Dec 31, 2011

Aimie:Cabaran 50 Buku: (82) Angin Dingin Dari Utara

Penulis: Siti Hazneza Abdul Hamid
Penerbit: Creative Enterprise Sdn Bhd
ISBN 983-893-654-5
Harga: RM20.90
M/S: 426
Cetakan 1 – 2005

PELARIAN ITU SEBENARNYA INDAH, TETAPI DI DALAM KEINDAHAN ITU PENUH DENGAN KELUKAAN

Blurb:

Seperti sepohon kemboja yang tegar, dia bersendirian mengharungi cabaran hidup di perantauan. Sebagaimana batang kemboja yang keras menahan setiap gores dan calar, begitu hatinya dikeraskan untuk menerima segala kemungkinan. Namun setegar kuntum kemboja, kelopaknya lembut mewangi. Begitulah dia yang jika dikenali dan didekati, membahagiakan dan penuh dengan cinta yang membara, pada keluarga, pada negara, pada agama dan pada suaminya. Jika kemboja bunga pusara, sampaik berkuburkah dia di sana?


Kak Chik menukil:

Nabila Amin Azhar tinggalkan semuanya kerana terluka. Baginya pelarian itu lebih tenang dan bahagia jika dibandingkan dia berada di sisi orang-orang yang dikasihi. Perginya dia bukan kerana dia membenci tetapi kerana dia tidak mahu lagi melukai hati-hati yang disayangi. Dia tabah dan terus bertahan dan bertahan untuk terus berjuang dibumi asing, Kanada. Perjuangannya di bumi asing memaksa dia menggagahkan diri melakukan tiga kerja dalam satu masa, padanya bukan tuntutan kewangan tetapi apabila badan dan minda sudah penat, sudah tentu dia senang terbuai lena tanpa perlu mengenangkan kesedihan dan keperitan yang dia tinggalkan jauh di bumi bertuah itu. Tekadnya bulat sehingga kehadiran darah daging sendiri masih tidak mampu menariknya untuk kembali ke tanah air sendiri. Apatah lagi cinta sang suami yang sentiasa dia dambakan. Dia rela berkorban sejauh itu kerana ada sesuatu yang sudah tidak mampu diubah oleh sesiapa kecuali ALLAH membalikkan hatinya itu.

‘Sedalam mana cinta saya kepada mereka, sedalam itu benci saya kepada diri saya’ – Nabila Amin Azhar; m/s 135

Nashrique Iskandar Ismail, wartawan perang menerima cadangan orang tua untuk menerima wanita pilihan keluarga iaitu anak teman ibunya sendiri. Padanya dia insan terpilih kerana ‘dilamar’ walid untuk menggalas tanggungjawab ke atas Nabila Amin Azhar, wanita kental yang terlalu sukar untuk ditelah isi hatinya. Kerana kasih dan cintanya kepada Nabila, dia berusaha untuk mengenali isteri melalui teman-teman rapat isterinya yang ditinggalkan sebagaiman Nabila meninggalkan keluarganya. Nabila digambarkan sebagai seorang teman yang terbaik dan manis tetapi kenapa kerasnya hati dia meninggalkan mereka bertahun lamanya? Cik Nashrique, lelaki yang telah menawan seluruh hati Nabila Amin tetapi dia masih tidak mampu menakluki minda Nabila untuk mengubah keputusan nekad yang telah dibuatnya bertahun dulu. Namun begitu kenapa selepas si isteri meletakkan seluruh kepercayaan kepadanya, Nashrique tega meletakkan taklik yang sudah pasti meleraikan ikatan yang menjadi nadi cinta mereka?

Penulis ini sekali lagi buat KakChik gembira dengan hasil karyanya kerana kita menemui banyak perkara dalam karya yang penuh suka duka buat watak utamanya. Nabila dan Nashrique, mereka melalui zaman kanak-kanak dan membesar dengan beban permasalahan yang hampir sama iaitu tiada ketenangan dan kebahagiaan yang mereka mahukan tetapi jalan penyelesaian yang mereka pilih adalah berbeza. Nabila Amin Azhar, memilih untuk menjauhkan diri dari keluarga, teman-teman dan tanah air sendiri kerana dia sudah tidak mampu untuk mengepung rasa kecil hati dan terluka dengan sikap dan perlakuan ibu dan adik sendiri. Dia mahu tunaikan kehendak Nouri untuk menjadi anak tunggal dan dia tidak mahu lagi melihat sinar cemburu di mata umi saat dia menjadi anak perempuan yang ‘mengambil alih’ tugas umi di rumah. Dia tega berkelana demi menyempurnakan impian mereka. Namun berbeza dengan Nashrique yang terus kekal berdiri di samping keluarga walaupun emak dan ayah sentiasa bertegang urat sepanjang dia melalui zaman itu, padanya tiada apa pun yang mampu membalas segala budi mereka terhadapnya.

Karya ini juga memaparkan bidang kewartawanan dari sudut pelbagai terutamanya bidang ini digunakan untuk menyampaikan amanah kalam Allah secara halus dan juga perjuangan mereka untuk melihat agama Islam diterima masyarakat sekeliling dan melahirkan bahan bacaan yang lebih baik untuk pelbagai peringkat umur. Selain itu cara olahan penulis tentang negara-nagara yang dilewati watak-watak utama amat menarik dengan info-info yang tepat dan padat.

Sejujurnya karya ini membuat KakChik sedar bahawa bukan mudah kita mahu memuaskan hati orang-orang di sekeliling kita. Kerana itu, kita perlu berfikir terlebih dahulu untuk meluahkan sesuatu agar tidak ada hati yang terluka. Memang benar perumpamaan bahawa tajamnya lidah melebihi tajamnya mata pedang. Lihat sendiri kesengsaraan Nabila Amin Azhar yang terluka kerana lidah yang membawa diri dan tidak kembali lagi melainkan Allah membalikkan hatinya suatu hari nanti.

Dan perkataan yang terpahat di minda selepas habis membaca karya ini adalah KERANA TERLUKA.

Mungkin ada beberapa plot yang memaparkan ‘rahsia keintiman’ yang tidak sesuai dibaca oleh anak-anak kecil – dari sudut pandang KakChik.

LiFe iS a LoNG JouRNeY
-Kak Chik-
(^__^)

0 comments: