Penulis : Khalid Salleh
Terbitan : Rentak Positif Sdn Bhd
ISBN : 978-967-10286-0-5
1. Selama ini kita dilekakan dengan kata-kata 'keramat' Takkan Melayu Hilang Di Dunia.
2. Kini Khalid Salleh mendatangkan sebuah buku terbaru tulisan beliau berjudul 'Melayu Hilang Di Dunia' untuk umat Melayu lebih membuka mata, melihat apa yang sedang berlaku terhadap bangsa kita mutakhir ini.
3. Penulis melukiskan lakaran keresahan mengenai bangsa Melayu di tanah airnya yang semakin lama, semakin dihilangkan identitinya.
4. Kehilangan identiti yang menurut buku ini berpunca daripada para pemimpin Melayu sendiri yang sudah kehilangan ketuanan Melayunya sehingga sanggup menggadai maruah dan jejak bangsa sendiri hanya demi meraih undi dari bangsa lain agar terus diberi mandat dan kuasa memerintah negara.
5. Penulis menulis dengan tidak berpihak ke arah mana-mana parti politik. Beliau lebih melihat bangsa Melayu itu seharusnya bersatu di bawah suatu permuafakatan, tidak berpecah-pecah walaupun mungkin ada saling tidak bersetuju antara mereka.
6. Buku ini juga menyentuh beberapa perkara mengenai 'siapa' yang beroleh suka di kala bangsa Melayu ini sedang leka bertelagah sesama mereka.
7. Mungkin ada beberapa bahagian di dalam buku ini yang kiranya tidak selari dengan apa yang saya fahamkan, namun ada juga di sana sini, kita sebagai pembaca, harus membenarkan apa yang dikupaskan penulisnya.
8. Isu Singapura beralih tangan, isu Tanah Melayu dihilangkan nama Melayunya diganti dengan Malaysia, isu kad pengenalan yang dikeluarkan 'bangsa' daripadanya, bersama isu-isu yang lain, telah dipertanggungjawabkan penulis sebagai satu dosa para pemimpin yang telah secara sedar atau tidak, memadamkan Melayu dari muka bumi.
9. Tidak mustahil anak-anak yang lahir 10-20 tahun kemudian tidak mengetahui mengenai bangsa Melayu, sebaliknya mereka hanya diajar mengenai 'bangsa' Malaysia.
10. Perkataan Melayu begitu sensitif untuk dibangkitkan oleh para pemimpin politik, kerana mengkhuatirkan akan 'perasaan' dan 'hati' kawan-kawan yang tidak sebangsa di dalam barisan atau pakatan mereka. Apa-apa hak Melayu yang seharusnya dibela, didiamkan oleh mereka, namun apabila 'kawan-kawan' sebarisan atau sepakatan mereka menuntut hak bangsanya, akan lekas-lekas dinyatakan persetujuannya.
11. Juga tidak mustahil kalau sedikit masa lagi buku ini diharamkan penerbitannya memandangkan hal-hal yang ditulis bakal menyakitkan perasaan mereka yang tidak sebangsa. Sentimen perkauman. Rasis.
12. Sejurus menamatkan buku ini, saya berasakan jika buku ini mampu menyedarkan bangsa Melayu untuk bersatu semula, mengapa tidak disyorkan untuk membacanya.
13. Cuma pembaca mungkin sedar akan isi dan hujah yang berulang-ulang dari awal sehingga akhir buku ini yang digunakan penulisnya. Saya kira setiap bab dalam buku ini ditulis secara berasingan, dibaca pada tempat berasingan pula, lalu dikumpul dan dijadikan buku. Mungkin kerana itu ada isinya yang sama cuma pendekatan yang sedikit beda.
14. Walau 50 setuju 50 tidak setuju dengan buku ini, tetapi saya tetap menawarkan agar dimiliki dan difahami apa yang cuba penulis, Khalid Salleh sampaikan. Kita sudah terlalu lama berpecah dek kerana haluan dan fikiran politik yang berbeda. Cukup lama sehingga kita telah terbiasa dengannya. Marilah bergerak menuju penyatuan bangsa agar Melayu tidak hilang di dunia.
15. Semoga bermanfaat.
---
Melihat Buku
0 comments:
Post a Comment