Dec 31, 2011

AMAL : Cabaran 50 Buku (49) : Hikmah Sembahyang


Tajuk Buku : Hikmah Sembahyang
Penulis : Ahmad Syafi’e Khatib
Terbitan : Jasmin Enterprise
Muka Surat : 242


Ulasan

Sembahyang merupakan rukun Islam kedua dan ia merupakan perintah yang paling dituntut oleh Islam. Buku ini menunjukkan kebahagiaan yang bakal dikecapi oleh mereka yang menjaga sembahyangnya dengan sempurna. Penulis juga mengemukakan maksud sembahyang dari pelbagai pandangan. Sembahyang dapat menjadikan seseorang itu berakhlak mulia apabila dia menjaga dan mengerjakan sembahyang dengan baik dan sempurna. Balasan buruk bagi mereka yang meninggalkan sembahyang juga dimuatkan dalam buku ini.

Buku ini mendedahkan rahsia di sebalik sembahyang itu, yang mana azab bagi mereka yang meninggalkannya, pahala dan pelbagai kebahagiaan menanti bagi mereka yang menjaganya. Selain itu, solat bukan sahaj dituntut dalam Islam tetapi ia juga keperluan untuk tubuh badan manusia yang mana sembahyang itu merupakan senaman yang terbaik untuk tubuh badan manusia.

Pada akhir zaman ini, ramai yang sering meninggalkan kewajiban ini dan menganggap ringan akan kewajiban ini. mereka kurang faham akan kedudukan sembahyang dalam Islam dan kepentingan sembahyang dalam kehidupan. Penulis menyelitkan faktor-faktor mereka meninggalkan sembahyang. Penulis juga mencadangkan cara penyelesaian terhadap mereka yang sering lalai dengan perintah Allah ini.

Buku ini dapat membantu ibubapa dan guru-guru agar mengambil berat akan kewajiban ibadah sembahyang ini terhadap anak-anak. Sebenarnya kewajiban ibadah ini perlu diingatkan selalu samaada pelajar, remaja mahupun mereka yang telah dewasa. Ibubapa tidak harus melepas tangan terhadap anak-anak mereka kerana sembahyang ini adalah kewajiban setiap individu Muslim dan jika ibubapa mahukan anak-anaknya menjadi seorang yang berakhlak mulia, mulakan dengan menjaga sembahyang mereka. Insya Allah amalan baik yang lain, mudah dilakukan oleh anak-anak anda. Didiklah anak-anak anda sebelum terlambat! Mereka merupakan harta yang paling berharga dalam kehidupan!


Kulit Belakang Buku

Buku “Hikmah Sembahyang” ini merupakan buku kedua dari lima siri, dan ia adalah sebuah buku yang membincangkan dan memperkatakan selok-belok sembahyang dari berbagai sudut. Sebagaimana sudah dimaklumi, sembahyang adalah rukun Islam yang kedua dan ibadah yang paling tinggi darjat dan kedudukannya berbanding ibadah-ibadah yang lain.

Dalam buku ini, pembaca akan mendapati pelbagai perbincangan yang berkaitan dengan syahadah, antara lain: Syahadah membawa kepada bahagia yang sebenar, mencegah dari membuat dosa dan munkar. Cekal melalui kesusahan, satu tanda diterima taubat, diampuni segala dosa, beroleh ketenangan jiwa, beroleh amal istimewa para Nabi, beroleh darjat yang tinggi, mendapat lima jenid kemuliaan, kebahagiaan dalam solat, menjana peribadi dengan solat, dan banyak lagi perkara lain.

Dengan demikian, buku ini amat sesuai dibaca oleh setiap lapisan kaum muslimin, tanpa mengira peringkat umur dan tahap pendidikan.

---
Nur Amalina

0 comments: