Jul 15, 2011
Ain : Cabaran 50 Buku : (11) Cinta Dari Istana
Tajuk buku : Cinta dari Istana
Penulis : Adah Hamidah
Keluaran :Fajar Pakeer
Halaman : 632 m/s
sinopsis kulit belakang :
Melangkah lamunan membilang bahagia... Detik itu apa maknanya?
Bukan kehendaknya melangkah keluar dari istana. Tapi dia terpaksa, maka diikutkan juga langkah kaki. Lalu takdir membawanya ke pintu pagar rumah seorang rakyat biasa.
“Okey, Piya. Tapi awak tak rasa ke yang awak ni terlalu muda untuk jadi pengasuh kepada seorang budak perempuan?” Ra’if Arjuna mengasak soalan.
Pengasuh? Tatkala itu bermulalah episod penyamaran, pendustaan yang terpaksa direncanakan oleh Puteri Mahkota Nur Shaafiah demi melindungi identiti diri. Menjadi seorang pengasuh anak kecil atau lebih tepat lagi orang gaji di rumah rakyat biasa itu merupakan satu penderitaan jiwa buat sang puteri. Dia tidak tahu membezakan apa itu senduk dan sudip, jadi bagaimana dia mahu menguruskan semuanya? Mujur saja dia bijak bermain dengan situasi sehingga dia kerap kali terselamat daripada bala yang dicipta tuan rumah, Ra’if Arjuna, duda beranak satu itu.
Bila hati disapa cinta, sang puteri mula menyangkal rasa. Mana mungkin puteri raja sepertinya jatuh cinta kepada rakyat biasa. Pantas dia menolak kata hati. Namun dia tewas pada perasaan cinta dan kasih sayang yang kian bersemi. Misi menawan hati Ra’if Arjuna tidak semudah disangka. Riaknya seperti suka, namun lafaz tidak pernah bersuara membuatkan sang puteri terus-terusan cuba mentafsir hati rakyat yang kerasnya mengalahkan tembok-tembok istana.
Apakah penyudahnya? Haruskah sang puteri melupakan saja atau haruskah terus mengejar cintanya? Atau mungkinkah tiada siapa yang mampu mengubah hakikat kenyataan bahawa tempat sang puteri tetaplah di istana, bukannya di teratak rakyat biasa!
Memangkah mimpi menghitung gembira... Detik itu cinta maknanya!
ulasan ainsabrina :
kisah ini ibarat cerita dongeng, kisah percintaan puteri raja dengan rakyat biasa. Kisah Puteri Mahkota Nur Shafiah (Piya) dengan rakyat biasa bernama Raif Arjuna (Raif).
Kisah bermula di sebuah negara bernama Alamar. Piya melarikan diri dari istana Alamar apabila mengetahui dia akan dilantik menjadi pemerintah mengantikan tempat ayahandanya, Srisultan Izzudin Izlan Shah. Piya melarikan diri ke negara jiran iaitu Malaysia dengan bantuan pembantunya yang bernama Dato' Andika. Sesampainya dia di Malaysia, dia tersesat di rumah Raif Arjuna yang menyangka dia pengasuh baru anaknya, Puteri Darwisyah.
Lalu bermulalah kisah baru Puteri Mahkota Alamar sebagai rakyat biasa.
Sebagai puteri raja yang ditatang penuh di istana, ternyata Piya tidak mengetahui banyak tentang kerja dapur sehinggakan Raif berura-ura ingin memberhentikan Piya. Namun atas sokongan dan bantuan Ibu Raif, Piya masih kekal di situ. Ada alasan kenapa Ibu Raif Arjuna menyokong penuh Piya. Sebagai ibu, dia dapat merasakan ada sesuatu antara Piya dan Raif lalu dia berusaha penuh menyatukan mereka.
Di antara mereka, ada Ad, jiran Raif yang dari awal menunjukkan rasa hatinya pada Piya. Dari hanya jiran kepada Raif, tiba-tiba diketahui yang Ad adalah Putra Aduka, tunangan Piya dari kecil.
Dengan usaha dan sokongan ibu Raif, akhirnya Raif mengaku kasihnya pada Piya lalu mereka bemadu kasih. Namun kisah kasih mereka terhenti sementara, apabila rahsia piya adalah Puteri Mahkota Alamar terbongkar pada Raif. Raif rasa tertipu dan Piya terpaksa kembali ke Alamar.
Sekembalinya ke Alamar, persiapan perkahwinannya dengan Putra Aduka bermula. Walaupun hati Piya tak rela namun kerana amanah ayahanda Piya, terpaksa juga dia turutkan. Ternyata Ad kawan Piya yang memahami, akhirnya Ad mengundur diri.
Setelah mendapat restu bonda, Piya berkeputusan meminang Raif. Pelik tapi itulah yang berlaku. Puteri raja meminang rakyat biasa, seorang perempuan meminang lelaki. Namun jawapannya mengecewakan. Kecewa dan sedih, akhirnya Piya berkeputusan untuk pergi jauh meninggalkan Alamar dan Malaysia. Di saat Piya mahu melupakan Raif, Raif datang sebagai tetamu Alamar atas urusan negara. Mampukah Piya melupakan Raif di saat Raif sentiasa di depan mata?
Komen ainsabrina :
Secara jujurnya, saya rasa sesak membaca novel ini. Rasa sukar menghabiskan setiap halaman buku ini. Bagi saya, cerita ini terlalu dongeng, seakan tidak berpijak di dunia nyata. Baris-baris ayatnya agak skema memandangkan watak utama novel ini adalah puteri raja Negara Alamar yang tinggi bahasanya.
Namun ada jugak babak yang membuatkan saya rasa geli hati, lebih-lebih beberapa perkataan yang dikatakan bahasa Negara Alamar. Seperti ‘abang’ di Malaysia dipanggil ‘aduka’ di Negara Alamar, ‘terima kasih’ digantikan dengan ‘rasa kasih’ dan beberapa nama buah dan sayur yang pelik.
---
Ain Sabrina
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment