Jun 3, 2011

SAL: Cabaran 50 Buku: (6) Mencari-Suami @JS.com


Tajuk novel : Mencari-Suami @JS.com
Penulis : Normaslina Masri
Terbitan : Jemari Seni

Blurb:

Nama aku unik: Sofea Saloma. Macam primadona. Hidup aku? Tak glamor mana pun. Kerja aku mula jam 9, habisnya jam 9 juga; 12 jam sehari, 5 hari seminggu.

Hari datang dan hari pergi. Sampai aku tak ingat yang umur aku kena tambah SATU setiap kali Januari tiba. Sehinggalah satu hari emak beri aku kata DUA.

Waktu itu, baru sedar umur aku depannya dah ada angka TIGA
Masa itu aku baru sedar aku ada masalah besar: fasal L-E-L-A-K-I
Sebabnya?
Aku tiada teman lelaki yang biasa-biasa mahupun yang luar biasa!!!

Setelah aku (+ - x ÷) = inilah keputusan yang aku ambil:

Tarikh Iklan: Jumaat, Sabtu & Ahad
Saiz: 2Rx10cm
Edisi (keluaran): Edisi Utara, Tengah, Selatan, Sabah & Sarawak.

Wanita Melayu, beragama Islam, berperwatakan sederhana, 33 tahun, berpelajaran, ingin mencari calon suami yang mempunyai kriteria seperti;
(a) bekerja tetap
(b) berumur sekurang-kurangnya 33tahun ke atas
(c) bujang/duda sahaja
(d) beragama Islam

Sesiapa yang berminat sila e-mel maklumat peribadi kepada mencarisuami@yahoo.com sebelum 15 Oktober 2010.

Perjalanan hidup yang tidak pernah aku jangka pun bermula...

SAL: Cabaran 50 Buku: (5) Jodoh atau Cinta


Tajuk novel : Jodoh atau Cinta
Penulis : Iman Nizrina
Terbitan : Kaki Novel

Blurb:

Tengku Iman Umairah gadis yang jarang sekali menggunakan ‘Tengku’ di pangkal namanya berkahwin atas dasar kehendak datuk angkatnya yang juga datuk Aiman Danish suami kontraknya. Berkahwin menjadi tiket kepada Iman untuk menyambung pelajarannya di luar negara. Dibenci oleh ibu bapa mentua dan suaminya sendiri atas alasan perempuan kampung dan tidak berharta. Tetapi kebencian itu mulai surut selepas kematian datuk dan abang iparnya yang terlibat dalam kemalangan yang turut mencederakan Dato’ Arif bapa mentuanya.

Empat tahun hidup seperti gadis bujang tidak sedikit pun membuatkan Iman terfikir akan perpisahan. Walaupun Iman dan Danish lebih banyak membawa diri masing-masing, tetapi jiwa mereka seperti disatukan dari jauh. Rasa rindu,marah,geram,sayang bercampur aduk setiap masa. Apabila Iman disapa mesra lelaki lain,Danish melenting. Iman pula apabila Danish bermesraan dengan Maya,si gedik yang menyesakkan ,dia akan berjauh hati. Masing-masing saling menyintai tetapi ego lebih mengatasi.

Terlalu banyak peristiwa yang membuatkan cinta dalam diam mereka kembali menjadi satu. Dato’ Arif,Datin Hajar, Tengku Farid, Arissa menjadi tulang belakang cinta mereka. Saat cinta bukan milik mereka,jodoh mengikat mereka. Kala hati berirama cinta,jodoh seolah bukan lagi milik mereka. Jodoh atau cinta? Yang mana hak mereka?

SAL: Cabaran 50 Buku: (4) Dia & Dia


Tajuk novel : Dia & Dia
Penulis : Bunick Firdaus
Terbitan : Jemari Seni

Blurb:

Dia hadir dalam hidupku untuk menyembuhkan rawan yang bersarang di dada. Sedangkan dia yang pernah hidup dalam hatiku ini terpaksa mengusung dukanya sendirian. Kejamkah aku pada dia andainya aku tidak mampu mencintai dia sepertimana aku mencintai dia yang seorang lagi?”

Cinta dan kasih yang saling menagih; yang mana satu pilihan Arissa?
Mahupun Irfan biarpun Fazril; dia dan dia sering sahaja membuat hati gadisnya keliru. Telah pun Arissa cuba melarikan hatinya ini jauh-jauh, dayanya entah hilang di mana? Apa yang tidak kena dengan hatinya yang sekeping ini?

Dia memang lelaki penyayang. Namun selembut mana pun dia cuba mengubati hati Arissa yang luka, mana mungkin Arissa melupakan cinta pertamanya. Apatah lagi pada saat Arissa hampir menggapai bahagia, ujian pula datang bertimpa-timpa!

Antara memori dan harapan, yang mana satu jadi pilihan? Antara dikasihi dan mencintai, yang mana satu harus dicari?

Nukilan pertama BUNICK FIRDAUS ini cuba menyelami bilau hati seorang wanita pada dia yang mahu berkongsi hati dengannya. Bukankah ‘keliru’ itu maknanya hati sudah tersentuh? Biarlah Dia & Dia menjelaskan semuanya!

Jun 2, 2011

SAL: Cabaran 50 Buku: (3) M.A.I.D


Tajuk novel : M.A.I.D
Penulis : Suri Ryana
Terbitan : Kakinovel

Blurb:

Pengembaraan Noorul ke alam yang serba baru bermula semenjak menjadi pembantu rumah di penthouse mewah seorang lelaki kacak bernama Harris Tan Sri Hamdan, yang cerewetnya mengalahkan nenek kebayan. Oleh kerana sifatnya yang cerewet itu, Noorul menggelar Harris Mr. F. Kenapa F, bukan G atau H? Kerana F itu adalah untuk ‘fussy’ atau di dalam bahasa Melayunya cerewet! Semua yang Noorul lakukan sentiasa mengundang tengkingan dan jelingan tajam Mr. F.

Daripada berbalas-balas nota berkaitan dengan kerja pada awalnya, entah bagaimana mereka boleh makan semeja. Semakin lama Noorul mengenali Mr. F semakin banyak pula sebab yang dia temui untuk mencintai lelaki itu.

Fitnah yang melanda menyebabkan Noorul dan Mr. F terpaksa dinikahkan. Gusarnya hati, Allah sahaja yang tahu kerana dia tidak pasti sama ada Mr. F boleh menerimanya sebagai isteri atau tidak. Noorul mula berteka-teki sendiri tentang siapa dalang di dalam penyebaran fitnah ini. Adakah angkara Asyraf, yang sememangnya berdendam dengan Noorul? Atau pun, musuh perniagaan Tan Sri Hamdan? Mampukah Noorul dan Mr. F melayari bahtera rumah tangga bersama? Bagaimana pula dengan Elisa yang sememangnya cintakan Mr. F? Apa pula yang akan terjadi apabila Nurina, bekas kekasih Mr. F pulang ke Malaysia untuk menagih kembali cinta daripada lelaki itu? Haikal pula, dapatkah menerima Noorul, orang yang dicintainya sebagai kakak ipar?

ZAR : Cabaran 50 Buku : (1) Rembulan Tenggelam Di Wajahmu


Pengarang: Tere Liye
Terbitan:


Apakah pernah kita terfikir, tertanya-tanya, mempersoalkan takdir-takdir yang tertulis untuk kita?

Lalu buku ini pasti pantas ‘menampar’ anda dari berandai-andai dengan kehidupan yang sudah tertulis di Luh Mahfuz.

Menatai tulisan-tulisan Tere Liye yang tak pernah tertinggal dari bercerita mengenai emosi anak-anak kecil, ternyata memerlukan persediaan untuk mengalirkan air mata.

Rehan atau Ray mendapat jawapan akan soalan-soalannya berkenaan takdir hidupnya bermula dia menginjak 14 tahun. Kisah anak yatim piatu berasal dari rumah anak yatim, memilih hidup gelandangan sesuka hatinya ini, memang tak haus dari pengalaman dan musibah yang pada fikiran-‘kita mengapa harus sesedih itu? Mengapa mesti sekejam itu takdir padanya?’

Namun pada usia 60 tahun, dia dapat melihat hikmah, atau akibat mahupun musababnya mengapa Allah menentukan takdirnya begitu. Maha suci Allah, setiap satu itu memang mempunyai perkaitan. Dari sekecil-kecil benda.. semunya punya hikmah, dan dalam perancanganNya.

Apa yang tersentuh bagi saya ialah saat kematian Diar, sahabatnya di rumah anak yatim, yang menjawab soalan pertamanya, ‘mengapa aku perlu menghabiskan masa kanak-kanaknya di sini?’ Di rumah anak yatim yang Penjaga rumahnya berlagak suci dan alim sedangkan duit zakat selalu masuk dalam tabungannya untuk ke naik haji. Yang selalu memukulnya sehingga berbirat, dan seribu macam kutukan pada rumah anak yatim itu.

Diar yang teruk dibelasah akibat perbuatan Ray, sebelum menghembuskan nafasnya, secara tidak lansung sempat menggerakkan hati Penjaga rumah berniat busuk itu, supaya bertaubat. Saat kematian Diar menjemput, yang diingati ialah jasa Ray yang pada mata orang lain biasa-biasa saja. Diar yang jujur, telus dan aneh itu..telah berjaya mengubah hati manusia. Satu konsep yang dapat dipelajari dari cebiasan plot ini. ‘walau sekecil mana kebaikan yang kita lakukan, sekali pun tidak sengaja, ketahuilah, ia punya sebab dan akibat. KEBAIKAN DAPAT MENGUBAH TAKDIR. Kecil besar perbuatan kita,langit juga yang menentukannya.

Perbuatan jahat, tidak boleh dibalas jahat. Itu konsepnya. Tetapi Ray tidak memahami itu. Tatkala lukisan Ilham dikoyakkan, dia membalas dengan kekerasan. Perbuatannya malah memporak-porandakan nasib manusia sekelilingnya. Natan malah tidak layak menjadi penyanyi, kerana suaranya rosak dibelasah pendendam, Ilham tidak pun berjaya memasuki pertandingan seni itu. Ray tidak memahami tindakan yang disangka sebagai membela ‘adik-beradiknya’ di Rumah Singgah itu, ternyata mengubah hidup mereka 180 darjah dari impian mereka. Itu yang dilihat oleh Ray. Namun siapa tahu, dengan sebab itu, Natan menjadi composer terkenal, malah Ilham menjadi pelukis berjaya sehingga lukisan rembulannya menjadi milik Ray tanpa Ray tahu siapa pelukis lukisan berharga ribuan itu.

Saya suka memetik kata-kata Bang Ape yang dipegang Ray sehingga berjaya menjadi orang berjaya. “Kalian mungkin memiliki masa lalu yang buruk, tapi kalian memiliki kepal tangan untuk mengubahnya kepal tangan bagi menentukan nasib kalian hari ini, kepal tangan yang melukis sendiri masa depan kalian”

Bagi seluruh hidup Ray, ada satu garis bahagia yang berlangsung selama 6 tahun. Iaitu saat bersama isterinya, yang tidak kurang beza nasibnya dengan Ray. Penulis berjaya melukis, malah seperti video, menayangkan pada kita saat-saat gembira, melihat letupan bunga api di atas atap bangunan. Tak keterlaluan, biasa kita lihat, pasangan bercinta di drama-drama romantik korea, Jepun. Saat itulah si gadis tersentuh dengan penghargaan lelaki terhadap dirinya yang hina. Namun sekali lagi Ray menyalahkan takdir, mengapa saat bahagianya hanya terhad untuk 6 tahun sahaja? mengapa isteri yang digelar Si gigi arnab itu mati ketika melahirkan bayinya tanpa sempat dia tahu pun nama bayinya itu? mengapa sekejam ini takdirnya?

Dalam meniti kehidupannya saya memerhatikan, Ray pasti saja terselamat dari sesuatu musibah kerana keratan akhbar yang dibawa kemana-mana dikocek seluarnya. Akhbar yang menyingkap sejarah hidupnya. Sejarah hidupnya yang paling tidak ingin diingati, yang paling dibenci Ray. Yang menyebabkan Ray percaya, jika hari itu tidak terjadi, segala musibah ini, pasti tidak berlaku padanya.

Satu lagi latar masa tipikal novel ini, setiap musibah yang menimpa Ray pasti pada hari kemenangan, Aidil FItri. Jika tidak keterlaluan dikatakan, lebaran pasti memberi corak baru dalam hidup Ray.

Soalan-soalan Ray ini dijawab ketika dia dalam koma. Dalam komanya dia dibawa oleh ‘si wajah menyenangkan’ mengintai hikmah dibalik tulisan-tulisan takdir padanya. Jika dalam komanya Ray mendapat jawapan, saya pula ditinggalkan soalan. Benarkah orang koma melihat peristiwa begini? Apakah sebenarnya yang terjadi kepada mereka yang koma? Adakah mereka sebenarnya ‘hidup’? Atau secara totalnya apakah itu KOMA? Apa yang sya fahami,secara saintifiknya, koma adalah semakna dengan misteri. Mistik.

Dan Ray juga meninggalkan persoalan, mengapakah beliau diberi ‘kelebihan’ ini? Melihat kehidupan lampaunya? Menjawab 5 persoalan tentang rahsia kehidupannya?
Kerana tabiat suka melihat bulan. Dalam prasangka buruk Ray terhadap takdir Tuhan, dia melihat bulan sebagai tanda kasih sayangNya. Dia merasakan dia dan makhluk yang menerima nikmat cahaya bulan itu, adalah tanda kasih sayang Tuhan untuknya dan seluruh alam. Lihat? Benarlah kita tak tahu, mana satu perbuatan kita yang diredhai Allah.

Apa yang boleh disimpulkan, kita tidak perlu menunggu sehingga komabarulah dapat melihat hikmah disebalik takdir kehidupan kita. Apa yang perlu kita fahami, cuba mengerti dan percaya, bahawa hikmah itu selalu tersusun di sebalik setiap apa yang kita lakukan. Hanya ia satu-tersembunyi. Kitalah yang harus mencari. Setiap takdir yang ditentuan untuk kita, itulah yang terbaik bagi kita. apa yang kita buat sekarang ini hanya perbandingan. Siapa kita untuk meng’gredkan’ ketentuan agi kita itu? Gagal dalam peperiksaan adalah satu musibah, kesedihan- 50 peratus.Punya kereta besar, adalah satu kebahagiaan –seratus peratus. Walhal semua ketentuan Allah bagi kita, itulah SERATUS PERATUS terbaik untuk kita..

p/s: jika kamu mahu tahu, Tere Liye, adalah penulis ‘kejam’. Watak anak-anak kecil yang ditulisnya, selalu menyedihkan. Sampai aku selalu tertanya, wajarkah sekecil itu kehidupan mereka ditulis sekejam itu, mereka, kan insan tidak berdosa? Lalu aku menjawab sendiri, memangnya dia penulis buku itu, dialah yang berhak menentukan nasib watak itu. Sepertinya aku, adalah ‘watak’ dalam ‘tulisan’ Dia. Lalu apa saja, watakku, malah Dialah yang berhak melukiskannya. Tak percaya? Bacalah HAFALAN SOLAT DELISA atau MOGA BONDA DISAYANG ALLAH!

---
ZAR