Aug 1, 2011

Arirada - Cabaran 50 Buku [15] : Dia & Dia


Tajuk : Dia & Dia
Penulis : Bunick Firdaus
Penerbit : Jemari Seni Sdn. Bhd
Muka surat :

Sinopsis kulit buku:

“Dia hadir dalam hidupku untuk menyembuhkan rawan yang bersarang di dada. Sedangkan dia yang pernah hidup dalam hatiku ini terpaksa mengusung dukanya sendirian. Kejamkah aku pada dia andainya aku tidak mampu mencintai dia sepertimana aku mencintai dia yang seorang lagi?”

Cinta dan kasih yang saling menagih; yang mana satu pilihan Arissa?

Mahupun Irfan biarpun Fazril; dia dan dia sering sahaja membuat hati gadisnya keliru. Telah pun Arissa cuba melarikan hatinya ini jauh-jauh, dayanya entah hilang di mana? Apa yang tidak kena dengan hatinya yang sekeping ini?

Dia memang lelaki penyayang. Namun selembut mana pun dia cuba mengubati hati Arissa yang luka, mana mungkin Arissa melupakan cinta pertamanya. Apatah lagi pada saat Arissa hampir menggapai bahagia, ujian pula datang bertimpa-timpa!

Antara memori dan harapan, yang mana satu jadi pilihan? Antara dikasihi dan mencintai, yang mana satu harus dicari?

Nukilan pertama BUNICK FIRDAUS ini cuba menyelami bilau hati seorang wanita pada dia yang mahu berkongsi hati dengannya. Bukankah ‘keliru’ itu maknanya hati sudah tersentuh? Biarlah Dia & Dia menjelaskan semuanya!

___________________________

Dia & Dia berkisah tentang percaturan jodoh tiga watak utamanya- Arissa, Irfan dan Fazril. Bermula sebagai sahabat, akhirnya membibitkan perasaan lain antara Fazril dan Arissa, dan mereka mula menganyam impian bahagia bersama, sehinggalah Fazril ‘terpaksa’ menarik diri dan mengecewakan hati Arissa. Pun begitu, kasihnya tetap utuh buat Arissa seorang. Sedang hati Arissa luluh dan kecewa, hadir insan misteri ‘EP’ menghadiahkannya senaskhah buku ‘Jangan Bersedih’ dan identiti ‘EP’ akhirnya terdedah. Huluran persahabatan daripada ‘EP’ disambut baik oleh Arissa, namun apabila si dia menghulur kasih, Arissa ragu-ragu dan tidak bersedia, di hatinya masih ada Fazril, cinta pertamanya. Tapi ‘EP’ a.k.a Irfan bukanlah seorang yang mudah berputus asa, kasih Arissa terus diburu dan dirayu; Arissa adalah cintanya yang pertama. Dan, di kala Arissa mahu berkata ‘ya’ kepada huluran kasih Irfan, sesuatu telah berlaku kepada Fazril, yang meruntun hati Arissa untuk kembali kepadanya. Siapakah akhirnya yang menjadi pilihan Arissa?

Apa kata saya :

Setelah berbulan-bulan Dia & Dia menghuni almari buku, barulah saya tergerak hati untuk membacanya. Bermula daripada bab pertama, saya teruskan pula ke bab dua, tiga dan seterusnya. Sungguh, saya telah tersalah tanggapan terhadap buku ini sebelum ini, padahal saya belum pun mula membacanya dan belum pernah mengikuti karya Bunick Firdaus (di internet). Sangka saya, buku ini ceritanya dan gaya bahasanya melankoli, ternyata sangkaan saya jauh meleset kerana bahasanya sangat santai dan isinya bukan air mata semata-mata!

Tentang jalan ceritanya, saya akui pada awalnya saya ‘kurang’ suka, namun lama-lama saya dapat menerimanya, kerana apa yang berlaku antara Arissa-Fazril-Irfan tidak mustahil berlaku dalam dunia realiti. Tindakan Irfan mungkin dianggap bodoh, malah mungkin kejam, namun begitulah, setiap orang bertindak berbeza-beza dalam menzahirkan rasa cinta dan membahagiakan orang yang dicintai. Dan, kisah Arissa-Fazril-Irfan dalam Dia & Dia ini juga adalah satu contoh untuk sebuah hakikat; betapa hal jodoh manusia itu sesuatu yang sungguh rahsia!

Tahniah buat Bunick Firdaus, kesudahan Dia & Dia mungkin tidak menepati citarasa sesetengah pembaca, dan bagi saya anda adalah penulis yang berani kerana ‘tega’ untuk menoktahkan Dia & Dia dengan penamat sedemikian. InsyaAllah, jika ada lagi karya anda selepas ini, saya tidak akan ragu-ragu untuk memilikinya ^_^

---
Arirada

KK: Cabaran 50 Buku: (21) Maaf dari Sorga


Tajuk: Maaf Dari Sorga
Penulis: Faisal Tehrani
Terbitan: Ameenbooks
Muka surat: 176 halaman
ISBN: 978-983-3991-87-7
Harga: RM 16.00

Kata kulit buku:

Rumah nombor 33 menyimpan pelbagai misteri dan dianggap berhantu. Penyewanya silih berganti dan kebanyakan mereka menemui kecelakaan.

Penyewa terbaru, Hakiki, seorang pegawai bank berfikiran liberal bersama isterinya yang mualaf, turut diganggu peristiwa aneh dan menakutkan. Rumah tangga yang aman mulai keruh dan si isteri kembali ke Negara asal, kemudian terperangkap dalam taufan ganas yang mengancam jiwa dan kandungannya.

Mungkinkah gangguan- gangguan itu disebabkan oleh dosa-dosa Hakiki yang disembunyikan sekian lama? Apakah ada kemaafan dari sorga buat mereka?

Kata KK:

Kisah rumah 33 yang penuh misteri , penghuni terbaru adalah sepasang suami isteri iatu Hakiki dan sarah yang baru sahaja pulang ke tanah air. Pada awalnya mereka tidak mengetahui sejarah rumah 33, namun setelah menduduki rumah itu, Hakiki dan Sarah mula mengalami gangguan. Kerana gangguan itu adalah salah satu faktor menyebabkan Hakiki dan Sarah berubah ke arah lebih baik yang mana Sarah merupakan soerang mualaf. Dia mula mempelajari islam dengan lebih mendalam.

Mesej yang disampaikan oleh penulis terang dan jelas. Tentang isu riba, kalimah syahadah daan solat serta aurat. Mesej yang dikhabarkan dalam Maaf dari Sorga sangat bersahaja dengan adanya watak Dina, Pak Idi dan Ustaz Wan Adlin. Kesedaran Hakiki sebagai seorang yang perlu membimbing Sarah dan kesedaran Sarah perlu menambahkan ilmu tentang Islam. Gangguan yang dialami oleh Sarah dan Hakiki diceritakan sebagai tazkirah dan peringatan oleh makhluk-makhluk lain kepada penghuni rumah 33. Sekirangnya mereka tidak menghiraukan gangguan tersebut maka mautlah jadi taruhan tetapi sekiranya setelah mendapat gangguan mereka berubah kea rah kebaikan itulah yang sebaiknya.

Biasanya cerita gangguan seperti ini sangat menakutkan untuk dibaca, namun gangguan yang digarap oleh Faisal Tehrani dari perspektif yang berbeza iaitu dari sudut yang lebih baik dan memberi kesedaran bukan membuatkan bulu makin meremang dan tidur tak lena kalau dibaca malam-malam. Menarik, tertarik.

---
-khaulah khalid-

KK: cabaran 50 buku: (20) Kaca Jendela Ainnur


Tajuk: Kaca Jendela Ainur
Penulis: Diya Nordin
Terbitan: Jemari Seni Sdn Bhd
Muka surat: 414 halaman
ISBN: 978-967-5118-51-7
Harga: RM 18.00 (Sem M’sia) / RM 21.00 (S&S)

Kata Kulit Buku:

Seumur hidupnya, dia hanya mahu memenangi hati Syuhairah, mama yang sangat dia rindu walau wujudnya di depan mata. Dari kecil dia sering tertanya-tanya, kenapa dia bagaikan halimunan pada mata mama!

Ainnur Shahirah tidak pernah kenal siapa ayahnya. Sangkanya, apabila bertemu ayah, kurang-kurang dia punya kasih seorang bapa. Tapi dia salah. Ayah seperti mama. Tidak pernah menerimanya sebagai anak.

Dia menjadi daki dalam keluarga. Dia sedar duduk dirinya. Dia akhirnya pasrah, kasih mereka bukan untuknya. Dia harus pergi agar mama dan ayah bahagia dengan keluarga sendiri.

Kata Zhafran, “Ainnur bukan sekadar kejam pada Tok Mama dan Tok Baba. Tapi juga Uncle Luqman. Salah ke mereka hingga turut terhukum?”

Apa yang Zhafran tahu?

Semuanya dia yang tanggung. Rasa pedih, terluka. Semuanya ditelan sendiri. Dia sudah sehabis daya mencuba. Dia pergi pun atas kehendak mereka, jadi apakah dia yang kejam?

Kata KK:

Kisah Ainnur Shahirah yang tidak diakui sebagai anak oleh mama dan ayahnya namun kehadirannya dihargai oleh uncle papa dan uminya. Ainnur Shahirah makin dewasa mula hidup berdikari setelah kehadirannya bagaikan tidak wujud oleh mamanya sendiri. Dia kemudian melanjutkan pelajaran ke UUM dan menyertai program bakti siswa – iaitu program anak angkat. Dari situ dia dipertemukan dengan Tok Mama dan Tok Babanya iaitu ibu bapa kepada mamanya. Kerana terluka, Ainnur Shahirah membawa diri ke UK setelah mamanya sedar dari koma akibat kemalangan. Atas dasar tanggungjawab, Zhafran menerima Ainnur sebagai isterinya kerana baginya kalau hanya dengan mengahwini Ainnur dapat mendekatkan Ainnur degna keluarga dia sanggup terima.

Bagi saya cerita yang dicoretkan oleh Diya Nordin ini sangat melankolik. Perjalanan kisah hidup Ainnur ini sangat mendatar walaupun ada kejadian yang tak disangka namun tidak terasa. Ainnur Shahirah yang sedih dan hanya focus pada pelajaran, tidak ad sedikit sikap memberontak apabila dibiarkan oleh ibu bapa sendiri. Bagi saya, walaupun Ainnur Shahirah terlalu baik tetapi sebagai anak terbuang, Ainnur boleh bersikap memberontak sedikit bukan menerima sahaja atas tindakan dan layanan ibu bapanya. Malah usahanya untuk berbaik dengan mamanya masih belum cukup apatahlagi usaha untuk dia berbaik dengan ayahnya.

Untuk lebih jelas, masalah Ainnur perlu diceritakan diawal novel atau bairkan ia menjadi suspen dan kadang-kadang terlalu bosan apabila membaca masalah yang dihadapinya berulang kali.

Watak Zhafran, Ikhwan dan Alia sedikit memberi keceriaan dalam novel ini manakala Luqman terlalu lambat.

Untuk keseluruhan cerita, Kaca Jendela Ainnur mengingatkan tentang tanggungjawab anak dan tangungjawab ibu bapa. Walaupun kesilapan masa lalu itu pahit tetapi seharusnya kita menerima dan memperbaiki untuk menjadi lebih baik.

---
Khaulah Khalid

Aimie: Cabaran 50 Buku: (58) Bukan Kerana Sayang


Penulis: Amiza Anaz
Penerbit: Alaf 21 @ Grup Buku Karangkraf Sdn Bhd
ISBN978-983-124-686-3
Harga: RM21.00 / RM24.00
M/S: 521
Cetakan 1 – 2011


Biar sesaat perasaan cinta itu datang, ia tetap perasaan yang sama buat selamanya.

Blurb:

“Terimalah lelaki yang mencintai kita lebih daripada kita mencintai dia.” Bolehkah ungkapan ini digunakan oleh Qaireena Asyikin untuk menerima semula huluran kasih Johan?

Lelaki itu pernah dicintainya suatu waktu dahulu, namun dia terpaksa berkorban kasih apabila Johan memilih kakaknya. Qairun Annesa sebagai isteri tanpa sebab yang pasti.

Kini, Qairun Annesa telah kembali kepada-Nya. Kemelut membelenggu diri apabila Johan mula menagih kasihnya. Desakan daripada orang tuanya agar menerima Johan juga benar-benar membuatkan dia tersepit.

Bagi mengelakkan diri, Qaireena mengambil jalan mudah. Dia menggunakan nama ketuanya, Kamil Ihsan sebagai kekasih samaran tanpa pengetahuan empunya diri. Namun, masalah mula timbul apabila tembelangnya pecah.

Kamil Ihsan yang bersikap ‘bossy’ menambahkan lagi tekanan Qaireena. Kedua-dua lelaki itu benar-benar menghuru-harakan hidupnya yang selama ini tenang tidak berkocak. Siapa sangka, dalam kemelut rasa itu rahsia yang tersimpan bertahun-tahun lamanya, terungkai satu demi satu.

Mampukah Qaireena Asyikin memberi kata putus yang boleh menggembirakan semua pihak?

Kak Chik menukil:

Bertahun lamanya Qaireena Asyikin hidup tenang-tenang selepas peristiwa sedih itu terjadi. Siapa yang tidak terluka malah hati parah berdarah apabila kekasih hati yang diberi hati dan seluruh harapan malah si dia yang bersungguh-sungguh mahu mempercepatkan ikatan antara mereka tega menikahi kakaknya Qairun Annesa tanpa sebarang sebab yang pasti. Qaireena yang disunting tetapi bernikah pula dengan Nisa. Qaireena lebih terluka apabila Johan tidak pernah memberi kata putus kepada perhubungan mereka. Malah Johan bertindak mendiamkan diri selepas dia membuat keputusan untuk menikahi Nisa.

Qaireena terpaksa berhenti dari pengajian sedangkan itu cita-citanya kerana terlalu sedih dan terluka dengan kasih yang kecundang. Dengan bantuan Nadia, dia telah bekerja dengan syarikat keluarga Nadia sebagai Pegawai Akaun.

Namun, kehidupan Qaireena mula bercelaru apabila Johan meminang dan kembali menagih kasihnya. Ibu bapanya pula turut mendesak kerana tidak mahu kehilangan Johanis, satu-satunya zuriat yang ditinggalkan Nisa selepas kembali kepada-Nya.

Bertambah kalut kehidupannya apabila helahnya menggunakan nama Kamil Ihsan sebagai teman istimewa pecah. Kamil Ihsan yang tidak pernah mesra dengan Qaireena menuntut jawapannya.

Antara bekas kekasih yang menyatakan cintanya tidak pernah berubah atau ketuanya yang selalu mencari salahnya menjadi pilihan Qaireena? Yang pasti tidak mudah baginya membuat keputusan malahan seseorang yang membuat keputusan untuknya tanpa pengetahuan diri sendiri.

Sudut pandang Kak Chik:

Naskhah ini berkisar kisah kekasih dirampas oleh kakak sendiri dan dilanjutkan pula dengan cadangan ‘bersalin tikar’ selepas si kakak dijemput ILAHI. Walaupun kisah kekasih lama menagih kembali cinta adalah isu-isu yang sudah terlalu biasa digarapkan dalam novel-novel Melayu tetapi karya ini tetap mendapat tempat di hati Kak Chik kerana ada beberapa isu yang memang mengusik hati malah masih lagi mengganggu ruang dalam otak Kak Chik walaupun sudah berhari-hari Kak Chik habis membacanya.

Antara yang buat Kak Chik terusik apabila ibu bapa tega mengorbankan hati dan perasaan anak yang lain demi menjunjung tinggi hati yang disayangi dari terluka seperti yang dilalukan oleh Puan Hajah Rohani dan Tuan Haji Malik. Mereka bagaikan menidakkan hati dan perasaan Qaireena demi menjaga hati Nisa dengan alasan yang pada Kak Chik terlalu remeh. Antara yang buat Kak Chik geram adalah dialog Puan Hajah Rohani ini:

“Reen jangan cakap macam tu.Ibu dan ayah mintak maaf andai selama ni Reen nampak kami macam berat sebelah. Lebihkan Kak Nisa daripada adik-beradik yang lain. Reen kena faham. Dulu, ibu pernah cerita. Hampir empat tahun kami kahwin, baru ibu Berjaya mengandungkan Kak Nisa. Bila dia lahir, dia terlalu istimewa. Segala-galanya untuk dia. Semua kemahuan dia, kami turuti sebab kami terlalu lama mengharapkan kehadiran cahaya mata. Bila dia dah beradik dan besar, kami tak tahu bagaimana nak tolak permintaan dia sebab sejak Kak Nisa lahir, dia tidak pernah kurang satu pun permintaannya. Kami harap Reen faham.” BKS – m/s 24.

Pada Kak Chik tindakan dan alasan yang diberi Puan Hajah Rohani dan Tuan Haji Malik sungguh tidak berpatutan. Adakah kehendak anak itu mesti diikuti kehendaknya sehingga anak terlalu ego dan tidak boleh menerima kenyataan apabila kehendaknya tidak tercapai sehingga dia tega melakukan sesuatu yang tidak bermoral dan tidak beretika.

Namun begitu masih ada sesuatu yang menarik untuk digali dalam karya ini tambah lagi permulaan antara Kamil Ihsan dan Qaireena Asyikin yang pada Kak Chik kisah yang biasa-biasa saja tetapi pengakhiran yang sungguh manis tambahan tindakan susulan Kamil Ihsan yang sungguh mengejutkan.

Pengakhiran yang manis.

LiFe iS a LoNG JouRNeY
-Kak Chik-
(^__^)

HN : Cabaran 50 Buku : (3) Labyrinth





Tajuk Buku : Labyrinth
Penulis : Imaen
Terbitan : Jemari Seni





1. Sekali lagi saya mahu mengulas buku Imaen dan kali ini, Labyrinth. Saya terjumpa buku ini di sebuah kedai buku yang bagai hidup segan mati tak mahu dan merasakan itu perkara yang luar biasa kerana buku Imaen yang selalu ditemui di kedai buku hanyalah Seikat Kembang Merah dan Bohemian. Cerita yang lain, saya menutup mata dan membeli juga buku ini dengan wang saku yang tinggal nyawa-nyawa ikan kerana tidak mahu melepaskan peluang membaca karya Imaen yang terawal ini.

2. Kali ini saya perlu menukar minda saya untuk berfikiran kritikal kerana Labyrinth berunsur romantic-thriller. sudah tentu gaya Imaen berlainan dari Blues Retro yang gila-gila atau Sigaraning yang separuh mencemaskan (ya, kerana separuh lagi kisah cinta.) setakat ini novel thriller melayu yang pernah dibaca hanyalah karya Ramlee Awang Murshid dan saya mencuba menghayati rentak imaen pula. Bukan mudah untuk menulis tentang thriller kerana plot cerita perlu dirancang dengan teliti supaya tidak kelihatan seperti terlalu klise atau mudah diteka oleh pembaca.

3. Labyrinth membawa saya masuk ke dalam dunia penyiasatan polis. Detektif Kamal, Hanani dan Salman ditugaskan untuk mencari pembunuh bersiri yang telah membunuh dua mangsa dengan kejam. Si mati ditikam dan kepalanya ditukul ( bukan dipukul) sehingga bersepai dan bercerai dari badan. Mereka sukar untuk mencari petunjuk kes kerana pembunuh cekap menyembunyikan dan menghilangkan segala jejak. Dia cuma meninggalkan nota bertulis tangan di tepi mayat, lantas mereka meminta kerjasama Doktor Dani, pakar dalam bidang linguistic forensik dan mempunyai latar belakang dan kepakaran dalam menganalisis tulisan dan simbol.

4. Saya cukup teruja menghayati helaian demi helaian kerana tidak sabar-sabar untuk mengetahui bagaimana polis-polis tersebut mencari pembunuh. Yang anehnya, berdasarkan kesimpulan yang dibuat oleh doktor yang melakukan ‘post mortem’ terhadap mayat mangsa, kesemua orang yang dibunuh ialah lelaki homoseksual. Pada mulanya jalan cerita agak perlahan kerana saksi-saksi yang boleh membawa kepada pembunuh kesemuanya mati dibunuh atau mati kerana kemalangan sehinggalah Dani menemukan suatu hipotesis mengenai sifat pembunuh. Itu anda harus dapatkan Labyrinth untuk kejutannya!

5. Kisah yang lain, Kamal jadi lekas akrab dengan Dani kerana mereka sama-sama berkongsi minat membaca dan menonton dokumentari walaupun kedua-duanya dari dunia yang berbeza. Kamal yang menghadapi masalah rumahtangga sudah lama mengetepikan Tuhan kerana putus asa dan Dani, mungkin seorang yang sangat memahami karakter manusia lewat tulisan dan perbuatan, tetapi jadi kaget apabila mahu melamar gadis pujaan. Bukanlah mudah untuk seorang lelaki meluahkan masalah yang mengganggu jiwa dan mereka ditakdirkan Tuhan untuk berkongsi masalah dan sama-sama menasihati.

6. Sebenarnya kekuatan Imaen terletak pada bahasanya dan tulisannya yang begitu dekat dengan masyarkat. Saya cukup suka menghayati segala falsafah hidup yang ditulis Imaen dan kadangkala tergelak kerana ‘masuk’ dengan situasi yang dihadapi sekarang tetapi kadang-kadang juga boleh jadi sayu dan menikam kalbu. Malah di bawah prolog Imaen mencatatkan ‘kepada yang mengetuk, pintu tidak pernah tertutup.’ Langsung tiada kaitan dengan apa yang ditulis seterusnya tetapi cukup untuk menarik minat pembaca bagi menyelak helaian seterusnya.

7. Imaen selalu menggambarkan kehidupan manusia yang biasa tetapi apa yang membuatkannya unik ialah cara manusia itu berfikir dan menguruskan kehidupannya. Semua karakter yang dicipta Imaen membawa kita kembali merenung posisi kita sebagai hamba Allah yang sangat lemah. Contohnya di sini, Kamal seorang detektif yang tegas tetapi jadi lemah di depan mertuanya kerana dia begitu takut untuk menegakkan haknya sebagai suami. Lantas, Tuhan mentakdirkan dia untuk bertemu Dani dan kembali mencari kekuatan dari Tuhan. Begitu juga dengan pembunuh dan kesemua watak antagonis, ia memberi kita kesedaran bahawa manusia melakukan kejahatan bukan kerana pilihan sendiri dan bahana mengikut hawa nafsu dan bisikan syaitan.

8. Keseluruhannya , buku ini cukup menarik untuk dibaca. Pada pandangan saya, Imaen berjaya menjadikan Labyrinth ‘hidup’ kerana pembunuh hanya meninggalkan bukti yang sangat samar dan kelihatan begitu mustahil untuk polis menemukan petunjuk kes . Dan mungkin pening-pening lalat sedikit dengan karakter pembunuh yang sangat ironis!Tidak banyak kejutan tetapi penuh ironis!

9. Nah, sedikit petikan dari nota pembunuh,
‘ Akulah angsa yang terbang ke syurga, mengintai di sebalik daun awan memerhati manusia dalam rakus menelanjangi bumi merompak hartanya memperkosa!’

Selamat menjejaki pembunuh homoseksual!

---
Nur Hannan