratu Bulan
Terbitan Fajar Pakeer
Cetakan 1: 2010
496 mukasurat
RM19.90
Sabah/Sarawak: RM22.90
9789673650163


"Dia memang tak romantik, tetapi bila dia jadi romantik, orang lain pun boleh jadi angau"


Ni kisah budak sekolah yang ala-ala cerita-cerita highschool amerika yang ada team football dan ramai gadis di sekolah tergila-gilakan mereka. Bila membaca versi Malaysia cerita team bola sepak sekolah yang digilai ramai gadis, terasa seperti budak-budak sekolah ni lebih pentingkan bolasepak dan cinta sahaja. Memang menarik kisah misteri Carta Prince Charming tu, tapi bagi pompuan pangkat mak-mak macam aku ni rasa risau pulak memikirkan anak-anak pergi sekolah, ini lah antara kerjanya dan kegilaannya. Umur 17 tahun ke bawah dah serius mencari cinta. Kalau latar cerita dan latar usia dinaikkan ke peringkat pelajar kolej atau universiti, mungkin lebih selesalah aku membacanya (kot). :)


Watak paling intersting dan unik dalam cerita ini adalah Nazrul. Memang aku tak pernah lagi membaca kisah santai menceritakan watak komplikated seperti Nazrul. Mungkin cara penceritaan yang santai membuatkan Nazrul dan masalah 'split personality'nya tidak terasa sesuatu yang serius atau membahayakan. Lawak juga membayangkan Nazrul yang sedang terlena dalam mesyuarat boleh tiba-tiba panggung kepala dan memberi maklumat berkaitan apa yang dibincangkan. Hehe... mesti lawak muka Nurul pada masa itu :D Nazrul ni tak boleh ingat nama sekolah tapi dia boleh ingat nama Pengetua sekolah. Sekolah Haji Mansur, Sekolah Haji Harun. haha... lawak giler.


kisah ini bermula dengan kejadian Nurul mengoyak carta prince charming yang menjadi pujaan gadis-gadis sekolahnya. Dia seperti terkena sumpahan carta apabila hampir-hampir terlibat dalam kemalangan ngeri, namun dia diselamatkan oleh seseorang yang memakai sweater pasukan bola sepak. Dia mula tercari-cari siapakah penyelamatnya sedangkan sebelum ini dia langsung tidak berminat dengan pasukan bola sepak sekolahnya. Sofea telah memasukkan nama Nurul dalam senarai calon temuduga sebagai pengurus pasukan bola sepak sekolah. Kejayaan Nurul mengejutkan Nazrul dari lena membuatkan budak-budak team bola sepak sangat kagum dan teruja. :)


Nazrul ni ada 'sleep disorder' yang serius. Dia boleh terlena di mana-mana saja pada bila-bila masa. Rasa macam tak sesuai pula meletakkan dia sebagai penjaga gol. Memang pernah dia terlena di pintu gol. Sabar jer aku.


Rezza dan Fiq adalah prince charming yang sentiasa mendapat tempat di hati gadis-gadis sekolah. Nurul pun terpikat juga tapi siarannya sering terganggu dengan kehadiran Nazrul yang sering memaksa Nurul menukar tumpuan.


Kehadiran 'Nazrin' dalam diri Nazrul membuat Nurul rasa lebih selesa. Baginya 'Nazrin' baik dan gentleman. Nazrul lebih suka mencari gaduh dan berbalah dengan dia. Ada dua misteri yang Nurul (dan pembaca) nak tahu, siapakah pembuat Carta Prince Charming dan siapakah Nazrin yang sebenarnya dalam hidup Nazrul. Dua jiwa dalam satu badan? hmmm...


Cerita remaja ini diakhiri dengan Nurul dilamar sebagai kekasih hati seorang Prince Charming yang berjaya mencuri hatinya setelah mereka berdua ditabal sebagai pasangan ideal dalam sebuah 'annual dinner' kampus. Ni membuat kita terfikir lagi ala-ala seperti 'prom night' sekolah dalam filem-filem remaja highschool Amerika. Walaupun ada kisah cinta budak sekolah, tetapi tak ada adegan yang tak sesuai dibaca oleh budak-budak. Terima kasih penulis :)


Bagi aku kalau cerita melibatkan watak-watak budak sekolah ni lebih baiklah elakkan kisah cinta-cinta sebab budak-budak sekarang ni memang dah betul-betul ikut budaya barat. Jalan peluk-peluk, pegang tangan, bergurau-gurau manja, malah bercium di tempat public pun ada. Siapa penah ternampak? Kalau mencari terbitan Fajar Pakeer, bagila anak-anak sekolah tu baca kisah-kisah FP Junior. hehe. Aku rasa tindakan Fajar Pakeer memberi peluang kepada penulis-penulis yang sudah ada nama popular menulis dalam genre 'FP Junior' adalah sangat bagus kerana menarik perhatian budak-budak sekolah membaca buku yang lebih sesuai dengan umur mereka.


sure fine whatever
rinn


blurb/sinopsis belakang buku:


Dia hidup bukan kerana cinta. Dia hidup kerana kehadiran Prince Charming yang menyelamatkannya. Semua gara-gara dia mengoyak carta Prince Charming - carta misteri yang tiada sesiapa tahu dari mana datangnya. Yang pasti memang dia langsung tidak percaya dgn sumpahan yang dikatakan berkaitan dengan carta Prince Charming.




"Sumpahan Puteri? Kau ingat ini cerita dongeng ke? Puteri apa yang nak sumpah aku nie? Puteri bunian? Puteri Lindungan bulan?"




Desakan daripada Sofea membawanya ke Kelab Bola Sepak. Di situlah Prince Charming berkumpul. Tetapi hanya seorang sahjaa prince charming yang dicarinya. Namun untuk mencari Prince Charming bukannya mudah namun dia yakin antara mereka pasti salah seorangnya, pasti salah seorang adalah penyelamatnya.




Orang tu pun satu! Dah selamatkan nyawa orang, tak reti-reti ke nak munculkan diri? Bukan ke lagi senang kalau datang berdiri depan aku dan cakap, "sayalah yg selamatkan awak daripada kena langgar semalam." Finish! Tak adalah nak panjangkan cerita sampai beratus muka surat semata-mata nak cari prince charming!




Antara Rezza, Fiq, Nazrul, Hayrul dan Najmi, siapakah prince charming yang sebenar? Atau bukan dalam kalangan mereka. Ada apa dengan Carta Prince Charming? Siapa yg membuatnya? apakah misteri di sebaliknya? Benarkah sumpahan itu benar?