Dec 31, 2011

Aimie:Cabaran 50 Buku: (81) Bila Hati Kata Sayang

Penulis: Marissa
Penerbit: KaryaSeni Enterprise
ISBN 978-967-0246-01-7
Harga: RM18.00 / RM20.00
M/S: 447
Cetakan 2 – Julai 2011


Blurb:

Dia hadir waktu aku sudah bergelar tunang orang. Awal-awalnya, aku fikir hanya biasa-biasa saja, tetapi pada hujung-hujungnya, aku tahu semua itu bukan lagi sekadar biasa-biasa saja. Sudah menjadi sangat-sangat luar biasa.

Aduhai…Kenapa dia macam syok sahaja dekat aku? Selalu buat benda-benda yang tidak aku jangkakan. Atau aku yang terlebih syok dekat dia? Kalau betul, apa yang harus aku lakukan? Minta putuskan tali pertunangan? Atau aku kena lari bersama dengan si dia.

Aku tidak tergamak melukakan hati ayah saudaraku. Dia yang bela aku lepas ayah meninggal. Sebab kenang budilah aku tidak boleh buat apa-apa. Jodohku sudah dirancang dari mula. Kalau aku putuskan bermakna aku jadi anak saudara yang tidak mengenang budi. Aku tidak hendak jadi macam tu.

“Degil sangat ni kenapa? Nasib baik awak jauh?”

“Kalau dekat kenapa?”

“Saya cium awak!”

“Encik nak ke cium saya ni. Kan saya kuli encik. Lalu ke encik cium saya?” Aku buat-buat gelak walaupun aku tak ada mood langsung nak gelak.

“Awak berani cakap macam tu sebab kita jauh. Kalau dekat nak cakap dengan awak pun susah. Betullah kata orang, bila jauh dirindu!”

“Eh! Tolong sikit. Siapa yang rindukan encik. Tak nak saya rindukan encik tu!”Cepat saja aku menafikannya.

“Betul? Betul tak rindukan saya?”

Aku diam. Tak boleh nak jawab. Sebab memang betul aku rindukan dia. RINDU GILA!

Akan tetapi, bolehkah aku terus-terusan merindui dia? Bolehkah aku jatuh cinta kepadanya sedangkan aku tahu, semuanya sudah benar-benar terlambat.


Kak Chik menukil:

Hatinya tercuit dan dia pasti sudah temui cintanya tetapi sayangnya pada Atikah cinta itu tidak perlu dilayan atau dikejar kerana dia sudah pun terikat dengan tunang pilihan bapa saudara yang menjaganya selepas pemergian ayah. Dia tidak sanggup untuk memalukan dan melukakan Pok Leh dan Mok De yang telah bersusah payah membesarkannya. Tidak mampu rasanya dia untuk menggalas gelaran anak saudara yang tidak mengenang budi. Apa sangatlah rasa gelisah dan kecewa pada cinta yang baru bertunas di hati. Dia lebih rela menyimpan rencam hati sendiri.

Lelaki yang tidak pernah diambil tahu nama dan latar belakang itu, yang pada mulanya menjadi majikannya secara tidak langsung di tempat kerjanya. Tugasnya hanyalah mengemas bilik suite lelaki itu. Lelaki yang dikatakan garang dan serius itu, berlainan pula karektor apabila bersamanya. Ada sesuatu pada lelaki tampan itu sehingga dia bagaikan terikat dan selalu melakukan perkara yang tidak terduga apabila bersama lelaki itu. Saat lelaki itu memberi isyarat cinta, dia terpaksa menjauh dan menolak kerana dia sudah terikat dengan tunangnya, Syed… Yang hairannya, kenapa selama ini dia tidak pernah bertembung dengan lelaki itu sedangkan kata teman-teman sudah lama lelaki itu menghuni di bilik suite itu?

Saat dia sudah sepenuh hati menerima jodohnya, dia tidak pernah bermimpi yang impian cintanya akan tertunai. Namun kenapa saat hatinya sudah terbuka untuk berbahagia masih ada manusia kesumat yang berpandukan syaitan mahu meragut kesucian mahligai mereka? Ke mana nilai sayang dan cinta daripada ibu yang mengandungkannya? Apakah janji Allah tentang jodoh itu boleh ditidakkan dengan jodoh perjanjian manusia? Semua akan kita temui dalam karya ini.

Sejujurnya karya ini penuh dengan nilai yang buat kita terfikir di sebalik ayat-ayat yang mampu buat kita tergelak sampai tergolek. KakChik suka dengan olahan cerita yang tidak terlalu ditonjolkan komedi tetapi masih mampu buat KakChik tergelak. Namun begitu KakChik tetap tidak puas hati kerana kejamnya seorang ibu menidakkan hak anak kerana mengejar kemewahan hidup dan pangkat. Selain itu sikap nenek yang terlalu taksub dengan keturunan juga telah menghitamkan hatinya sehingga dia sanggup meracuni isteri cucu sendiri demi memenuhi kehendak hati. Walaupun pada dasarnya
KakChik rasa watak ayah Adriz sangat ‘dayus’ kerana dia tidak mampu untuk ‘melindungi’ anak dan menantunya kerana desakan ibunya tetapi KakChik terpaku dengan ketegasannya saat dia membela mereka ketika kunjungan keluarganya ke Kuantan. Pengakhiran yang sedikit tergantung jika kita melihat dari sudut watak gelap tetapi sudah cukup manis pada watak putih walaupun masih ada persoalan yang ditinggalkan kerana memberi kemaafan dengan lapang dada tidak semudah kita menuturkan perkataan MAAF.

LiFe iS a LoNG JouRNeY
-Kak Chik-
(^__^)

0 comments: