Jun 2, 2011

SAL: Cabaran 50 Buku: (3) M.A.I.D


Tajuk novel : M.A.I.D
Penulis : Suri Ryana
Terbitan : Kakinovel

Blurb:

Pengembaraan Noorul ke alam yang serba baru bermula semenjak menjadi pembantu rumah di penthouse mewah seorang lelaki kacak bernama Harris Tan Sri Hamdan, yang cerewetnya mengalahkan nenek kebayan. Oleh kerana sifatnya yang cerewet itu, Noorul menggelar Harris Mr. F. Kenapa F, bukan G atau H? Kerana F itu adalah untuk ‘fussy’ atau di dalam bahasa Melayunya cerewet! Semua yang Noorul lakukan sentiasa mengundang tengkingan dan jelingan tajam Mr. F.

Daripada berbalas-balas nota berkaitan dengan kerja pada awalnya, entah bagaimana mereka boleh makan semeja. Semakin lama Noorul mengenali Mr. F semakin banyak pula sebab yang dia temui untuk mencintai lelaki itu.

Fitnah yang melanda menyebabkan Noorul dan Mr. F terpaksa dinikahkan. Gusarnya hati, Allah sahaja yang tahu kerana dia tidak pasti sama ada Mr. F boleh menerimanya sebagai isteri atau tidak. Noorul mula berteka-teki sendiri tentang siapa dalang di dalam penyebaran fitnah ini. Adakah angkara Asyraf, yang sememangnya berdendam dengan Noorul? Atau pun, musuh perniagaan Tan Sri Hamdan? Mampukah Noorul dan Mr. F melayari bahtera rumah tangga bersama? Bagaimana pula dengan Elisa yang sememangnya cintakan Mr. F? Apa pula yang akan terjadi apabila Nurina, bekas kekasih Mr. F pulang ke Malaysia untuk menagih kembali cinta daripada lelaki itu? Haikal pula, dapatkah menerima Noorul, orang yang dicintainya sebagai kakak ipar?


Ulasan novel:

Noorul dan Haris, kisah mereka bermula apabila Noorul terpaksa bekerja menjadi orang gaji dek kerana kesukaran mencari pekerjaan. Kerana terdesak dia pergi ke agensi pembantu rumah. Kasihan kan, dalam banyak-banyak permintaan pembantu rumah tu hanya ada seorang sahaja yang mahukan pembantu rumah tempatan. Jadi dari situ bermulalah kehidupannya sebagai orang gaji di rumah Haris dengan gaji berjumlah RM1200. Kerjanya mudah, datang pagi dan pulang petang. Majikan Noorul ini pula, kerjanya adalah sebagai jurutera.

Noorul menyangka ada baiknya juga jika bekerja dengan cara begitu. Tidak perlu jumpa dan kenal majikan. Tetapi Haris pula akan buat spot check bila tiba waktunya. Tetapi ada kebaikan dalam keadaan itu apabila Noorul telah berjumpa dengan majikannya secara tidak sengaja! Haris tak tahu pun perempuan yang berselisihan + terlanggar dengannya itu adalah pembantu rumahnya.

Macam mana Noorul tahu yang dia langgar itu adalah Haris majikannya? – sila baca novel ya wahai kawan-kawan.

Kehidupan Noorul sebagai orang gaji kepada Haris sangat susah. Ya lah dapat bos cerewet kan… ada saja yang tidak kena pada matanya. Cermin tak bersihlah, pinggan berhabuk lah dan macam-macam lagi insiden yang menyakitkan hati.

Hubungan mereka ni memang panas aja. Tapi walau pun macam tu, disebabkan oleh satu kes, mereka kena paksa kahwin! Pelik ya macam mana dia orang boleh kahwin? Tak peliklah. Kalau nak tahu cerita lanjut sila rujuk perenggan ke tiga di atas. Ending cerita ni? Aha… saya tak mahu cerita apa-apa. Anda semua jangan lupa baca tau. Tak rugi pun membeli buat pembaca yang sukakan genre romantic kejam + buli macam ni.


Komentar:

Cerita yang menarik pada saya. Mungkin saya suka cerita yang buli-buli dan ala-ala romantic kejam macam ni. Ketika membaca novel ini saya sangat asyik membayangkan hero korea yang saya minat setengah mati tu. Hero, (Haris digambarkan seperti oleh penulis bermata sepet seperti orang korea).

Apa yang saya tulis di atas adalah apa yang saya rasa ketika membaca ‘Maid’, yang seterus ini juga adalah apa yang saya rasa tentang ‘Maid’. Cerita ini sangat panjang sampai saya jadi letih ketika membacanya. Ada juga insiden-insiden yang membuatkan saya seperti sedang menonton drama korea dan filem hindustan dalam versi novel melayu.

Terlalu banyak dialog meluahkan perasaan cinta, kasih dan sayang dalam cerita ini. Pada saya, perasaan tu tak perlulah kita luahkan setiap masa nanti kurang pula nilainya. Berulang kali pula dan menjadikan muka suratnya bertambah banyak. Bukankah elok kalau novel tu kompak dan tidak meleret-leret sebab kepuasan membaca bukan terletak pada jumlah mukasurat tetapi pada olahan cerita.

Kemudian ada satu lagi yang agak menyeksa jiwa raga saya, apabila ada plot yang sedikit melompat. Tapi maaflah saya tak ingat di bahagian mana sebab lupa nak tanda.


Nota:

1. Paling saya suka bab kumpul post it note. Bestlah… saya rasa macam nak kumpul tapi siapa pula yang nak bagi saya dalam kuantiti sebanyak itu?

2. Chop! Nak Tanyalah awak semua tahu tak kenapa ejaan novel ni M.A.I.D? Ia ringkasan untuk apa ya? Atau hanya sekadar gimik pemasaran?

---
Salmah

0 comments: