Oct 6, 2011

Aimie:Cabaran 50 Buku: (63) Cinta Kontrak

Penulis: Nurul Ain Syuhada
Penerbit: Karya Seni Enterprise
ISBN978-967-0246-03-1
Harga: RM20.00 / RM23.00
M/S: 586
Cetakan 2 – Julai 2011


“Bila senduk bertemu kuali, bila api bertemu sumbu bom, bila cinta bertemu tuannya.”

Sudut pandang Kak Chik:

Terpandang saja tajuk novel terus teruja nak beli dan bila dah sampai di tangan buku ni dulu yang disambar dan dibaca. Kalau karya yang kahwin paksa atau ala-ala kahwin kontrak ni macam dah kena baca la pula..He.he.he….

Gambaran kehidupan Alia Airysya diolah seolah-olah terlalu daif kehidupannya sehingga Airysya dan Along terpaksa berhenti kerja kerana kedaifan keluarga mereka. Ibunya hanya suri rumah yang terpaksa mengambil upah membasuh baju penduduk kampung manakala ayahnya nelayan. Walaupun mendapat keputusan SPM yang baik mereka terpaksa akur dengan takdir hidup. Tapi pada Kak Chik kisah ini nampak terlalu klise kerana setahu Kak Chik jika penduduk yang tinggal di pinggiran pantai kaum wanita mereka lebih kepada kerja di darat seperti membuat belacan, ikan kering atau bekerja di kilang keropok. Tak pasti pula Kak Chik pada masa kini masih ada yang terpaksa bekerja mengambil upah membasuh baju di rumah orang.

Sesuatu yang perlu kita teliti di sini karektor Airysya dibangunkan dengan karektor yang bagi Kak Chik sedikit mengelirukan di mana penulis mahu menggambarkan Airysya seorang yang kuat agama dengan gambaran luaran seperti bertudung labuh bidang 60 dan sentiasa berstoking tetapi pada masa yang sama pada Kak Chik watak dan perlakuan Airysya itu tidak seiring dengan gambaran sebagai Muslimah sejati terutama kata-kata yang dituturkan oleh gadis ini. Pada Kak Chik seorang yang berusaha untuk menjadi Muslimah sejati sudah pasti turut berusaha menjaga tingkah laku dan tutur kata tetapi pada Airysya itu bukan persoalannya.

Perkahwinan Airysya dan Muhammad Danial Fraz juga bagaikan terlalu klise hanya kerana pengakuan Danial bahawa Airysya itu kekasihnya di depan ibu bapanya sehingga Airysya tidak berusaha menolak hanya kerana mami Danial majikannya. Namun dalam diam Airysya merangka strategi untuk menggagalkan perkahwinan tersebut selepas membaca kontrak perkahwinan yang dibuat Danial tetapi dibatalkan pada saat akhir hanya kerana tidak sanggup menghancur hati Datin Airysya. Jadi kesimpulannya kontrak tu tak pernah berfungsi selepas dikoyaknya sebelum akad nikah.

Pada Kak Chik karya ini lebih kepada untuk hiburan kerana penulis bagaikan menggarap sesuatu yang berlebihan terutama kelakuan Airysya seperti melempar selipar ke belakang Airysya ketika pulang dari solat terawih dan memanggil Danial khadam di depan keluarga walaupun hanya sekadar gurauan. Kalau ikut logik akal ada tak suami yang terlalu baik seperti Danial sehingga langsung tak berusaha untuk melawan malah pada Kak Chik dia seperti dayus hanya membiarkan si isteri terleka dengan sikap dan kelakuan yang sukar diterima akal.

Selain itu Kak Chik tertanya-tanya juga kenapa Airysya masih tetap bertudung ketika di dalam rumah sedangkan tiada yang menghalang dia untuk membuka tudung di depan suami dan bapa mertuanya. Pada Kak Chik alasan yang digunakan kerana dia malu untuk membuka tudung di depan orang lain kerana tidak biasa adalah sesuatu yang hanya menyusahkan sedangkan ajaran agama Islam itu tidak pernah menyusahkan penganutnya.

Pada Kak Chik karya ini masih lemah dari segi susunan bahasa dan terlalu klise kerana mereka adik beradik digambarkan terlalu beruntung dengan mendapat suami atau teman lelaki yang berwajah tampan dan kaya raya. Namun begitu Kak Chik perlu berfikir dari sudut positif kerana penulis masih terlalu muda lalu kesilapan dan kelemahan ini masih boleh diperbaiki pada masa hadapan.

Namun masih ada nilai-nilai murni yang boleh kita pelajari dari karya penulis muda ini.

LiFe iS a LoNG JouRNeY
-Kak Chik-
(^__^)

0 comments: