Oct 6, 2011

R: Cabaran 50 Buku (66) Bila Cinta


Bila Cinta
Penulis : Suria Fatin
Terbitan Kaki Novel Enterprise
Editor: Jabatan Editorial KNE
cetakan pertama Ogos 2011
307 mukasurat
RM17.00
Sabah/Sarawak: RM20.00


"Apabila pandang bertukar sayang... siang terbayang malam termimpi, bila ingatan sering terbayang, cinta kan membara sehangat api."


secara keseluruhan terasa seperti membaca kisah cerita kahwin paksa atau kisah cinta selepas kahwin dalam versi pandangan orang lain pula. Mungkin kerjaya dan background tempat saja berbeza. Cuma uniknya heroin tu seorang pereka fesyen, pemilik butik yang sangat minat dengan komik :) Malah komik-komik itulah menjadi pencetus idea kreatifnya dalam menghasilkan ciptaan untuk butiknya.


Kronologi cerita ini ada susunannya tetapi kurang impak dalam penyampaian. Terasa penceritaan terlalu biasa-biasa sehingga tak terkesan klimaks ceritanya di mana. Hafez dan Fatin kelihatan lebih serasi sebagai kawan dan agak janggal sebagai suami isteri. Rasanya cerita ini perlu banyak diperkemaskan dan diedit sebelum diterbitkan supaya impak cerita lebih terasa untuk menyerlahkan kekuatan sebenar cerita. Penulis mempunyai koleksi dialog segar yang menarik tetapi jalinan cerita membuatkan dialog-dialog ini tidak menyerlah.


Kisah ini tentang Fatin seorang gadis berpewatakan comel. Dia hampir-hampir menerima cinta Azlan tetapi dipaksa menerima Hafez sebagai suami. Ibu Fatin memang sudah lama kenal dengan Hafez dan keluarganya. Fatin pun sering cemburu dengan perhatian ibunya terhadap Hafez. Masa zaman sekolah dahulu dia memang ada menyimpan perasaan pada Hafez, namun setelah dewasa dan memiliki perniagaan sendiri, dia membuka hatinya untuk orang lain. Namun Hafez yang ditinggalkan Marni mengundang simpati ibu Fatin kerana bimbang Hafez akan terus menjauhkan diri dari perempuan kerana kecewa tambahan pula ibu kandungnya dulu meninggalkannya kepada nenek dan nenek tidak mampu menjaga dua cucu, lalu diserahkan kepada keluarga angkat.


Kisah ini menumpukan kepada perjalanan hidup Fatin dan Hafez yang membawa kepada berseminya cinta antara mereka. Paling aku tak boleh lupa adalah nama watak antagonis citer ini iaitu Marni. Nama penuh dia Marnieva. Kalau tersilap sebut adala bunyi dekat-dekat seperti nama kedai buku yang aku selalu jugak pegi :)


Konflik sebenar baru bermula ketika mereka mula meluahkan perasaan antara satu sama lain.Cinta mereka mula diuji. Marni mengalami kemalangan yang meragut daya ingatannya. Entah mengapa dia menganggap Hafez adalah suaminya Namun Fatin dan Hafez sangat yakin yang segala-gala ini akan berakhir apabila Marni ingat semula.


Terasa cerita ini ditamatkan sebelum waktunya. Seperti ada lagi yang perlu diceritakan.


sure fine whatever
Rinn


Kebetulan pula Azlan dan Hafez adalah adik beradik kandung.





blurb/sinopsis belakang buku


Fatin;


Hidup cukup indah kalau kita bijak menghias pandangan kita. Ahli sihir? Huh, mamat tu? Entah la. Cinta??? Hmmm... aku pernah dengarla orang kata, kalau kita suka dekat seseorang itu... luahkan! Kalau tidak... kita mungkin akan terlepas. Tapikan, macam mana kalau kena tolak? Tolong la... walaupun tak pernah kena, tapi dengar pun dah cukup menyeramkan! Atas sebab tu aku rasa cukup gembira menerima kata cinta Azlan.


(Wahai ahli sihir dunia kegelapan! Cintakah aku pada kau? Kalau betul, bila?)


Hafez Azfar;


Bukan cinta tak pernah memahat. Malah serik pernah terpaku. Tapi kenapa la dengan budak seorg ni kata cinta seperti hilang sebutan? Dia yg tak ubah seperti kafein! Tapi tula... macam aku pernah cakap, mungkin masa bertingkah dan takdir di tempat lain. Maafkan Hafez, Azlan... Fatin, kalau benar aku menjadi penghalang.


(Aku telah jatuh cinta padamu, Fatin. Tapi tolong jangan tanya sejak Bila. Aku sendiri tak pasti.)


Haikal Azlan;


Perempuan? Cinta? Aku langsung tak dapat terima definisi yang mereka semua bagi. Maaf mungkin aku sukar untuk terima. Tapi cukup la perit jalan yg aku tempuh semua sebab dia. Dia yang sepatutnya melindung bukan melepaskan. Tapi aku dah jumpa seseorang secara tidak sedar mengalih persepsi aku. Fatin, terima kasih. Tapi mungkin ke aku yg terlewat atau semuanya memang langsung tak bermula?


(Bila semua ini akan tamat? Ataupun semua ini adalah satu tanda cinta baru bermula?)

Aimie:Cabaran 50 Buku: (65) Nota Cinta Buatmu

Penulis: Norhayati Berahim
Penerbit: Alaf 21 Sdn Bhd
ISBN983-124-151-7
Harga: RM17.00
M/S: 418
Cetakan 1-3 - 2004

Ketuklah pintu hatiku dan aku sedia membukanya

Blurb:

Perpisahan…terlalu sukar rasanya membuat keputusan. Namun kerana harga diri, kerana kasih saying, Johanna rela berkorban. Biarlah dirawat hati yang luka, biarlah dilalui hari-hari mendatang tanpa suami di sisi. Pergilah Dihrran, carilah kebahagiaan, carilah kasih saying yang kau perlukan.

Hidup siapa yang menduga, Johanna dipertemukan dengan Graham. Lelaki yang tidak percaya kewujudan agama dan Tuhan. Namun, lelaki itu lelaki istimewa, lelaki yang sering mengerti, lelaki yang cepat memahami. Hati yang luka diubati, jiwa yang kosong kini terisi.

Kalutnya rasa bila cinta dating kali kedua, perlukah diusir atau perlukah dibiarkan menghuni dalam hati. Cuma ketika cinta dating semula, Dihrran yang pernah membuangnya dahulu dating menagih hati, menagih simpati!

Hatinya sudah nekad, apa yang berlaku, biarlah berlalu. Dihrran perlu diajar menghargai, untuk menghormati. Dia bukan wanita yang mudah dibuang dan diambil kembali.

Ahh…cerita luka… duka dan cinta ini perlu ada kesudahannya!

Kak Chik menukil:

Sakitnya hati apabila suami sendiri sanggup menjatuhkan maruah diri pada wanita lain yang dinikahi tanpa pengetahuannya. Luka Johanna bukan mudah untuk diubati Dihrran lagi apatah lagi suami yang dinikahi kerana cinta itu sanggup mencemuh dirinya ketika dia masih bergelar isteri sedangkan selayaknya dia dilindungi. Johanna tekad dilepaskan walaupun dia tahu tidak mudah untuk meningkah arus bergelar ibu tunggal saat diri masih muda. Kenapa derita yang menimpa umi kini menimpanya pula? Tiada langsungkah kebaikannya pada suami sehingga begitu hina dia dijatuhkan? Lalu dia mesti kuat untuk bangun sendiri tanpa lelaki bernama suami di sisi kerana untuk pada suami kalau hanya melukakan hati.

Dia lelaki yang berjaya tetapi dia tidak pernah mempercayai agama dan Tuhan. Hidupnya berlangsung kerana kelangsungan hidup. Pertemuan dengan jiran sebelah rumah selepas berpindah ke Kuala Lumpur memberi sinar yang selama ini tidak pernah dicari. Dia senang dengan kehadiran wanita itu dan anaknya yang penuh sopan dan tertib.

Bagaimana seorang wanita yang lemah pada zahirnya mampu berdiri sendiri dengan perniagaan sendiri dan pada masa yang sama mampu mendidik anak menjadi seorang yang begitu penuh tata tertib. Tetapi pada saat hati sudah pasti dengan kemahuan hati ada halangan yang merentangi. Apakah pemergiannya ke bumi Bandung buat selama selepas dititip nota cinta buat insan yang berjaya mendiami hati?

Apakah keputusan yang dibuat Johanna untuk membuka pinta hati buat kali kedua tepat dengan pilihan insan yang mampu melindunginya dan Aiman? Apakah perlu dia memberi peluang kali kedua buat Dihrran yang kerap kali merayu menagih cintanya kembali?

Sudut pandang Kak Chik:

Memang sakit hati sangat pada Dihrran bila menghayati kisah ini. Isteri mana yang tidak terluka dan sakit hati apabila lelaki yang bertahun bergelar suami sanggup menduakan diri tanpa diketahui tambah lagi direndahkan maruah dan dicemuh depan madu dan orang lain. Memang patut sangat apabila Johanna memutuskan untuk berpisah dengan Dihrran kerana rasa hormat pada Dihrran sudah tinggal sifar. Sifat bertolak ansur Johanna selama ini langsung tidak dihargai malah sikap Dihrran yang tidak pernah menggalas tanggungjawab sebagai ketua keluarga juga menjadikan Dihrran senang-senang memburuk-burukkan Johanna. Mungkin silap Johanna juga kerana selama hidupa berumahtangga dia tidak pernah bertegas tentang perkara tersebut di samping Dihrran saudara baru yang perlu diberi peringatan.

Tetapi lelaki kadang kala memang mudah terleka apatah lagi kalau yang ditemui wanita pada hemah mereka lebih segalanya daripada isteri sendiri. Namun Dihrran tersilap tingkah kerana Nora bukanlah sebaik Johanna. Isteri barunya seorang yang suka membentak sehingga selalu menengkingnya. Ini menyebabkan Dihrran selalu melarikan diri daripada berada di rumah dan menyebabkan Nora sakit hati. Manusia memanselalu begitu, apabila sudah terlanjur barulah menyesal. Sikap Dihrran yang suka mereka-reka cerita tentangnya dan Johanna kepada Nora makin menyemarakkan rasa dengki dan sakit hati Nora terhadap Johanna.

Selain itu sikap Johanna yang sentiasa positif dan berdikari selepas peristiwa sedih itu patut menjadi contoh. Dia bernasib baik kerana sejak awal lagi dia tidak bergantung kepada Dihrran. Walaupun Dihrran tidak pernah menyokong dia untuk berniaga sendiri, dia tetap teguh untuk menggapai cita. Sifat dan tertib kelakuan Johanna kepada ibu bapa Dihrran juga merupakan contoh yang perlu dititikberatkan untuk mengelak tanggapan buruk terhadap penganut agama Islam.

Syukur akhirnya Graham mendapat sinar cahaya agama yang selama ini dia tidak pernah percaya kepada agama dan Tuhan. Cuma mungkin cara dan bagaimana Graham mendapat cahaya keimanan itu tidak begitu diserlahkan dalam karya ini.

Sesuatu yang perlu dihayati ialah jangan sesekali pergolakan atau masalah rumahtangga ibu bapa menjadi penyebab kepada kemurungan dan derita jiwa anak. Dan dalam karya ini, Aiman diwatakkan anak yang tidak banyak karenah kerana dia bagaikan mengerti ketiadaan papanya. Jadi dia sudah mampu menerima perkara-perkara yang terjadi di sekelilinya apatah lagi pengganti papanya lelaki yang lebih mengerti.

LiFe iS a LoNG JouRNeY
-Kak Chik-
(^__^)

Aimie:Cabaran 50 Buku: (64) CHINTA

Penulis: Norhayati Berahim
Penerbit: NB Kara Sdn Bhd
ISBN978-967-5229-02-2
Harga: RM24.90 / RM27.90
M/S: 728
Cetakan 1 - Disember 2008
Cetakan 2 – Februari 2009


Rahsia itu dipendamnya sehingga menyakitkan dirinya sendiri

Blurb:

Zahirnya dia lelaki yang sempurna, ada gaya ada harta. Sedangkan tiada sesiapa yang tahu, dia sebenarnya sedang menderita. Derita jiwa yang menghantui bertahun lalu lama. Kerana angkara si emak, lelaki yang bernama Raja Akid itu tidak pernah percaya pada cinta. Bahkan dendam yang berladung di hati tidak pernah dapat diusir dari diri. Dan sampai suatu saat, gadis yang bernama Chinta itu hadir. Raja Akid terperangkap antara kasihnya terhadap Chinta dan bencinya pada wanita.

Beranikah dia menghuraikan segala rahsia yang disimpan? Dapatkah dimiliki kasih Chinta? Sebenarnya… hanya Raja Akid sahaja yang boleh menjawabnya…

Kak Chik menukil:

Chinta anak yang lahir dari pernikahan yang tidak direstui keluarga. Tragisnya hidup Chinta kerana dia ditinggalkan pula pada orang yang menghalang pernikahan ibu bapanya. Namun Chinta tidak pernah tahu bahawa yang menjaga dan merawatnya sedari kecil bukan orang tuanya. Chinta sering tertanya-tanya mengapa lelaki yang bernama Kamal yang dipanggil ayah itu tidak pernah senang dengannya, tidak pernah bermanis mulut dan muka dengannya malah dia dilayan dengan zalim sekali sehingga si ayah sanggup memukulnya sehingga dia hampir putus nyawa. Tetapi kenapa dia diberi nama CHINTA sedangkan dia tidak pernah mendapat pengiktirafan itu dari ayah dan abangnya, Rodin selain Makcik Molek yang terus-terusan membela dan menyokongnya. Apakah rahsia yang disembunyi dari Chinta sehingga si ayah sanggup membuat pengakuan yang si ayah tidak akan pernah memaafkan Rodin, anak kesayangannya?

Raja Akid ada segalanya, ada rupa dan ada harta. Dia lelaki metrosexual yang tampan dan mampu memiliki segalanya. Pada zahirnya dia tampak gagah dan lengkap untuk menawan sesiapa sahaj yang mahi dimiliki. Tetapi tiada sesiapa yang tahu selama ini, sejak bertahun-tahun lalu dia sudah terlalu parah dengan dendam terhadap emak sendiri. Raja Akid hilang kepercayaan terhadap cinta dan hilang hormat serta benci pada wanita yang melahirkannya sekaligus memerangkapnya dalam mimpi ngeri yang sukar dibuang. Dia membenci wanita kerana perbuatan si emak dan dia hilang daya sebagai lelaki kerana jijik perlakuan si emak. Mampukah Raja Akid bangkit melawan igauan ngeri tersebut saat melayari bahtera cinta yang dibina?

Sudut pandang Kak Chik:

Dah bertahun rasanya Kak Chik tak membaca karya NB. Ternyata karya NB sudah terlalu matang dengan bahasa yang cantik dan jalan cerita yang tersusun elok. Namun tetap mempunyai tarikan yang tersendiri kerana NB menggunakan sedikit unsur-unsur teka teki yang buat kita tertanya-tanya dan teruja untuk mengetahui penamat jalan ceritanya.

Pada Kak Chik karya penulis yang berpengalaman seperti NB lebih realistik dalam menghasilkan karya dengan isu-isu semasa yang terjadi dalam masyarakat yang diolah dan direncanakan dengan teratur dan mudah difahami oleh pembaca.

Kisah Chinta, anak yang terpaksa menerima hukuman daripada perbuatan ibu bapanya yang bernikah tanpa izin keluarga juga memang sering terjadi dalam masyarakat kita. Ditambah pula dengan sikap Pakcik Kamal yang terlalu keras melayan Chinta tetapi terlalu berlembut dan memanjakan Rodin sehingga sanggup menggadai tanah untuk menghantar Rodin belajar ke luar negara sedangkan secara tidak langsung dia sudah mendidik Rodin menjadi bongkak dan tidak bersyukur. Rodin, si anak yang disanjung-sanjung sanggup bernikah senyap-senyap ketika di luar negara dan apabila sudah bekerja masih lagi meminta duit daripada Pakck Kamal malah Rodin tidak pernah pun menghulur duit untuk orang tuanya apatah lagi bertanya khabar.

Berlainan pula dengan Chinta, anak yang dikeji dan dipukul hingga hampir putus nyawa itu tidak pernah melupakan keluarga. Chinta sentiasa berlembut dengan Pakcik Kamal walaupun dia tidak pernah lupa perbuatan si ayah terhadapnya. Chinta sentiasa berfikiran positif malah sentiasa mahu memberi yang terbaik buat mereka.

Dilema Raja Akid pula, diolah dengan dimensi yang baru. Kita sepatutnya bersyukur kerana Raja Akid diberi kesengsaraan dengan berasa jijik kepada perbuatan si emak kerana kalaulah dia terpesong arah dengan mengikut jejak si emak, pasti lagi parah permasalahan ini. Namun begitu, dari sisi lain kita juga perlu berfikir kenapa si emak sanggup melakukan perbuatan terkutuk itu (kerana dalam karya ini NB tidak membuka ruang untuk si emak untuk melorek rasanya), adakah kerana kesibukan si suami dalam menguruskan perniagaan atau kerana sudah buta dalam menilai hukum halal haram perbuatan. Walau apa pun alasannya perbuatan tersebut tetap berdosa besar dan dilaknat Allah.

Dari sudut pemikiran Kak Chik, Raja Akid terperangkap dengan penyakit tersebut kerana dia tidak pernah berkongsi adegan jijik yang dilihat dengan orang lain waima dengan Jessi teman sepermainan sejak kecil. Dia beranggapan Jessi juga tidak tahu apa-apa mengenai perbuatan jijik si emak sedangkan dia tidak pernah tahu Jessi juga pernah menjadi saksi. Selain itu, watak Raja Akid yang culas dalam menunaikan tanggungjawab sebagai umat juga mungkin menjadi sebab kenapa dia diduga sebegitu.

NB dengan cara yang halus dan teratur sudah mengjatuhkan hukuman pada watak-watak jahat dalam karya ini seperti Saiful yang curang terhadap Chinta kerana tamak harta dunia sudah ditipu oleh perempuan yang digilainya, Rodin mati kena bunuh sebab hutang bekas isterinya dengan ceti haram dan emak Raja Akid menghidap kanser.

Walaupun begitu Kak Chik masih tidak begitu jelas mengapa Suha sanggup meninggalkan Chinta sedangkan dia berkahwin dengan lelaki kaya walaupun lelaki itu juga dibuang keluarga. Ditambah lagi dia sanggup membiarkan anaknya tanpa ditanya khabar hanya semata-mata takutkan emak dan abangnya.

Karya NB masih lagi mampu menambat hati Kak Chik.

LiFe iS a LoNG JouRNeY
-Kak Chik-
(^__^)

Aimie:Cabaran 50 Buku: (63) Cinta Kontrak

Penulis: Nurul Ain Syuhada
Penerbit: Karya Seni Enterprise
ISBN978-967-0246-03-1
Harga: RM20.00 / RM23.00
M/S: 586
Cetakan 2 – Julai 2011


“Bila senduk bertemu kuali, bila api bertemu sumbu bom, bila cinta bertemu tuannya.”

Sudut pandang Kak Chik:

Terpandang saja tajuk novel terus teruja nak beli dan bila dah sampai di tangan buku ni dulu yang disambar dan dibaca. Kalau karya yang kahwin paksa atau ala-ala kahwin kontrak ni macam dah kena baca la pula..He.he.he….

Gambaran kehidupan Alia Airysya diolah seolah-olah terlalu daif kehidupannya sehingga Airysya dan Along terpaksa berhenti kerja kerana kedaifan keluarga mereka. Ibunya hanya suri rumah yang terpaksa mengambil upah membasuh baju penduduk kampung manakala ayahnya nelayan. Walaupun mendapat keputusan SPM yang baik mereka terpaksa akur dengan takdir hidup. Tapi pada Kak Chik kisah ini nampak terlalu klise kerana setahu Kak Chik jika penduduk yang tinggal di pinggiran pantai kaum wanita mereka lebih kepada kerja di darat seperti membuat belacan, ikan kering atau bekerja di kilang keropok. Tak pasti pula Kak Chik pada masa kini masih ada yang terpaksa bekerja mengambil upah membasuh baju di rumah orang.

Sesuatu yang perlu kita teliti di sini karektor Airysya dibangunkan dengan karektor yang bagi Kak Chik sedikit mengelirukan di mana penulis mahu menggambarkan Airysya seorang yang kuat agama dengan gambaran luaran seperti bertudung labuh bidang 60 dan sentiasa berstoking tetapi pada masa yang sama pada Kak Chik watak dan perlakuan Airysya itu tidak seiring dengan gambaran sebagai Muslimah sejati terutama kata-kata yang dituturkan oleh gadis ini. Pada Kak Chik seorang yang berusaha untuk menjadi Muslimah sejati sudah pasti turut berusaha menjaga tingkah laku dan tutur kata tetapi pada Airysya itu bukan persoalannya.

Perkahwinan Airysya dan Muhammad Danial Fraz juga bagaikan terlalu klise hanya kerana pengakuan Danial bahawa Airysya itu kekasihnya di depan ibu bapanya sehingga Airysya tidak berusaha menolak hanya kerana mami Danial majikannya. Namun dalam diam Airysya merangka strategi untuk menggagalkan perkahwinan tersebut selepas membaca kontrak perkahwinan yang dibuat Danial tetapi dibatalkan pada saat akhir hanya kerana tidak sanggup menghancur hati Datin Airysya. Jadi kesimpulannya kontrak tu tak pernah berfungsi selepas dikoyaknya sebelum akad nikah.

Pada Kak Chik karya ini lebih kepada untuk hiburan kerana penulis bagaikan menggarap sesuatu yang berlebihan terutama kelakuan Airysya seperti melempar selipar ke belakang Airysya ketika pulang dari solat terawih dan memanggil Danial khadam di depan keluarga walaupun hanya sekadar gurauan. Kalau ikut logik akal ada tak suami yang terlalu baik seperti Danial sehingga langsung tak berusaha untuk melawan malah pada Kak Chik dia seperti dayus hanya membiarkan si isteri terleka dengan sikap dan kelakuan yang sukar diterima akal.

Selain itu Kak Chik tertanya-tanya juga kenapa Airysya masih tetap bertudung ketika di dalam rumah sedangkan tiada yang menghalang dia untuk membuka tudung di depan suami dan bapa mertuanya. Pada Kak Chik alasan yang digunakan kerana dia malu untuk membuka tudung di depan orang lain kerana tidak biasa adalah sesuatu yang hanya menyusahkan sedangkan ajaran agama Islam itu tidak pernah menyusahkan penganutnya.

Pada Kak Chik karya ini masih lemah dari segi susunan bahasa dan terlalu klise kerana mereka adik beradik digambarkan terlalu beruntung dengan mendapat suami atau teman lelaki yang berwajah tampan dan kaya raya. Namun begitu Kak Chik perlu berfikir dari sudut positif kerana penulis masih terlalu muda lalu kesilapan dan kelemahan ini masih boleh diperbaiki pada masa hadapan.

Namun masih ada nilai-nilai murni yang boleh kita pelajari dari karya penulis muda ini.

LiFe iS a LoNG JouRNeY
-Kak Chik-
(^__^)

Aimie:Cabaran 50 Buku: (62) Sayangku Merajuk

Penulis: Ayu Emelda
Penerbit: Alaf 21 @ Grup Buku Karangkraf Sdn Bhd
ISBN978-983-124-648-1
Harga: RM21.00 / RM24.00
M/S: 504
Cetakan 1, 2 – 2011


“Rela kupujuk walau jelinganmu menggentarkan jiwa…”

Blurb:

Bulan madu Aireen hanya bertahan seketika apabila ijab dan kabul seakan-akan termeterai tiga bulan. Akhirnya, lima tahun dia ditinggalkan dalam gerhana. Wanita mana tak meradang… hati mana yang tak sengsara?

Pertemuan semula terjadi tanpa diduga. Shahir kembali demi memburu sekeping hati sedingin iceberg! Sayangnya, pujukan itu hanya dipandang sepi. Langsung tiada erti!

Dendam Aireen bukan satu mainan. Dia tegar mengalihkan cinta pada lelaki lain. Biar Shahir merana… biar padan dengan muka dia!

Bagi Shahir pula, cintanya terhadap Aireen adalah yang pertama dan terakhir. Walaupun rajuk isterinya panjang berjela, dia tidak mungkin sesekali mengalah!

Mungkinkah kesabaran sebagai suami akan kecundang jua akhirnya?


Kak Chik menukil:

Percintaan dan pernikahan yang ditemerai di bumi kangaroo hanya tiga bulan sahaja dinikmati Aireen-Shahir. Aireen bersendirian setelah Shahir kembali ke Malaysia dan tidak kembali lagi sementelah Shahir telah melafazkan taklik padanya. Aireen melalui saat sukar sendiri saat diri berbadan dua sehingga dia tidak mampu untuk meneruskan pengajian. Kepulangan ke kampung pula, menjadi cemuhan orang sekeliling malahan keluarga terdekat juga memulaukan mereka keluarga apabila dia pulang tanpa ditemani suami sementelah dia berbadan dua.

Bertahun sakit ditinggalkan itu menjadi dendam yang tidak mudah untuk dimaafkan apalagi dilupakan kerana bukan dia seorang yang menderita tetapi ibu yang turut menanggung sengsara. Mereka terpaksa meninggalkan rumah pusaka kerana musibah itu.

Lalu pertemuan yang tidak pernah diimpikan itu bagaikan mimpi ngeri yang menjelma. Apatah lagi saat Aireen tahu yang dia masih terikat dengan ikatan pernikahan itu. Walau pujuk rayu dan perkataan maaf tidak mampu melunturkan api dendam yang tertanam di hatinya.

Sekuat mana Shahir berusaha, Aireen masih tega dengan keras hati dan mahu ikatan itu terurai. Kuatkah Shahir saat melihat isteri yang masih dicintai sanggup berlaku curang dengan menjalin hubungan dengan lelaki lain di depan mata? Tidak tercuitkah hati Aireen dengan pujuk rayu si kembar yang mahukan papa mereka kembali?

Sudut pandang Kak Chik:

Kisah rumahtangga yang terpisah kerana sesuata halangan memang sudah terlalu biasa dilakarkan menjadi novel. Pada Kak Chik karya ini tiada apa yang berbeza dengan karya-karya lain. Isu yang dikupas tidak terlalu menjadi topik utama melainkan adegan pujuk memujuk antara Shahir-Aireen sehingga ia menenggelamkan jalan cerita yang sepatutnya menjadi lebih menarik.

Selain itu sikap keras kepala dan dendam Aireen sendiri bukanlah sesuatu yang baru ditonjolkan yang akhirnya terpaksa menerima hakikat bahawa pilihannya hampir menjerat dia dengan jerat pernikahan yang lebih derita. Ditambah lagi sikap Aireen yang membelakangkan hal agama dengan berhubung dengan Zarul secara terang-terangan sedangkan dia tahu masih lagu isteri Shahir menjadi contoh yang tidak baik kepada anak-anaknya jika dilihat dari sudut yang lebih teliti.

Tapi nak tergelak pun ada bila Aireen jadi tak tentu arah pada majlis pertunangan Hanis. Hahahah…tahu pula dia gelabah kan? Tapi pada Kak Chik karektor Hani nampak lebih terserlah dan dewasa berbanding dengan Aireen.

Namun perkara utama yang menjadi punca hanyalah sebab Shahir tidak mahu Aireen tahu sebab mengapa dia tidak kembali dalam tempoh yang dijanjikan. Itu yang buat Kak Chik musykil sebab kalau dari awal Shahir berterus terang tak adalah kisah ini jadi panjang sebegini.

Walaupun begitu bahasa yang digunakan mudah untuk dihadam dengan kisah yang ringkas yang tidak terlalu banyak konflik. Cuma ada beberapa perkara penulis perlu lebih teliti seperti pengakhiran kisah Laura dan Madam Anna.

LiFe iS a LoNG JouRNeY
-Kak Chik-
(^__^)