Aug 1, 2011
Aimie: Cabaran 50 Buku: (58) Bukan Kerana Sayang
Penulis: Amiza Anaz
Penerbit: Alaf 21 @ Grup Buku Karangkraf Sdn Bhd
ISBN978-983-124-686-3
Harga: RM21.00 / RM24.00
M/S: 521
Cetakan 1 – 2011
Biar sesaat perasaan cinta itu datang, ia tetap perasaan yang sama buat selamanya.
Blurb:
“Terimalah lelaki yang mencintai kita lebih daripada kita mencintai dia.” Bolehkah ungkapan ini digunakan oleh Qaireena Asyikin untuk menerima semula huluran kasih Johan?
Lelaki itu pernah dicintainya suatu waktu dahulu, namun dia terpaksa berkorban kasih apabila Johan memilih kakaknya. Qairun Annesa sebagai isteri tanpa sebab yang pasti.
Kini, Qairun Annesa telah kembali kepada-Nya. Kemelut membelenggu diri apabila Johan mula menagih kasihnya. Desakan daripada orang tuanya agar menerima Johan juga benar-benar membuatkan dia tersepit.
Bagi mengelakkan diri, Qaireena mengambil jalan mudah. Dia menggunakan nama ketuanya, Kamil Ihsan sebagai kekasih samaran tanpa pengetahuan empunya diri. Namun, masalah mula timbul apabila tembelangnya pecah.
Kamil Ihsan yang bersikap ‘bossy’ menambahkan lagi tekanan Qaireena. Kedua-dua lelaki itu benar-benar menghuru-harakan hidupnya yang selama ini tenang tidak berkocak. Siapa sangka, dalam kemelut rasa itu rahsia yang tersimpan bertahun-tahun lamanya, terungkai satu demi satu.
Mampukah Qaireena Asyikin memberi kata putus yang boleh menggembirakan semua pihak?
Kak Chik menukil:
Bertahun lamanya Qaireena Asyikin hidup tenang-tenang selepas peristiwa sedih itu terjadi. Siapa yang tidak terluka malah hati parah berdarah apabila kekasih hati yang diberi hati dan seluruh harapan malah si dia yang bersungguh-sungguh mahu mempercepatkan ikatan antara mereka tega menikahi kakaknya Qairun Annesa tanpa sebarang sebab yang pasti. Qaireena yang disunting tetapi bernikah pula dengan Nisa. Qaireena lebih terluka apabila Johan tidak pernah memberi kata putus kepada perhubungan mereka. Malah Johan bertindak mendiamkan diri selepas dia membuat keputusan untuk menikahi Nisa.
Qaireena terpaksa berhenti dari pengajian sedangkan itu cita-citanya kerana terlalu sedih dan terluka dengan kasih yang kecundang. Dengan bantuan Nadia, dia telah bekerja dengan syarikat keluarga Nadia sebagai Pegawai Akaun.
Namun, kehidupan Qaireena mula bercelaru apabila Johan meminang dan kembali menagih kasihnya. Ibu bapanya pula turut mendesak kerana tidak mahu kehilangan Johanis, satu-satunya zuriat yang ditinggalkan Nisa selepas kembali kepada-Nya.
Bertambah kalut kehidupannya apabila helahnya menggunakan nama Kamil Ihsan sebagai teman istimewa pecah. Kamil Ihsan yang tidak pernah mesra dengan Qaireena menuntut jawapannya.
Antara bekas kekasih yang menyatakan cintanya tidak pernah berubah atau ketuanya yang selalu mencari salahnya menjadi pilihan Qaireena? Yang pasti tidak mudah baginya membuat keputusan malahan seseorang yang membuat keputusan untuknya tanpa pengetahuan diri sendiri.
Sudut pandang Kak Chik:
Naskhah ini berkisar kisah kekasih dirampas oleh kakak sendiri dan dilanjutkan pula dengan cadangan ‘bersalin tikar’ selepas si kakak dijemput ILAHI. Walaupun kisah kekasih lama menagih kembali cinta adalah isu-isu yang sudah terlalu biasa digarapkan dalam novel-novel Melayu tetapi karya ini tetap mendapat tempat di hati Kak Chik kerana ada beberapa isu yang memang mengusik hati malah masih lagi mengganggu ruang dalam otak Kak Chik walaupun sudah berhari-hari Kak Chik habis membacanya.
Antara yang buat Kak Chik terusik apabila ibu bapa tega mengorbankan hati dan perasaan anak yang lain demi menjunjung tinggi hati yang disayangi dari terluka seperti yang dilalukan oleh Puan Hajah Rohani dan Tuan Haji Malik. Mereka bagaikan menidakkan hati dan perasaan Qaireena demi menjaga hati Nisa dengan alasan yang pada Kak Chik terlalu remeh. Antara yang buat Kak Chik geram adalah dialog Puan Hajah Rohani ini:
“Reen jangan cakap macam tu.Ibu dan ayah mintak maaf andai selama ni Reen nampak kami macam berat sebelah. Lebihkan Kak Nisa daripada adik-beradik yang lain. Reen kena faham. Dulu, ibu pernah cerita. Hampir empat tahun kami kahwin, baru ibu Berjaya mengandungkan Kak Nisa. Bila dia lahir, dia terlalu istimewa. Segala-galanya untuk dia. Semua kemahuan dia, kami turuti sebab kami terlalu lama mengharapkan kehadiran cahaya mata. Bila dia dah beradik dan besar, kami tak tahu bagaimana nak tolak permintaan dia sebab sejak Kak Nisa lahir, dia tidak pernah kurang satu pun permintaannya. Kami harap Reen faham.” BKS – m/s 24.
Pada Kak Chik tindakan dan alasan yang diberi Puan Hajah Rohani dan Tuan Haji Malik sungguh tidak berpatutan. Adakah kehendak anak itu mesti diikuti kehendaknya sehingga anak terlalu ego dan tidak boleh menerima kenyataan apabila kehendaknya tidak tercapai sehingga dia tega melakukan sesuatu yang tidak bermoral dan tidak beretika.
Namun begitu masih ada sesuatu yang menarik untuk digali dalam karya ini tambah lagi permulaan antara Kamil Ihsan dan Qaireena Asyikin yang pada Kak Chik kisah yang biasa-biasa saja tetapi pengakhiran yang sungguh manis tambahan tindakan susulan Kamil Ihsan yang sungguh mengejutkan.
Pengakhiran yang manis.
LiFe iS a LoNG JouRNeY
-Kak Chik-
(^__^)
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment