Oct 20, 2011

UA : Cabaran 50 Buku : (18) Jauh Dari Cinta

Judul : Jauh Dari Cinta
Penulis : Adah Hamidah
Terbitan: Karyaseni Enterprise
Halaman: 636 m/s
ISBN : 978-967-0246-06-2
Cetakan pertama September 2011

Kulit belakang novel :

NYSA SAKINAH.
Cintanya pernah ditolak oleh abang angkatnya, Farish Aqil. Namun Farish Aqil kembali menagih kasih, lalu dengan rela dia menerima. Satu penemuan membuatkan dia kembali sedar, siapa dirinya. Lantas dia terikat dalam perkahwinan yang menjerat.

"Duduk berkurung dalam bilik ni kenapa? Makan tak... minum tak, nak sangat jatuh sakit ke? Nysa ingat kalau kurung diri macam ni dapat selesaikan masalah?"
"Masalah dah lama selesai kalau Abang Aqil tak datang masa majlis pernikahan kita dulu."


"Oh... jadi Nysa nak salahkan abanglah ni? Kalau abang tak boleh jatuh cinta dengan Nysa, kenapa Nysa nak salahkan abang pula? Kalau Nysa dah tahu yang abang tak pernah cintakan Nysa, buatlah sesuatu supaya abang boleh jatuh hati pada Nysa, jangan duduk berpeluk tubuh dalam bilik macam ni aje!"

Namun Nysa Sakinah, tidak terdaya dia melakukan semua itu. Lantas dia bertindak menjejaki wanita yang selama ini dicintai oleh suaminya. Kembali memulangkan bahagia buat suaminya.

FARISH AQIL.
Hati lelakinya dicabar, lantas dia terpaksa memulakan semua sedangkan hanya Lily dihatinya. Takkan ada wanita lain.

"Tolong kekal jadi adik abang sampai bila-bila. Abang betul-betul selesa dengan keadaan macam ni."

"Abang Aqil boleh anggap yang permintaan Abang Aqil tu dah tertunai sepenuhnya sebab memang Nysa hanya akan kekal sebagai adik Abang Aqil sepanjang hayat Nysa. Semua dah cukup jelas."

Bagi Nysa Sakinah, bertepuk sebelah tangan takkan berbunyi! Maka, kerana dia seorang isteri, pengorbanan adalah hadiah teristimewa buat seorang suami!

Sinopsis :

Bingkisan cinta terindah Nysa Sakinah buat sang jejaka yang berjaya mencuri hatinya tanpa sedar. Dia pernah jatuh cinta pada abang angkatnya sewaktu dia masih bergelar siswi. Dia pernah memberi seluruh jiwanya pada yang bergelar tunangannya. Dia menghamparkan seluruh cinta, kasihnya, jiwa raganya pada yang hak – suami. Semuanya diberikan tulus ikhlas dari dalam jiwa untuk orang yang sama – Farish Aqil.

Cintanya pernah dipersiakan suatu waktu dulu. Lantas, perlu diapakan lagi cintanya itu? Dikuburkan? Atau disimpan kejap di sudut jiwa paling dalam?

Suatu saat, dia dipanggil pulang. Ada yang datang merisik khabar. Dia dilarang sama sekali untuk menolak. Ayahnya berkeras! Lalu, apa pilihan yang dia ada…? Siapa jejaka itu? Dr. Farish Aqil. Aqil juga mendesak untuk dia menerima Aqil sebagai tunang.

Suatu penemuan membuatkan dia tekad untuk mencari bahagia buat insan yang dicintainya. Apa yang telah Nysa temukan? Berjayakah Nysa dalam menyatukan dua hati walaupun hatinya luka parah sendiri. Mari kita gali dan selam kisah hati penuh sadis dalam Jauh dari Cinta.


Bicara Ummu Ammar :

Jauh dari Cinta.. Melihat pada judulnya sahaja membuatkan UA merasakan ini adalah kisah cinta yang sadis. Yang bakal membuatkan seantero pembaca berada dalam lautan airmata. Pada dasarnya, jalan ceritanya amat mudah tetapi diselitkan dengan suatu rasa yang dinamakan ‘pengorbanan’ membuatkan penceritaannya seperti sesuatu yang kompleks.

Pendek kata, Jauh dari Cinta adalah sebuah kisah cinta penuh dengan pengorbanan. Nysa malu yang amat apabila cintanya ditolak mentah-mentah oleh sang jejaka atas alasan ‘Nysa hanya adik abang’. Lalu, dia mengambil keputusan untuk tinggalkan semuanya. Putuskan persahabatan juga ikatan ‘adik-abang angkat’.

Nysa punya cinta yang amat mendalam buat Aqil lantas dia mengambil keputusan untuk berkorban apa sahaja asalkan cinta hatinya itu bertemu bahagia dengan insan yang dicintainya. Yang pastinya…cinta Aqil bukan miliknya. Ya..cintanya pada Aqil cinta paling Agung. Namun, cintanya pada Tuhan tiada tandingan. Dia mengadu padaNya saat hatinya luluh dikecewakan sang suami, dia merintih pada sang Pencipta saat jiwanya ketandusan kasih sayang suami yang tidak menghiraukannya. Dia berbicara dengan sang Pencipta cinta memohon petunjuk semoga perancangan yang dicipta buat kebahagiaan suaminya mendapat restuNya.

Bahagiakah kita andai si dia bahagia? Benarkah itu dinamakan bahagia pada hakikatnya hati kita sendiri kita cincang lumat dan dititiskan dengan air limau. Pada pengamatan UA, tidak wajar pengorbanan Nysa itu. Kerana dia lebih berhak ke atas Aqil – suaminya. Bukannya menunjuk jalan membuka ruang untuk membiarkan Lily merampas segalanya. Nysa sepatutnya lebih mempertahankan dirinya dan keluarga syurga rumahtangga yang baru saja dibina.

Namun itulah definisi cinta Adah Hamidah yang disampaikan melalui Jauh dari Cinta. Benar, cinta itu membahagiakan. Cinta itu mendamaikan. Namun, cinta itu juga bisa mematikan jiwa. Tahniah Adah Hamidah!

---
Ummu Ammar

0 comments: