Oct 25, 2011

AS: Cabaran 50 Buku : (51) Jauh Dari Cinta

Tajuk: Jauh Dari Cinta
Penulis: Adah Hamidah
Penerbit: Karya Seni : (Cetakan Ke-3 Nov 2011)
636 Mukasurat
Harga: RM21(SM)/RM24 (SS)

Karya Adah Hamidah yang kedua saya baca.Tidak dinafikan penulis berjaya menawan saya dengan gaya bahasanya yang indah teratur sekali lagi. Mungkin apa yang kurang bagi saya adalah apabila sudut pandang ‘aku’ digunakan. Kurangnya sebab saya sukar untuk menembusi perasaan watak-watak yang lain. Semuanya harus melalui watak Nysa Sakinah. Namun dalam Jauh Dari Cinta sudut pandangan ‘aku’ memang tepat sebab hampir keseluruhan tumpuan penceritaan adalah kepada watak Nysa Sakinah. Malah jauh dari cinta juga sebuah novel yang sarat dengan emosi dan berjaya membuatkan kita resah selagi kita tidak tahu penghujungnya.

Dalam saya dibawa menghayati setiap rasa dan kata hati Nysa, tetap wujud perasaan geram dan marah terhadap Nysa Sakinah. Dia seolah-olah buta hati kerana berterusan ingin memberi bahagia kepada Farish Aqil, suaminya yang sah dengan cara cuba menyatukan Aqil dengan Lily, cinta pertama Aqil.Dia seolah-olah telah menyerah kalah dengan menganggap memang bukan jodohnya dengan Aqil maka dia seharusnya mengembalikan Aqil kepada Lily.Adakah hal seperti itu terjadi?Menyerahkan hati seorang suami kepada orang lain seperti menyerahkan sesuatu barang.Tidakkah dia ingin menyelami hati dan segala tindak tanduk suaminya untuk mencari sinar cinta yang mungkin ada dari suami buat dirinya?

Nysa ingin memberi bahagia kepada Aqil yang dianggap hanya akan bahagia dengan Lily, namun dia tahu hatinya tidak pernah ikhlas kerana sesungguhnya Aqil adalah cinta pertamanya dan nama Aqil tetap kekal dihatinya walaupun Aqil pernah berkata ‘biarlah Nysa kekal sebagai adiknya sampai bila-bila’. Cintanya kepada Aqil akan tetap kekal sampai bila-bila walaupun hatinya terluka berkali-kali disebabkan Aqil. Tetapi benarkah hatinya terluka disebabkan Aqil atau Nysa sendiri yang secara tidak sengaja telah melukakan hatinya sendiri dan mungkin juga hati Aqil? Mungkin juga hatinya terluka kerana dia tidak pernah memberi ruang kepada dirinya untuk menyelami perasaan Aqil. Mungkin juga dia terus-terusan terluka disebabkan sikap suka berprasangka, degil dan hanya menurut kata hatinya tanpa mengambil kira hati dan perasaan orang lain. Begitukah cara Nysa menunjukkan rasa cintanya kepada Aqil dengan memberi bahagia kepada Aqil? Nysa memang tidak pernah nampak cinta Aqil kerana dia sibuk melayan lara hatinya.

Kalau begitulah cara Nysa mencintai Aqil memang dia sentiasa jauh dari cinta dan mungkin juga bahagia sukar untuk kunjung tiba. Padan muka. Itulah yang keluar dari hati ketika dia beria menyuruh Aqil menghalang Lily pergi lalu Aqil bersetuju untuk menikahi Lily kerana memang itu kehendak Nysa. Dengan syarat Nysa sendiri yang akan menguruskan pernikahan Aqil dan Lily. Mampukah Nysa melalui semua itu? Mampukah dia menjadi orang ketiga antara Aqil dan Lily? Sanggupkah dia memandang kemesraan antara Aqil dan Lily? Semua jawapan ada dalam Jauh Dari Cinta.

“ Cinta tidak semestinya mencipta bahagia,tapi bahagia sentiasa dapat mencipta cinta”(JDC)

---
Anita Sang

0 comments: