Dec 31, 2011

AMAL : Cabaran 50 Buku (42) : Benarkah Nabi Isa Disalib


Tajuk Buku : Benarkah Nabi Isa Disalib
Penulis : Rashidy Jamil Muhammad Ar Rashid
Terbitan : Tuan Sharifah Islamic Foundation
Muka Surat : 38

Ulasan

Buku ini memaparkan pengalaman penulis berdialog dengan paderi-paderi di Malaysia. Pembaca boleh lihat kebijaksanaan penulis menjawab setiap soalan yang di ajukan oleh paderi kepada penulis. Banyak pengetahuan baru yang kita dapat lihat daripada dialog mereka dan pembaca dapat lihat kebenarannya agama Islam. Selain itu, pembaca boleh lihat cara paderi menjawab soalan yang di ajukan oleh penulis kepadanya.

Pembaca seolah-olah menghafal kitab bible apabila beliau mencelah setiap jawapan yang diberikan oleh paderi dengan dalil-dalil yang bercanggah dalam bible itu sendiri. Keunikan cara penulis menjawab setiap soalan mengagumkan saya dan saya pasti sesiapa sahaja yang membaca buku ini akan kagum dengan cara jawapan yang diberikan oleh penulis. Pembaca akan lebih yakin dengan kebesaran Allah apabila dalil-dalil al-Quran juga digunakan oleh penulis.

Buku senipis 38 muka surat ini tidak puas dibaca sekali sahaja, bahkan saya membaca berulang kali kerana setiap dialog mereka menambahkan ilmu pengetahuan kepada saya mengenai agama Kristian yang sememangnya saya kurang pengetahuan tentangnya. Saya menyarankan agar buku ini dibaca oleh setiap orang Islam kerana saya yakin buku ini sedikit sebanyak dapat membuka mata umat Islam tentang agama Kristian dan meningkatkan keimanan kepada Allah dan meyakinkan akan kebenaran agama Islam.

Petikan Pilihan

Orang-orang Kristian juga percaya bahawa kisah penyembelihan Ishak oleh Nabi Ibrahim adalah gambaran awal dari Allah S.W.T bahawa Jesus akan disalib untuk menebus dosa warisan manusia.

Ketika berbincang dengan seorang Paderi dan isterinya tentang “Benarkah Ishak yang disembelih? Saya berkata kepada beliay, “Uncle, kami sebagai Muslim percaya bahawa Ismail yang telah dikorbankan bukan Ishak sebagaimana yang dipercayai oleh orang-orang Kristian.

Walaupun Kristian membuktikan hujah mereka melalui Old Testament, sebagaimana yang dinyatakan dalam buku kejadian bab 22 ayat 2 :

“Pergilah ke tanah Moria dengan Ishak, anakmu yang tunggal, yang sangat engkay kasihi. Di situ, di sebuah gunung yang akan Ku tunjukkan kepadamu, persembahkanlah anakmu sebagai korban untuk menyenangkan hatiKu”

Namun, kitab Bible sendiri menolak hujah ini!. Saya meneruskan lagi dengan berkata: “Cubalah kita lihat di dalam Old Testament, buku kejadian bab 16 ayat 15-16, di mana Bible telah menyatakan:

“Kemusian Hegar (Hajar) melahirkan seorang anak lelaki, lalu Abram (Ibrahim) bapa anak itu menamakan dia Ismail. Pada masa itu Abram berumur 86 tahun.

Dan bandingkan pula dengan Old Testament, buku kejadian bab 21 ayat 5 ini:

“Ibrahim berumur 100 tahun ketika Ishak dilahirkan.

Dengan menggunakan ‘White Board’ yang ada di dalam gereja tersebut, saya melakarkan ayat-ayat tadi agar beliau dapat memerhatikan dengan jelas tentang ‘keistimewaan’ ayat-ayat ini.



Kulit Belakang Buku

Pada mulanya saya menyangka beliau seorang Arab Muslim, tetapi setelah beliau memperkenalkan diri sebagai Roger dan menyatakan beliau seorang Kristian Protestan dari Jamaica, saya segera mengambil peluang keemasan itu dengan bertanya :

“Uncle, do you believe god (Jesus) died for three days and three nights?

(Adakah tuan percaya bahawa Tuhan (Nabi Isa) telah mati tiga hari tiga malam?)

Beliau tersenyum sambil berkata: “This is a very interesting question.”

Saya menunggu agar Uncle Roger meneruskan jawapannya, tetapi apabila saya melihat beliau seperti ingin lari dari menjawab soalan tersebut, saya ulangi semula soalan itu untuk kali kedua.

---
Nur Amalina

A&N : Cabaran 50 Buku : (54) Awek Chuck Taylor

Awek Chuck Taylor
Nami Cob Nobbler

ISBN: 9789671078013
Penerbit: Lejen Press
Tarikh Terbit: 2011
Halaman: 248
Harga: RM20.00

~ Rasaku… ~

Ini blook pertama yang aku beli haha5 Memang kena masuk diari la :P

ACT bercerita tentang Hafiz. Dia bertemu dengan gadis hipster anarkis yang bernama Mira. Gadis ini lain daripada gadis-gadis yang dikenalinya sebelum ini. Mira ada wawasannya sendiri. Tak mudah mengikut rentak orang lain. Dia Mira gadis yang penuh pendirian. Garang tak bertempat, ganas, kasar dan outspoken.

Mengenali Mira membawa Hafiz mengenali Aiman dan Nana; adik beradik Mira. Dan hubungan mereka makin rapat. Aku senang dengan persahabatan yang terjalin antara Aiman dan Hafiz. Namun keakraban mereka terganggu apabila Nana menyimpan rasa pada Hafiz. Bila saja Mira tahu, hubungannya dengan Hafiz turut berkocak.

Hafiz sememangnya bukan watak hero terbaik. Dia mudah rasa insecure. Memerlukan pasangan sebagai pelengkap hidup. Daripada menjadi secret admirer Sheila. Kemudiannya awek cemburu buta bernama Fadilah, awek yang kaki cukur bernama Bella... semuanya sudah menunjukkan yang Hafiz tak suka berseorangan. Dia ada masanya kelihatan sangat terdesak untuk mendapatkan teman. Agak loser di situ.

Watak Mira pula kelihatan lebih dominan. Daripada segi gaya bahasa, gerak tubuh menunjukkan dia tak mudah dibayangi dengan watak-watak lain. Nana lebih natural. Malah rasanya watak Nana yang gagap itu lebih mudah diingati. Overall aku rasa ACT adalah satu bacaan yang menarik tetapi mungkin cukup hanya sekali aku membacanya.

Happy reading (^-<)
---
Airina

A&N : Cabaran 50 Buku : (53) Biarkan Ia Berlalu

Biarkan Ia Berlalu
Sha Ibrahim

ISBN: 9789675067860
Penerbit: Kaki Novel Enterprise Sdn Bhd
Tarikh Terbit: Cetakan Kedua – November 2011
Halaman: 1140
Harga: RM37.00

~ Rasaku… ~

Ini novel yang paling tebal pernah aku ada. Serius. Waktu nak beli mula-mula tu, hati memang berbolak-balik tetapi disebabkan komen yang bagus daripada ahli-ahli GR aku beli juga hehe2

Nadia gadis yang periang namun disebaliknya dia menyimpul dendam yang bukannya sedikit. Pengkhianatan Tan Sri Khalid mengubah kehidupannya. Dia terima tetapi apabila mengetahui dalang sebenar, dia sudah tak mahu berpaling. Suka atau tidak, keluarga Tan Sri Khalid perlu diajar supaya menghormati hak orang lain. Apatah lagi ketika itu Johan bertindak memutuskan hubungan mereka kerana beberapa keping gambar 'panas' hasil pakatan ibu Johan dan Erin.

Lima tahun Nadia berkelana di luar negara. Dia berjaya menubuhkan sebuah Friends Corporation dengan bantuan dua sahabat baiknya; Tiara dan Baby. Setelah mengetahui Johan akan berkahwin, Nadia tekad pulang bersama dendam yang membara. Kembali ke syarikatnya, Nadia merahsiakan identitinya sebagai pemilik sebenar Friends Corporation. Dia bekerja sebagai setiausaha Syafiq, akauntan hebat syarikat mereka.

Nadia dan Syafiq umpama anjing dengan kucing. Masing-masing ego dan keras kepala. Namun pada itu ada satu perasaan halus dalam diri masing-masing tetapi kedua-duanya menafikan. Bagi Nadia, Syafiq telah mempunyai seseorang yang istimewa yang bernama Mia Khaisarah manakala bagi Syafiq, terlalu banyak rahsia dalam diri Nadia yang membuatnya keliru.

Jadi apa kesudahan hubungan Nadia dan Syafiq? Bila pula Nadia akan menonjolkan dirinya sebenar? Apakah dendam Nadia terbalas? Atau apakah Nadia akan membiarkan semuanya berlalu? Mari dapatkan kesemuanya dalam BIB :D

Kisah ini mudah dan straight forward. Tak banyak konflik pun, cuma ada satu iaitu dendam Nadia. Apa yang membuatkannya tebal adalah penerangan penulis tentang sesuatu perkara. Begitu teliti dah ada macam gaya NB. Cuma ada beberapa plot aku kira terlalu meleret. Misalnya di bab-bab awal, aku rasa agak mendatar dan membosankan.

Happy reading (^-<)
---
Airina

Aimie:Cabaran 50 Buku: (82) Angin Dingin Dari Utara

Penulis: Siti Hazneza Abdul Hamid
Penerbit: Creative Enterprise Sdn Bhd
ISBN 983-893-654-5
Harga: RM20.90
M/S: 426
Cetakan 1 – 2005

PELARIAN ITU SEBENARNYA INDAH, TETAPI DI DALAM KEINDAHAN ITU PENUH DENGAN KELUKAAN

Blurb:

Seperti sepohon kemboja yang tegar, dia bersendirian mengharungi cabaran hidup di perantauan. Sebagaimana batang kemboja yang keras menahan setiap gores dan calar, begitu hatinya dikeraskan untuk menerima segala kemungkinan. Namun setegar kuntum kemboja, kelopaknya lembut mewangi. Begitulah dia yang jika dikenali dan didekati, membahagiakan dan penuh dengan cinta yang membara, pada keluarga, pada negara, pada agama dan pada suaminya. Jika kemboja bunga pusara, sampaik berkuburkah dia di sana?


Kak Chik menukil:

Nabila Amin Azhar tinggalkan semuanya kerana terluka. Baginya pelarian itu lebih tenang dan bahagia jika dibandingkan dia berada di sisi orang-orang yang dikasihi. Perginya dia bukan kerana dia membenci tetapi kerana dia tidak mahu lagi melukai hati-hati yang disayangi. Dia tabah dan terus bertahan dan bertahan untuk terus berjuang dibumi asing, Kanada. Perjuangannya di bumi asing memaksa dia menggagahkan diri melakukan tiga kerja dalam satu masa, padanya bukan tuntutan kewangan tetapi apabila badan dan minda sudah penat, sudah tentu dia senang terbuai lena tanpa perlu mengenangkan kesedihan dan keperitan yang dia tinggalkan jauh di bumi bertuah itu. Tekadnya bulat sehingga kehadiran darah daging sendiri masih tidak mampu menariknya untuk kembali ke tanah air sendiri. Apatah lagi cinta sang suami yang sentiasa dia dambakan. Dia rela berkorban sejauh itu kerana ada sesuatu yang sudah tidak mampu diubah oleh sesiapa kecuali ALLAH membalikkan hatinya itu.

‘Sedalam mana cinta saya kepada mereka, sedalam itu benci saya kepada diri saya’ – Nabila Amin Azhar; m/s 135

Nashrique Iskandar Ismail, wartawan perang menerima cadangan orang tua untuk menerima wanita pilihan keluarga iaitu anak teman ibunya sendiri. Padanya dia insan terpilih kerana ‘dilamar’ walid untuk menggalas tanggungjawab ke atas Nabila Amin Azhar, wanita kental yang terlalu sukar untuk ditelah isi hatinya. Kerana kasih dan cintanya kepada Nabila, dia berusaha untuk mengenali isteri melalui teman-teman rapat isterinya yang ditinggalkan sebagaiman Nabila meninggalkan keluarganya. Nabila digambarkan sebagai seorang teman yang terbaik dan manis tetapi kenapa kerasnya hati dia meninggalkan mereka bertahun lamanya? Cik Nashrique, lelaki yang telah menawan seluruh hati Nabila Amin tetapi dia masih tidak mampu menakluki minda Nabila untuk mengubah keputusan nekad yang telah dibuatnya bertahun dulu. Namun begitu kenapa selepas si isteri meletakkan seluruh kepercayaan kepadanya, Nashrique tega meletakkan taklik yang sudah pasti meleraikan ikatan yang menjadi nadi cinta mereka?

Penulis ini sekali lagi buat KakChik gembira dengan hasil karyanya kerana kita menemui banyak perkara dalam karya yang penuh suka duka buat watak utamanya. Nabila dan Nashrique, mereka melalui zaman kanak-kanak dan membesar dengan beban permasalahan yang hampir sama iaitu tiada ketenangan dan kebahagiaan yang mereka mahukan tetapi jalan penyelesaian yang mereka pilih adalah berbeza. Nabila Amin Azhar, memilih untuk menjauhkan diri dari keluarga, teman-teman dan tanah air sendiri kerana dia sudah tidak mampu untuk mengepung rasa kecil hati dan terluka dengan sikap dan perlakuan ibu dan adik sendiri. Dia mahu tunaikan kehendak Nouri untuk menjadi anak tunggal dan dia tidak mahu lagi melihat sinar cemburu di mata umi saat dia menjadi anak perempuan yang ‘mengambil alih’ tugas umi di rumah. Dia tega berkelana demi menyempurnakan impian mereka. Namun berbeza dengan Nashrique yang terus kekal berdiri di samping keluarga walaupun emak dan ayah sentiasa bertegang urat sepanjang dia melalui zaman itu, padanya tiada apa pun yang mampu membalas segala budi mereka terhadapnya.

Karya ini juga memaparkan bidang kewartawanan dari sudut pelbagai terutamanya bidang ini digunakan untuk menyampaikan amanah kalam Allah secara halus dan juga perjuangan mereka untuk melihat agama Islam diterima masyarakat sekeliling dan melahirkan bahan bacaan yang lebih baik untuk pelbagai peringkat umur. Selain itu cara olahan penulis tentang negara-nagara yang dilewati watak-watak utama amat menarik dengan info-info yang tepat dan padat.

Sejujurnya karya ini membuat KakChik sedar bahawa bukan mudah kita mahu memuaskan hati orang-orang di sekeliling kita. Kerana itu, kita perlu berfikir terlebih dahulu untuk meluahkan sesuatu agar tidak ada hati yang terluka. Memang benar perumpamaan bahawa tajamnya lidah melebihi tajamnya mata pedang. Lihat sendiri kesengsaraan Nabila Amin Azhar yang terluka kerana lidah yang membawa diri dan tidak kembali lagi melainkan Allah membalikkan hatinya suatu hari nanti.

Dan perkataan yang terpahat di minda selepas habis membaca karya ini adalah KERANA TERLUKA.

Mungkin ada beberapa plot yang memaparkan ‘rahsia keintiman’ yang tidak sesuai dibaca oleh anak-anak kecil – dari sudut pandang KakChik.

LiFe iS a LoNG JouRNeY
-Kak Chik-
(^__^)

Aimie:Cabaran 50 Buku: (81) Bila Hati Kata Sayang

Penulis: Marissa
Penerbit: KaryaSeni Enterprise
ISBN 978-967-0246-01-7
Harga: RM18.00 / RM20.00
M/S: 447
Cetakan 2 – Julai 2011


Blurb:

Dia hadir waktu aku sudah bergelar tunang orang. Awal-awalnya, aku fikir hanya biasa-biasa saja, tetapi pada hujung-hujungnya, aku tahu semua itu bukan lagi sekadar biasa-biasa saja. Sudah menjadi sangat-sangat luar biasa.

Aduhai…Kenapa dia macam syok sahaja dekat aku? Selalu buat benda-benda yang tidak aku jangkakan. Atau aku yang terlebih syok dekat dia? Kalau betul, apa yang harus aku lakukan? Minta putuskan tali pertunangan? Atau aku kena lari bersama dengan si dia.

Aku tidak tergamak melukakan hati ayah saudaraku. Dia yang bela aku lepas ayah meninggal. Sebab kenang budilah aku tidak boleh buat apa-apa. Jodohku sudah dirancang dari mula. Kalau aku putuskan bermakna aku jadi anak saudara yang tidak mengenang budi. Aku tidak hendak jadi macam tu.

“Degil sangat ni kenapa? Nasib baik awak jauh?”

“Kalau dekat kenapa?”

“Saya cium awak!”

“Encik nak ke cium saya ni. Kan saya kuli encik. Lalu ke encik cium saya?” Aku buat-buat gelak walaupun aku tak ada mood langsung nak gelak.

“Awak berani cakap macam tu sebab kita jauh. Kalau dekat nak cakap dengan awak pun susah. Betullah kata orang, bila jauh dirindu!”

“Eh! Tolong sikit. Siapa yang rindukan encik. Tak nak saya rindukan encik tu!”Cepat saja aku menafikannya.

“Betul? Betul tak rindukan saya?”

Aku diam. Tak boleh nak jawab. Sebab memang betul aku rindukan dia. RINDU GILA!

Akan tetapi, bolehkah aku terus-terusan merindui dia? Bolehkah aku jatuh cinta kepadanya sedangkan aku tahu, semuanya sudah benar-benar terlambat.


Kak Chik menukil:

Hatinya tercuit dan dia pasti sudah temui cintanya tetapi sayangnya pada Atikah cinta itu tidak perlu dilayan atau dikejar kerana dia sudah pun terikat dengan tunang pilihan bapa saudara yang menjaganya selepas pemergian ayah. Dia tidak sanggup untuk memalukan dan melukakan Pok Leh dan Mok De yang telah bersusah payah membesarkannya. Tidak mampu rasanya dia untuk menggalas gelaran anak saudara yang tidak mengenang budi. Apa sangatlah rasa gelisah dan kecewa pada cinta yang baru bertunas di hati. Dia lebih rela menyimpan rencam hati sendiri.

Lelaki yang tidak pernah diambil tahu nama dan latar belakang itu, yang pada mulanya menjadi majikannya secara tidak langsung di tempat kerjanya. Tugasnya hanyalah mengemas bilik suite lelaki itu. Lelaki yang dikatakan garang dan serius itu, berlainan pula karektor apabila bersamanya. Ada sesuatu pada lelaki tampan itu sehingga dia bagaikan terikat dan selalu melakukan perkara yang tidak terduga apabila bersama lelaki itu. Saat lelaki itu memberi isyarat cinta, dia terpaksa menjauh dan menolak kerana dia sudah terikat dengan tunangnya, Syed… Yang hairannya, kenapa selama ini dia tidak pernah bertembung dengan lelaki itu sedangkan kata teman-teman sudah lama lelaki itu menghuni di bilik suite itu?

Saat dia sudah sepenuh hati menerima jodohnya, dia tidak pernah bermimpi yang impian cintanya akan tertunai. Namun kenapa saat hatinya sudah terbuka untuk berbahagia masih ada manusia kesumat yang berpandukan syaitan mahu meragut kesucian mahligai mereka? Ke mana nilai sayang dan cinta daripada ibu yang mengandungkannya? Apakah janji Allah tentang jodoh itu boleh ditidakkan dengan jodoh perjanjian manusia? Semua akan kita temui dalam karya ini.

Sejujurnya karya ini penuh dengan nilai yang buat kita terfikir di sebalik ayat-ayat yang mampu buat kita tergelak sampai tergolek. KakChik suka dengan olahan cerita yang tidak terlalu ditonjolkan komedi tetapi masih mampu buat KakChik tergelak. Namun begitu KakChik tetap tidak puas hati kerana kejamnya seorang ibu menidakkan hak anak kerana mengejar kemewahan hidup dan pangkat. Selain itu sikap nenek yang terlalu taksub dengan keturunan juga telah menghitamkan hatinya sehingga dia sanggup meracuni isteri cucu sendiri demi memenuhi kehendak hati. Walaupun pada dasarnya
KakChik rasa watak ayah Adriz sangat ‘dayus’ kerana dia tidak mampu untuk ‘melindungi’ anak dan menantunya kerana desakan ibunya tetapi KakChik terpaku dengan ketegasannya saat dia membela mereka ketika kunjungan keluarganya ke Kuantan. Pengakhiran yang sedikit tergantung jika kita melihat dari sudut watak gelap tetapi sudah cukup manis pada watak putih walaupun masih ada persoalan yang ditinggalkan kerana memberi kemaafan dengan lapang dada tidak semudah kita menuturkan perkataan MAAF.

LiFe iS a LoNG JouRNeY
-Kak Chik-
(^__^)