Penulis: Ayu Emelda
Penerbit: Alaf 21 @ Grup Buku Karangkraf Sdn Bhd
ISBN978-983-124-648-1
Harga: RM21.00 / RM24.00
M/S: 504
Cetakan 1, 2 – 2011
“Rela kupujuk walau jelinganmu menggentarkan jiwa…”
Blurb:
Bulan madu Aireen hanya bertahan seketika apabila ijab dan kabul seakan-akan termeterai tiga bulan. Akhirnya, lima tahun dia ditinggalkan dalam gerhana. Wanita mana tak meradang… hati mana yang tak sengsara?
Pertemuan semula terjadi tanpa diduga. Shahir kembali demi memburu sekeping hati sedingin iceberg! Sayangnya, pujukan itu hanya dipandang sepi. Langsung tiada erti!
Dendam Aireen bukan satu mainan. Dia tegar mengalihkan cinta pada lelaki lain. Biar Shahir merana… biar padan dengan muka dia!
Bagi Shahir pula, cintanya terhadap Aireen adalah yang pertama dan terakhir. Walaupun rajuk isterinya panjang berjela, dia tidak mungkin sesekali mengalah!
Mungkinkah kesabaran sebagai suami akan kecundang jua akhirnya?
Kak Chik menukil:
Percintaan dan pernikahan yang ditemerai di bumi kangaroo hanya tiga bulan sahaja dinikmati Aireen-Shahir. Aireen bersendirian setelah Shahir kembali ke Malaysia dan tidak kembali lagi sementelah Shahir telah melafazkan taklik padanya. Aireen melalui saat sukar sendiri saat diri berbadan dua sehingga dia tidak mampu untuk meneruskan pengajian. Kepulangan ke kampung pula, menjadi cemuhan orang sekeliling malahan keluarga terdekat juga memulaukan mereka keluarga apabila dia pulang tanpa ditemani suami sementelah dia berbadan dua.
Bertahun sakit ditinggalkan itu menjadi dendam yang tidak mudah untuk dimaafkan apalagi dilupakan kerana bukan dia seorang yang menderita tetapi ibu yang turut menanggung sengsara. Mereka terpaksa meninggalkan rumah pusaka kerana musibah itu.
Lalu pertemuan yang tidak pernah diimpikan itu bagaikan mimpi ngeri yang menjelma. Apatah lagi saat Aireen tahu yang dia masih terikat dengan ikatan pernikahan itu. Walau pujuk rayu dan perkataan maaf tidak mampu melunturkan api dendam yang tertanam di hatinya.
Sekuat mana Shahir berusaha, Aireen masih tega dengan keras hati dan mahu ikatan itu terurai. Kuatkah Shahir saat melihat isteri yang masih dicintai sanggup berlaku curang dengan menjalin hubungan dengan lelaki lain di depan mata? Tidak tercuitkah hati Aireen dengan pujuk rayu si kembar yang mahukan papa mereka kembali?
Sudut pandang Kak Chik:
Kisah rumahtangga yang terpisah kerana sesuata halangan memang sudah terlalu biasa dilakarkan menjadi novel. Pada Kak Chik karya ini tiada apa yang berbeza dengan karya-karya lain. Isu yang dikupas tidak terlalu menjadi topik utama melainkan adegan pujuk memujuk antara Shahir-Aireen sehingga ia menenggelamkan jalan cerita yang sepatutnya menjadi lebih menarik.
Selain itu sikap keras kepala dan dendam Aireen sendiri bukanlah sesuatu yang baru ditonjolkan yang akhirnya terpaksa menerima hakikat bahawa pilihannya hampir menjerat dia dengan jerat pernikahan yang lebih derita. Ditambah lagi sikap Aireen yang membelakangkan hal agama dengan berhubung dengan Zarul secara terang-terangan sedangkan dia tahu masih lagu isteri Shahir menjadi contoh yang tidak baik kepada anak-anaknya jika dilihat dari sudut yang lebih teliti.
Tapi nak tergelak pun ada bila Aireen jadi tak tentu arah pada majlis pertunangan Hanis. Hahahah…tahu pula dia gelabah kan? Tapi pada Kak Chik karektor Hani nampak lebih terserlah dan dewasa berbanding dengan Aireen.
Namun perkara utama yang menjadi punca hanyalah sebab Shahir tidak mahu Aireen tahu sebab mengapa dia tidak kembali dalam tempoh yang dijanjikan. Itu yang buat Kak Chik musykil sebab kalau dari awal Shahir berterus terang tak adalah kisah ini jadi panjang sebegini.
Walaupun begitu bahasa yang digunakan mudah untuk dihadam dengan kisah yang ringkas yang tidak terlalu banyak konflik. Cuma ada beberapa perkara penulis perlu lebih teliti seperti pengakhiran kisah Laura dan Madam Anna.
LiFe iS a LoNG JouRNeY
-Kak Chik-
(^__^)
Oct 6, 2011
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment