Sep 22, 2011

UA : Cabaran 50 Buku : (12) Iman Suraya

Judul : Iman Suraya
Penulis : Areila Sahimi
Terbitan: Kaki Novel Enterprise
Halaman: 476 m/s
ISBN : 978-967-5067-61-7
Cetakan kedua – Januari 2011

Kulit belakang novel :

Ajal maut, jodoh pertemuan semuanya di tangan Tuhan. Di Tanah Mahsuri Iman Radhiff dan Suraya Dania bertemu. Suraya ke sana mahu menghiburkan diri sebelum bergelar seorang isteri. Iman pula membawa diri apabila kisah cintanya tidak menjadi. Di sana mereka berkenalan dan berkawan. Sekembalinya di tempat masing-masing, mereka meneruskan kehidupan seperti biasa. Suraya sudah bersedia untuk menjadi isteri, Iman pula sedang belajar untuk menerima realiti.

Takdir Tuhan, mungkin sudah tertulis jodoh Suraya bukan dengan Azim apabila lelaki itu pergi mengadap Ilahi. Dia tabah meneruskan hidup bersama kenangan dengan lelaki itu. Iman pula, sekembalinya ke rumah, seringkali kenangan bersama kekasih lama yang dikahwini abangnya sendiri dating bertubi-tubi.

Selang beberapa tahun mereka berdua bertemu semula tanpa diduga. Di situ persahabatan kembali terjalin. Isyarat dari tingkah Suraya meyakinkan Iman yang dia tidak bertepuk sebelah tangan. Cinta tanpa isyarat. Datangnya tanpa sedar. Mereka jatuh cinta untuk kali kedua. Namun, di belakang gadis itu sentiasa ada Norman Hakim, lelaki yang punya potensi untuk mana-mana gadis di luar sana jatuh cinta padanya.

Susahkan? Bila kisah cinta sudah jadi ala-ala filem Hindustan. Mujur ada ‘Wonder Pets’ yang sudi membantu dan melengkapkan kisah cinta mereka….


Bicara Ummu Ammar :

Areila Sahimi, seorang penulis yang terkenal dalam kalangan muda-mudi. Saya mula mengenali penulis ini dalam novel keduanya berjudul ‘2x5’ dan Iman Suraya merupakan buah tangannya yang ketiga bersama dengan Kaki Novel Enterprise. Memandangkan ini adalah novel beliau yang ketiga, maka dapat dilihat kematangan penulis dari segi penyampaian dan juga jalan cerita. Benar, pengalaman itu mendewasakan.

Iman Suraya mengisahkan Iman dan Suraya yang bertemu secara kebetulan semasa masing-masing ingin mencari ketenangan di Langkawi. Iman Radhiff membawa diri untuk mengubati hati yang luka. Suraya pula menikmati saat-saat terakhir bergelar bujang sebelum bergelar seorang isteri. Pertemuan yang pada pendapat mereka hanya akan tamat disitu apabila masing-masing pulang ke tempat sendiri.

Hubungan yang sangat rapat antara adik-beradik sangat mencuit hati saya. Suraya dan abang-abangnya sangat rapat. Sikap abang-abang yang sangat mengambil berat akan adiknya. Memujuk, mengambil hati Suraya saat adiknya itu dalam kesdihan meratap pemergian tunang tersayang, Azim.

Masa berlalu datang dan pergi membawa seribu kisah hati. Janji Allah itu pasti. Mereka bertemu lagi. Kali ini bukan di tanah Mahsuri. Tertanya-tanya kebetulan apa yang menemukan mereka? Adakah bunga-bunga cinta memekar indah di hati mereka? Bersatukah mereka walaupun Norman Hakim, lelaki idaman Malaya sering saja mencari jalan untuk memikat atau lebih tepat lagi memaksa Suraya menerima cintanya..? Jawapannya ada di dalam novel Iman Suraya.

Penulis menggarap kisah hati seorang Suraya dengan penuh warna-warni, putih gelap kehidupan. Dengan bahasa yang mudah difahami kerana menggunakan bahasa percakapan harian, maka tidak susah untuk kita turut menyelami suka duka bahagia derita kamus cinta seorang Suraya.

---
Ummu Ammar

0 comments: