Tajuk buku : Qasidah untuk Kekasih.
Penulis : Siti Munirah A. Rashid
Keluaran : PTS Litera Sdn Bhd
Halaman : 336 m/s
Ulasan Ain Sabrina :
Novel ini boleh dikategorikan sebagai novel islamik. Kisahnya bertemakan rasa cinta pada Rasulullah juga ada diterapkan tema persahabatan.
Zainul Muttaqin, pemuda yang sungguh cinta pada Rasulullah. Rasa cinta selalu dia luahkan melalui bacaan qasidah, bacaan pujian buat Rasulullah. Dia baca tiap petang yang tanpa sedar turut sama menarik hati sahabat biliknya yang sudah terpesong jauh dari agama.
Tidak cukup dengan bacaan qasidah setiap petang yang dilakukannya, dia ingin meluaskan lagi pengaruh qasidah pada sahabat-sahabat yang lalu. Lalu dengan bantuan sahabatnya, Amir Hamzah, Majlis Miftahul Asywaq cuba dilaksanakan. Niatnya baik tetapi disalahsangka dengan pelbagai fitnah dan dugaan yang melanda.
Masih utuh, akhirnya majlis itu terlaksana jua walaupun tanpa kehadiran Zainul Muttaqin.
Komen Ain Sabrina :
Membaca dan mengulas novel ini adalah satu tugasan yang saya terima untuk usrah saya. Tugas saya adalah membacanya dan membuat sesi bedah buku buat ahli-ahli usrah yang lain. Dan semasa itu saya membuat sesi pemahaman yang lebih baik mengenai nilai qasidah itu sendiri. Walaupun banyak konflik mahupun fitnah mengenai qasidah, kesimpulan yang dapat saya buat adalah qasidah itu tidak salah selagi tidak dalam keadaan yang berlebih-lebihan.
Novel ini pastinya novel yang lain dari yang lain. Penulis mengetengahkan nilai qasidah yang jarang sekali diketengahkan di mana-mana. Secara jujurnya saya pun kali pertama mendengar nama qasidah itu dan konfliknya sedangkan masa zaman sekolah dulu pernah berqasidah beramai-ramai.
Semangat cinta yang ada dalam diri Zainul Muttaqin perlu dijadikan contoh buat pemuda pemudi Islam yang lain. Juga sikap Zainul Muttaqin dalam menghadapi fitnah serta pembatahan kawan-kawan yang lain sangat mengangumkan. Zainul Muttaqin adalah jelmaan pemuda yang patut dicontohi.
Dan satu lagi yang menarik hati saya adalah cara Zainul Muttaqin berdakwah. Dia tidak berdakwah secara terangan-terangan namun secara halus. Cara yang digunakan adalah seperti berqasidah dan bermain futsal bersama. Nampak mudah namun lebih dekat. Dia berkawan dengan semua tanpa mengira karektor atau persepsi.
Novel ini patut dipromosikan lagi lebih-lebih pada anak-anak muda sekarang. Semoga rasa cinta dan semangat yang ada pada Zainul Muttaqin tersebar pada pembaca novel ini.
---
Ain Sabrina
Sep 22, 2011
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment