Penulis: Norhayati Berahim
Penerbit: Alaf 21 Sdn Bhd
ISBN983-124-151-7
Harga: RM17.00
M/S: 418
Cetakan 1-3 - 2004
Ketuklah pintu hatiku dan aku sedia membukanya
Blurb:
Perpisahan…terlalu sukar rasanya membuat keputusan. Namun kerana harga diri, kerana kasih saying, Johanna rela berkorban. Biarlah dirawat hati yang luka, biarlah dilalui hari-hari mendatang tanpa suami di sisi. Pergilah Dihrran, carilah kebahagiaan, carilah kasih saying yang kau perlukan.
Hidup siapa yang menduga, Johanna dipertemukan dengan Graham. Lelaki yang tidak percaya kewujudan agama dan Tuhan. Namun, lelaki itu lelaki istimewa, lelaki yang sering mengerti, lelaki yang cepat memahami. Hati yang luka diubati, jiwa yang kosong kini terisi.
Kalutnya rasa bila cinta dating kali kedua, perlukah diusir atau perlukah dibiarkan menghuni dalam hati. Cuma ketika cinta dating semula, Dihrran yang pernah membuangnya dahulu dating menagih hati, menagih simpati!
Hatinya sudah nekad, apa yang berlaku, biarlah berlalu. Dihrran perlu diajar menghargai, untuk menghormati. Dia bukan wanita yang mudah dibuang dan diambil kembali.
Ahh…cerita luka… duka dan cinta ini perlu ada kesudahannya!
Kak Chik menukil:
Sakitnya hati apabila suami sendiri sanggup menjatuhkan maruah diri pada wanita lain yang dinikahi tanpa pengetahuannya. Luka Johanna bukan mudah untuk diubati Dihrran lagi apatah lagi suami yang dinikahi kerana cinta itu sanggup mencemuh dirinya ketika dia masih bergelar isteri sedangkan selayaknya dia dilindungi. Johanna tekad dilepaskan walaupun dia tahu tidak mudah untuk meningkah arus bergelar ibu tunggal saat diri masih muda. Kenapa derita yang menimpa umi kini menimpanya pula? Tiada langsungkah kebaikannya pada suami sehingga begitu hina dia dijatuhkan? Lalu dia mesti kuat untuk bangun sendiri tanpa lelaki bernama suami di sisi kerana untuk pada suami kalau hanya melukakan hati.
Dia lelaki yang berjaya tetapi dia tidak pernah mempercayai agama dan Tuhan. Hidupnya berlangsung kerana kelangsungan hidup. Pertemuan dengan jiran sebelah rumah selepas berpindah ke Kuala Lumpur memberi sinar yang selama ini tidak pernah dicari. Dia senang dengan kehadiran wanita itu dan anaknya yang penuh sopan dan tertib.
Bagaimana seorang wanita yang lemah pada zahirnya mampu berdiri sendiri dengan perniagaan sendiri dan pada masa yang sama mampu mendidik anak menjadi seorang yang begitu penuh tata tertib. Tetapi pada saat hati sudah pasti dengan kemahuan hati ada halangan yang merentangi. Apakah pemergiannya ke bumi Bandung buat selama selepas dititip nota cinta buat insan yang berjaya mendiami hati?
Apakah keputusan yang dibuat Johanna untuk membuka pinta hati buat kali kedua tepat dengan pilihan insan yang mampu melindunginya dan Aiman? Apakah perlu dia memberi peluang kali kedua buat Dihrran yang kerap kali merayu menagih cintanya kembali?
Sudut pandang Kak Chik:
Memang sakit hati sangat pada Dihrran bila menghayati kisah ini. Isteri mana yang tidak terluka dan sakit hati apabila lelaki yang bertahun bergelar suami sanggup menduakan diri tanpa diketahui tambah lagi direndahkan maruah dan dicemuh depan madu dan orang lain. Memang patut sangat apabila Johanna memutuskan untuk berpisah dengan Dihrran kerana rasa hormat pada Dihrran sudah tinggal sifar. Sifat bertolak ansur Johanna selama ini langsung tidak dihargai malah sikap Dihrran yang tidak pernah menggalas tanggungjawab sebagai ketua keluarga juga menjadikan Dihrran senang-senang memburuk-burukkan Johanna. Mungkin silap Johanna juga kerana selama hidupa berumahtangga dia tidak pernah bertegas tentang perkara tersebut di samping Dihrran saudara baru yang perlu diberi peringatan.
Tetapi lelaki kadang kala memang mudah terleka apatah lagi kalau yang ditemui wanita pada hemah mereka lebih segalanya daripada isteri sendiri. Namun Dihrran tersilap tingkah kerana Nora bukanlah sebaik Johanna. Isteri barunya seorang yang suka membentak sehingga selalu menengkingnya. Ini menyebabkan Dihrran selalu melarikan diri daripada berada di rumah dan menyebabkan Nora sakit hati. Manusia memanselalu begitu, apabila sudah terlanjur barulah menyesal. Sikap Dihrran yang suka mereka-reka cerita tentangnya dan Johanna kepada Nora makin menyemarakkan rasa dengki dan sakit hati Nora terhadap Johanna.
Selain itu sikap Johanna yang sentiasa positif dan berdikari selepas peristiwa sedih itu patut menjadi contoh. Dia bernasib baik kerana sejak awal lagi dia tidak bergantung kepada Dihrran. Walaupun Dihrran tidak pernah menyokong dia untuk berniaga sendiri, dia tetap teguh untuk menggapai cita. Sifat dan tertib kelakuan Johanna kepada ibu bapa Dihrran juga merupakan contoh yang perlu dititikberatkan untuk mengelak tanggapan buruk terhadap penganut agama Islam.
Syukur akhirnya Graham mendapat sinar cahaya agama yang selama ini dia tidak pernah percaya kepada agama dan Tuhan. Cuma mungkin cara dan bagaimana Graham mendapat cahaya keimanan itu tidak begitu diserlahkan dalam karya ini.
Sesuatu yang perlu dihayati ialah jangan sesekali pergolakan atau masalah rumahtangga ibu bapa menjadi penyebab kepada kemurungan dan derita jiwa anak. Dan dalam karya ini, Aiman diwatakkan anak yang tidak banyak karenah kerana dia bagaikan mengerti ketiadaan papanya. Jadi dia sudah mampu menerima perkara-perkara yang terjadi di sekelilinya apatah lagi pengganti papanya lelaki yang lebih mengerti.
LiFe iS a LoNG JouRNeY
-Kak Chik-
(^__^)
Oct 6, 2011
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment