Dec 31, 2011

AMAL : Cabaran 50 Buku (46) : Men Are From Mars, Women Are From Venus


Tajuk Buku : Men Are From Mars, Women Are From Venus
Penulis : John Gray
Terbitan : PTS Professional
Muka Surat : 369

Ulasan

Buku terjemahan yang diterjemahkan ke dalam Bahasa Melayu oleh Adlie Syamsudin ini membantu saya yang selama ini mencari-cari buku ini. Saya berterima kasih kepada penterjemah kerana membantu saya memahami maksud yang ingin disampaikan oleh penulis. Saya pernah membaca buku asal yang ditulis oleh John Gray tetapi kurang memahami tetapi saya berusaha untuk memahaminya kerana seorang sahabat saya menyarankan kepada saya untuk membaca buku ini. Apabila buku terjemahan ini telah keluar, saya segera mendapatkannya dan saya berpendapat bahawa buku ini harus dibaca oleh semua orang.

John Gray ingin menyampaikan bahawa sifat dan sikap antara lelaki dan perempuan sangatlah berbeza dan bagaimanakah setiap pasangan ingin mengenali dan memahami sikap dan sifat pasangan mereka. Kenapa pasangan suami isteri dan pasangan kekasih sering bertengkar mengenai masalah yang kecil? Ini kerana mereka tidak memahami sikap perbezaan antara lelaki dan perempuan dan cara menerima setiap perbezaan tersebut.

John Gray menafsirkan perbezaan antara lelaki dan perempuan dengan cara mereka berasal daripada dua negara yang berbeza. Mereka mempunyai perbezaan yang sangat ketara dan mereka saling menghormati dan saling menerima setiap perbezaan pasangannya. Jadi, disini fahamlah kita bahawa untuk bahagia, perlu menghormati dan menerima perbezaan yang ada dalam diri pasangan kita. Bukan itu sahaja, cara mengatasi pertengkaran juga diajar oleh penulis ini. untuk bahagia terserah kepada kita untuk menerima dan menghormati pasangan masing-masing. Mudah kan? Tapi itu juga perlukan kepada memahami apa perbezaan pasangan. Jika tidak tahu apakah perbezaannya, bagaimanakah anda mahu menerimanya bukan? Jadi, penulis telah memaparkan perbezaan antara lelaki dan perempuan dan anda perlulah faham akan perbezaan tersebut.

Selain itu, penulis juga menyelitkan mutiara kata yang indah dan info yang perlu diketahui oleh semua orang agar lebih memahami pasangan masing-masing. Buku setebal 369 muka surat ini tidak terasa tebal apabila anda mula membacanya kerana setiap muka surat mempunyai ilmu yang menarik tentang perbezaan lelaki dan perempuan dan ini membuatkan anda ingin lebih mengetahui dan terus menerus membaca sehingga ke muka surat terakhir. Saya menyarankan agar semua orang membaca buku ini untuk kebaikan rumahtangga. Anda menghampiri kebahagiaan apabila anda mendapatkan buku ini! kebahagiaan anda apabila anda cuba untuk memperbaikinya hubungan anda dari hari ke hari. Dengan membaca buku ini, anda telah cuba untuk memperbaikinya.


Kulit Belakang Buku

Pada suatu masa dahulu orang planet Marikh dan Venus bertemu, lalu jatuh cinta. Mereka hidup bahagia bersama kerana mereka menerima dan menghormati perbezaan masing-masing. Kemudian mereka berkahwin dan berpindah ke bumi. Pada suatu hari yang tidak disangka, mereka semua diserang penyakit amnesia iaitu sejenis penyakit yang menyebabkan mereka terlupa, mereka sebenarnya berasal dari planet yang berbeza.

Menggunakan metafora ini bagi menerangkan konflik-konflik yang biasa berlaku antara lelaki dan perempuan, Dr. John Gray menjelaskan bagaimana perbezaan antara lelaki dan perempuan sering menjafi angkara dalam hubungan yang tidak bahagia. Berdasarkan pengalaman beliau member khidmat kaunseling kepada beribu pasangan dan individu, beliau member panduan bagaimana kita boleh mengatasi perbezaan dalam gaya komunikasi, keperluan emosi dan perilaku bagi memupuk persefahaman antara lelaki dan perempuan.

Men Are From Mars, Women Are From Vesus berjaya membantu berjuta-juta orang lelaki dan perempuan memahami pasangan mereka dengan lebih baik. Ia adalah alat bantu yang penting dalam membentuk hubungan suami isteri yang lebih mendalam dan memuaskan.

“Jarang sekali kita berjumpa dengan buku bukan fiksyen yang membuatkan kita tidak mampu meletakkan buku sebelum habis membaca. Tetapi John Gray berjaya menghasilkannya.” –Susan Page

“.. panduan terbaik bagi memahami hubungan suami isteri.” – Harold Bloomfield


---
Nur Amalina

0 comments: