Sep 12, 2011
AS: Cabaran 50 Buku (43) Rembulan Berdarah
Tajuk: Rembulan Berdarah
Penulis: Anita Aruszi
Penerbit: Kaki Novel (Julai 2009- Cetakan Kedua )
786 Mukasurat
Harga: RM24 (SM)/RM27 (SS)
Membaca sebuah lagi karya penulis, Anita Aruszi yang merupakan salah seorang lagi penulis yang saya suka. Memang tidak sah kalau Rembulan Berdarah ini tidak ada konflik yang saling berkait dari masa silam watak-watak seperti yang kita boleh jumpa dalam novel-novel beliau yang lain ( setakat novel-novel beliau yang pernah saya baca ).
Kalau anda sukakan cerita yang cinta yang penuh luahan kata-kata cinta yang romantis dan adegan pujuk memujuk, ini mungkin bukan novel yang sesuai untuk anda baca. Apa yang anda akan jumpa dalam novel ini bukan sekadar kisah perasaan cinta antara Nasriq Adli dan Raihana Munif atau cinta Zafran kepada Duha Maisara. Malah anda akan bertemu dengan isu yang tidak anda jangkakan
Ini adalah kisah ketamakan kuasa dan harta ( mungkin anda pernah jumpa dalam novel lain )yang membawa kepada kekejaman kepada mangsa yang tidak berdosa. Termasuklah kaitan dengan kumpulan ‘kongsi gelap’ yang sanggup berbuat apa saja demi kepentingan kumpulan mereka.Juga tentang perbezaan taraf dan kedudukan sesama manusia yang disebabkan perbezaan darjat dan keturunan. Perasaan kasih dan sayang yang terpendam kerana perasaan risau dengan kesan yang bakal terjadi andai ada yang mengetahui rahsia yang tersimpan sejak sekian lama. Anda juga akan bertemu dengan begitu ramai watak yang saling berkait dengan watak utamanya.Rahsia demi rahsia, kejadian demi kejadian membuatkan kita ingin terus membaca dan membaca sehingga kepenghujungnya.
Kisah duka Raihana Munif mungkin anda turut rasai. Ayahnya dituduh membunuh, kemudian dipenjarakan, seterusnya meninggal dunia. Ibunya, disangkakan sudah dibunuh dengan kejam, rupanya menjadi tidak waras kerana kekejaman musuh. Lebih teruk lagi apabila dia hendak dijual ke sempadan tetapi dia sempat melepaskan diri. Namun nasibnya tidak menjadi lebih baik kerana dia bukan saja terpaksa berpura-pura hilang ingatan, menukar identitinya malah terpaksa hidup dengan Bustaman yang sentiasa memerah keringatnya sejak dari usia mudanya lagi. Dia juga terpaksa menjaga hati Zafran yang jatuh cinta dengannya, kerana sebolehnya dia tidak ingin melukai hati Zafran walaupun hati dia sendiri yang mungkin dilukai dan disakiti.
Sebuah kisah yang penuh debar ketika dibaca. Juga kisah yang menarik.
---
Anita Sang
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment