Sep 22, 2011

AS: Cabaran 50 Buku (45) Cinta Yang Kurasa

Tajuk: Cinta Yang Kurasa
Penulis : Anis Ayuni
Penerbit: Alaf21
638 Mukasurat
Harga: RM25 (SM)/RM28 (SS)

Cinta Yang Kurasa merupakan karya kedua novelis popular ini yang saya baca. Selesai membaca helaian terakhir, hati saya masih tidak puas hati dengan penamat cerita ini. Mungkin perlu dilanjutkan sedikit lagi kisah Laila Nabila & Mir Shahriman. Menggunakan kata ganti ‘aku’ ( saya selalu terpaksa lebih beperasaan setiap kali membaca novel yang menggunakan kata ganti ‘aku’ untuk mendapatkan rasa dan menyelami watak-watak ) yang merujuk kepada Laila Nabila, tapi cinta yang Laila Nabila rasa tidak sampai menyentuh hati.

Walaupun perasaan ‘aku’ iaitu Laila Nabila yang sepatutnya saya lebih fahami, namun begitu saya lebih memahami Mir Shahriman dan turut merasa rasa cinta Mir Shahriman yang cuba dia sampaikan kepada Laila. Terlalu mengetahui perasaan Laila membuat saya kadang-kala merasakan bahawa cinta Laila kepada Mir Shahriman tidak seteguh mana. Malah ketika hatinya kosong ditinggalkan oleh Mir Shahriman tanpa kata perpisahan menyebabkan dia membuka ruang untuk Raid walau dia memang mengatakan hatinya telah terisi sepenuhnya. Kekadang saya merasakan Laila terlalu mementingkan perasaan diri sendiri kerana pada mulanya dia sukar untuk memahami perasaan Mir selepas kemalangan yang menimpa Mir Shahriman. Apa yang dia fikirkan adalah perasaannya yang terluka ditinggalkan oleh Mir Shahriman tanpa kata.

Mungkin juga sebagai seorang wanita dia beranggapan bahawa tidak sepatutnya seorang wanita itu terlampau menunjukkan perasaan terhadap lelaki walaupun sekuat mana rasa suka atau cinta yang dia rasa. Dia terlalu hebat menjaga egonya sendiri. Disebabkan kehidupan keluarganya telah berubah, Laila merasa agak kerdil jika dibandingkan dengan keluarga Mir Shahriman walaupun hubungan kekeluargaan mereka masih elok. Kalau dia boleh merasa rendah diri kerana perubahan kehidupan keluarganya, tidak kah dia tahu bahawa Mir Shahriman lebih lagi merasa rendah diri kerana dari seorang yang sempurna fizikalnya, dirinya akhirnya terpaksa bergerak menggunakan kerusi roda? Isyarat cintanya kepada Laila begitu jelas walau hanya melalui kata-kata yang agak kasar dan layanan yang bersahaja terhadap Laila. Mungkin tujuan Mir Shahriman bertujuan mewujudkan rasa benci Laila, namun dia tidak berjaya menyembunyikan hakikat hatinya yang mencintai. Sememangnya saya lebih bersimpati dengan Mir Shahriman kerana dia tidak pernah jemu untuk menyatakan bahawa sesungguhnya perasaan cintanya hanya milik Laila walaupun dia terpaksa membuang egonya tatkala melamar Laila ketika dirinya tidak sempurna.

Membaca novel ini juga penuh dengan perkongsian tentang tempat-tempat menarik di Turki dan bumi Australia.

---
Anita Sang

0 comments: