Sep 26, 2011

KK: Cabaran 50 Buku: (32) Rawa

Judul: Rawa: Tragedi Pulau Batu Puteh
Pengarang: Isa Kamari
Penerbit: Ameenbooks
Muka surat: 288 halaman
ISBN:978-983-3991-79-2
Harga: RM 21.90

Kata kulit buku:

Rawa. Nama itu adalah tanah. Nama itu adalah air. Anak jati ini memaut sejarah dan kebudayaan antara Singapura dan Seberang Tambak yang menjadi sebahagian daripada Tanah Melayu.

Susur galur keturunannya hidup penuh rukun. Alam itulah sahabat. Firasat pula sandaran pedoman hidup. Tapi hidup tidak selalunya damai. Dendam dan hasad mula menular. Perkahwinan campur dan kedatangan orang luar menggugat bahagia.

Hanya satu jalan untuk merungkainya… diri Rawa.

‘Ah, Rawa! Kau ni macam-macamlah! Kau anak jantan. Nekadlah sikit! Ambillah satu anak dara dari mana-mana kampong pun! Asalkan Melayu. Jangan tunggu lama-lama. Rawa. Kempunan nanti.’

Kata KK:

Kisah seorang bernama Rawa dan kaitannya dengan Pulau Batu Putih. Bermula dengan zaman muda Rawa sehinggalah dia bercucu. Rawa yang keturunan Seletar dan tinggal di atas pau kajang melihat sendiri perubahan Singapura. Kemudian bertemu jodoh dan mendapat cahaya mata bernama Kuntum. Kuntum kemudian berkahwin apabila dewasa dan dikurniakan seorang anak lelaki bernama Hassan. Rawa yang setelah kehilangan isterinya mula tinggal bersama anaknya. Rawa pada mulanya tidak dapat menerima perubahan Singapura kerana kawasan yang pernah didudukinya dulu kini berubah. Namun, setelah cucunya Hassan banyak membantu dalam menyedarkannya bahawa kadang-kadang perubahan itu ada baiknya. Rawa juga masih ada rahsia tentang Pulau Batu Putih. Itulah satu-satunya misi yang masih dia belum capai. Biar Rawa menjawab tentang rahsianya itu.

Seronok membaca karya Isa Kamari. Rawa sekali lagi membawa saya kembali ke Singapura dan sejarahnya melalui versi seorang Rawa. Juga membangkit isu Pulau Batu Putih yang pernah menjadi rebutan Malaysia dan Singapura.

Terkilannya sebab saya masih tidak mengetahui bagaimana rupa Pau Kajang dan kawasan yang didiami oleh Rawa. Mungkin buku ini perlu menyediakan rujukan peta singapura dan bagaimana rupa Pau Kajang.

---
khaulah khalid

0 comments: