Judul : AD + IZ
Penulis : Eury Athena
Terbitan: Kaki Novel Enterprise
Halaman: 636 m/s
ISBN : 978-967-5067-49-5
Cetakan ketiga belas – April 2011
Kulit belakang novel :
Kita dirancang untuk bertemu…
Kita ditakdirkan untuk berjumpa…
Namun adakah untuk bersatu… buat selamanya?
Adrianna Mayesa, seorang pekerja butik pakaian yang sanggup berbuat apa sahaja untuk menyara keluarga tirinya walaupun sering ditindas, malah dieksploitasi oleh mereka.
Salah faham yang berlaku ketika dia menghantar pakaian ke rumah pelanggan, membuatkan Adrianna terjebak ke dalam perkahwinan kontrak yang merubah tiga ratus enam puluh darjah paksi hidupnya.
Bermula dari detik itu, dia hidup dalam kemewahan di samping Tengku-Tengku yang bermacam ragam, di samping menjalani kehidupan sebagai ‘isteri’ kepada Tengku Farriel Izumi, seniornya ketika di sekolah yang tidak pernah suka dan senang dengan kehadirannya.
Di saat Adrianna mula selesa dengan kehidupannya, sesuatu yang selama ini dirahsiakan dan langsung tidak diketahuinya muncul… lantas meragut kebahagiaannya.
Aku sanggup mempertaruhkan segala milikku untuk cintamu…
Bicara Ummu Ammar :
Jika ada yang bertanya mengapa saya membeli novel ini, jawapannya ialah saya terkesima melihat bilangan cetakan novel ini. Tiga belas kali cetak. MasyaAllah.. Buku apakah ini? Apakah ilmu yang disampaikan menerusi bingkisan ini sehingga berbelas cetakan untuk sebuah novel? Terlalu istimewakah kandungan buku ini? Soalan-soalan sebegitu menujah akal, dan soalan-soalan tersebut hanya bisa dijawab dengan membeli lantas membaca dan memahami serta menghayati kisah ini.
Dengan lafaz bismillah, saya memulakan penerokaan, penerokaan mencari titik-titik permulaan untuk saya menghayati setiap watak yang ada. Bermula di halaman pertama, diselak ke helaian seterusnya walaupun seawal bab pertama saya dikejutkan dengan perkahwinan segera antara Adrianna Mayesa dan Tengku Farriel Izumi. Bergelar isteri dalam sekelip mata. Semudah itu? Sepengetahuan saya yang cetek ini, proses ke arah gerbang perkahwinan itu amat merumitkan. Dengan borang akuan, kursus kahwin yang wajib dihadiri oleh semua bakal pengantin, ‘HIV Test’ dan sebagainya membuatkan saya keliru sebentar. Tapi tidak mengapa, bacaan tetap diteruskan sehingga ke noktah terakhir.
Adrianna hidup membesar bersama keluarga tirinya. Sedari kecil dia belajar berdikari dek kerana keluarga tiri yang suka membuli dan mempergunakan dirinya. Pasrah dengan keadaan, Adrianna terpaksa bekerja di sebuah butik untuk menyara keluarga tirinya itu.
Pertemuan Adrianna dan Izumi membawa kepada perkahwinan kontrak. Terkejut bukan kepalang apabila menyedari bahawa Izumi adalah bekas seniornya semasa di sekolah. Bekas senior merangkap musuh ketatnya. Tidak diketahui punca sebenar mengapa Izumi terlalu membencinya.
Adat perkahwinan kontrak harus disertai dengan syarat-syarat yang perlu dipatuhi oleh kedua-dua belah pihak. Ingin mengetahui syarat-syarat nya? Semuanya termaktub dalam kitab Ad + Iz.
Apa yang kurang dengan novel ini ya? Seperti ada yang tidak kena bagi saya. Maafkan saya wahai penulis. Mungkin saya mengharap impak yang besar daripada novel ini. Mengharapkan sesuatu yang boleh menyentap hati saya atau lebih tepat lagi membawa sesuatu pengajaran untuk saya jadikan panduan hidup.
Namun begitu terdapat juga beberapa nilai murni yang boleh dicontohi. Antaranya ialah sikap Adrianna yang tidak pernah mempunyai sekelumit pun perasaan dendam terhadap keluarga tirinya sedangkan dia teruk dibuli malah dieksploitasi sewenangnya oleh mereka yang tidak berhati perut dan mementingkan diri dan wang.
Walau bagaimanapun, sekalung tahniah diucapkan kepada penulis kerana berjaya menyiapkan sebuah novel dengan 636 halaman. Teruskan menulis ya.
---
Ummu Ammar
Sep 26, 2011
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment