Jul 12, 2011

A&N : Cabaran 50 Buku: (25) Mungkin Nanti

Mungkin Nanti…
Anita Aruszi

ISBN: 9789673650514
Penerbit: Fajar Pakeer Sdn Bhd
Tarikh Terbit: Cetakan 1 - 2011
Halaman: ~ 645
Harga: RM 22.90

~ Rasaku… ~

Aku sempat membaca beberapa episod online [tajuk asal karya online: Blue Sunset] sebelum ia dibukukan. Waktu itu aku dah tertarik dengan kisah heroin yang ditampilkan. Aqila Murni [Aqi] mempunyai masalah colourblindness, sesuatu yang baru aku kira sebab selalunya kita dihidangkan dengan kisah heroin cantik, manis, sempurna serba-serbi.

Aqi dibesarkan oleh ibunya sendiri tanpa kehadiran lelaki bergelar ayah. Ibunya diceraikan ketika Aqi masih di dalam kandungan. Dunia Aqi tidak seindah orang lain kerana masalah buta warnanya itu. Namun Aqi tak pernah menyesali semua itu, memadai buatnya dengan kehadiran ibu yang begitu menyayanginya. Namun semuanya berubah apabila Aqi bertemu Nadzihar Hakim [Zahar]. Memandang Zahar ada rasa indah yang bertandang. Aqil melihat Zahar lain daripada yang lain kerana Zahar ada pelbagai 'warna'.

Namun Zahar tidak pernah menyukai Aqi kerana dia amat membenci wanita lantaran masa silamnya yang begitu menyakitkan. Luka di hatinya begitu dalam kerana ibunya membuangnya dan mengikut lelaki lain. Tetapi takdir menentukan sesuatu yang berbeza buat Zahar. Dalam rasa benci, dia mula menyenangi kehadiran Aqi dan mula menyayangi gadis comel itu.

Seperti novel terdahulu, penulis akan membina watak-wataknya mempunyai kaitan masa silam di antara satu sama lain. Dan dalam MN, kaitan antara Aqi dan Zahar begitu memeritkan. Aqi adalah anak kepada lelaki penyebab derita yang ditanggung Zahar selama ini. Walaupun mungkin Aqi bisa memaafkan ayah dan ibu tiri yang merampas kebahagiaan dia dan ibunya, tetapi bagaimana dengan Zahar? Lantas adakah peluang untuk mereka berdua dalam memeterai janji cinta setia?

Watak Sri Jalena; ibu Zahar berjaya dibangunkan dengan baik. Aku tidak dapat menolak rasa menyampah bila Sri Jalena kononnya bertindak sebagai seorang ibu yang memahami. Berlagak pandai dengan meminta Aqi meninggalkan Zahar kerana bimbangkan Zahar terluka apabila mengetahui siapa sebenarnya ayah Aqi. Agaknya dia terlupa siapa yang memahat luka di hati Zahar sebelum ini hingga Zahar jadi begitu membenci wanita.

Secara peribadi aku memang suka dengan novel garapan Anita Aruszi. Tema kekeluargaan kebanyakannya mengisi ruang hampir kesemua isi novelnya, bukan hanya sekadar cinta hero dan heroin saja. Malah penulis yang kreatif ini selalunya berjaya mencipta 'sesuatu' di setiap hasil karyanya [ini apa yang aku rasa :D].

Happy reading (^-<)
---
Airina

0 comments: