Tajuk buku : Seharum Kasih.
Penulis : Aina Emir
Keluaran : Alaf 21
Halaman : 454 m/s
Ulasan Ain Sabrina :
Rasya dan Reeza. Perkenalan awal mereka hanyalah melalui SMS. Tanpa kenal suara mahupun wajah, mereka seakan berkongsi rasa. Dari hanya SMS, naik pangkat ke bercakap telefon. Dari asyik berdalih tidak mahu berjumpa, akhirnya mereka terjumpa secara kebetulan di majlis perkahwinan salah seorang sahabat mereka di Pahang.
Dalam perjalanan pulang dari Pahang, Rasya terdengar fitnah mengenai Reeza. Tanpa soal selidik, dia terus percaya dan terus buat endah tidak endah pada Reeza. Berkat kesabaran Reeza, mereka berbaik semula. Namun tidak lama selepas itu, fitnah kembali bertamu. Dan sekali lagi tanpa soal selidik, Rasya membuat keputusan drastik meninggalkan Reeza dan memilih Fahmi.
Reeza kecewa dan membawa diri jauh ke Bandung, Indonesia. Di saat itu, dia berkenalan dengan Hilda. Hilda jatuh hati pada Reeza namun kasihnya bertepuk sebelah tangan.
Setelah lama tidak bersua, akhirnya secara kebetulan mereka berjumpa kembali. Saat itu, Rasya sudah berpisah dengan Fahmi manakala Reeza sudah bertunang dengan Hilda.
Kasih kembali bertamu. Namun ada rasa serba salah yang muncul dalam hati Rasya kerana ingin merampas Reeza daripada Hilda lalu dia memberi cadangan. Dia sanggup berkongsi kasih dengan Hilda.
Bahagiakah dia di saat dia menerima kasih Reeza yang terpaksa dikongsi bersama Hilda?
Komen Ain Sabrina :
Saya beli buku ini sebab muka depan bukunya sangat menarik. Kombinasi gambar dan warna, menarik saya untuk beli buku ini.
Permulaan cerita ini agak lambat prosesnya. Dari satu kisah ke satu kisah kesinambungannya agak lewat. Ini membuatkan perasaan bosan bermaharajalela. Terasa lambat untuk menghabiskan setiap helain novel ini.
Kisahnya juga agak berat. Asyik bertingkah dan salah sangka. Ini semua kerana watak Rasya yang agak menyakitkan hati. Dia asyik bertindak tanpa usul periksa, tanpa fikir panjang. Geram saya sebagai pembaca. Kalau saya jadi watak Reeza, dah lama saya tinggalkan Rasya. ^^
Watak Reeza memang mengkagumkan, kesabarannya melayan kerenah Rasya yang bagi saya agak manja dan mengada-ngada. Wataknya yang sangat setia dan kasih pada Rasya seakan terlalu melampau, seakan tidak berpijak pada dunia yang nyata.
Dalam sakit hati saya pada watak Rasya ini, saya cuba memahami wataknya dalam perspektif positif. Rasya, anak yang lahir dari keluarga yang berpecah-belah. Ibu bapanya bercerai di saat dia masih kecil dan dipelihari nenek sejak kecil. Ini menjadikan dia seorang yang tidak berkeyakinan dan seakan tidak percaya pada diri sendiri juga pada orang lain. Mungkin sebab itu, dia menjadi seorang yang seakan lari dari masalah.
Jika dapat diulangtayangkan kembali, semua pembaca pasti berharap Rasya membuat soal selidik sebelum mempercayai fitnah orang dan sebelum membuat apa-apa keputusan.
Saya juga jatuh kasihan pada watak Fahmi. Dia seakan mangsa keadaan disebabkan keputusan Rasya yang melulu. Juga watak Hilda yang jatuh hati pada orang yang salah, mungkin jika Hilda berjumpa dengan Reeza sebelum Rasya, mungkin akan termetrai kasih Reeza buat Hilda.
---
Ain Sabrina
Sep 22, 2011
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment