Sep 7, 2011

UA : Cabaran 50 Buku : (8) Kasih Benar Kasih


Judul : Kasih Benar Kasih
Penulis : Aleya Aneesa
Terbitan: Grup Buku Karangkraf – Alaf 21
Halaman: 496 m/s
ISBN : 978-983-124-668-9
Cetakan 1 - 2011

Kulit belakang novel :

Mereka tak saling kenal, tapi disuruh berkenal-kenalan. Jika sesuai boleh terus melangkah, jika tidak, tarik saja diri. Lalu, mereka mencuba dengan alasan, ‘Dia kosong, aku pun kosong’.

Pertama kali bersua muka, Annura berasa jengkel sedangkan Dinzley bersikap ala-ala lelaki tak berperasaan. Sudahnya, seorang ke utara dan seorang ke selatan. Hati mereka tak bertemu di titik yang sama. Namun, masing-masing tak pernah mengatakan ‘tidak’ sehingga banyak pihak menyangka diam itu tanda setuju.

Sampai masa, mereka benar-benar tak mampu berkata ‘tidak’ bila melihat wajah-wajah penuh harap. Saat sedar mereka tak mungkin berpaling lagi, cubaan demi cubaan dilakukan untuk menembusi hati masing-masing. Paling penting, mereka tak dilabel sebagai pasangan kahwin paksa, tapi kahwin atas tiket suka sama suka. Orang tua hanya talian hayat semata-mata.

Ketika sedar ada sesuatu berdetak tiap kali mata bertentang mata, muncul Syirin menagih janji lama. Sudahnya, janji baru terpaksa Dinzley mungkir walaupun Annura sudah ternampak baying-bayang pelamin nan indah.

Sinopsis:

Menyingkap kisah Annura dan Dinzley yang masih belum menamatkan zaman bujang walhal umur sudah mencecah 30 an. Membuatkan kedua ibu bapa mereka sangat bimbang dengan keadaan itu. Fitrah ibu bapa, menginginkan sesuatu yang terbaik buat anak-anaknya. Orang tua Annura dan Dinzley bercadang untuk menjodohkan mereka berdua. Desakan demi desakan sang ibu buat anak teruna(Dinzley) agar memulakan langkah pertama dalam sesi suai kenal dengan Annura. Bosan dengan desakan dan pertanyaan, Dinzley akhirnya bersetuju untuk menghubungi Annura. Di pihak Annura sendiri apalah salahnya melakukan sesuatu untuk mengembirakan orang tua mereka.

Pertemuan pertama mereka sudah menimbulkan rasa jengkel di hati Annura. Annura jadi geram dengan Dinzley yang dianggapnya terlalu berlagak dan cakap tidak serupa bikin. Mula dengan perasaan geram, timbul perasaan marah dalam segenap ruang hati Annura. Dan…bagi Dinzley, menjadi suatu kemenangan dan kepuasan apabila dia berjaya membuat Annura marah.

Pertemuan demi pertemuan, akhirnya mereka semakin rapat. Namun tiada jalinan perasaan dalam hati masing-masing. Mereka tidak pernah berbicara soal hati apatah lagi perkara berat yang membawa kea rah perkahwinan. Mereka berjumpa untuk mencari keserasian dan persefahaman. Pabila ditanya, mereka tidak pernah berkata ‘tidak’ membuatkan kedua ibu bapa mereka merasakan perkiraan mereka untuk menyatukan Annura dan Dinzley tak pernah salah.

Annura dan Dinley…? Masing-masing tidak sanggup mengecewakan keluarga masing-masing yang sangat mengharap. Lalu, untuk menjaga hati semua pihak mereka bersepakat untuk meneruskan hubungan mereka dengan lebih serius.

Di ambang perkahwinan mereka, muncul Syirin menagih janji lama. Terlupa langsung bahawa suatu waktu dulu Syirinlah yang telah mengingkari janjinya dengan Dinzley. Apa kesudahan hubungan Annura dan Dinzley..? Sila beli dan baca novel ini dengan penuh penghayatan ya..

Bicara Ummu Ammar :

Sedang saya berjalan-jalan di booth Kumpulan Karangkraf di PWTC sewaktu berlakunya Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur bulan April lepas, saya sangat teruja melihat novel penulis kegemaran saya ini – Aleya Annesa. Hati saya bertambah girang apabila saya melihat Aleya Annesa berada di barisan penulis yang hadir.  Peluang yang ada di depan mata saya gunakan sebaik mungkin. Bergambar dan minta autograph. Rasa di hati tak sabar-sabar nak membaca novel ni, tetapi komitmen dengan kerja membuatkan novel ini sudah lama terperam dalam kotak bawah katil. Alhamdulillah, akhirnya dapat juga cari masa untuk mengkhatamkan novel ni 2,3 minggu lepas.

Novel ni..? Best sangat. Segala adegan-adegan yang cuba ditonjolkan dalam cerita ini hidup. Jenaka, cemburu, sedih semuanya diadun dengan begitu baik sekali. Tahniah Aleya Annesa.

Di dalam bingkisan ini membuatkan saya terfikir bertapa banyak masa yang telah dibazirkan dan terbuang begitu sahaja hanya kerana tidak berterus terang mengenai perasaan masing-masing. Andainya Annura berterus terang tentang perasaannya, keadaan tidak akan menjadi kucar-kacir sehingga Dinzley sendiri kebingungan. Bertapa perlunya komukasi yang baik dengan pasangan. Hal ini kerana, mata selalu salah melihat. Apa yang dilihat itulah yang ditafsirkan. Oleh itu, jauhkanlah bersangka buruk pada orang lain.

Satu lagi tabiat manusia yang saya tidak gemar, apabila kekasih lama sudah berpunya atau pun sudah bertunang yang menanti hari menghitung detik diijabkabulkan timbul satu perasaan “aku perlu merebut kasihnya kembali”. Benar, kita perlu memperjuangkan cinta hingga ke akhirnya, tetapi bukankah Allah telah mengajar kita suatu cara yang terbaik iaitu Solat Istikharah. Solat Istikharah memohon petunjuk dariNya adakah benar untukmu…Sebagai contoh, watak Syirin. Syirin yang berusaha pulang ke Malaysia kerana Dinzley yang telah bertunang. Dia merasa kehilangan, dia merasakan Dinzley akan setia. Lantas mengambil keputusan untuk menagih janji lama yang pernah dia cantas suatu waktu dulu kerana sakit kanser yang dihidapinya.

Sesungguhnya Allah telah menetapkan ajal, maut, jodoh dan rezeki setiap hambaNya. Bila anda menghidap penyakit kronik, anda memang berdepan dengan maut. Tetapi adakah anda tahu setakat mana riwayat hidup anda akan tamat? Maka jalan yang terbaik ialah berdoa. Dia datangkan penyakit dan padaNya jua ada kesembuhan. Mohonlah padaNya, merayu denganNya. Allah uji seseorang kerana sayangNya kepada hambaNya.

Banyak pengajaran yang bisa kita ambil pedoman dari bingkisan ini. Tidak rugi jikalau anda memilikinya. Apa pun yang baik jadikan sempadan, yang buruk jadikan tauladan. Tidak ada salahnya berkahwin atas kehendak orang tua kerana di situ terletaknya redha kedua ibu bapa. Redha Allah bersama dengan redha kedua ibu bapa.

---
Ummu Ammar

0 comments: