Sep 18, 2011

UA : Cabaran 50 Buku : (11) 566 Hari Mencari Cinta

Judul : 566 Hari Mencari Cinta
Penulis : Ilya Abdullah
Terbitan: Kaki Novel Enterprise
Halaman: 409 m/s
ISBN : 978-967-5067-70-9
Cetakan pertama - April 2011

Kulit belakang novel :

Firdayu : “Aku mencari cinta semata-mata kerana kemewahan yang bakal aku kecapi dan aku tidak akan biarkan diriku tunduk pada cinta!”

Kid : “Semua orang menggelarkannya ‘posion ivy’. Cantik tetapi beracun. Tetapi aku tak kisah kerana aku akan sentiasa melindungi dia dari sebarang ancaman. Kenapa? Itu adalah tugas yang telah diamanahkan untuk aku.”

Ruzair : “Aku cuba bermain dengan ‘si ular’ ini namun akhirnya aku telah dipatuk. Semakin aku mengenali dia, semakin aku ingin memiliki dia.”

566 hari… tempoh untuk Firdayu mencari cinta kerana satu perjanjian. Cinta senang dicari namun mudahkan untuk mencari cinta sejati? Apatah lagi Firdayu memilih lelaki seperti memilih baju. Yang berjenama lebih diutamakan. Tanpa jenama, dicampak ke tepi.

Bicara Ummu Ammar :

Ini merupakan novel kedua yang saya baca bingkisan Ilya Abdullah selepas novel Coke & Sundae. Berbanding dengan novel sebelum ini, 566 Hari Mencari Cinta banyak kelainannya. Penulis lebih matang dalam mencorakkan setiap watak yang ada. Bacaan yang lebih ringan pada pendapat saya. Mengapa saya klasifikasikan sebagai sebuah bacaan yang ringan lagi santai? Kerana tiada unsur mahupun daya penarik untuk membuat saya teruja dan sebagainya. Tapi tidak mengapa. Bacaan tetap diteruskan sehingga ke helaian yang terakhir.

Kisah seorang Firdayu, wanita berkerjaya yang hebat. Bisa memanah hati setiap lelaki-lelaki kaya yang kacak. Impiannya cuma satu, harta nenek ingin dibolotnya. Bukan hanya rumah agam nenek yang tidak punya apa-apa tetapi kesemuanya. Yang penting dia puas!

Firdayu, dia punya segalanya. Butik hasil titik peluhnya sendiri. Pendek kata, dia kaya. Dia cantik bak bidadari tetapi seksi yang amat. Dia bijak. Bijak dari segala segi. Dari sudut pembelajaran, strategi keuntungan dan dia sangat arif dalam hal pikat memikat mencair likatkan hati-hati lelaki kaya yang kacak. Lelaki pilihannya mestilah berharta, yang kaya dengan wang dan syarikat bukannya lelaki kaya budi bahasa.

Kerja sampingannya adalah memainkan hati lelaki-lelaki itu. Berapa ramai? Tidak dapat dibilang dengan jari ini. Kejamnya seorang Firdayu. Tega memainkan hati dan perasaan mereka. Tidak kira lelaki bujang, kekasih orang waima suami orang. Semua disapunya.

Firdayu ego dan pantang dicabar. Dia menyahut cabaran nenek hanya kerana ganjarannya ialah menjadi pewaris kepada semua harta nenek tetapi bersyarat. Apa syaratnya? Jawapannya ada di dalam novel ini.

Mengapa novel ini diberi judul 566 Hari Mencari Cinta? Berjayakah Firdayu dalam pencarian cinta sejatinya? Anda ingin tahu? Tunggu apa lagi, beli dan baca.
Apa yang masih membelenggu jiwa saat hingga ke saat ini ialah watak Firdayu yang terlalu kejam pada lelaki. Apa yang membuatkan Firdayu tega melukakan hati semua lelaki? Mungkinkah masih wujud watak seperti Firdayu di alam nyata?

Seringkali kita alpa dengan orang yang berada di sekeliling kita. Walhal mereka yang banyak mencorakkan hidup kita. Kerana…kita hanya tahu menghargai sesuatu apabila ia sudah hilang dari pandangan kita.

Sejujurnya, novel ini belum mencapai tahap kepuasan jiwa saya (penulis pun bukan menulis untuk saya seorang sahaja). Mungkin kerana kehendak dan nawaitu saya yang inginkan sebuah bingkisan yang lebih bernyawa dan “real” yang boleh memberi input pada diri saya. Untuk saya jadikan pedoman jua tauladan dalam melayari kehidupan yang mendatang.

Walaubagaimanapun, sekalung tahniah buat Ilya Abdullah. Teruskan menulis. Doa saya semoga penulis akan menghasilkan karya-karya yang lebih baik dan bermakna buat semua pembaca.

---
Ummu Ammar

0 comments: