Sep 7, 2011
NH : Cabaran 50 Buku : (34) Bukan Tak Sudi
Bukan Tak Sudi
Mimie Afinie
Penerbit: KarnaDya
terbitan 2010
Kepekaan saya:
Bukan Tak Sudi hasil garapan indah milik Mimie Afinie ini adalah sebuah kisah komedi romantik. Gaya penulisan dari penulis yang penuh dengan omelan suara hati cukup membuatkan hati saya tercuit. Banyak omelan-omelan lucu yang diutarakan oleh penulis. Setiap ayat yang tercipta di dalam Bukan Tak Sudi ini memang mampu membuatkan saya tersenyum sendiri.
Bukan Tak Sudi mengisahkan kehidupan seorang gadis bernama Anis Zulaikha yang tidak pernah mempunyai teman lelaki. Anis terlalu sibuk dengan kerjayanya. Anis bukannya tidak memiliki rupa paras yang tidak cantik tetapi disebabkan dia tidak pernah mahu memikirkan pasal kehidupan berumahtangga ibunya di kampung sangat risaukannya. Ibunya risau jika Anis menjadi andartu dan kerana itu, ibunya bercadang untuk menerima pinangan Syariff, kawan sekampung Anis. Anis tidak mahukan Syariff kerana semasa alam persekolahan dulu, Syariff seorang yang nakal dan digelar samseng kampung oleh Anis dan kawan-kawannya.
Di pejabat pula, Anis diminati oleh bosnya. Al, bos Anis yang cuba untuk memikat hati Anis. Pada awalnya, Anis tidak memberi sebarang tindak balas. Walaupun pada mulanya Anis menolak tetapi lama kelamaan hatinya melekat jua dengan Al. Ditambah pula Anis takut akan keputusan ibunya yang masih mahu menjodohkan dia dengan si Syariff sekiranya dia tidak mempunyai pilihan hati sendiri. Namun ada sesuatu yang mencurigakan terhadap diri Al pada pandangan Anis. Al selalu menutup telefonnya sewaktu lepas waktu pejabat. Bila hari cuti pun Al begitu susah sangat untuk dihubungi. Bila ditanya kenapa Al memberi alasan bahawa ibunya tinggal bersamanya dan tidak suka dia bergayut dengan perempuan lama-lama. Alasan yang tidak masuk akal untuk orang bercinta. Tapi, disebabkan oleh perasaan sayang dan kasih, semua rasa curiga Anis pada Al di tolak ke tepi.
Sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah jua. Peribahasa itu cukup sesuai untuk Al, lelaki berhidung belang dan bermata keranjang. Sebenarnya, Al telah mempunyai isteri. Isterinya pula tengah sarat mengandung. Al telah mengambil kesempatan atas kebaikan isterinya. Anis pula menjadi mangsa lelaki seperti Al. Nasib menyebelahi Anis kerana Anis berjaya juga mengetahui siapa Al yang sebenarnya. Al memang sedaya upaya tidak mahu Anis lari dari hidupnya. Al menggunakan alasan yang isterinya bukan cintanya tetapi, pilihan keluarga.
Sememangnya Al jenis lelaki yang tidak mempunyai perasaan kesian pada isteri sendiri. Dengan keadaan isteri yang sarat mengandung, disuruhnya si isteri memujuk Anis supaya menerimanya kembali. Anis dihimpit oleh masalah yang amat besar, selalu di ekori oleh Al, menerima panggilan dari isteri Al yang memujuk supaya Anis tidak memarahi Al lagi. Anis yang berhati lembut, menjalinkan persahabatan dengan isteri Al dan menganggap isteri Al seperti kakaknya sendiri.
Anis juga terpaksa berpindah dari rumah sewanya dan tinggal bersama abangnya Fuad kerana semua teman rumah sewa Anis telah mendirikan rumahtangga dan berpindah dari situ. Tinggal bersama abangnya Fuad bermakna Anis terpaksa berkongsi bumbung juga bersama kawan karib Fuad yang bernama Omar. Anis memang tidak begitu menyukai perangai Omar yang di anggapnya miang atau gatal. Anis cukup tidak suka dengan setiap pandangan mata Omar yang selalu memerhatikannya seperti mahu menelannya hidup-hidup.
Fuad dan Omar terlalu akrab. Mereka berdua juga menjalankan perniagaan bersama-sama. Sejak dari dulu lagi Omar menyukai Anis dan cuba untuk memikat Anis. Sememangnya Omar nekad untuk memikat adik sahabat baiknya. Tetapi dia tidak tahu macam mana. Sesak nafasnya bila mendapat tahu si Anis sudah ada teman lelaki. Namun Fuad memujuk Omar supaya bertenang. Selagi Anis belum berkahwin Omar masih mempunyai peluang. Gelihati betul dengan gelagat Omar yang sanggup merasuah Fuad agar membantunya memikat Anis. Sehingga sanggup dia menjadi khadam Fuad dengan membasuh pakaian dan cadar katil Fuad selama sebulan. Sedangkan Anis masih begitu, tidak sedikit pun nampak tanda-tanda untuk lembut hati terhadap Omar.
Anis juga dapat memiliki kebahagian seperti kawan-kawan rumah sewanya yang lain. Rupa-rupanya, Syariff samseng kampung dan Omar adalah orang yang sama. Omar Syariff adalah lelaki yang sejak dulu ingin memiliki sekeping hati milik Anis. Fuad dan keluarganya di kampung telah lama tahu akan kewujudan Omar Syariff dan Syariff. Kesian Anis, terpaksa menghadapi saat getir semasa hari pernikahannya. Anis sangat takut jika Syariff yang di terimanya untuk menjadi teman hidupnya masih berperangai seperti samseng.
Banyak juga kejutan demi kejutan yang di sampaikan oleh penulis membuatkan saya tidak terfikir langsung apa akan terjadi seterusnya. Jalan cerita yang tidak begitu berat. Banyak ayat-ayat yang sempoi dan kelakar.
---
Noor Hekmat
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment