Sep 22, 2011

UA : Cabaran 50 Buku : (13) Contengan Jalanan

Judul : Contengan Jalanan
Penulis : Hlovate
Terbitan: Jemari Seni Sdn. Bhd.
ISBN : 978-967-5118-53-1
Cetakan pertama, kedua Mei 2011


Contengan pengalaman perjalanan cari Tuhan.

Bicara Ummu Ammar :

Contengan Jalanan. Ini bukan kisah cinta biasa. Ini ceritera hati mencari cinta Tuhan. Kisah Fend dan K-Square. Kisah yang sangat lengkap pada saya. Kisah persaudaraan yang sangat erat. Fend, Chad, Aidid dan K-Square. Yang membesar bersama, mengukir kenangan terindah dalam diri mereka hingga kehilangan Chad menuju syurga abadi amat dirasai.

Sebetulnya, saya tergamam sebaik sahaja menamatkan bingkisan terbaru dari penulis penuh misteri ini. Bukan tergamam kerana tiada cinta di dalamnya, bukan jua kerana tiada penamat antara Fend-Lia dan K-Square-Arin, tetapi tersentap hati dan nurani saya dengan catitan perjalanan mereka mencari erti hidup. Mereka sanggup bermusafir sehingga ke luar Negara mencari cinta Tuhan. Pengorbanan yang bukan sedikit, ketakutan dan kerisauan bermusafir ke tempat yang asing bagi mereka. Tetapi demi mencari erti hidup yang sebenar-benarnya pada Dia mereka serahkan segala.

Fend – Hidupnya hanya dimaknakan dengan lima benda. Kamera, gitar, Dell, HTC dan Ipod. Pendek kata, hidupnya bisa pincang dengan ketidakhadiran benda-benda tersebut. Kerana 24 jam sehari, 7 hari seminggu hanya dihabiskan bersama dengan lima benda tersebut. Seorang Artistik. ‘Freelance photographer’ dan boleh menghabiskan masa berjam-jam lamanya di hadapan Dell kesayangannya untuk sesi meng’edit’ gambar. Merupakan seorang lembut hatinya. Pandai menyesuaikan diri dengan keadaan.

K-Square – Sahabat kepada Fend sejak dulu lagi. Sejak dalam lampin lagi. Dia pemain drum Creepy Hues. Dia seorang artistik. Dia pandai mengadun warna di atas kanvas dan dia juga tahu segala macam pasal muzik. Katanya “there’s no such thing as ‘wrong’ in arts”. Itu prinsip seni baginya. Dia sayang akan Fend dan tidak mahu kehilangan Fend.

Lia – Bukan gadis biasa, dia pernah meminati muzik dan juga lagu-lagu ‘underground’. Dia juga meminati ‘skate’. Dan dia berubah. Berubah kerana The 11th Hour. Berubah kearah yang lebih baik. Lia, perubahan yang dilakukan ingin dikongsikan bersama orang disekelilingnya.

Ingin tahu lebih lanjut tentang ‘The 11th Hour’ yang menjadi asbab kepada perubahan seorang Fend? Temui jawapannya dalam Contengan Jalanan.

Novel ini terlalu istimewa bagi saya. Tiada ungkapan yang boleh saya ertikan untuk bingkisan Hlovate kali ini. Pedoman dan pengajaran terlalu banyak didalamnya. Tidak rugi menjadikannya sebagai koleksi kesayangan anda. Keindahan bercinta dengan Tuhan jua keindahan duniawi yang menghibur hati. Kisah hidup dari gelap malap kepada sinar cahaya yang membahagiakan. Jalanan permusafiran yang menemukan mereka dengan hakikat cinta dan erti hidup yang sebenarnya.

Sekalung tahniah buat Hlovate yang menulis dari hati untuk terus sampai kepada hati-hati para pembaca dalam menyedarkan tentang ‘untuk apakah aku hidup di atas muka bumi ini’..? Terima kasih kerana menulis sesuatu yang bermanfaat dan menyedarkan manusia berserta dengan dalil-dalil dari Al-Quran dan Hadith.

---
Ummu Ammar

0 comments: