Dec 31, 2011

AMAL : Cabaran 50 Buku (50) : Komunikasi Intim


Tajuk Buku : Komunikasi Intim
Penulis : Abdullah Hassan & Ainon Mohd
Terbitan : PTS Publications & Distributor Sdn. Bhd
Muka Surat : 176


Ulasan

Buku ini membantu mereka yang mempunyai krisis dalam perhubungan samaada hubungan suami isteri, kekasih, ibubapa dan anak-anak, hubungan sahabat ataupun adik beradik. Buku ini menyediakan banyak tips yang boleh dicuba dan diamalkan bagi membaik pulihkan sesuatu perhubungan. Pada pandangan saya, penulis banyak menyelitkan tips untuk pasangan suami isteri mahupun kekasih kerana.

Penulis menunjukkan cara komunikasi yang betul antara individu dengan individu lain untuk kebaikan sesuatu perhubungan. Komunikasi adalah suatu perkara penting yang perlu diperbaiki oleh setiap individu. Kadangkala cara komunikasi yang salah, kadangkala yang salahnya adalah perkataan yang diungkapkan. Penulis memaparkan beberapa contoh komunikasi yang salah agar pembaca lebih memahami dan membezakan dengan komunikasi yang betul.

Pada pandangan saya, semua harus mempelajari cara komunikasi yang betul dan praktikkan dalam kehidupan. Jika semua tahu kamunikasi yang betul pasti dunia ini akan lebih aman dan bahagia. Ini kerana jika dilihat sekeliling, ramai yang tidak pandai berkomunikasi dengan betul. Lihatlah pepatah melayu “kerana pulut santan binasa, kerana mulut badan binasa”. Selain itu, mengapa orang sering mengatakan bahawa “diam itu lebih baik dari berbicara”? ini kerana ramai yang tidak pandai komunikasi yang betul. Dengan lidah boleh menyebabkan dunia huru-hara. Palajarilah komunikasi yang betul dengan membaca buku “Komunikasi Intim” karya Abdullah Hassan dan Ainon Mohd. Anda seperti kanak-kanak yang baru belajar berkata-kata! Ubahlah cara komunikasi yang salah dengan komunikasi yang betul. Orang pasti akan lebih menghormati anda jika anda berkomunikasi dengan bijak


Petikan Pilihan

Mengurut Ego Lelaki

Bagaimanakah caranya ego lelaki dapat disegarkan? Alat untuk mengurut ego lelaki ialah kata-kata. Apabila lelaki bercakap dengan pasangannya, dia bukan mahu mendengar satu ataupun dua perkataan sebagai jawapan. Dia mahu mendengar apa yang disebalik kata-kata itu. Contohnya: mengesahkan apa yang dikatakan seperti “Saya setuju dengan pandangan abang”,”Betul kata abang tu” atau dengan cara menggambarkan perasaan positif seperti “Seronoknya abang dah balik”, “Abang ni pandai mengusik saya la”, ataupun dengan cara menyatakan persetujuan seperti “Idea abang itu memang baik”.


Kulit Belakang Buku

Panduan menjalinkan hubungan persahabatan, kekeluargaan dan kasih sayang yang memuaskan dan berkekalan

Buku ini menerangkan satu persatu teknik-teknik komunikasi yang dapat mencipta perhubungan peribadi yang memuaskan kedua-dua belah pihak. Pada waktu yang sama ia juga menerangkan ciri-ciri tennik yang salah yang membahayakan perhubungan.

Turut diterangkan ialah faktor-faktor yang membezakan keperluan psikologi antara lelaki dan perempuan yang mempengaruhi ciri-ciri komunikasi mereka.

Prinsip komunikasi interpersonal untuk semua perhubungan peribadi adalah serupa, sama ada perhubungan itu adalah di antara rakan-rakan, sahabat, ibubapa dengan anak-anak, adik-beradik, suami isteri mahupun antara kekasih.

Kajian yang dijalankan oleh pakar-pakar psikologi perhubungan mendapati mereka dapat meramalkan dengan 99 peratus ketepatan, mana pasangan yang akan kekal dan mana yang sebaliknya, hanya dengan memerhatikan ciri-ciri komunikasi yang mereka gunakan/ ini membuktikan bagaimana pentingnya seseorang itu mempelajari teknik-teknik komunikasi interpersonal yang betul untuk menjalinkan hubungan yang berkekalan.

---
Nur Amalina

AMAL : Cabaran 50 Buku (49) : Hikmah Sembahyang


Tajuk Buku : Hikmah Sembahyang
Penulis : Ahmad Syafi’e Khatib
Terbitan : Jasmin Enterprise
Muka Surat : 242


Ulasan

Sembahyang merupakan rukun Islam kedua dan ia merupakan perintah yang paling dituntut oleh Islam. Buku ini menunjukkan kebahagiaan yang bakal dikecapi oleh mereka yang menjaga sembahyangnya dengan sempurna. Penulis juga mengemukakan maksud sembahyang dari pelbagai pandangan. Sembahyang dapat menjadikan seseorang itu berakhlak mulia apabila dia menjaga dan mengerjakan sembahyang dengan baik dan sempurna. Balasan buruk bagi mereka yang meninggalkan sembahyang juga dimuatkan dalam buku ini.

Buku ini mendedahkan rahsia di sebalik sembahyang itu, yang mana azab bagi mereka yang meninggalkannya, pahala dan pelbagai kebahagiaan menanti bagi mereka yang menjaganya. Selain itu, solat bukan sahaj dituntut dalam Islam tetapi ia juga keperluan untuk tubuh badan manusia yang mana sembahyang itu merupakan senaman yang terbaik untuk tubuh badan manusia.

Pada akhir zaman ini, ramai yang sering meninggalkan kewajiban ini dan menganggap ringan akan kewajiban ini. mereka kurang faham akan kedudukan sembahyang dalam Islam dan kepentingan sembahyang dalam kehidupan. Penulis menyelitkan faktor-faktor mereka meninggalkan sembahyang. Penulis juga mencadangkan cara penyelesaian terhadap mereka yang sering lalai dengan perintah Allah ini.

Buku ini dapat membantu ibubapa dan guru-guru agar mengambil berat akan kewajiban ibadah sembahyang ini terhadap anak-anak. Sebenarnya kewajiban ibadah ini perlu diingatkan selalu samaada pelajar, remaja mahupun mereka yang telah dewasa. Ibubapa tidak harus melepas tangan terhadap anak-anak mereka kerana sembahyang ini adalah kewajiban setiap individu Muslim dan jika ibubapa mahukan anak-anaknya menjadi seorang yang berakhlak mulia, mulakan dengan menjaga sembahyang mereka. Insya Allah amalan baik yang lain, mudah dilakukan oleh anak-anak anda. Didiklah anak-anak anda sebelum terlambat! Mereka merupakan harta yang paling berharga dalam kehidupan!


Kulit Belakang Buku

Buku “Hikmah Sembahyang” ini merupakan buku kedua dari lima siri, dan ia adalah sebuah buku yang membincangkan dan memperkatakan selok-belok sembahyang dari berbagai sudut. Sebagaimana sudah dimaklumi, sembahyang adalah rukun Islam yang kedua dan ibadah yang paling tinggi darjat dan kedudukannya berbanding ibadah-ibadah yang lain.

Dalam buku ini, pembaca akan mendapati pelbagai perbincangan yang berkaitan dengan syahadah, antara lain: Syahadah membawa kepada bahagia yang sebenar, mencegah dari membuat dosa dan munkar. Cekal melalui kesusahan, satu tanda diterima taubat, diampuni segala dosa, beroleh ketenangan jiwa, beroleh amal istimewa para Nabi, beroleh darjat yang tinggi, mendapat lima jenid kemuliaan, kebahagiaan dalam solat, menjana peribadi dengan solat, dan banyak lagi perkara lain.

Dengan demikian, buku ini amat sesuai dibaca oleh setiap lapisan kaum muslimin, tanpa mengira peringkat umur dan tahap pendidikan.

---
Nur Amalina

AMAL : Cabaran 50 Buku (48) : Penyakit Was-was: Kemudaratan dan Cara Mengatasinya


Tajuk Buku : Penyakit Was-was: Kemudaratan dan Cara Mengatasinya
Penulis: Al-Imam, Abu Abdullah Syamsuddin Ibnu Qoyyim Al-Jauzi
Terbitan : Era Ilmu Sdn Bhd
Muka Surat : 121


Ulasan

Penyakit was-was merupakan penyakit daripada gangguan syaitan. Was-was juga merupakan godaan syaitan terhadap manusia. Godaan was-was ini jika tidak diatasi akan menjadi penyakit. Buku ini menunjukkan jenis-jenis penyakit was-was yang sering melanda masyarakat. Penyakit was-was ini perlu diubati dan dirawat agar tidak menjadi lebih teruk. Bagaimanakah ingin mengubati penyakit was-was ini? buku ini menjawab soalan tersebut. Was-was sering melanda mereka yang ingin mengerjakan ibadah seperti berwudhu’, bersolat, bersuci dari hadas besar dan kecil. Orang yang berpenyakit was-was kadangkala tidak menyedari bahawa dia mempunyai penyakit was-was. Orang yang terkena penyakit was-was terlalu berhati-hati dalam melakukan ibadah mereka sehingga keterlaluan. Contohnya dalam berniat solat, mereka akan berulang-ulang kali melafazkan niat solat. Kadangkala memakan masa yang terlalu lama untuk melafazkan niat tersebut. Perkara ini perlu diubati kerana penyakit was-was ini boleh mengakibatkan keburukan dalam akidah dan amalannya. Mereka yang melayan sifat was-was dalam hatinya adalah pengikut syaitan.


Kulit Belakang Buku

Jalan yang ditempuh oleh seseorang itu hanyalah ada empat. Suatu tempoh diakan akan mengambul jalan di kirinya. Suatu waktu dia akan mengambil jalan depan, dan pada waktu lain dia akan mengambil jalan belakang. Jalan manapun yang ditempuhnya, yang jelas dia mendapati syaitan selalu mengintainya. Apabila dia menempuh jalan ketaatan, maka dia akan mendapati syaitan berusaha menghambat serta menghalanginya. Sebaliknya apabila jalan kemaksiatan yang dia tempuh, maka dia akan melihat syaitan mendorongnya, mendudkung dan membantunya. Was-was adalah satu lorong syaitan memasuki diri manusia dan menyesatkannya.

---
Nur Amalina

AMAL : Cabaran 50 Buku (47) : 77 Tips Melembutkan Hati Lelaki


Tajuk Buku : 77 Tips Melembutkan Hati Lelaki
Penulis : Zamri Mohamad
Terbitan : PTS Millennia Sdn. Bhd
Muka Surat : 256


Ulasan

Sebagai peminat buku-buku motivasi, buku ini antara koleksi terbaru saya. Banyak yang saya pelajari dari buku ini tentang cara-cara melembutkan hati lelaki. Tetapi pada pandangan saya, buku ini bukan sahaj untuk wanita tetapi untuk lelaki dan wanita. buku ini sebenarnya mengajar pasangan lebih memahami naluri pasangannya.

Buku ini, banyak menunjukkan cara sebenar yang perlu dilakukan oleh wanita kepada pasangannya dan begitu juga oleh lelaki terhadap pasanganya. Jika lelaki dan wanita saling memahami dan mengetahui apa yang perlu dilakukan, pasti sesuatu hubungan itu lebih bermakna dan behagia. Buku ini dapat membantu pasangan lebih bergembira apabila berdekatan dan merindui apabila berjauhan.

Buku terbitan PTS Millennia ini membantu wanita untuk mengambil hati pasangan mereka dengan cara mereka. Mereka bolehlah mencuba setiap tips-tips yang disediakan oleh penulis dalam buku ini. begitu juga lelaki, tips-tips ini bukan sahaja untuk wanita tetapi untuk lelaki juga. Penulis bukan sahaja membantu wanita mengambil hati pasangan mereka tetapi penulis juga membantu lelaki mendapat layanan dan wanita yang sangat memahami jiwa mereka apabila wanita mereka membaca buku ini. Para lelaki bolehlah menjadikan buku ini sebagai hadiah kepada wanita mereka jika inginkan wanita mereka lebih memahami jiwa lelakinya.

Buku ini juga dihiasi dengan kata-kata cinta dan kata-kata rindu yang diselitkan oleh penulis bagi menyemarakkan rasa cinta dan rindu dalam hati yang sedang berbunga cinta. Kenapa seringkali hubungan tidak menjadi dan perkahwinan tidak berkekalan? Ini kerana masing-masing tidak memahami antara satu masa laian dan tidak mengetahui cara untuk menyelesaikannya. Buku ini ada jawapannya. Jangan biarkan pertengkaran dan kehambaran hubungan berlarutan.


Petikan Pilihan

Elakkan kata-kata maaf yang berbunyi ugutan seolah-olah pasangan tidak dipercayai lagi sedangkan isu sudah selesai seperti “Saya boleh memaafkan bukan melupakan…”, “Jangan ingat saya lupakan perkara ini abang boleh melakukan lagi…..” dan “Saya boleh terima untuk hari ini, kalau kali kedua…”

Kegagalan cinta-cinta terdahulu jangan dikenang apabila sudah menemui cinta baru. Buang cerita kekasih lama jauh-jauh tanpa perlu memikirkannya lagi.

Minat pasangan mungkin member keuntungan besar kepada pasangannya. Elakkan dari menganggap kegemaran pasangan adalah perkara membuang masa dan tidak memberi manfaat kepada perhubungan.

Siapa menyangka segelas air suam mampu mempertahankan perkahwinan melebihi 30 tahun. Ini perkara hebat bagi wanita mengetahui rahsia di sebalik segelas air yang mampu melembutkan hati lelaki yang dikasihinya. Petua-petua beserta saranan-saranan pakar digabungkan bagi mencapai kehidupan yang diinginkan.


Kulit Belakang Buku

Sekeras-keras batu, keras lagi hati lelaki. Jika ada seorang lelaki dan sebuah tembok batu, lebih mudah meruntuhkan tembok batu itu daripada melembutkan hati lelaki. Sampai begitu sekali. Begitu keraskah hati lelaki? Tiada emosi langsungkah lelaki ini? adakah sampai bila-bila kita sekadar menggigit jari apabila berhadapan dengan kekerasan seorang lelaki?

Siapa sangka ya, lelaki menjadi begitu lembut hanya kerana secawan air kosong. Siapa sangka ya, lelaki begitu terbuka sekali dengan wanita yang melihat daripada pandangannya. Sungguh kita tidak sangka lelaki menjadi lembut kerana hal-hal yang kita sangka remeh sekali.

Hati lelaki seperti besi. Betul kuncinya, terbukalah hati dan nampaklah segala isi. Kuncinya ada di sisni. Di dalam buku ini.

---
Nur Amalina

AMAL : Cabaran 50 Buku (46) : Men Are From Mars, Women Are From Venus


Tajuk Buku : Men Are From Mars, Women Are From Venus
Penulis : John Gray
Terbitan : PTS Professional
Muka Surat : 369

Ulasan

Buku terjemahan yang diterjemahkan ke dalam Bahasa Melayu oleh Adlie Syamsudin ini membantu saya yang selama ini mencari-cari buku ini. Saya berterima kasih kepada penterjemah kerana membantu saya memahami maksud yang ingin disampaikan oleh penulis. Saya pernah membaca buku asal yang ditulis oleh John Gray tetapi kurang memahami tetapi saya berusaha untuk memahaminya kerana seorang sahabat saya menyarankan kepada saya untuk membaca buku ini. Apabila buku terjemahan ini telah keluar, saya segera mendapatkannya dan saya berpendapat bahawa buku ini harus dibaca oleh semua orang.

John Gray ingin menyampaikan bahawa sifat dan sikap antara lelaki dan perempuan sangatlah berbeza dan bagaimanakah setiap pasangan ingin mengenali dan memahami sikap dan sifat pasangan mereka. Kenapa pasangan suami isteri dan pasangan kekasih sering bertengkar mengenai masalah yang kecil? Ini kerana mereka tidak memahami sikap perbezaan antara lelaki dan perempuan dan cara menerima setiap perbezaan tersebut.

John Gray menafsirkan perbezaan antara lelaki dan perempuan dengan cara mereka berasal daripada dua negara yang berbeza. Mereka mempunyai perbezaan yang sangat ketara dan mereka saling menghormati dan saling menerima setiap perbezaan pasangannya. Jadi, disini fahamlah kita bahawa untuk bahagia, perlu menghormati dan menerima perbezaan yang ada dalam diri pasangan kita. Bukan itu sahaja, cara mengatasi pertengkaran juga diajar oleh penulis ini. untuk bahagia terserah kepada kita untuk menerima dan menghormati pasangan masing-masing. Mudah kan? Tapi itu juga perlukan kepada memahami apa perbezaan pasangan. Jika tidak tahu apakah perbezaannya, bagaimanakah anda mahu menerimanya bukan? Jadi, penulis telah memaparkan perbezaan antara lelaki dan perempuan dan anda perlulah faham akan perbezaan tersebut.

Selain itu, penulis juga menyelitkan mutiara kata yang indah dan info yang perlu diketahui oleh semua orang agar lebih memahami pasangan masing-masing. Buku setebal 369 muka surat ini tidak terasa tebal apabila anda mula membacanya kerana setiap muka surat mempunyai ilmu yang menarik tentang perbezaan lelaki dan perempuan dan ini membuatkan anda ingin lebih mengetahui dan terus menerus membaca sehingga ke muka surat terakhir. Saya menyarankan agar semua orang membaca buku ini untuk kebaikan rumahtangga. Anda menghampiri kebahagiaan apabila anda mendapatkan buku ini! kebahagiaan anda apabila anda cuba untuk memperbaikinya hubungan anda dari hari ke hari. Dengan membaca buku ini, anda telah cuba untuk memperbaikinya.


Kulit Belakang Buku

Pada suatu masa dahulu orang planet Marikh dan Venus bertemu, lalu jatuh cinta. Mereka hidup bahagia bersama kerana mereka menerima dan menghormati perbezaan masing-masing. Kemudian mereka berkahwin dan berpindah ke bumi. Pada suatu hari yang tidak disangka, mereka semua diserang penyakit amnesia iaitu sejenis penyakit yang menyebabkan mereka terlupa, mereka sebenarnya berasal dari planet yang berbeza.

Menggunakan metafora ini bagi menerangkan konflik-konflik yang biasa berlaku antara lelaki dan perempuan, Dr. John Gray menjelaskan bagaimana perbezaan antara lelaki dan perempuan sering menjafi angkara dalam hubungan yang tidak bahagia. Berdasarkan pengalaman beliau member khidmat kaunseling kepada beribu pasangan dan individu, beliau member panduan bagaimana kita boleh mengatasi perbezaan dalam gaya komunikasi, keperluan emosi dan perilaku bagi memupuk persefahaman antara lelaki dan perempuan.

Men Are From Mars, Women Are From Vesus berjaya membantu berjuta-juta orang lelaki dan perempuan memahami pasangan mereka dengan lebih baik. Ia adalah alat bantu yang penting dalam membentuk hubungan suami isteri yang lebih mendalam dan memuaskan.

“Jarang sekali kita berjumpa dengan buku bukan fiksyen yang membuatkan kita tidak mampu meletakkan buku sebelum habis membaca. Tetapi John Gray berjaya menghasilkannya.” –Susan Page

“.. panduan terbaik bagi memahami hubungan suami isteri.” – Harold Bloomfield


---
Nur Amalina