Jul 15, 2011

Ain : Cabaran 50 Buku : (11) Cinta Dari Istana


Tajuk buku : Cinta dari Istana
Penulis : Adah Hamidah
Keluaran :Fajar Pakeer
Halaman : 632 m/s

sinopsis kulit belakang :

Melangkah lamunan membilang bahagia... Detik itu apa maknanya?

Bukan kehendaknya melangkah keluar dari istana. Tapi dia terpaksa, maka diikutkan juga langkah kaki. Lalu takdir membawanya ke pintu pagar rumah seorang rakyat biasa.

“Okey, Piya. Tapi awak tak rasa ke yang awak ni terlalu muda untuk jadi pengasuh kepada seorang budak perempuan?” Ra’if Arjuna mengasak soalan.

Pengasuh? Tatkala itu bermulalah episod penyamaran, pendustaan yang terpaksa direncanakan oleh Puteri Mahkota Nur Shaafiah demi melindungi identiti diri. Menjadi seorang pengasuh anak kecil atau lebih tepat lagi orang gaji di rumah rakyat biasa itu merupakan satu penderitaan jiwa buat sang puteri. Dia tidak tahu membezakan apa itu senduk dan sudip, jadi bagaimana dia mahu menguruskan semuanya? Mujur saja dia bijak bermain dengan situasi sehingga dia kerap kali terselamat daripada bala yang dicipta tuan rumah, Ra’if Arjuna, duda beranak satu itu.

Bila hati disapa cinta, sang puteri mula menyangkal rasa. Mana mungkin puteri raja sepertinya jatuh cinta kepada rakyat biasa. Pantas dia menolak kata hati. Namun dia tewas pada perasaan cinta dan kasih sayang yang kian bersemi. Misi menawan hati Ra’if Arjuna tidak semudah disangka. Riaknya seperti suka, namun lafaz tidak pernah bersuara membuatkan sang puteri terus-terusan cuba mentafsir hati rakyat yang kerasnya mengalahkan tembok-tembok istana.

Apakah penyudahnya? Haruskah sang puteri melupakan saja atau haruskah terus mengejar cintanya? Atau mungkinkah tiada siapa yang mampu mengubah hakikat kenyataan bahawa tempat sang puteri tetaplah di istana, bukannya di teratak rakyat biasa!

Memangkah mimpi menghitung gembira... Detik itu cinta maknanya!

ulasan ainsabrina :

kisah ini ibarat cerita dongeng, kisah percintaan puteri raja dengan rakyat biasa. Kisah Puteri Mahkota Nur Shafiah (Piya) dengan rakyat biasa bernama Raif Arjuna (Raif).

Kisah bermula di sebuah negara bernama Alamar. Piya melarikan diri dari istana Alamar apabila mengetahui dia akan dilantik menjadi pemerintah mengantikan tempat ayahandanya, Srisultan Izzudin Izlan Shah. Piya melarikan diri ke negara jiran iaitu Malaysia dengan bantuan pembantunya yang bernama Dato' Andika. Sesampainya dia di Malaysia, dia tersesat di rumah Raif Arjuna yang menyangka dia pengasuh baru anaknya, Puteri Darwisyah.

Lalu bermulalah kisah baru Puteri Mahkota Alamar sebagai rakyat biasa.

Sebagai puteri raja yang ditatang penuh di istana, ternyata Piya tidak mengetahui banyak tentang kerja dapur sehinggakan Raif berura-ura ingin memberhentikan Piya. Namun atas sokongan dan bantuan Ibu Raif, Piya masih kekal di situ. Ada alasan kenapa Ibu Raif Arjuna menyokong penuh Piya. Sebagai ibu, dia dapat merasakan ada sesuatu antara Piya dan Raif lalu dia berusaha penuh menyatukan mereka.

Di antara mereka, ada Ad, jiran Raif yang dari awal menunjukkan rasa hatinya pada Piya. Dari hanya jiran kepada Raif, tiba-tiba diketahui yang Ad adalah Putra Aduka, tunangan Piya dari kecil.

Dengan usaha dan sokongan ibu Raif, akhirnya Raif mengaku kasihnya pada Piya lalu mereka bemadu kasih. Namun kisah kasih mereka terhenti sementara, apabila rahsia piya adalah Puteri Mahkota Alamar terbongkar pada Raif. Raif rasa tertipu dan Piya terpaksa kembali ke Alamar.

Sekembalinya ke Alamar, persiapan perkahwinannya dengan Putra Aduka bermula. Walaupun hati Piya tak rela namun kerana amanah ayahanda Piya, terpaksa juga dia turutkan. Ternyata Ad kawan Piya yang memahami, akhirnya Ad mengundur diri.

Setelah mendapat restu bonda, Piya berkeputusan meminang Raif. Pelik tapi itulah yang berlaku. Puteri raja meminang rakyat biasa, seorang perempuan meminang lelaki. Namun jawapannya mengecewakan. Kecewa dan sedih, akhirnya Piya berkeputusan untuk pergi jauh meninggalkan Alamar dan Malaysia. Di saat Piya mahu melupakan Raif, Raif datang sebagai tetamu Alamar atas urusan negara. Mampukah Piya melupakan Raif di saat Raif sentiasa di depan mata?

Komen ainsabrina :

Secara jujurnya, saya rasa sesak membaca novel ini. Rasa sukar menghabiskan setiap halaman buku ini. Bagi saya, cerita ini terlalu dongeng, seakan tidak berpijak di dunia nyata. Baris-baris ayatnya agak skema memandangkan watak utama novel ini adalah puteri raja Negara Alamar yang tinggi bahasanya.

Namun ada jugak babak yang membuatkan saya rasa geli hati, lebih-lebih beberapa perkataan yang dikatakan bahasa Negara Alamar. Seperti ‘abang’ di Malaysia dipanggil ‘aduka’ di Negara Alamar, ‘terima kasih’ digantikan dengan ‘rasa kasih’ dan beberapa nama buah dan sayur yang pelik.

---
Ain Sabrina

MB : Cabaran 50 Buku : (30) Melayu Hilang Di Dunia

Judul : Melayu Hilang Di Dunia
Penulis : Khalid Salleh
Terbitan : Rentak Positif Sdn Bhd
ISBN : 978-967-10286-0-5


1. Selama ini kita dilekakan dengan kata-kata 'keramat' Takkan Melayu Hilang Di Dunia.

2. Kini Khalid Salleh mendatangkan sebuah buku terbaru tulisan beliau berjudul 'Melayu Hilang Di Dunia' untuk umat Melayu lebih membuka mata, melihat apa yang sedang berlaku terhadap bangsa kita mutakhir ini.

3. Penulis melukiskan lakaran keresahan mengenai bangsa Melayu di tanah airnya yang semakin lama, semakin dihilangkan identitinya.

4. Kehilangan identiti yang menurut buku ini berpunca daripada para pemimpin Melayu sendiri yang sudah kehilangan ketuanan Melayunya sehingga sanggup menggadai maruah dan jejak bangsa sendiri hanya demi meraih undi dari bangsa lain agar terus diberi mandat dan kuasa memerintah negara.

5. Penulis menulis dengan tidak berpihak ke arah mana-mana parti politik. Beliau lebih melihat bangsa Melayu itu seharusnya bersatu di bawah suatu permuafakatan, tidak berpecah-pecah walaupun mungkin ada saling tidak bersetuju antara mereka.

6. Buku ini juga menyentuh beberapa perkara mengenai 'siapa' yang beroleh suka di kala bangsa Melayu ini sedang leka bertelagah sesama mereka.

7. Mungkin ada beberapa bahagian di dalam buku ini yang kiranya tidak selari dengan apa yang saya fahamkan, namun ada juga di sana sini, kita sebagai pembaca, harus membenarkan apa yang dikupaskan penulisnya.

8. Isu Singapura beralih tangan, isu Tanah Melayu dihilangkan nama Melayunya diganti dengan Malaysia, isu kad pengenalan yang dikeluarkan 'bangsa' daripadanya, bersama isu-isu yang lain, telah dipertanggungjawabkan penulis sebagai satu dosa para pemimpin yang telah secara sedar atau tidak, memadamkan Melayu dari muka bumi.

9. Tidak mustahil anak-anak yang lahir 10-20 tahun kemudian tidak mengetahui mengenai bangsa Melayu, sebaliknya mereka hanya diajar mengenai 'bangsa' Malaysia.

10. Perkataan Melayu begitu sensitif untuk dibangkitkan oleh para pemimpin politik, kerana mengkhuatirkan akan 'perasaan' dan 'hati' kawan-kawan yang tidak sebangsa di dalam barisan atau pakatan mereka. Apa-apa hak Melayu yang seharusnya dibela, didiamkan oleh mereka, namun apabila 'kawan-kawan' sebarisan atau sepakatan mereka menuntut hak bangsanya, akan lekas-lekas dinyatakan persetujuannya.

11. Juga tidak mustahil kalau sedikit masa lagi buku ini diharamkan penerbitannya memandangkan hal-hal yang ditulis bakal menyakitkan perasaan mereka yang tidak sebangsa. Sentimen perkauman. Rasis.

12. Sejurus menamatkan buku ini, saya berasakan jika buku ini mampu menyedarkan bangsa Melayu untuk bersatu semula, mengapa tidak disyorkan untuk membacanya.

13. Cuma pembaca mungkin sedar akan isi dan hujah yang berulang-ulang dari awal sehingga akhir buku ini yang digunakan penulisnya. Saya kira setiap bab dalam buku ini ditulis secara berasingan, dibaca pada tempat berasingan pula, lalu dikumpul dan dijadikan buku. Mungkin kerana itu ada isinya yang sama cuma pendekatan yang sedikit beda.

14. Walau 50 setuju 50 tidak setuju dengan buku ini, tetapi saya tetap menawarkan agar dimiliki dan difahami apa yang cuba penulis, Khalid Salleh sampaikan. Kita sudah terlalu lama berpecah dek kerana haluan dan fikiran politik yang berbeda. Cukup lama sehingga kita telah terbiasa dengannya. Marilah bergerak menuju penyatuan bangsa agar Melayu tidak hilang di dunia.

15. Semoga bermanfaat.

---
Melihat Buku

Jul 13, 2011

SS: Cabaran 50 Buku : (2) Ya Allah, Aku Tak Ingin Sendiri


Tajuk buku : YA ALLAH, AKU TAK INGIN SENDIRI
Penulis : BURHAN SODIQ
Penerbit : RIJAL MEDIA
Harga : RM14.90
Halaman : 165

Apa ada dalam buku ini?

Ini bukan novel! Tapi ini buku motivasi untuk mereka yang masih sendiri, menanti kekasih hati yang tak kunjung datang menghampiri. Hmm, sounds desperate? Buku ini akan memberi satu perspektif baru bagi mereka yang dilemma memikirkan soal jodoh. Buku ini mengulas bagaimana menghadapi perjalanan hidup bersendirian atau lebih tepat lagi hidup bujang.

Buku ini mengandungi enam bab.

1. Kenapa jodoh tidak kunjung datang.
2. Ya Allah aku tak ingin sendiri
3. Pendapat para ulama
4. Ketika air mata bercucuran
5. Tetap bertahan dengan kebahagiaan
6. Penyelesaian.

Setiap bab pasti akan ada persoalan dan huraian jawapan yang diiringi dengan artikel, petikan ayat Al-Qur’an, hadis dan lakaran kartun yang berkaitan. Ada curahan hati seorang muslimah. Ada fakta. Ada petikan blog. Kesimpulannya, macam-macam ada pasal hidup bujang. Setiap yang dirujuk, ada quote nya

Ulasan :

Kebiasaannya, sebelum membeli sesebuah buku, sudah pasti saya akan mencari ulasan mengenai buku tersebut. Melalui ulasan yang saya baca, barulah saya akan membuat keputusan sama ada buku tersebut perlu menjadi koleksi peribadi saya atau tidak.

Tapi untuk buku ini tidak seperti kebiasaannya. Saya berlegar-legar di kedai buku, tertarik dengan tajuk buku dan ayat-ayat yang ada di kulit buku menyebabkan saya ringan melangkah ke kaunter pembayaran. Keluar sahaja dari kedai buku, saya telah mencari tempat yang sesuai untuk memulakan pembacaan.

Helaian awal dari kalam penerbit, saya tertarik dengan ayat yang penuh rendah dirinya, “Mungkin lembaran buku yang dipersembahkan tidak mampu mengungkapkan kesempurnaan ilmu yang amat luas ruang lingkupnya, tetapi sekurang-kurangnya ia menjadi sebahagian daripada ruang untuk pembaca mencapai kesempurnaan tersebut.”

Selesai pembacaan, saya dapati penulis berjaya mengupas persoalan yang sentiasa bermain difikiran seseorang yang masih bujang. Situasi-situasi yang diceritakan di dalam buku ini adalah perkara yang sering diperkatakan mengenai orang bujang seperti persaingan sengit mencari jodoh, mahar kahwin, poligami, memilih, rasa rendah diri dan banyak lagi. Cerita, fakta, ayat Al-Qur’an dan hadis disusun dengan baik dan berkaitan antara satu sama lain.


Petikan ayat yang saya suka:

Terlalu banyak ayat di dalam buku ini yang saya suka. Tapi satu yang ingin saya kongsikan;

Bila akan berkahwin?

Kenapa kita tidak jawab dengan tersenyum dan berkata “ Perkahwinan adalah keinginan setiap orang. Soal bila kita akan berkahwin sudah ditentukan oleh Allah. Jadi jika pertanyaannya adalah bila, maka jawapan pastinya ada pada Allah. Kita boleh saja merencana dan membuat sasaran hidup, tapi Allah yang menentukan. Allah Maha tahu bila seseorang akan menjadi pengantin, dan mendapatkan jodoh disisinya.”

Saranan:

Untuk sahabat-sahabat di luar sana yang masih mencari teman hidup, jangan mudah putus asa. Ini juga ujian dari Allah. Buku ini akan membantu anda memotivasikan diri untuk menjalani hidup bujang dengan lebih bermakna. Jangan mempersiakan setiap usia yang kita ada di muka bumi ini untuk meratapi kesunyian dan kesepian hati. Bersyukurlah dengan setiap nikmat yang telah kita nikmati sehingga ke hari ini.

“Usahlah diri mu bersedih lalu menangis di penghujung malam kerana tidak kunjung usai memikirkan siapa kiranya pasangan jiwa. Menangislah kerana air mata permohonan kepada-Nya di setiap sujud dan keheningan pekat malam” ~m.s 114.

Jul 12, 2011

A&N : Cabaran 50 Buku: (25) Mungkin Nanti

Mungkin Nanti…
Anita Aruszi

ISBN: 9789673650514
Penerbit: Fajar Pakeer Sdn Bhd
Tarikh Terbit: Cetakan 1 - 2011
Halaman: ~ 645
Harga: RM 22.90

~ Rasaku… ~

Aku sempat membaca beberapa episod online [tajuk asal karya online: Blue Sunset] sebelum ia dibukukan. Waktu itu aku dah tertarik dengan kisah heroin yang ditampilkan. Aqila Murni [Aqi] mempunyai masalah colourblindness, sesuatu yang baru aku kira sebab selalunya kita dihidangkan dengan kisah heroin cantik, manis, sempurna serba-serbi.

Aqi dibesarkan oleh ibunya sendiri tanpa kehadiran lelaki bergelar ayah. Ibunya diceraikan ketika Aqi masih di dalam kandungan. Dunia Aqi tidak seindah orang lain kerana masalah buta warnanya itu. Namun Aqi tak pernah menyesali semua itu, memadai buatnya dengan kehadiran ibu yang begitu menyayanginya. Namun semuanya berubah apabila Aqi bertemu Nadzihar Hakim [Zahar]. Memandang Zahar ada rasa indah yang bertandang. Aqil melihat Zahar lain daripada yang lain kerana Zahar ada pelbagai 'warna'.

Namun Zahar tidak pernah menyukai Aqi kerana dia amat membenci wanita lantaran masa silamnya yang begitu menyakitkan. Luka di hatinya begitu dalam kerana ibunya membuangnya dan mengikut lelaki lain. Tetapi takdir menentukan sesuatu yang berbeza buat Zahar. Dalam rasa benci, dia mula menyenangi kehadiran Aqi dan mula menyayangi gadis comel itu.

Seperti novel terdahulu, penulis akan membina watak-wataknya mempunyai kaitan masa silam di antara satu sama lain. Dan dalam MN, kaitan antara Aqi dan Zahar begitu memeritkan. Aqi adalah anak kepada lelaki penyebab derita yang ditanggung Zahar selama ini. Walaupun mungkin Aqi bisa memaafkan ayah dan ibu tiri yang merampas kebahagiaan dia dan ibunya, tetapi bagaimana dengan Zahar? Lantas adakah peluang untuk mereka berdua dalam memeterai janji cinta setia?

Watak Sri Jalena; ibu Zahar berjaya dibangunkan dengan baik. Aku tidak dapat menolak rasa menyampah bila Sri Jalena kononnya bertindak sebagai seorang ibu yang memahami. Berlagak pandai dengan meminta Aqi meninggalkan Zahar kerana bimbangkan Zahar terluka apabila mengetahui siapa sebenarnya ayah Aqi. Agaknya dia terlupa siapa yang memahat luka di hati Zahar sebelum ini hingga Zahar jadi begitu membenci wanita.

Secara peribadi aku memang suka dengan novel garapan Anita Aruszi. Tema kekeluargaan kebanyakannya mengisi ruang hampir kesemua isi novelnya, bukan hanya sekadar cinta hero dan heroin saja. Malah penulis yang kreatif ini selalunya berjaya mencipta 'sesuatu' di setiap hasil karyanya [ini apa yang aku rasa :D].

Happy reading (^-<)
---
Airina

Amal : Cabaran 50 Buku : (9) Sayang Kakak

Tajuk Buku : Sayang Kakak
Penulis : Aqmaer Halim
Terbitan : Karnadya
Muka Surat : 144


Ulasan

Buku “Sayang Kakak” karangan Aqmaer Halim ini pasti menyentuh hati sesiapa sahaja yang membacanya. Buku terbitan Karnadya ini memberi maksud yang amat mendalam. Pada pendapat saya, buku ini memberi kesan yang mendalam buat saya. Buku ini mengenai kasih sayang antara adik beradik. Bergaduh, adalah perkataan yang biasa buat adik-beradik. Tetapi, tidak sampai 30 minit, sudah berbaik semula. Bak kata pepatah, Air dicincang tak akan putus. “Sayang Kakak” ini mempunyai banyak pengajaran dan peringatan yang boleh membuatkan pembaca menghargai saudara-mara terutamanya adik-beradik.

Akhir sekali, sesiapa yang mempunyai kakak dan selalu bergaduh, belilah buku ini. “Kita selalu tidak sedar apa yang kita ada, sehinggalah apa yang kita ada pergi meninggalkan kita”. “Hargailah mereka yang sentiasa di sekeliling kita selagi mereka ada bersama kita”.


Petikan Pilihan

Orang kata, “kita tidak akan sedar dengan apa yang kita ada. Kita sering lupa bersyukur dengan apa yang kita miliki. Kita selalu menyakiti hati orang yang kita sayangi. Setelah apa yang kita miliki itu tiada, barulah kita nak sedar. Setelah sedar, barulah kita nak bersyukur. Barulah kita rasa tak ingin lagi menyakiti hati orang yang kita sayang. Barulah kita sedar, apa yang kita ada amat bernilai. Tapi, kadang-kadang, pada masa itu, semuanya sudah terlambat.


Sinopsis Belakang Buku

Benarkah kata pepatah "Air dicincang tak akan putus?" Benar, kata-kata ini tidak pernah salah.

Kebenarannya terserlah dalam kemesraan perhubungan Angah dan Along, dua beradik yang sudah kematian ayah.

Namun, kenapa Angah tiba-tiba berubah menjadi amat benci dan meluat dengan Along. Salahkah Along kalau kebaikannya disukai semua orang?

Apakah sebab sebenar Angah menjadi begitu? Adakah semata-mata kerana cemburu? Atau adakah disebabkan oeh seorang kawan lelaki sekampungnya. iaitu Matmi? Atau disebabkan apa...

Namun, segala-galanya berubah apabila terjadinya sesuatu yang tidak pernah disangka-sangka oleh Angah. Berbaloikah harga sebuah keinsafan dengan apa yang telah berlaku itu?

---
Nur Amalina